November 18, 2012

Aduan Spontan Dan Tindakan - Banjir Di Hadapan Stesyen Minyak

BBB, 03 Muharram 1434 = 17 November 2012 (Sabtu):


Sebagai Adun tidak dapat mengelak dari menerima aduan yang kadang-kadang bersifat spontan. Aduan perlu diberi perhatian dan perlu mengambil tindakan secara bersesuaian bagi memuaskan hati pengadu terutama penduduk dalam kawasan sendiri – DUN Bangi.


Demikianlah pada pagi ini selepas selesai satu program yang Adun hadiri, Adun mengambil kesempatan untuk membaiki tayar kereta hilux yang bocor yang selang beberapa hari terpaksa ditambah angin. Demikianlah sejak sebulan lepas. Pada pagi ini Adun meminta saudara Azizi menambah angin bagi tayar hadapan sebelah kanan yang kelihatan kurang angin. Sebelum ke Stesyen Petronas berdekatan, saudara Azizi sengaja melalui jalan yang berlopak air, semasa hendak menambahkan angin, menurutnya, ``Kelihatan gelembung air kecil keluar dari bahagian tayar yang dengannya saudara Azizi dapat kesan, bahawa tayar tidak lekat angin, kerana kena paku!


Di kedai workshop tayar dimasukkan getah di bahagian yang kena paku. Begitu mudah selesai. Tapi semasa berurusan untuk menampal ada sebuah Mercedes yang terpaksa dioverhaul enginnya, kerana kemasukan air. Adun menyapa pemilik kereta berkenaan yang sedang menyaksikan pembaikan keretanya. Adun bertanya apakah kerosakan yang berlaku. Beliau yang mengenali Adun, katanya, dia menemui Adun semasa hadir menyampaikan bantuan kepada fakir miskin di Surau Bangi Golf (fakir miskin dijemput dari luar) menjelang hariraya Idul Fitri yang lalu. Kalau tidak pun beliau pasti kenal berdasarkan lambang dan alamat pada kereta Adun.


Melalui pertanyaan dan pertemuan ini beliau membuat aduan, bahawa kereta beliau rosak kerana mengharungi banjir akibat tanah jalan rendah dihadapan Stesyen Shell berdekatan perpustakaan. Tanah jalan di situ rendah sebelum ke jambatan. Takungan air di situ telah lama berlaku bila hujan dan tidak diambil tindakan oleh pihak perbandaran (MPKj). Beliau melahirkan rasa tidak puashati, selama ini tidak diambil tindakan untuk diperbaiki. Kerosakan enjen keretanya dan terpaksa angkat enjin memakan kos ribuan ringgit. Menurutnya semasa keretanya mati, sebuah kereta proton juga turut mati. Tapi selepas dibiarkan kering, proton dapat dihidupkan balik, tapi mercedesnya tidak hidup dan terpaksa dibersih enjin. Adun melahirkan simpati dan berjanji akan melihat tempat berkenaan yang tidak jauh dari workshop lebih kurang setengah kilomerter sahaja. Selepas menguruskan pembayaran baiki tayar bocor tak seberapa, Adun bersalan dengan pengadu yang Adun tidak bertanya namanya, Adun bergerak ke lokasi banjir di hadapan Stesyen Shell.


Bila sampai Adun memerhati lokasi – pada masa itu tiada air, kerana tiada hujan. Adun pergi menemui Pengurus Stesyen Shell yang memperkenalkan namanya sebagai Ahmad Hazar. Adun dimaklumi dan ingat bahawa Stesyen Minyak ini dulu adalah Stesyen Minyak Pro Jet. Berikut dari tidak maju, stesyen dibeli oleh seorang taukeh Cina. Abang Ahmad Hazar – Ahmad Hilmi, mereka berasal dari Kedah. menyewa stesyen bagi menjual minyak Shell, sedang kedai stesyen disewa oleh Seven Eleven. Beliau menumpang satu sudut bagi pengurusan stesyen. Menurut Ahmad Hazar beliau mengurus stesyen bagi pihak abangnya dan abangnya terpaksa bekerja di tempat lain, kerana dapatan dari jualan minyak Shell di sini kurang maju.

Bila diberitahu masalah banjir depan stesyen minyaknya dia dan abangnya menurutnya sedar masalah itu. Dia mengaku ianya menyebabkan pelanggan kurang ke stesyen minyaknya bila banjir. Adun bertanya mengapa tidak buat aduan kepada MPKj. Ahmad Hazar nampaknya tidak tahu kepada siapa dan ke mana seharusnya dibuat aduan.


Kemudian Ahmad Hazar keluar bersama Adun ke tepi jalan di hadapan Stesyen Shellnya. Ada kesan korekan sampah pada saluran air tepi jalan berikut dari banjir lepas. Adun bertanya siapa yang membersih dan mengorek lobang air ini. Beliau menjawab beliau sendiri. Namun pembersihan kurang sempurna. Tapi menurutnya selepas pembersihan yang dibuat, walaupun kurang sempurna, air mengalir dan banjir tidak tergenang dengan berlamaan. Adun merasa simpati yang Stesyen Shell itu berada pada tempat strategic, sepatutnya maju, tetapi kurang maju. Adun mencadangkan kepada Ahmad Hazar dan meminta supaya diberitahu kepada Abangnya Ahmad Hilmi supaya membuat promosi yang lebih agresif. Namun beliau menyatakan masalah yang dihadapi stesyennya yang menggunakan pump lama yang kurang laju yang pengguna terpaksa menunggu masa lebih lama. Adun mencadangkan agar ditukar kepada pump minyak yang lebih moden. Namun Ahmad Hazar mengeluh sebagai peniaga kecil bumiputra dan terpaksa sewa, beliau tidak kecukupan modal.

Adun berjanji masalah banjir akan Adun bawa ke atas terutama MPKj agar dapat memperbaiki saluran air dan membersih kawasan sekitaran serta memperbaiki papan-papan semin yang pecah dan jatuh ke dalam saluran yang menyekat larian air. Saudara Azizi juga membekalkan no. telefon Ahli MPKj bagi kawasan ini yang dipertanggungjawab untuk membuat aduan dan juga no-no aduan di MPKj.

Sekian.

No comments:

Post a Comment