February 28, 2010

Meraikan Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2010 Peringkat Kebangsaan di Bandar Baru Bangi

Tasik Cempaka, 02 Rabiul Awwal = 27 Februari (Sabtu):

Sekali lagi Bandar Baru Bangi di bawah DUN Bangi menjadi lokasi pemilihan bagi melancarkan Hari Lanskap Negara di atas. Bagi tujuan tersebut lebih dari 30 khemah didirikan di tepi Tasik Cempaka bagi upacara pelancaran dan pameran. Petang ini jam 3.00 petang Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin melancarkan perasmian di atas. Sambutan adalah dengan kerjasama MPKj dan Rakan-Rakan Karnival. Turut hadir YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi selaku Tuan Rumah, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, ADUN Kajang YB En. Lee Khim Sin, Dato' Ahmad bin Hj. Kabit Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, En. Isa bin Haji Ahmad Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara, YDP MPKj Dato' Hasan Nawawi Abdul Rahman, Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tan Haji Zainal Abidin A'la, ahli-ahli MPKj dan pegawai-pegawai dari Kementerian.



Dalam ucapannya Datuk Haji Lajim menekankan kepentingan menjaga landskap sebagai satu bidang seni yang dapat menyusun atur kedudukan muka bumi dan ruang dengan hiasan taman dari tumbuhan dan infrastruktur berhubungan. Bidang landskap dapat menarik pandangan dan minat dan melegakan jiwa. Landskap dan perhiasan terutama dari tumbuhan menjadi satu bidang industri taman dan tanaman yang menguntungkan. Kesedaran tentang landskap dan seni taman dan seni hias dapat memupuk bukan saja minat pada landskap tetapi bidang pertanian dan perindustrian. Menghayati landskap yang indah dengan seni tanam dan hias yang teratur membahagiakan. Seboleh-bolehnya biarlah rumah, kampong, pekan, bandar, bahkan Negara berada dalam taman yang membahagiakan semua pihak. Pelancaran Upacara Perasmian Karnival Industri Landskap hari ini adalah merupakan usaha ke arah menyedarkan masyarakat betapa landskap, seni taman dan seni hias adalah penting dalam kehidupan, bahkan menjadi sebahagian daripada kehidupan.



Sempena pelancaran hari ini beberapa pokok cempaka ditanam oleh Datuk Seri Panglima Haji Lajin dan pegawai-pegawai. Sementara itu berpuluh-puluh gerai dibuka menawarkan jualan anak-anak pokok, berbagai jenis herba, baja dan bahan-bahan yang berhubung dengan landskap. ADUN Bangi turut mengiringi lawatan Datuk Seri Panglima Lajim dari gerai ke gerai. Pameran di sini berterusan dari 27 Februari hingga 7 Mac. ADUN turut membeli yang secara kebetulan ada pokok sirih yang diperlui oleh isteri sebagai bahan ubatan.


1 comment:

  1. ADUN Dom bangga hari lanskap lancar kat Bangi tapi kebanggaan itu kosong kerana BBB di bawah PR macam tak kisah lansung pasal lanskap. YB dok pergi bangga rasmikan masjid kat Desa Surada tapi nampak tak kawasan sekeliling penuh lanskap lalang tak di selenggara. Panggillah bandar ilmu ke ape ke Malay lalang penuh bahutu jalan tak diselenggara tak da sapa penduduk nak bangga dgn BBB Malay bend aaas pun tak boleh tackle.

    ReplyDelete