September 30, 2011

Meraikan Bakal Haji Kawasan Serdang & Dun Bangi

Dataran Usahawan, BBB, 30 Syawal = 28 September (Rabu):

Sebagai satu tradisi, pada setiap tahun bila tiba musim bakal-bakal Haji bertolak ke Tanah Suci, maka Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Pas Kawasan mengadakan Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji.

Demikianlah pada malam ini Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji diadakan di Dataran Usahawan berhampiran dengan Pejabat Adun Bangi yang dikelolakan oleh Lajnah Kebajikan yang diketuai Tuan Haji Rushdi dan AJKnya. Seramai 61 orang Bakal Haji dijemput dan seramai 50 orang dari mereka dapat menghadiri diri. Majlis ringkas diadakan pada jam 9.30 malam dengan pembukaan Al-Fatihah dan doa dan para bakal Haji dijemput menikmati jamuan sate, mee dan buah-buahan serta minuman.

Selepas jamuan acara ringkas diadakan dengan saudara Tuan Haji Mazwan dijemput saudara Harun sebagai Pengerusi menyampaikan ucapan mewakili kawasan. Tuan Haji Mazwan berharap para jamaah menumpukan perhatian pada menyempurnakan ibadat Haji. Beliau juga menceritakan pengalaman semasa beliau menunaikan Haji pada dua tahun yang lepas. Beliau berharap Bakal Haji bersabar dengan ujian-ujian bakal dihadapi.

Manakala Adun Bangi ketika berucap mengucap tahniah kepada Bakal-Bakal Haji yang terpilih menunaikan Haji pada tahun ini. Menurutnya, `Mungkin bagi sebahagian dari Bakal Haji merupakan peluang amalan sekali seumur hidup. Sebab itu lakukanlah amalan dengan sesumpurna mungkin.

Menurut Adun, semua Bakal Haji telah cukup bersedia, kerana sebelum menunaikan Haji setiap Bakal Haji telah mengikuti kursus selama 17 minggu secara asas dan mengikuti lagi kursus intensif dan padat dan ada yang mengikuti kursus-kursus yang lain. Kata Adun, Bakal-Bakal Haji adalah tetamu Allah dan Duta dari kawasan Serdang dan Dun Bangi, kami mengharap kata Adun, tuan-tuan bertamu dengan penuh kepatuhan kepada perintah Allah. Adun mengingatkan bahawa penerbangan pertama bagi Bakal Haji, mulai pagi esok dan berterusan sehingga 11.12,2011. Beliau berharap dalam masa ini tidak dijalankan pilihanraya. Jika dibuat juga, menandakan tindakan tidak demokratik dilakukan. Adun Bangi, memohon dari Bakal Haji mendoakan bagi kejayaan dan kemenangan kita pada pilihanraya yang akan datang. Adun akhiri ucapan dengan mendoakan kesihatan kepada semua Bakal Haji, pergi dengan sihat dan kembali dengan sihat dan mendapat Haji Mabrur – Insya Allah.

Selepas penyampaian ucapan Adun Bangi dan isteri Puan Hajjah Mu`minah menyampaikan cenderahati kepada setiap Bakal Haji. Tuan Haji Mazwan mengiringi Adun dan Puan Hjjah Mu`minah sama-sama menyampaikan cenderahati sebagai penghormatan dan keraian.

Selepas penyampaian cendera mata pengambilan gambar dilakukan bagi peserta perempuan dan diikuti peserta lelaki.

Majlis bersurai jam 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment