May 1, 2013

Melancarkan Kelas Tuisyen Rakyat Dun Bangi 2013

-->
BBB, 17 Jamadil Akhir 1434 = 28 April 2013 (Ahad):

Ini adalah merupakan tahun keempat sejak 2009 Pejabat Adun Bangi melancarkan Kelas Tuisyen Rakyat di bawah Dun Bangi anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Pelancaran Kelas Tuisyen Rakyat kali ini berlangsung di Sekolah Kafa Integrasi Istiqamah, Seksyen 16,  Bandar Baru Bangi pagi ini. Setiap tahun dibenarkan setiap Dun membuka tiga Kelas Tuisyen dengan jumlah pelajar peringkat SPM lebih kurang 100 orang. Pada tahun ini kelas yang dianjurkan bertempat di:


1)   Sungai Ramal Luar   -   Penyelaras Cik Eliza Suhana juga sebagai Ketua Penyelaras
2)   Kajang Utama           -   Penyelaras Cik Hasnah bt. Husin
3)   Seksyen 16 BBB       -   Penyelaras Cik Aisyah bt. Zainuddin

Jumlah guru yang terlibat dengan pengajaran ialah 10 orang dengan pelajar-pelajar berdaftar ialah seramai setakat ini baru berjumlah 73 orang. Hadir pada pagi ini 17 orang pelajar dengan 8 orang ibu bapa. Kelas adalah percuma bagi mengikuti pelajaran Metamatik, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Tetapi sejak tahun lepas Adun Bangi mengeluarkan peruntukan bagi tambahan satu lagi mata pelajaran, iaitu mata pelajaran Sains. Tambahan mata pelajaran sains ini diteruskan bagi tahun ini.


Menurut agenda program bermula dari jam 9.30 pagi itu dengan pendaftaran. Kemudian diikuti dengan Program Motivasi. Menurut saudari Eliza Suhana, pihaknya menjemput Syarikat Aura Imtiaz Training & Consultancy bagi mengisi dan menyampaikan motivasi yang dipimpin oleh Puan Hanisah Effendi selaku Motivator yang menurut Puan Hanisah beliau adalah merupakan keluaran UKM. Tema motivasi ``Membentuk Pelajar Cemerlang Lagi Salih.``


Mantan Adun Bangi dijemput melancarakan Kelas Tuisyen jam 12.00 tengahari, iaitu selepas menghadiri Majlis Insentif Pelajar Cemerlang dan Anugerah Kampung Keceriaan. Sebaik sesi motivari berakhir Majlis Perasmian dimulakan dengan Mantan Adun Bangi terus dijemput berucap.

Mantan Adun Bangi bersyukur dan mengucap terima kasih kerana Kelas Tuisyen Rakyat masih dapat diteruskan bagi tahun keempat. Mantan Adun mengucapkan selamat datang kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar yang dapat datang ke Majlis Perasmian Tuisyen Rakyat pada hari ini. Terima kasih juga kepada Saudari Eliza Suhana yang sanggup menjadi Ketua Penyelaras bagi kelas-kelas Tuisyen bagi tahun ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada dua orang penyelaras yang lepas, iaitu Cikgu Sakinah bt. Mohd Akhri dan Cikgu Aisyah Zainuddin. Banyak pelajar berjaya di bawah bimbingan mereka.


Mantan Adun Bangi menyatakan, bahawa Kelas Tuisyen Rakyat diadakan ialah bagi membantu pelajar-pelajar, terutama yang miskin untuk dapat mengikuti kelas tambahan, agar dapat sama membantu meningkatkan prestasi pelajar-pelajar, terutama di dalam peperiksaan SPM yang akan dihadapi pelajar-pelajar pada akhir tahun ini. Mantan Adun Setuju bahawa kecemerlangan matapelajaran tidak menjamin kejayaan masa depan, tanpa kecemerlangan dari segi syakhsiah, kerana ibu bapa mengharapkan pelajar-pelajar juga menjadi anak yang baik dan salih. Mantan Adun Bangi menyebut, bahawa pelajar-pelajar patut bersyukur kerana berada di Dun yang mementingkan ilmu – Bangi Bandar Ilmu dan berpeluang mendapat kemudahan mencari ilmu. Mantan Adun menyebutkan baru datang dari Majlis Kecemerlangan pelajar dengan Mantan Adun menyampaikan insentif kepada mereka. Ramai dari abang-abang pelajar berjaya dengan cemerlang di sekolah-sekolah menengah di Bandar Baru Bangi. Tentulah mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menghadapi pelajaran, lantaran itu mereka berjaya di dalam pelajaran. Mereka menjadi contoh bagi pelajar-pelajar dan pelajar-pelajar juga boleh menjejak langkah mereka mencapai kejayaan. Tetapi tanpa kesungguhan pelajar-pelajar tidak dapat mencapai kecemerlangan. Sesungguhnya masa masih banyak untuk belajar dan buat persediaan. Mantan Adun Bangi mengharapkan pelajar-pelajar juga akan mencapai kelulusan cemerlang.

Sebelum berpisah acara bergambar dengan pelajar-pelajar.

Sekian.

1 comment: