May 3, 2013

Bantuan Rumah Rosak Mangsa Ribut

-->
Bukit Mewah, 20 Jamadil Akhir 1434 = 01 Mei 2013 (Rabu):

Pada 01 Mei, Hari Pekerja ini kami bersama Lajnah Kebajikan turun menemui kembali mangsa-mangsa ribut yang terjadi pada petang Rabu 13 Mac 2013 yang lepas. Ribut dirasai disemua tempat di Dun Bangi, termasuklah di Bandar Baru Bangi. Tapi rumah-rumah yang mengalami kerosakan banyak berlaku di Bukit Mewah dan di Blok A, Rumah Pangsa Mutiara. Adun Bangi pada masa itu (Dr. Shafie Abu Bakar) dan Ahli Parlimen Serdang YB. Teo Nie Ching, saudara Hasan dari Lajnah Kebajikan, Tuan Haji Yusof Setiausaha Cawangan Bukit Mewah, saudara Azizi Jurufoto dan beberapa yang lain turun padang pada hari Khamis membuat bancian rumah rosak dari rumah ke rumah di Bukit Mewah. Kami berkesempatan menziarah sejumlah 15 rumah yang rosak. Antara yang teruk ialah tercabut bumbung, pecah dan patah bumbung tapi yang banyaknya terkopak satu atau dua atap. Setengahnya membaiki rumah mereka pada hari kami turun padang itu juga. Selain dari 15 buah rumah mangsa ribut yang kami lawati, terdapat beberapa rumah lagi yang dianggap teruk yang kami  minta Tuan Haji Mohamad Yusof meneruskan bancian pada hari-hari berikutnya.  Adalah difahamkan jumlah sebenar sampai 70 buah, tapi mengambil utama kepada mangsa rumah paling teruk kerosakan adalah dalam lingkungan 30 buah.


Pada pagi ini Mantan Adun Bangi datang bersama saudara Azizi, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan isterinya selaku AJK Lajnah Kebajikan hadir ke Surau An-Naim, iaitu tempat pertemuan dan penyampaian sagu hati bagi Bukit Mewah. Turut hadir Tuan Haji Shubli Pengerusi Surau An-Naim, Tuan Haji Yusof Setiausaha Surau, Tuan Haji Hanafi, Ketua Cawangan Bukit Mewah, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan Isterinya yang juga AJK Kebajikan, Dr. Subra Ketua Lajnah Kaum dan peserta-peserta yang menerima bantuan.


Sebelum penyampaian bantuan, Tuan Haji Shubli menyampaikan ucapan alu-aluan selaku Tuan Rumah, beliau mengucap terima kasih di atas kehadiran Mantan Adun Bangi bagi menyampaikan bantuan, sungguhpun Mantan Adun tidak lagi menjadi Adun. Menurutnya Adun Bangi terkenal amat prihatin terhadap rakyat dan sering turun padang. Termasuklah turun membuat bancian terhadap mangsa rebut. Beliau juga turut hadir ke berbagai-bagai kegiatan yang diadakan di Bukit Mewah sama ada yang dianjur oleh Pejabat Adun atau oleh penduduk setempat seperti sambutan perayaan, gotong royong, sukan dan sebagainya. Tuan Haji Shubli menyebutkan pihak Adun Bangi telah berusaha agar rumah-rumah retak di Bukit Mewah dibaiki yang pada asalnya tahun 1999 hanya beberapa buah, kemudian bertambah kepada 21 buah akibat pergerakan tanah. Sekarang usaha beliau berjaya rumah-rumah rosak berkenaan diruntuh dan dibina kembali dengan kos ditanggung kerajaan negeri. Dedikasi beliau terhadap tugas menyebabkan sokongan terhadap beliau makin bertambah, jika kemenangan di Dun Kajang (1999) hanya dengan majority 37 undi, maka kemenangan bagi Dun Bangi (2008) melonjak kepada 6,192 undi. Beliau berharap selepas tidak lagi menjadi Adun, khidmat kebajikan akan diteruskan dan hubungan mesra dengan rakyat dikekalkan.


Mantan Adun Bangi, mengucapkan terima kasih di atas kehadiran semua termasuk mereka yang rumah-rumah menjadi mangsa ribut. Mantan Adun Maklumkan, bahawa peruntukan yang disampaikan pada hari ini telah dibuat sebaik selepas banci mangsa dibuat, tetapi cek dari pejabat Daerah baru turun, jadi berlaku kelewatan penyampaian yang sepatutnya lebih awal. Mantan Adun menyebut bahawa jumlah yang akan disampaikan pada hari ini sebenarnya kecil dan tidak sepadan dengan kerugian dan susah payah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa rumah yang kena ribut. Penyampaian lebih bersifat simpati. Mantan Adun mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan sokongan penduduk selama ini. Semuanya adalah merupakan budi yang tak mungkin dibalas hingga ke akhirat. Walaupun tempoh Adun sudah berakhir, tetapi mantan Adun berharap hubungan dan kerjasama akan diteruskan.


Berikutnya Mantan Adun menyampaikan bantuan kepada 15 orang mangsa dengan yang hadir 8 orang, manakala yang tidak hadir akan disampaikan oleh Haji Yusof kepada mangsa-mangsa berkenaan. Selepas penyampaian di adakan sesi bergambar, manakala minuman telah bermula di awal majlis.


Selepas penyampaian bantuan rumah rosak akibat ribut di Surau An- Naim Bukit Mewah, Mantan Adun Bangi bergerak bersama pasukan ke Rumah Pangsa di Bukit Mutiara. Bumbung bagi Blok A rumah pangsa di sini rosak teruk diterbang oleh angin, menambahkan kerosakan yang telah berlaku di rumah pangsa ini sebelumnya. Mangsa-mangsa berhimpun di Dewan bahagian bawah bangunan, berhampiran surau. Turut sama dalam kumpulan yang datang, ialah Tuan Haji Hanafi Ketua Cawangan Bukit Mewah, Tuan Haji Yusof Setiausaha, Tuan Haji Rushdi & Isteri, Dr. Subra Wakil Antarakaum Bukit Mewah, Ketua Blok A En. Ahmad Said, Puan Jamaliah Ketua Bahagian Wanita,
Encik Ahmad Said berucap ringkas dan berterima kasih kepada Mantan Adun Bangi yang sudi datang membawa peruntukan bagi penghuni-penghuni unit-unit yang mengalami kerosakan semasa ribut, iaitu 18 orang.


Mantan Adun Bangi memaklumkan, bahawa peruntukan ini telah diluluskan sebelum pembubaran Parlimen dan Dewan Negeri, tapi turun daripada Pejabat Daerah sedikit lewat. Kedatangan Mantan Adun membawa peruntukan yang diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa utama yang rumah atau unit mereka mengalami kerosakan. Tapi apa yang disampaikan tidaklah sebanyak mana dan tidak cukup untuk pembaikan. Mantan Adun memaklumkan Kerosakan ini telah diadukan (bertulis) kepada YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dan Exco Perumahan YB Iskandar dan menerima balas surat dari Unit Pengurusan Bangunan Strata bertarikh 3 April 2013 dengan pernyataan kerosakan bumbung amat kritikal dan meletakkannya sebagai tahap 2 dari 5 tahap kritikal. Kita berharap pihak bahagian perumahan negeri Selangor akan mengambil tindakan memperbaiki dengan segera.


Berikutnya Mantan Adun menyampaikan bantuan kepada 18 orang yang unit rumah mereka menjadi mangsa ribut, diikuti dengan bergambar ramai-ramai dan minum.


Sekian.

No comments:

Post a Comment