June 30, 2015

Lawatan TG Dato` Dr. Haron Din Ke Masjid Al-Umm


BBB, 12 Ramadhan 1436 = 29 Jun 2015 (Isnin):
Pagi ini jam 11.00 pagi, Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan juga Penasihat bagi Pembinaan dan Pengimarahan masjid Al-Umm datang melawat secara rasmi melihat perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Notis yang diterima kelmarin itu tentang hasrat TG melawat, walaupun dalam masa yang ringkas dapat dihadiri oleh sebahagian daripada AJK Induk, Teknikal dan Tapak. Hadir antaranya Pengerusi Induk Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi Teknikal Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad, Tuan Haji Mohd Nor Yasin Benbahari, Tuan Haji Suib Maulud Setiausaha, Tuan Haji Abdul Rahman Pengarah Pembinaan, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Pendidikan, Tuan Haji Marzuki Kontrektor, Sdr. Harizan Arkitek Urusbina, Tuan Haji Abdul Majid Sub-Kontrektor Majleza, Tuan Haji Abdul Latif Perunding Furniture dan AJK-AJK yang lain.


Ketibaan Dato` Dr. Haron Din tepat jam 11.00 pagi disambut di hadapan tangga kanan bangunan masjid oleh Pengerusi Induk, Tuan Haji Ishak, Dr. Tajul Ariffin, Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Mohd Nor dan beberapa yang lain. Selepas bersalam TG diiringi ke tangga dan berdiri di anjung tangga berkenaan, katanya, ``Ini pertama kali kunjungan saya secara rasmi,`` tapi menurutnya, ``Secara tidak rasmi saya pernah datang melihat dari luar sebanyak 4 kali dan masuk ke dalam sebanyak tiga kali.`` Tapi tambahnya,


``Melihat tanpa panduan, banyak ruang yang dilihat, tapi tidak tahu apakah fungsi ruang-ruang yang banyak yang masih lagi tidak teratur, kerana masih dalam pembinaan.`` Semasa ketibaan TG, kerja-kerja pemasangan tile masih dilakukan yang kerja-kerja berdepan dengan TG. Beliau diberi taklimat oleh Pengerusi Induk, bahawa kerja-kerja kubah sedang berjalan. Tiang-tiang yang menunggkat bahagian kubah masih belum dibuang. Beliau diberitahu, ``Sebab itu tile masih tidak boleh dipasangkan pada sebahagian ruang utama.`` Tuan Haji Abdul Majid Pengerusi Majleza, memaklumkan bahawa, kerja-kerja dekorasi dari dalam sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja dari Uzbakistan. TG menimbulkan pertanyaan, tentang kubah yang dipasang, apakah jika hujan tidak bocor ?` Menurut Tuan Haji Abdul Majid, ``Kubah terdiri dari tiga layer, tapi setakat ini bila hujan tidak bocor.`` Beliau juga menerangkan tentang struktur kubah, lampu yang dipasang yang menurutnya mudah disalin jika berlaku kerosakan.``


TG dibawa meninjau bahagian belakang dari aras utama, sedikit menurun ke bawah yang telah siap dipasang tile. Menurut Tuan Haji Abdul Rahman yang juga sama Haji Ishak selaku pegawai dari Tekad Nusantara, bahawa keluasan bahagian bawah  (belakang) boleh memuatkan sejumlah seribu orang. Tambah Penulis, ``Andainya Solat Idul Adhha tidak boleh guna ruang utama, boleh digunakan ruang belakang terlebih dahulu.``


Dari ruang belakang aras utama TG diiring ke ruang limpah sebelah kiri masjid, yang penulis beritahu, ``kawasan ruang lempah adalah kawasan tidak guna pendingin udara, bagi mereka yang tidak selesa dengan pendingin udara. Ruang terbuka bahagian hadapan dan belakang cukup dengan aliran udara biasa.  TG bertanya berapa ramai dapat memuatkan jamaah pada ruang limpah tesebut. Menurut Tuan Haji Abdul Rahman, ``Ruang lempah bagi sebelah kiri ini, dapat memuatkan 500 jamaah.`` Demikian tambahnya, ``Ruang lempah sebelah kanan yang TG mula-mula masuk tadi juga dapat memuatkan 500 orang. Sebab itu secara kasar bahagian ruang utama memuatkan 1,000 orang, kedua ruang lempah adalah 1,000 orang dan ruang pada bahagian belakang sebanyak 1,000. Secara kasar pada aras utama dapat memuatkan 3,000 jamaah.


TG bergerak ke bahagian depan ruang lempah dan bertanya kemungkinan bahaya jatuh ke bawah. Beliau dimaklumkan oleh pihak arkitek saudara Harizan, yang pada bahagian tepi akan dibina railing yang dapat menahan dari jatuh. Juga akan diletak tempat meletak Al-Qur`an pada bahagian hadapan.
Secara kebetulan TG berada di tepi tangga untuk ke tingkat satu, aras bagi muslimat, lantaran itu TG diiring naik ke aras satu bahagian muslimat. TG diberi maklumat oleh Tuan Haji Marzuki Kontrektor, bahawa progres pembinaan bahagian atas berjalan lancar, cuma tile tidak dapat dipasang bahagian tepi hadapan kerana masih ada tiang-tiang support bagi kubah. Menurut Tuan Haji Ishak Pengerusi Teknikal, ``Ruang bagi muslimat dapat memuatkan antara 500 hingga 600 orang``. Dari ruang muslimat TG ditunjukkan bilik-bilik bahagian belakang yang dipisah oleh lorong dari ruang muslimat dan jalan yang berhadapan jalan ini adalah empat bilik yang antaranya ialah bilik mesyuarat, tahfiz, perpustakaan dan bilik It. Pada pertengahan antara dua-dua bilik ialah ruangan kosong. Terdapat sebuah bilik yang agak luas pada sebelah kiri bagi aras satu ini ialah bilik persidangan yang boleh digunakan oleh muslimat dan juga kegunaan oleh pihak awam. TG diberitahu bahawa pada setiap tingkat mempunyai kemudahan bilik air dan juga tandas yang mencukupi, termasuk ada tempat-tempat wudhu` tambahan berdekatan dengan kawasan solat atau sidang yang tidak mmemerlukan pihak yang mau menggunakannya pergi jauh. TG juga diberitahu bahawa selain dari ada tangga kiri kanan untuk ke mana-mana aras , terdapat lif untuk kegunaan bagi warga mas muslimat dan juga bagi menaik dan menurunkan barang-barang. TG juga diberi maklumat tentang ruang-ruang kosong yang dilihat dari belakang ruang muslimat, iaitu kawasan taman mini, pada bahagian bawah, bukan saja bertujuan untuk istirihat, tetapi juga bagi kemudahan kemasukan cahaya dan juga udara.
Dari aras pertama muslimat TG dibawa turun ke aras bawah tanah, melalui tangga bahagian kanan, turun ke aras utama tempat TG mula-mula tiba dan turun lagi melalui tangga ke aras bawah tanah. Ruang bawah tanah ialah untuk majlis perkahwinan, perhimpunan, seminar dan sebagainya dalam jumlah yang besar.


Di bahagian bawah tanah ini TG dimaklumkan oleh Tuan Haji Abdul Rahman tentang pintu masuk utama sebelah menyebelah bagi ruang bawah tanah. Pada bahagian hadapan boleh digunakan sebagai ruang menyambut tamu. Bilik sebelah kanan ialah bilik untuk akad nikah dan boleh diguna juga untuk mesyuarat dan persidangan dalam jumlah yang kecil.


Tuan Haji Ishak Pengerusi Teknikal memberitahu, bahawa ruang bawah tanah boleh memuatkan  50 meja bulat yang bererti memuatkan 50 x 10 = 500 orang, tetapi jika majlis tanpa meja boleh memuatkan sehingga 1,000 orang. Bilik pada sebelah ruang masuk sebelah yang lain untuk dapur penyediaan makanan bagi majlis perkahwinan dan jamuan bagi sebarang perhimpunan. Penulis memaklumkan pihak masjid mungkin tidak dapat mnenyediakan kerusi meja sepenuhnya, kerana memikirkan masalah ruang untuk menyimpannya. Tapi TG mencadangkan agar diusahakan kelengkapan siap termasuk kerusi meja, kerana ianya memasalah kepada penyewa, jika terpaksa disewa dari luar. Menurut Dr. Tajul mungkin dapat menggunakan kerusi meja yang dapat dlipat yang dapat menjimatkan ruang atau kerusi meja yang terus dipasang dan tak perlu diubah-ubah. TG juga dimaklumkan bahawa ruang yang agak luas itu akan diadakan partition, yang jika jumlah tidak ramai akan dapat menggunakan sebahagian dan boleh digunakan dua majlis secara serentk. TG menanyakan soal penggunaan tenaga letrik bagi air-cond, adakah secara menyeluruh yang mungkin banyak menggunakan tenaga letrik dan tinggi dari segi bayaran. Beliau dimaklumkan Tuan Haji Ishak Pengerusi Teknikal bahawa, pihak majlis menggunakan kaedah split power yang boleh dikontrol untuk bahagian-bahagian tertentu. TG juga ditunjukkan bahagian benteng yang ditepinya akan dipasang pagar dan ada tangga pada bahagian tertentu untuk turun naik.
Selepas taklimat bagi aras bawah tanah Penulis dan semua yang menyertai naik tangga dari bahagian kiri dan naik ke atas di aras utama. Dari sini TG dibawa ke bilik mesyuarat (Bilik Tadika) bagi mengikuti Majlis Taklimat.

Sekian.

June 29, 2015

Masjid Al-Umm Dalam Misi Dan Visi Bangi Bandar Ilmu


BBB:  11 Ramadhan 1436 = 28 Jun 2015 (Ahad):
Cetusan bagi pembinaan Masjid Al-Umm tidak semata-mata membina masjid sahaja, tetapi ianya adalah  menjadi Pusat di Wadi Ilmu bagi misi dan visi Bangi Bandar Ilmu. Wadi Ilmu diberi nama, lantaran Masjid Al-Umm berada di lembah antara dua bukit yang kelilingnya mempunyai sekolah-sekolah, institusi-institusi pendidikan dan suaru-surau yang bukan saja sebagai institusi-institusi ibadat, tetapi giat menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan. Dengan keadaan sekarang, apa lagi jika berlaku penyelarasan, maka ketara semaraknya perkembangan keilmuan di Wadi Ilmu yang menjadi sebahagian dari Bangi Bandar Ilmu yang sekitarannya mempunyai belasan buah universiti dan pusat-pusat penyelidikan. Cetusan Bangi Bandar Ilmu berlaku sejak diadakan Majlis Sambutan 30 Tahun Bangi Bandar Ilmu  (1977-2007) yang berlangsung dari 30 Julai hingga 1 September 2007. Sambutan dan perasmian Bangi Bandar Ilmu telah dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Seri Putera, Bangi pada 22 Jun 2008. Beberapa tokoh akademik membentang kertas kerja mengenai konsep Bangi Bandar Ilmu seperti oleh Profesor Dr. Shaharir Md. Zin Profesor Matematik UKM dan Profesor Chamhuri Siwar Profesor Ekonomi  UKM.
Bagi menggerakkan Gagasan Bangi Bandar Ilmu ini beberapa kegiatan bagi menggarap idea Bangi Bandar Ilmu ini diadakan, iaitu antaranya menerbitkan buku:
Bangi Bandar Ilmu


Antara yang diperkatakan di dalam buku ini ialah Perutusan Menteri Besar yang merasa sukacita bahawa sejak beliau melancarkan motto `Bangi Bandar Ilmu` pada 22 Jun 2008, maka pengisian terus  dilaksanakan dengan berbagai kegiatan ilmu seperti seminar, forum, diskusi buku, pameran buku, pengajaran di masjid-surau, insentif kepada pelajar cemerlang, tuisyen, pertandingan mengarang pada peringkat tinggi dan menengah. Turut memberi pandangan Y.B. Pengerusi J/K Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Dr. Hajah Halimah Ali. Turut dimuatkan Perasmian dan Pelancaran Bangi Bandar Ilmu, Konsep Bangi Bandar Ilmu, Laporan seminar-seminar, Sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi, peranan masjid-surau, institusi pendidikn dan penyelidikan di sekitar Bandar Baru Bangi, Tokoh-tokoh ilmuan di Bandar Baru Bangi dan Pemikiran Bangi. Melalui buku ini diperjelaskan tentang konsep Bangi Bandar Ilmu.
Bagi mendapat gambaran tentang Bangi Bandar Ilmu dari kalangan masyarakat, maka sempena 3 tahun (Jun 2008-Jun 2011) diisytiharkan Bangi Bandar Ilmu dan Pejabat Adun Bangi menganjurkan Pertandingan Menulis Esei dan Puisi mengenai Bangi Bandar Ilmu. Anjuran pertandingan ini adalah sempena 35 tahun Bandar Baru Bangi. Sejumlah 8 esei dan 8 puisi dipilih dari karya-karya yang diterima dari berbagai peringkat yang terdiri dari tenaga pengajar di pusat-pusat pengajian tinggi, pelajar-pelajar dari dalam dan luar negera dan orang awam. Perisytiharan pemenang dan penyampaian hadiah dilakukan sempena Majlis Pelancaran Hari Ilmu Bangi pada 22 Jun 2012. Hasil dari peraduan ini berbagai pendapat dan contoh diutarakan oleh peserta-peserta yang memenangi pertandingan yang dapat dijadikan panduan sebagai pendekatan bagi mengolah konsep Bangi Bandar Ilmu. Kertas-kertas esei dan puisi yang memenangi peraduan menulis tentang Bangi Bandar Ilmu ini diterbitkan oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu (2012). Antara pendapat dari peserta yang memenangi hadiah pertama (sdr. Azman Maamor – Pelajar Ph. D luar negara pada masa itu, kini Pensyarah Sains Universiti Malaya):


``Bandar Ilmu boleh ditafsirkan sebagai sebuah bandar yang dibangunkan bagi menggalakkan pertumbuhan ilmu pengetahuan (Edvission, 2003). Takrif Bandar Ilmu juga dilihat sebagai satu penjenamaan bagi sesuatu kawasan yang melakukan aktiviti keilmuan dan kawasan tersebut boleh merangkumi zon sesuatu tempat (Dvir & Pasher, 2004).
Bandar Ilmu pula dilihat seolah-olah seperti sebuah tempat semaian antara ilmu dan budaya, yang membentuk adunan yang kaya antara teori dan praktikal di dalam persekitaran tersendiri. Adunan tersebut hanya boleh digerakkan oleh tenaga kerja berpengetahuan yang memiliki pengetahun yang kukuh dan pengetahun tersebut boleh disebarkan kepada orang lain (Work Foundation, 2002).
Bagi mengukuhkan pendapat tentang Bangi Bandar Ilmu dan contoh secara praktikal diadakan seminar `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` di Puri Pujangga, UKM pada 16 Sya`ban 1435H. bersamaan 14 Jun 2014 anjuran Sekteriat Bangi Bandar Ilmu dan Persatuan Pemuda Prihatin Bandar Baru Bangi. Di dalam  seminar ini dua kertas kerja dibentangkan. Satu kertas kerja yang menggunakan pendekatan makro yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri Rektor Kuis dan kertas kerja yang dibentangkan oleh Penulis dengan mengambil pendekatan mikro.
Pendekatan makro antaranya dengan melihat seluruh Bandar Baru Bangi sebagai sebuah `Practical Open University` yang memerlukan plan strategic jangka pendek dan panjang, pemantapan KPI dengan wujud AJK induk, AJK Pelaksana dan AJK Pemantau. Ianya memerlukan perancangan, pengurusan, kemudahan fizikal, tenaga kerja, kebersihan, sustainability dan pembudayaan. Bagi  kejayaan perlu ditubuhkan Yayasan Bangi Bandar Ilmu yang melibatkan banyak pihak di BBB dan perlu mempunyai pejabat beroperasi. Kemudahan yang diperlukan ialah perpustakaan, internet, ada Majlis Ilmu, ada pakej Ilmu dan Mou dengan pihak-pihak yang releven dan penubuhan sistem wakaf.
Manakala pendekatan mikro ialah bertolak dari pendidikan yang berpusat di masjid, dimaksudkan ialah Masjid Al-Umm sebagai pusat pengajian yang berada di Wadi Ilmu yang kelilingnya berbagai pusat pengajian termasuk masjid-surau yang dikombinasikan di dalam menggiatkan pengajian. Wadi Ilmu adalah juga sebagai kampus pengajian yang diperluaskan ke seluruh Bandar Baru Bangi melalui mekanime yang sama, iaitu masjid-surau yang lain yang berada di Bandar Baru Bangi. Pendekatan pengajian ialah campuran pengajian agama Islam dan keilmuan yang diperlukan dalam kehidupan, pengajian yang bersifat tradisi dan moden. Masjid menjadi pusat pengajian dan pelajar tidak terpisah dari segi pengajian dan ibadat di masjid.  Masjid mempunyai kompleks pendidikan berdekatan dengan masjid. Di sini wujud pejabat pentadbiran, perpustakaan, bilik-bilik kuliah, galeri, asrama dan kedai-kedai yang menyediakan kemudahan diperlukan pelajar. Pengajian bersifat harian mengikuti waktu solat, hujung minggu, pakej bersifat mingguan, bulanan, bahkan tahunan. Terdapat pengajian tahfiz, wanita dan usia mas yang bersifat pondok moden. Pihak pengajian mempunyai guru-guru dan pakar-pakar dalam bidang-bidang berkaitan. Antaranya mempunyai kerjasama dengan pengajian-pegajian luar. Pendekatan ini merupakan pengukuhan dan perluasan terhadap pengisian dan pengimarahan Masjid Al-Umm. Pengajian disaran mempunyai harta wakaf dan seboleh-bolehnya berdikari. Bagi menjayakannya masjid dan pengajian mempunyai AJK yang berwibawa dan berdedikasi bagi kemajuan masjid dan pengajian. Masjid dan pengajian diharap mengorientasikan penduduk, khususnya pelajar-pelajar menjadi mereka yang terdidik, berilmu dan berakhlak sama mengukuhkan masyarakat berilmu di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

June 28, 2015

Pengisian Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm: Takmilah


BBB, 10 Ramadhan 1436 = 27 Jun 2015 (Sabtu):
Pembangunan fizikal adalah merupakan fasa awal pengwujudan sesebuah masjid dan pembangunan fizikal semata-mata tidak memberi makna bagi sesebuah masjid. Melengkapi sesebuah masjid ialah pengisian dan pengimarahan yang menepati fungsinya sebagai sebuah masjid. Masjid adalah institusi yang amat penting di dalam masyarakat umat Islam. Ianya bagai rumah kedua bagi kalangan masyarakat Islam yang mencerminkan bahawa selain dari menggunakan masa di rumah, maka di masjidlah masa dihabiskan bagi menunaikan ibadat seperti solat dan berbagai ibadat serta kegiatan kemasyarakatan. Pentingnya masjid di dalam masyarakat umat Islam dapat dilihat dalam sejarah Islam. Berikut dari Hijah Rasul s.a.w. baginda memberi perhatian utama terhadap masjid. Masjid pertama didirikan oleh Baginda sebaik tiba di Madinah, ialah Masjid Quba` diikuti dengan pendirian Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Fungsi masjid secara sepesifik dapat difahami dari firman Allah yang bermaksud:


``Hanya sanya yang (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan orang-orang yang mendapat pertunjuk.`` (Al-Taubah: 18).
Bagi menegakkan fungsi masjid Rasulullah menggunakan masjid sebagai tempat ibadat, pendidikan, pentadbiran, pertahanan dan kegiatan kemasyarakatan.
Masjid di dalam tamadun dan peradaban umat Islam terus menerus menjadi pusat kegitan ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan umat. Di mana ada umat Islam maka di sana didirikan masjid. Masjid adalah berfungsi sebagai pusat ibadat, mengajar dan mendidik umat dengan keilmuan, pendidikan dan akhlak keislaman serta berbagai kegiatan kemasyarakatan. Masjid mengorientasikan masyarakat umat dengan falsafah keyakinan tauhid, berpandangan wujud dengan keilmuan Islam dan bermasyarakat dengan nilai dan akhlak keislaman yang mensejahterakan sebagaimana tercermin di dalam istilah Islam itu sendiri. Bagi mendukung dan menegakkan fungsi masjid, maka sepanjang zaman dan berterusan bangunan masjid didirikan dengan berbagai bentuk menurut pengaruh setempat dan berciri universal bersatu mengadap kiblat dan sama mendukung fungsi masjid sebagaimana diperkatakan.
Dilihat dari segi mendirikan masjid dari segi fizikal dan pengisian serta  pengimarahan masjid secara Takmilah ada fokus penumpuan.
Rajah  I :   Fokus Pembinaan Masjid Dari Segi Fizikal



Rajah satu ini memperlihatkan bahawa mendirikan masjid adalah menurut nilai Islam yang boleh diolah sebagai berfalsafah tauhid, bernilai Islam dan institusi penting umat Islam.
Tapi bagi mencapai tujuan masjid sebagai institusi bernilai tauhid/Islam memerlukan individu dan jamaah berkeilmuan. Di dalam konteks Masjid Al-Umm merujuk kepada AJK masjid, arkitek, kontrektor dan perunding-perunding yang mendalami dalam berbagai bidang seperti keilmuan Islam, arkitek, matematik, seni, elektrikal, ukur bahan, jabatan-jabatan berkaitan dan bidang-bidang lain yang berkenaan, melalui gabungan dan kepakaran dan melalui mesyuarat-mesyuarat berterusan menghasilkan dapatan dan persetujuan yang membawa kepada perlaksanaan pembinaan. Bidang estetik  adalah bidang penting di dalam seni bina. Dia bukan saja bersifat ilmu, tetapi mempunyai kemampuan seni, daya sentuhan, imaginasi, kreativiti dan inovasi yang menghasilkan sesuatu yang bersifat seni yang asli, segar dan menarik serta memukau. Tidak ramai yang dapat mencapai taraf ini, walaupun dia mempunyai ilmu kesenian. Elemen-elemen seni yang terhasil pada Masjid Al-Umm hasil dari pengalaman seni yang dilalui oleh mereka yang mempunyai keilmuan dan sentuhan seni. Hasil kesenian pada masjid Al-Umm yang asli dan origin amat sedikit. Selebihnya adalah tiruan dan pengaruh dari hasil-hasil dari kalangan seniman seni muslim terdahulu dan kita adalah bersifat meniru dan mengangkat dari yang lepas yang mungkin melakukan perubahan dan tambahan di sana sini.
Rajah II:   Pengisian dan Pengimarahan:


Kalau pembinaan masjid dari segi fizikal dalam rajah pertama ialah tertumpu kepada penghasilan bangunan fizikal masjid, maka bagi pengisian dan pengimarahan masjid ialah tertumpu kepada individu dan jamaah bahkan masyarakat yang beribadat, mengikuti pengajian dan berbagai-bagai kegiatan masjid yang mereka diharap dapat ditingkatkan dari segi ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan. Jamaah yang terdiri dari berbagai individu terdidik ini akan menghasilkan satu jamaah atau masyarakat berilmu yang bukan saja memperbaiki dan meningkat diri, tetapi juga memperbaiki masyarakat dengan ilmu, berakhlak dan hidup secara aman damai dan tenteram berada di dalam suasana yang difatkan baldah tayyibah wa Rabbun Ghafur.
Bagi menghasilkan masyarakat yang seumpama ini memerlukan imam, guru, murabbi, muallim, ustaz dan ilmuan yang pakar di dalam bidang-bidang khusus dan mereka bertugas mengajar individu dan jamaah di dalam bidang-bidang yang disusun secara teratur. Dari guru-guru yang berkeilmuan tinggi, berdedikasi dan tekun mendidik diharap insya Allah dapat menghasilkan individu dan jamaah berkeilmuan, berpendidikan dan berakhlak tinggi yang hidup dalam masyarakat yang harmoni. Mereka juga penerus di dalam membangun dan mengimarahkan masjid secara berterusan.
Bagi menghasilkan tujuan murni di atas perlu ada kelompok sebagai modal insan yang mampu mentadbir, menjana idea bernas dan mengaplikasikan di dalam pentadbiran sehingga masjid bukan saja banyak dengan keimuan dan kurikulum yang disusun, tetapi masjid terus diimarah dengan segala kegiatan. Ianya menjadi institusi yang menjadi tarikan bagi khalayak menghadirinya, lantas masjid berterusan hidup dan makmur.
Selain dari pembelajaran secara akli melalui ibadat menjadikan jiwa patuh, khuduk dan merasa manis beribadat yang merupakan sentuhan rohani yang tinggi. Melalui pengajian menimbulkan kecintaan terhadap ilmu dan mempelajari ilmu adalah merupakan suatu kelazatan yang tinggi. Melalui didikan keilmuan dan kerohanian membentuk nilai yang tinggi dan  memupuk kasih sayang dan ukhuwwah di dalam masyarakat sehingga terbentuk satu masyarakat berkeilmuan yang patuh mesra beribadat dan mewujudkan masyarakat yang harmoni, maju dan berakhlak.
Pengwujudan masjid dari segi fizikal dan pengisian dan pengimarahan membentuk masyarakat muslimin yang menjunjung, mengamal dan hidup di tengah masyarakat dengan nilai Islam yang mencerminkan ketinggian tamadun dan peradaban umat Islam itu sendiri.

Sekian.

June 27, 2015

Menuju Takmilah Fizikal Masjid Al-Umm: Rumusan


BBB, 09 Ramadhan 1436 = 26 Jun 2015 (Jumaat):
Setakat ini pembicaraan telah dilakukan terhadap aspek pembinaan fizikal  Masjid Al-Umm. Sebelum masuk kepada pembicaraan mengenai aspek `Pengisian dan Pengimarahan` yang merupakan matlamat penting yang lebih utama dan berterusan, maka dilihat kembali secara rumusan terhadap perkara-perkara penting daripada apa yang telah dibincangkan.
Pembinaan Masjid Al-Umm adalah bermula dan bertolak dari `niat murni` AJK yang diamanahkan bagi mendirikan Masjid Al-Umm sejak 2010 di atas tapak yang telah tersedia di Jalan ¼ BBB. Urusan mendapat keizinan dari pihak berwajib seperti kebenaran dari Pejabat Tanah, MAIS dan JAIS diusaha mendapat keizinan. Antara tahap penting yang dilakukan untuk mendapatkan sumber kewangan ialah pelancaran Tabung Masjid Al-Umm setelah mendapat keizinan MAIS pada Sabtu 19 Mei 2012 dan lawatan tapak oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013.


Pembinaan fizikal Masjid Al-Umm oleh Tekad Nusantara bermula dari 10 Disember 2013 sebaik mendapat kelulusan dari pihak MPKj dan penentuan arah Qiblat (2.1.2014) dilakukan. Plan pembinaan adalah berdasarkan kepada plan arkitek Urusbina Sdn. Bhd. Perjalanan pembinaan adalah di bawah pengawasan AJK Induk Pembinaan Masjid Al-Umm yang menubuhkan di bawahnya AJK Teknikal (2013) dan AJK Tapak (2014). AJK Induk, Teknikal dan Tapak merupakan agen yang berperanan memperbaiki plan arkitek yang pada asalnya merupakan masjid dua tingkat menjadi tiga tingkat, kedudukan bumbung yang pada asalnya lebih kelihatan rata kepada kedudukan yang lebih curam sesuai dengan iklim tempatan yang sering hujan. Ciri seni bina Islam adalah seni bina dominan bagi pembinaan masjid Al-Umm, seperti  peningkatan dan penambahan bentuk kubah kepada yang lebih menarik. Begitu juga dengan kedua menara menjadi lebih tinggi dari cadangan asal (70 kaki). Penambahbaikan juga berlaku terhadap mihrab yang asalnya berkedudukan tergantung (berdasarkan plan dua tingkat) kepada semua tingkat bermihrab. Penambahbaikan berlaku terhadap ruang-ruang pada tingkat bawah tanah, di aras utama dan aras satu yang setiap bilik mempunyai fungsi tersendiri. Peningkatan dan penambahbaikan berlaku pada bilik air, tandas dan bilik jenazah. Turut menyerikan masjid dari segi bentuk tiang, pintu, tingkap dan jendela yang mengambil bentuk lengkung tunduk yang lumrah sebagai imej seni bina Islam. Turut disempurnakan bahagian luar masjid yang lanskap dan seni taman adalah bersesuaian dengan falsafah senibina Masjid Al-Umm.
Takmilah ialah bertolak dari falsafah Yang Abadi bersifat Kamal dan Jamal. Pada segala yang dicipta tercermin sifat-sifat ini dan pada yang kena cipta, khususnya insan merindukan sifat-sifat ini, lantaran itu ianya dengan daya kreativiti dan inovasinya ingin menghasilkan sesuatu yang sempurna dan indah termasuk meniru dan berkreatif dan berinovasi menghasilkan sesuatu yang dihasilkan.
Konsep perubahan dan penambahbaikan adalah merupakan proses Takmilah yang sebelumnya ditarafkan kepada tidak memuaskan kepada reka bentuk, kreativiti dan inovasi yang lebih sempurna, indah, baik dan tinggi mutunya. Di dalam melihat konsep penambahbaikan ini ciri penting Takmilah, bahawa tiap aspek Takmilah mempunyai piawayan tertinggi sama ada boleh dicapai atau tidak boleh dicapai (ideal). Ini merupakan elemen positif bagi Takmilah, bahawa Takmilah mendorong kepada peningkatan ke arah yang lebih sempurna, indah dan baik -  peringkat tersempurna yang dapat.
Di dalam melihat kepada Masjid Al-Umm dari segi Takmilah elemen perbandingan, peniruan, kreativiti dan inovasi banyak digunakan. Perbandingan yang dibuat bagi Masjid Al-Umm ialah elemen Islam yang paling dekat. Lantaran itu sejak dari awal penulisan mengenai pembinaan Masjid Al-Umm ini, masjid-masjidlah menjadi contoh yang paling utama bagi Masjid Al-Umm dan masjid-masjid yang paling utama ialah Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Haram di Makkah. Meskipun penulis telah beberapa kali ke Madinah dan Makkah, tetapi pemergian mutakhir April 2015, sebagai orang terlibat dengan Masjid Al-Umm, maka pemergian memberi perhatian terhadap masjid-masjid di kedua-dua Tanah Suci dan sekitaran. Lantaran itu di dalam pembicaraan Masjid Al-Umm banyak Penulis mengambil pendekatan membandingkan elemen-elemen Masjid Al-Umm dengan terutama Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram di samping perbandingan dengan masjid-masjid yang lain secara releven. Penulis melihat dari segi seni, tidaklah wajar berlaku peniruan seratus peratus elemen di satu  masjid dengan masjid yang lain, lantaran tiada keaslian dan yang meniru tidak ada identiti tersendiri. Sebaliknya sebagai hasil seni pula tidak lari dari berlaku unsur peniruan dan keaslian kreativiti dan inovasi yang mencirikan keaslian dan asimilasi penghasilan.
Di dalam konteks Masjid Al-Umm banyak elemen yang dapat dilihat secara perbandingan. Misalnya pihak sub-kontrektor membina Kubah Masjid Al-Umm – Majleza, membandingkan kubah Masjid Al-Umm adalah seperti (ditiru?) dari Masjid Sultan Qabus, tapi Penulis menegaskan bahawa bentuk Kubah Masjid Al-Umm adalah berbentuk separuh bujur telur yang mengambil elemen tempatan dan alamiah. Penulis melihat, jika pun ada persamaan ia adalah mirip kepada Kubah Masjid Al-Sakhra` di Baitul Maqdis, perbandingan yang lebih istimewa dan lebih dekat dengan elemen kudus di Tanah Quddus. Begitu juga di dalam melihat menara Masjid Al-Umm bahagian bawah ada mirip bentuk menara Masjid Nabawi, tetapi pada bahagian puncaknya sengaja ditiru dari bentuk mutakhir menara Masjid Al-Haram. Jadi tidak ada kesamaan antara menara Masjid Al-Umm dengan kedua-dua menara di kedua Tanah Suci, tetapi menara Masjid Al-Umm mempunyai identitinya yang tersendiri.
Satu elemen yang menjadi ciri universal bagi masjid-masjid ialah bentuk lengkung tunduk yang melambangkan sifat lembut, tunduk dan khuduk. Elemen-elemen ini banyak digunakan pada seperti pintu, tingkap, jendela dan ruang-ruang yang sesuai, maka elemen-elemen ini banyak digunakan di Masjid Al-Umm baik di pintu, tingkap, jendela, pintu gerbang dan sebagainya. Begitu juga satu bentuk lagi ialah bulat yang mencerminkan kesempurnaan dan kebenaran. Bentuk ini banyak digunakan dalam seni bina masjid, maka Masjid Al-Umm juga banyak menggunakan elemen-elemen bulat ini seperti pada tiang, kubah, menara dan sebagainya. Pendek kata Masjid Al-Umm mempunyai ciri dan identiti tersendiri, di samping mempunyai elemen-elemen persamaan dengan ciri-ciri masjid-masjid yang lain. Ianya merupakan sesuatu yang lumrah bagi seni bina masjid dan ia adalah Takmilah bagi Masjid, khususnya bagi Masjid Al-Umm.


Di dalam kembara menuju Takmilah ada pertembungan-pertembungan yang dianggap tidak wajar, kesilapan atau ketidak sengajaan yang perlu ditegur, diingatkan dan perlu diperbaiki yang mana ianya merupakan proses Takmilah. Misalnya beberapa kali berlaku di dalam memasang tingkap atau dekorasi di kubah lahir bentuk `cross` yang memberi imej yang tidak cocok dan tidak menyenangkan bagi masjid, maka ianya perlu ditegur, bahkan sampai berkali-kali sehingga kesilapan atau ketidaksengajaan itu diperbaiki. Keadaan berlaku misalnya dengan letak mimbar, mihrab dan dekorasi yang tidak sesuai, maka dari awal dicadangkan agar diubah sopaya tidak menimbulkan kontroversi. Keadaan yang sama juga misalnya setelah berlakunya pembinaan dan progress dengan baik termasuk pembayaran yang dibuat, sebaliknya apabila dilihat cadangan kos tambahan mendadak tinggi lebih dari kewajaran, maka dari awal dicadang diambil ingatan dan dicadang langkah-langkah berjimat dan berhemah di dalam peruntukan perlu diambil agak tidak membebankan masjid dan dipersoal oleh masyarakat, maka teguran dan cadangan ke arah menjimatkan kos dan perbelanjaan berhemah adalah merupakan proses Takmilah.


Satu keistimewaan di dalam penggunaan pendekatan Takmilah bagi Masjid Al-Umm bahawa ianya digunakan bukan saja menilai sesuatu yang telah siap dan sempurna, tetapi proses Takmilah juga adalah melihat di dalam pembangunan yang sedang berjalan yang pembinaan ini terus berada di dalam penilaian AJK Induk, Teknikal dan Tapak dan berlaku pengubahsuaian di dalam menuju Takmilah. Ini bermakna Takmilah digunakan di dalam menilai proses menuju Takmilah. Juga bererti sebahagian dari perkara-perkara yang perlu dibaiki dapat dilakukan sebelum berlakunya kesilapan atau berlakunya kesilapan dapat dibaiki sebelum ianya terhasil pada peringkat mutakhir secara silap. Ia adalah merupakan proses Takmilah berganda di dalam memastikan ianya mencapai piawayan terbaik dari segi Takmilah, lebih-lebih selepas Masjid Al-Umm benar-benar siap.

Sekian.

June 26, 2015

Perlu Berjimat Cermat Bagi Perbelanjaan Masjid Al-Umm


BBB, 08 Ramadhan 1436 = 25 Jun 2015 (Khamis):
Dalam apa keadaan, walaupun tidak dalam kesempitan, apa lagi jika dalam kesempitan amalan berjimat cermat adalah sikap yang baik dan dipuji. Di dalam konteks pembinaan Masjid Al-Umm, pada peringkat permulaan keputusan membina Masjid Al-Umm (2010) dianggarkan kos bagi pembinaan Masjid berkenaan RM10 juta. Apabila pembinaan bermula (2013) kos adalah naik kepada RM12 juta. Atas dasar kos inilah apabila Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibarahim Menteri Besar Selangor pada masa itu melawat tapak Masjid Al-Umm pada 6 Januari 2013 menjanjikan bahawa kerajaan Negeri Selangor akan menampung perbelanjaan pembinaan Masjid Al-Umm atas dasar dapatan RM1.00 akan disumbang RM1.00 sehingga jumlah sebanyak RM6 juta (sumbangan). Janji ini memberi semangat kepada AJK Pembinaan Masjid Al-Umm bekerja keras mencari dana hingga melebihi dapatan bagi jumlah yang dijanjikan.


Kita bersyukur kepada Allah dengan keyakinan masyarakat kepada AJK Pembinaan dan mereka terus menderma sehingga hampir kepada jumlah target pembinaan dan melihat kepada kemajuan pembinaan fizikal, maka bentuk fizikal bangunan kini mencapai 75% siap. Namun hingga ke akhir Jun 2015 dalam mana dua bulan lagi seharusnya bangunan siap setelah tertangguh dari Mei 2015, maka ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian oleh Masjid Al-Umm.
Pertama sekali ialah dari segi peruntukan bagi pembinaan dalam keadaan semua barang naik harga dan kena cukai GST adakah jangkaan peruntukan mencukupi. Kita berterima kasih kepada masyarakat, khususnya kepada penderma-penderma yang menderma sehingga menghampiri jumlah target asal RM12 juta (hingga akhir April 2015 berjumlah RM10,519.076.97) dan kita yakin mereka terus menderma sehingga kepada jumlah yang ditargetkan. Di atas keyakinan inilah kita mampu meneruskan pembinaan sambil menunggu janji pemberian kerajaan negeri diperturunkan. Namun dalam keadaan sekarang, progres pembinaan terus berjalan dengan harga barangan makin meningkat dan kewangan makin berkurang, maka dalam kita berharap kepada penerusan sumbangan, maka untuk mengelak dari kekeringan (perbelanjaan telah dibuat hingga akhir April 2015 ialah RM7,238,089.10), maka tindakan yang harus diambil tidak lain dari langkah berjimat cermat sebelum benar-benar berlaku kegawatan dan kesempitan.


Antara tindakan yang harus diambil ialah menilai kembali cadangan-cadangan yang dibuat oleh syarikat-syarikat melalui recommend pihak perunding Masjid Al-Umm agar  harga-harga dapat dikurangkan. Contoh kos bagi pemasangan pendingin udara yang dicadang oleh syarikat baru yang nampaknya tidak begitu faham dengan situasi masjid. Jika pihak consultan menampilkan syarikat yang kurang meyakinkan, maka adalah lebih baik kembali kepada cadangan asal yang memasang sistem tersebut pada bahagian-bahagian lain. Sudah tentulah dengan datang syarikat baru dan penawaran baru, biasanya makin meningkatkan kos. Sebenarnya tawaran-tawaran baru yang mendatang satu demi satu yang sepatutnya sudah ditetapkan pada peringkat awal pembinaan, pada umumnya akan meningkatkan kos. Pihak kosultan seharusnya selalu berusaha dan seharusnya dari awal memastikan pihak Masjid Al-Umm mendapat faedah, khususnya dari segi pengurangan kos. Barangkali akan ada lagi syarikat-syarikat datang menawarkan kepakaran mereka di dalam berbagai perkara yang seharusnya tidak terus dibawa kepada pembentangan tanpa perundingan terlebih dahulu sebelum mereka dibawa bagi pembentangan.
Langkah kedua ialah memberi prioriti terhadap mana yang lebih penting bagi mengejar masa perlu siap dan dapat digunakan pada Ogos 2015. Sebenarnya kegiatan dan pengimarahan masjid tidak dapat dilakukan dengan serentak dan seharusnya memberi priority kepada yang penting, maka kegiatan yang patut diawalkan diberi keutamaan dan yang mana patut ditakkhirkan diakhirkan. Dalam hal ini banyak bahagian yang tidak memerlukan kepada kesegeraan dan dapat ditangguh dan dapat diselamatkan peruntukan dari dibelanjakan, khususnya dalam keadaan kesempitan kewangan. Sebagai contoh alat-alat perabut di dalam bilik akad nikah, bilik mesyuarat dan bilik tahfiz boleh dikemudiankan, bahkan dapat dikurangkan dari segi kemewahan kepada perabut-perabut jenis sederhana. Begitu juga kerusi meja di tingkat bawah tanah. Mereka yang menyewakan boleh diminta menyewakannya dari luar. Begitu juga bagi ruang permainan dan rehat tidak perlu diutamakan. Kita melihat bahawa landskap dan seni taman sepatutnya tidak perlu kepada perunding luar. Keperluan yang begitu kecil dengan ruang yang terhad sebenarnya dapat dipenuhi cadangan dan keperluan dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Begitu juga jalan dan kawasan depan pintu gerbang masjid tidak perlu dipasang dengan tile, kerana dengan masuknya kenderaan akan cepat rosak, tidakkah memadai dengan tar biasa yang tahan dan mudah dari segi maintenance ?
Adalah diharapkan dengan langkah berjimat cermat dan tidak untuk menunjukkan kehebatan dan kecanggihan kita dapat mengawal sebahagian dari kos yang meningkat sehingga dijangka naik kepada lebih RM18 juta itu. Sesungguhnya ada kalangan masyarakat yang mempersoalkan dengan kos mendadak naik dan kos item-item yang dipamerkan dan derma yang terus diharapkan. Kita seharusnya menghormati mereka yang terus menderma dan membelanjakan dengan secara sederhana dan  berjimat cermat. Kita memahami dengan peningkatan kos, tapi seharusnya lebih bercermat. Mungkin wajar jika kos naik, seharusnya dalam lingkungan RM15 juta, tetapi tidak melonjak kepada pertambahan satu pertiga lagi dari kos asal. Kita tidak mau dipersoalkan hasil yang dapat disaksi dengan kos yang dianggap tinggi.


Perlu diingat kita membina masjid bukan setakat bangunan fizikal yang dapat disaksi, tetapi ada yang lebih penting dan memerlukan peruntukan yang lebih bersifat berterusan dan harus juga disediakan ialah berhubung dengan pengisian dan pengimarahan. Jika dua bulan lagi tempoh berbaki untuk digunakan Masjid Al-Umm, maka persediaan dari segi tenaga yang menggerakkan pengimarahan, imam-imam, guru-guru, kurikulum pengajaran, kursus tahfiz dan berbagai persediaan yang lain seharusnya sudah berada di dalam persediaan. Semuanya ini memerlukan peruntukan yang berterusan dan seharusnya diberi keutamaan.
Sebenarnya dengan tempoh masa berbaki dua bulan lagi, dengan bahagian-bahagian utama dari pembinaan masjid masih belum disentuh apa lagi untuk disiapkan, dengan lonjakan keperluan kepada tambahan kewangan dan keperluan kepada pengisian dan pengimarahan meletakkan kita dalam keadaan kritikal. Walau apa pun kita perlu atasi semua ini. Pihak yang terlibat dengan pembinaan perlu menjadualkerja agar dapat disiapkan keperluan-keperluan dalam tempoh yang ditetapkan. Pengisian dan pengimarahan sebagaimana pernah dibincangkan  hendaklah mampu diterjemahkan kepada realiti apabila tempohnya tiba nanti. Bahagian kewangan di samping mengharapkan terus sumbangan dari orang ramai seharusnya menyusun plan berjimat cermat, memotong mana yang tidak perlu, mengurangkan mana yang patut dikurangkan, meninggalkan mana yang tidak diperlukan dan berjimat cermat dari segi perbelanjaan dan mengutamakan kesederhanaan dari memperlihatkan kemewahan yang sebenarnya tidak dituntut oleh Islam.

Sekian.

June 25, 2015

Landskap Dan Seni Taman Masjid Al-Umm


BBB,  07 Ramadhan 1436 = 24 Jun 2015 (Rabu):
Sebagaimana telah dibincangkan, bahawa kawasan bagi Masjid Al-Umm adalah sempit (1.9 ekar), hampir keseluruhan ruang adalah dipenuhi bangunan fizikal masjid. Yang tinggal sedikit tanah berbentuk U sekeliling masjid. Yang kosong adalah pada bahagian permulaan masuk antara pagar dan pintu gerbang masjid dan baki adalah jalan susur keluar kiri kanan ke jalan depan medan parkir Jalan ¼ BBB. Sedikit tambahan ialah tanah sempit antara mihrab ke tepi tembok berdepan masjid. Inilah tanah dan ruang luar dari binaan masjid yang ada yang melibatkan landskap dan seni taman masjid. Boleh dimasukkan bagi landskap ialah jalan masuk dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan dan Jalan berhadapan dan bersebelah medan parkir ¼. Sebenarnya dengan kerja-kerja pembangunan dan melibatkan kawasan dan kerja-kerja tanah oleh pihak kontrektor dengan sendiri telah melibatkan landskap kawasan tanah masjid. Apa lagi dapat dikreatifkan dari segi landskap tanah selain dari tanah di hadapan pintu gerbang masjid yang sedang diratakan bagi membuat tembok bersempadan dengan jalan ke Dewan Orang Ramai dan jalan kiri kanan turun ke jalan dari hadapan masjid bersebelahan dengan medan parkir 1/4 ? Yang perlu dilakukan selepas meratakan medan depan pintu gerbang masjid dan memastikan kecerunan dan kemampatan terbaik bagi jalan kiri kanan keluar ke hadapan Jalan ¼, ialah merata dan mengetarkan keseluruhan permukaan ruang tersebut, kecuali bagi penanaman pokok, tetapi bagi setengah tanaman lebih sesuai di dalam bekas (pasu atau tempayang besar) dan mudahalih, sesuai dengan kawasan ruang yang sempit. Cuma bagi jalan turun bersebelahan rumah sub-station TNB perlu dibina benteng rendah antara tebing jalan dengan sub station ini, supaya elak dari runtuhan dan hakisan. Ada cadangan jalan ini ditutup bagi kenderaan, tetapi wajar dibuka sebagai jalan pejalan kaki bagi mengatasi kesesakan keluar-masuk apabila ada majlis-majlis keraian, perkahwinan dan persidangan. Adalah dicadangkan, jalan masuk utama ke Masjid dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan, perlu dilebar dan dinaiktaraf, iaitu bermula dari mula permukaan masuk ke pintu masuk utama Masjid. Pembaikan, perluasan dan penaikan taraf juga perlu dilakukan jalan hadapan masjid bersempadan dengan kawasan parkir Jalan ¼. Tempat parking di bawah cable TNB di hadapan jalan masuk utama juga hendaklah dirata dan ditarkan sebagai tempat parkir yang standard.


Dari segi seni taman, sebagaimana dikatakan tidak banyak ruang yang dapat dihijaukan dengan pokok-pokok bunga dan perlu diingat format seni taman ini dapat diubah kedudukan dan jenis tanaman dari satu masa ke satu masa, jika diperlukan bagi mengubah suasana dan pandangan. Ada beberapa pendekatan yang boleh diambil, iaitu:
Kalau mau dilihat dari segi keharmonian berdasarkan konsep seni bina Masjid Al-Umm yang antaranya menggunakan pendekatan yang kita istilah `Belah Dua` di mana dengan melalui bahagian tengah bahawa bahagian kiri dan kanan mempunyai persamaan. Apa yang ada pada sebelah kiri ada sebelah kanan, contoh bilik wudhu` dan tandas ada pada bahagian kiri dan kanan di aras utama dan aras pertama, pada aras utama ada bahagian lempah pada sebelah kiri dan kanan, juga bilik-bilik pada aras pertama ada dua buah bahagian kiri dan kanan. Demikian juga dengan jendela dan pintu berjumlah sama pada sebelah menyebelah,  maka konsep bersamaan dengan sebelahan ini dapat diaplikasikan juga pada seni taman kawasan Masjid Al-Umm, misalnya pada bahagian masuk dari jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan, maka pada permulaan jalan yang harus dinaiktaraf itu ditanam misalnya dengan jenis pokok palma, pada bahagian pintu masuk utama ke masjid juga ditanam dengan pokok dua serupa kiri kanan menurut kesesuaian. Pada kiri kanan jalan masuk ini ditanam dengan pokok-pokok bersesuaian. Begitu juga Konsep dua pokok sama sebelah menyebelah ini juga ditanam di hadapan pintu masuk sebelah kanan dan kiri berdepan dengan jalan ¼ ke jalan sekolah. Paling penting dua pokok bersamaan kiri kanan ini ialah pokok yang ditanam sebelah menyebelah di hadapan mihrab. Adapun pada lokasi-lokasi yang lain di mana bersesuaian ditanam dengan pokok-pokok yang munasabah dan menarik pandangan.


Kewujudan tembok yang agak tinggi dapat dikira sebagai satu aset kepada masjid. Sebahagian dari tembok ini, katakan sebahagian dari sebelah kiri dan kanan atau sebelah sahaja  dapat dijadikan ruang bagi iklan bersopan yang dikenakan bayaran kepada pengguna sebagai sebahagian dari punca kewangan masjid. Adapun bahagian tembok utama dapat diharmonikan dengan suasana keliling. Misalnya dapat menghijaukan pandangan dalam mana di hadapan tembok ini ditanam dengan pokok-pokok – termasuk pokok bunga renik, manakala pada tembok pada bahagian belakang dilukis dengan pandangan taman yang teratur seolah-olah bersambung dengan taman bunga pada bahagian depan. Begitu juga ianya seolah-olah bersatu dengan taman bahagian atas dari tembok yang menampakkan sebagai benar-benar taman. Boleh juga digambarkan di dalam lukisan anak-anak sedang membaca di bawah rimbunan pokok-pokok yang dengannya bersesuaian dinamakan `Taman Ilmu`, maka ianya bersesuaian dengan antara kegiatan di masjid ialah menyebarkan ilmu pengetahuan keislaman. Secara tidak langsung gambaran taman ilmu, sesuai dengan maksud Hadith yang menyatakan kegiatan mengajar ilmu seperti di masjid adalah merupakan sebagai salah satu daripada taman-taman syurga. Hadith berkenaan dapat dijadikan latar pada papan iklan pada bahagian atas kawasan bertembok sebagai  iklan yang mengajak orang menghayati pengajaran yang disampaikan di masjid. Selain dari gambaran taman – taman ilmu  pada tembok dapat diubah dari masa ke semasa gambaran, misalnya bangunan masjid ditepi tanah tinggi merupakan sebagai bahtera yang sedang berlabuh di dermaga. Untuk diubah sekali sekala mungkin tembok dilukis sebagai gambaran lautan dengan kepal sedang membelah lautan. Gambaran melambangkan kehidupan yang fana ini sebagai pelayaran menuju destinasi – Akhirat. Ayat Qur`an dan Hadith yang menggambarkan kehidupan adalah sementara dan menuju kepada kefanaan dipaparkan pada papan iklan di atas yang dapat memberi keinsafan kepada yang menghayatinya. Demikianlah dengan gambaran-gambaran yang lain yang dapat diubah dari masa ke semasa.


Ladskap dan seni taman yang diwujudkan di kawasan Masjid Al-Umm tidak berkemampuan mewujudkan sebuah seni taman yang canggih dengan kawasan terhad. Perhatian terhadap landskap dan seni taman ialah bagi mewujudkan satu suasana yang indah, aman dan tenteram bagi jamaah yang datang dan yang mengunjungi, sehingga ianya tidaklah merupakan tempat yang kering dan tidak menarik yang menyebabkan kering dari jamaah dan pengunjung. Landskap dan seni taman bukan satu kemestian, tetapi dapat membantu dari segi mewujudkan suasana tenteram dan menarik bagi kawasan masjid. Oleh kerana kawasan yang melibatkan seni taman adalah terhad dan kecil, maka keperluan kepada penjagaan dan maintenance hendaklah diamanahkan kepada pekerja-pekerja masjid seperti siak dan bilal atau dijadikan taman angkat yang dijaga oleh pihak-pihak tertentu yang memberi perhatian bukan setakat menjaga landskap dan seni taman, tetapi membaiki dan menaiktaraf dari masa ke semasa. Pendek kata tidak memerlukan kepada tukang kebun khusus atau paling tidak membayar upah kepada pekerja-pekerja pembersih mengikut masa dan kerja yang dikehendaki mereka lakukan bagi meningkatkan mutu seni taman di Masjid Al-Umm.


Sekian. 

June 24, 2015

Pagar Masjid, Pelbagai Contoh - Mencari Identiti: Perlukah Pondok Pengawal ?


BBB, 06 Ramadhan 1436 = 23 Jun 2015 (Selasa):
Pagar bagi sesebuah masjid adalah bagi menandakan sempadan kawasan tanah masjid berkenaan, lebih dari itu adalah untuk tujuan keselamatan. Tetapi masjid sebagai rumah Allah adalah terbuka bagi sesiapa yang datang dengan tujuan baik, khususnya untuk beribadat, maka sesetengah masjid adalah terbuka untuk sesiapa datang dan jika pun berpagar, maka pintunya sentiasa terbuka. Penjagaan dari segi keselamatan dilakukan oleh siak, bilal dan AJK Masjid. Walaubagaimana pagar wajar ada bagi masjid, selain dari keselamatan, pagar juga dapat menimbulkan elemen-elemen estetika.


Dua buah masjid yang dapat dijadikan contoh bagi pembinaan pagar atau tidak berpagar, iaitu Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram, di samping masjid tempatan. Masjid Nabawi adalah masjid berpagar yang sekeliling kawasannya adalah berpagar dengan bertembok pada bahagian bawah dan di atasnya adalah jeriji besi yang agak tinggi yang tidak dapat dipanjat dalam keadaan biasa. Bagi keliling pagar ini ada banyak pintu yang terbuka luas dan sebenarnya tidak menghalang untuk dikunjungi pada bila-bila masa. Tiang dan pintu pagar ini agak tinggi. Keluar dari pintu pagar ini terutama selepas selesai solat suasana sebok dengan kegiatan peniaga-peniaga secara terbuka, mereka meletakkan barang-barang  mereka di atas hamparan di tanah atau di atas kereta sorong. Pagar bagi masjid Nabawi di Madinah lebih kepada menandakan bahawa ruang di dalam pagar merupakan kawasan masjid yang boleh bersolat di mana saja di atas lantai marmar yang jika siang dilindungi payung-payung besar dan jika malam dikuncupkan. Pagar juga untuk mengelak dari diceroboh oleh peniaga-peniaga agar tidak masuk ke dalam. Pagar Masjid Nabawi adalah teguh, tetapi tidaklah sangat mengandungi elemen estetika. Bagi Masjid Al-Haram yang juga bersifat terbuka tiada mempunyai pagar. Sempadannya hingga ke bangunan-bangunan kelilingnya. Semua kawasan keliling adalah juga menjadi tempat solat berlantai marmar. Masjid Al-Haram tidak pernah sunyi dari pengunjung yang datang beribadat (tidak dibenarkan berniaga di dalam kawasan solat, walaupun di luar bangunan masjid).
Bagi Masjid Al-Umm seharusnya berpagar bagi memastikan persempadanan tanah masjid, di samping juga bagi tujuan keselamatan. Adalah dicadangkan bahawa pagar Masjid Al-Umm seharusnya bertaraf standard sesuai dengan bangunan dan kedudukan masjid. Ertinya tidak sebagai pagar biasa. Bagi Masjid Al-Umm mempunyai pintu keluar masuk, iaitu pintu utama dari Jalan Dua ke Sekolah Kebangsaan, masuk ke kiri ke bangunan masjid. Dua lagi ialah jalan masuk/keluar berdepan dengan jalan dari Jalan ¼ ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB, bersebelah Medan Usahawan.


Jalan masuk utama adalah sempit dan kurang menarik dari segi kedudukan, kerana jalan ini menyusuri tepi perumahan semi D di sebelah kiri dan sebelah kanan – rendah ke bawah ialah padang awam. Pintu pagar sekarang ialah masuk sedikit ke dalam dari sebelah kanan pagar dan ke kiri 90 darjah ke hadapan masjid. Dalam kata lain keluar masuk adalah sempit ke hadapan adalah jurang ke kawasan padang awam (membahayakan). Kenderaan keluar boleh ke kanan atau turun ke kiri (dicadangkan satu hala keluar –Jalan bersebelahan bangunan sub-station TNB). Adalah ideal jika jalan masuk betul-betul menuju kepada pintu gerbang masjid – demikian keluar. Tetapi cara ini bagi Masjid Al-Umm tidak praktikal, kerana tanah tinggi yang digali bagi meratakan bagi kawasan di hadapan masjid, sebagai jalan keluar seperti ini sempit berdepan perumahan semi D yang baru dan mengganggu keluar masuk penghuni-penghuni rumah semi D berkenaan.
Dalam perbincangan dalam mesyuarat Penulis pernah mencadangkan agar jalan masuk bermula dari sudut pagar berdepan dengan korner masuk ke kiri perumahan semi D ke jalan Dewan Orang ramai. Dengan pembukaan sudut ini ianya seimbang dari segi curve dan corner jalan sebelah menyebelah. Dengan cara ini meluaskan jalan masuk, lebih selamat dan lebih luas jalan keluar ke sebelah kiri dan lebih artistik dan unik dari segi reka bentuk pagar yang dapat dibina.
Membicarakan aspek pintu pagar berkenaan, kita melihat pintu pagar masjid yang unik ialah pintu pagar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam. Jika diperhatikan pintu-pintu pagar masuk/keluar Masjid Sultan Salahuddin mempunyai falsafah tauhid dan kerohanian. Pintu pagar mempunyai tiang-tiang bulat bertelapak tangan bahagian atas bagai tangan menadah berdoa ke hadrat Ilahi dan memohon rahmat dari Nya. Tiang-tiang pintu pagar yang berbentuk bulat melambangkan kesempurnaan ini diletak secara berkeliling hingga tidak dapat dipastikan mana tiang pagar yang mula dan mana tiang pagar yang akhir yang mencerminkan sifat Allah yang Abadi yang tiada permulaan dan tiada pegakhiran (Al-Hadid: 3). Tiang-tiang pintu pagar bagi Masjid Sultan Salahuddin adalah unik dan tidak ada di tempat lain yang seumpamanya. Ianya diguna oleh pejalan kaki dan untuk kenderaan jalan bersebelahan.


Apa yang pernah dibentangkan bagi pintu pagar dan pagar bagi Masjid Al-Umm terlalu biasa, seharusnya mempunyai daya estetik yang beridentiti sendiri, tetapi tidak memerlukan peruntukan yang tinggi. Kita tidak mencadangkan dengan meniru tiang pintu pagar Masjid Sultan Salahuddin sepenuhnya, kerana itu adalah unik dan identiti Masjid Sultan Salahuddin. Kita boleh menggabungkan elemen tiang pada pintu Masjid Nabawi dengan tiang pintu masuk Masjid Sultan Salahuddin dengan mengambil elemen tauhid dan Kamal (sempurna), yakni gabungan tiga tiang bulat bersebelahan, yang mencerminkan sifat Allah yang tiada awal dan tiada akhir  dengan bahagian atas lima telapak (rukun Islam) yang menjunjung bentuk kubah Masjid Al-Umm dalam bentuk kecil – boleh saja dari bahan semin. Bulat kubah adalah menjunjung, menengadah dan menuju kepada pihak Tertinggi. Tiang dan pintu (secara tolak dan tarik) sedemikian juga digunakan kepada dua pintu berhadapan dengan medan parkir jalan ¼, tetapi memada dengan satu tiang bagi setiap belah, tetapi di atasnya lima telapak yang menjunjung kubah kecil persis kubah besar (utama) Masjid Al-Umm.
Bagi pagar sekeliling seterusnya janganlah dibina dalam bentuk bertembok sepenuhnya,kerana ia seolah-olah penjara, tetapi antara tiang-tiang (seeloknya bulat) dengan yang lain  adalah dalam bentuk lengkung tunduk yang melambangkan harmoni yang banyak menjadi elemen seni bina Masjid Al-Umm yang elemen seni menjadi bahagian dari segi Takmilah. Antara lengkung ini dipasang jeriji besi aluminium yang tidak berkarat. Pagar pada dasarnya lebih kepada menandakan persempadanan. Adapun cadangan untuk membina pondok pengawal pada pintu-pintu masuk-keluar, mungkin boleh dipersoal, kerana dari pemerhatian kita, baik di Masjid Nabawi, Masjid Al-Haram dan Masjid Salahuddin, bahkan Masjid Al-Hasanah, Bangi tiada pondok pengawal didirikan dan tiada pengawal yang mengawal pintu pagar. Jadi jika dibuat pondok-pondok jaga dipintu-pintu pagar bagi Masjid Al-Umm adalah satu kepelikan. Tidakkah memada pengawalan dan keselamatan masjid diamanahkan kepada siak-siak, bilal-bilal dan AJK Masjid yang seharusnya sentiasa ada antara mereka di masjid, khususnya bagi tenaga-tenaga pekerja tetap. Jika ada pondok pengawal dan ada jaga, masjid seolah-olah bangunan kilang yang dikawal oleh jaga yang menambahkan perbelanjaan masjid dan barangkali menyebabkan mereka yang hendak datang terencat hasrat, kerana faktor kawalan yang mana mereka seolah-olah dicurigai.
Masjid hendaklah sentiasa terbuka, bersifat mesra jamaah dan pengunjung.

Sekian.

June 23, 2015

Kerja Luar Dari Bangunan Masjid Al-Umm - Jalan


BBB, 05 Ramadhan 1436 = 22 Jun 2015 (Isnin):
Keluasan tanah Masjid Al-Umm hanya 1.9 ekar. Tanah seluas ini bagi sebuah masjid relatifnya adalah kecil dan sempit. Keluasan normal bagi sebuah masjid adalah 5 ekar dan sebaiknya adalah 10 ekar (termasuk kawasan parkir). Tanah bagi Masjid Al-Umm adalah berada di antara dua kaki bukit, iaitu Bukit Bangi dan Bukit Mutiara (nama baru yang asalnya adalah juga Bukit Bangi). Tanah masjid lebih berada pada kaki Bukit Mutiara, sebab itu kelihatan berada pada tapak lebih tinggi bahagian belakang dan menurun pada bahagian depan (sebelum diratakan). Dari segi lokasinya tapak bagi Masjid Al-Umm adalah berada di antara sempadan Seksyen Satu BBB dan bersempadan dengan Seksyen Dua, BBB. Pada sebelah kiri bersempadan dengan perumahan semi D, Lama, manakala pada bahagian belakang ialah sebaris perumahan semi D baru  yang berdekatan dengan Dewan Orang Ramai. Sebelum naik rumah semi D yang baru, pihak AJK Pembinaan Masjid pernah memohon dari pihak PKNS agar kawasan yang pada masa itu kosong akan dijadikan tanah lapang bagi kawasan parkir bagi masjid dan Dewan Orang Ramai, tetapi tidak berjaya. Pada sebelah kanan ialah padang awam yang keluasannya lebih kurang sama dengan kawasan masjid, manakala pada bahagian hadapan ialah jalan antara seksyen Satu ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB yang di sebelah jalan ini ialah kawasan parkir bagi kedai, pasar dan warung-warung yang dikenali sebagai Medan Usahawan.


Keluasan tanah dapat dikatakan cukup-cukup bagi bangunan masjid. Jalan ke bangunan Masjid Al-Umm ke bahagian depan berpintu gerbang utama adalah melalui pinggir padang awam yang terletak lebih tinggi dari kawasan padang dan tepian bagi perumatan semi D yang baru yang bersempadan dengan Dewan Orang Ramai. Jalan masuk ke masjid bagai melalui bentuk l  (L kecil) bersambung dengan jalan keliling masjid yang berbentuk U. Bagi bentuk U ini, bangunan masjid adalah berada di dalam lengkungan U, tepi kiri bagi U ialah tepi perumahan semi D lama yang turun ke jalan  Seksyen Satu ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB, manakala tepi kanan ialah tanah yang lebih tinggi dan lebih curam turun bersebelahan (kiri) dengan bangunan sub-station TNB di dalam kawasan Masjid Al-Umm. Hujung bagi jalan  (bentuk U kanan) adalah turun ke jalan yang sama - jalan yang lebih dekat ke Sekolah Menengah dan Rendah BBB dan juga boleh turun ke Jalan Pasar Basah BBB. Buat masa ini setelah pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hampir siap, kecuali kerja-kerja dalaman, maka kerja-kerja bagi membina jalan pada sebelah kanan dan kiri serta pada bahagian hadapan bagi kawasan masuk ke masjid sedang dijalankan.


Persempadan tanah dan bangunan Masjid Al-Umm tidaklah menimbulkan masalah, terutama dengan rumah semi D yang baru, kerana rumah berkenaan adalah baru dan sebahagain dari penghuninya baru masuk, lagi pula perumahan berkenaan disempadan dengan jalan masuk ke Dewan Orang Ramai. Kecuali dengan perumahan semi D yang lama yang jaraknya begitu dekat sekadar luas jalan yang boleh dilalui selisih dua kenderaan, maka sejak dari peringkat awal pembinaan dilakukan, maka beberapa AJK, termasuk Pengerusi telah datang menemui beberapa tuan rumah terlibat terutama Tuan Haji Ahmad bin Ismail pada  3 Januari 2014. Penerimaan adalah amat baik. Dia memahami tentang pokok-pokok yang ditanam dan termasuk di dalam kawasan masjid terpaksa dipindah atau dihapuskan, begitu juga dengan penggunaan-penggunaan yang lain, Selain dari itu jiran-jiran berkenaan pernah hadir antara Dr. Abdul Fatah Haron  bila dijemput ke mesyuarat yang agenda berhubung dengan perumahan mereka.
Apa yang timbul di dalam mesyuarat, bahawa bagi menjaga keselamatan rumah jiran-jiran berkenaan, oleh kerana tembok sempadan perumahan mereka tidak dibina secara konkrit dan beam pada bahagian bawah, maka adalah dibimbangi bila jalan dibina akan memberi kesan kepada tembok  dan boleh retak dan runtuh. Beberapa cadangan telah dibuat melalui mesyuarat antaranya menggunakan kaedah shift files dan rubble walls dan pada akhirnya ialah dengan menggunakan kaedah `L shape` ditanam dari bahagian permulaan tembok hingga ke bahagian atas berjarak 28 meter. Kedudukan bahagian atas bagi penanaman konkrit berbentuk L dicadang agar di beri bentuk yang menarik dan juga dicadangkan tanah bersempadan dengan perumahan selebar 5 kaki (kawasan masjid) diberi hiasan dengan menanam pokok-pokok bunga yang dapat melindungkan pandangan secara langsung bahagian belakang rumah-rumah jiran berkenaan.
Kini kerja-kerja tanah bagi luar bangunan masjid sedang giat dijalankan. Rumah-rumah kongsi yang dihuni pekerja-pekerja telah dirubuhkan sejak Mac 2015 untuk jalan dan parkir. Antara mereka pindah ke rumah kongsi bersempadan dengan padang permainan dan antara mereka tinggal di satu bilik besar di aras bawah tanah bagi Masjid Al-Umm. Sebelum jalan rasmi dibina dan juga tempat-tempat parkir, kerja-kerja menyediakan saluran air dan najis pada kedua belah pihak masjid kanan dan kiri disiapkan terlebih dahulu sebelum jalan dibina.


Kedudukan sempadan dengan perumahan semi D baru yang berdekatan dengan Dewan Orang Ramai perlu diperbetulkan dari segi keselarian tanah. Oleh kerana memasuki jalan ke Dewan Orang Ramai merupakan pendakian ke bahagian yang lebih tinggi ke tepi bukit, sedangkan tanah bersempadan dengan masjid dan masjid memerlukan tanah yang rata bagi bahagian depan, maka tanah berkenaan perlu diratakan. Dengan demikian, makin ke dalam tanah sempadan ini makin tinggi. Ini memberi kesan kepada pembinaan tembok dan pagar bagi persempadanan dengan jalan bagi hadapan rumah semi D baru berkenaan. Mungkin kaedah L Shape atau kaedah konkrit perlu digunakan bagi persempadanan yang bersifat makin meninggi berkenaan.
Jalan keluar masuk ke jalan ke sekolah pada bahagian hadapan masjid, selain dari jalan bersempadan dengan rumah semi D lama, ialah jalan turun bersebelahan dengan rumah sub-station TNB yang agak curam dan agak sempit. Jalan ini perlu dikurangkan kecuraman bagi mengelak bahaya ,lebih-lebih lagi berdekatan dengan rumah sub station TNB. Pengukuhan tepian bagi jalan ini tidak cukup dengan penanaman rumput, tetapi perlu dibena benteng konkrit bagi mengelak dari runtuh dan kemalangan dari jatuh ke bawah. Kaedah penggunaan jalan sehala boleh difikirkan. Perlu disebutkan penggunaan kenderaan dalam kawasan bangunan tidak mengizinkan kecuali dalam jumlah yang kecil bagi pegawai-pegawai masjid, oleh kerana tempat parkir terhad, hanya pada bahagian hadapan. Penggunaan jalan ke dalam lebih kepada penggunaan jalan kaki dan bagi situasi kecemasan seperti penggunaan bomba dan penggunaan kritikal yang lain. Adalah dicadangkan bahagian dalam depan masjid dipasang dengan tile (jenis kasar) berlainan warna bagi tempat parkir dan jalan. Tetapi pemasangan tile perlu difikirkan kemungkinan cepat rosak, antaranya dilalui kenderaan. Apakah lebih praktik diturapkan dengan tar sahaja ? Selain dari bersifat praktik dapat menjimatkan kos dan mudah dari segi maintenance.
Oleh kerana kesempitan ruang, maka ruang parkir bagi orang ramai adalah bersifat luaran. Antaranya ialah ruang parkir sedia ada di bahagian hadapan masjid dan ruang parkir disediakan di bawah talian cable TNB sebelum masuk ke kawasan masjid. Jalan masuk ke kawasan masjid dari jalan Seksyen dua ke Sekolah Rendah Kebangsaan BBB perlu diubahsuai dan ditambahbaik agar jalan masuk berkenaan lebih selesa.

Sekian.

June 22, 2015

Menunggu Tempoh Siap Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB,  04 Ramadhan 1436 = 21 Jun 2015 (Ahad):
Jangkaan pada masa serah tapak Masjid Al-Umm kepada pihak Kontrektor Tekad Nusantara (Disember 10, 2013), bahawa tempoh siap pembinaan Masjid Al-Umm dan dapat digunakan ialah pada awal Ramadhan 1436. Tarikh ini sering disebut-sebut terutama kepada penderma-penderma dan harapan tinggi masjid dapat digunakan pada bulan Ramadhan ini. Agak mengecewakan bila janji kepada orang ramai ini tidak dapat ditunaikan. Sebelum dari tibanya bulan Ramadhan berikut dari perbincangan, pihak kontrektor memohon penambahan masa lebih lewat, tetapi pihak AJK Pembinaan mengambil keputusan memberi tempoh perlu siap tidak lewat dari akhir Ogos 2015 dengan janji kepada orang ramai bahawa Masjid Al-Umm akan mula digunakan pada Hari Raya `Idul Adhha (Khamis 10 Zulhijjah 1436=24 September 2015). Tempoh diberi – lanjutan 3 bulan dianggap wajar dan janji pihak AJK Pembinaan diharap tidak diubah lagi.


Kelewatan yang berlaku, bukan dari masalah kewangan atau ketiadaan bahan, tetapi lebih kepada masalah teknikal, misalnya perubahan di sana sini yang dilakukan di samping faktor cuaca dan ada bidang-bidang yang tidak lengkap dari awal dan memerlukan kepada perunding-perunding yang bukan saja melibatkan masa, tetapi juga kepada penambahan kos. Di dalam mesyuarat antara perkara yang dicadangkan, bahawa pihak kontrektor wajar menambahkan tenaga pekerja yang selama ini dalam lengkongan 30 orang kepada jumlah maksimum sesuai dengan kerja-kerja yang ada tanpa lebihan tenaga, lantaran itu dapat dikejar tempoh masa ketinggalan dan masa tambahan yang diberikan bagi menyiapkan mana-mana bidang kerja yang belum dapat disiapkan.
Dalam lawatan Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm, kini berlaku progres pembinaan dan penambahan pekerja-pekerja, terutama dari segi pemasangan tile baik pada aras utama dan juga aras satu termasuk tangga-tangga. Aras bawah tanah telah siap dari pemasangan tile. Kerja-kerja pemasangan tile bagi kedua aras ini dapat dikatakan mencapai progres sebanyak 70%. Halangan yang ada ialah bagi pertengahan ruang aras utama, kerana pada bahagian ini masih dipenuhi tiang-tiang besi bagi menungkat bahagian kubah yang dianggap masih belum mantap dan belum kukuh struktur dan kedudukan jika tiang-tiang menungkat itu dibuang. Tiang-tiang ini juga melibatkan sebahagian dari ruang muslimat pada bahagian hadapan yang mana tongkat-tongkat besi turut dipasang dari sini. Walau bagaimana kita yakin dari maklumat yang tiang-tiang tongkat ini akan ditiadakan dalam masa terdekat, maka kerja-kerja pemasangan tile akan dapat disempurnakan.
Perkara yang penting bagi menggerakkan  kegiatan masjid ialah mendapat tenaga letrik. Setakat ini letrik didapati secara sementara bagi kegiatan pembinaan. Menyedari tentang kepentingan tenaga letrik ini, prioriti diberi terhadap pembinaan rumah pencawang letrik di dalam kawasan masjid. Rumah bagi pencawang letrik ini dibina seawal pembinaan fizikal Masjid Al-Umm, iaitu sejak dari awal tahun 2014 lagi. Kini permohonan telah dibuat kepada pihak TNB bagi memasang tranformernya di rumah pencawang di dalam kawasan masjid di sini – di tepian jalan masjid ke sekolah menengah dan rendah BBB. Banyak perkara yang bergantung kepada TNB. Tanpa tenaga letrik pencahayaan lampu-lampu tidak dapat berjalan. Azan tidak lantas untuk dialunkan, sound sistem tidak dapat dipastikan dan aktiviti ibadat solat dan pengajaran tidak dapat dilakukan.
Sebagaimana maklum juga bahawa pihak masjid menggunakan sistem penghawa dingin bagi keseluruhan ruang masjid, kecuali ruang lempah. Pemasangan saluran hawa dingin telah dilakukan bagi aras bawah tanah dan juga bakal disempurnakan bagi aras satu. Namun bagi ruang aras utama nampaknya belum ada  sistem pemasangan hawa dingin. Sepatutnya ianya sudah sedia dalam plan arkitek yang terangkum sebagai pakej pembangunan. Dengan demikian terpaksa dibuka penawaran pemasangan pendingin udara ini kepada syarikat yang dicadangkan oleh pihak perunding yang dibimbangi menambahkan lagi kos pembinaan. Dalam pembentangan yang dibuat dapat difahami pihak syarikat tidak memahami keperluan dan membuat cadangan-cadangan yang tidak memuaskan.
Antara kerja-kerja yang boleh disifatkan kritikal dalam mengejar masa, ialah kerja-kerja bagi menyiapkan kubah oleh Syarikat Majleza dan beberapa kerja yang lain yang diberi amanah terhadap syarikat berkenaan. Kerja membina kubah memerlukan kepakaran yang tinggi, kerana ianya banyak melibatkan kerja-kerja dilakukan di atas puncak bumbung kubah dan masjid. Kerja-kerja yang dilakukan oleh tenaga pekerja antara tiga hingga lima orang itu melibatkan kerja-kerja permukaan luaran. Kerja-kerja lebih banyak lagi dari segi dalaman yang diberi amanah kepada Majleza seperti dekorasi dalaman bumbung dan tapak bagi kubah sebagaimana telah dibincangkan. Pemasangan kipas-kipas di bawah kubah yang diserahkan kepada Majleza.
Kerja-kerja yang dilibatkan oleh Majleza hampir keseluruhan adalah melibatkan seni yang memerlukan kehalusan kerja dan kecukupan masa. Selain dari pembinaan kubah dan dekorasi pada bahagia dalam, Majliza juga terlibat dari segi dekorasi tiang-tiang seri masjid yang telah dibincangkan dan sebagaimana dekorasi bawah kubah, maka begitu juga dengan dekorasi tiang-tiang juga masih belum dilakukan.


Tugas yang melibatkan kerja seni ialah menyiapkan dekorasi dinding hadapan masjid dengan bentuk-bentuk lengkung tunduk berlapis sebanyak enam pasang (tiga dinding kanan dan tiga dinding kiri) yang hingga kini belum dapat dimulakan. Begitu juga menyiapkan ruang mihrab dengan lengkung tunduk berlapis ke dalam harmoni dengan motif-motif yang sama pada dinding dan tempat-tempat yang lain yang melibatkan motif sedemikian. Kerja-kerja yang melibatkan seni yang tinggi ialah menyediakan khat-khat daripada ayat-ayat Al-Qur`an yang pemilihan ayat-ayat ini telah dipilih dan disetujui dan ditentukan pada tempat-tempat pilihan yang telah dibuat. Ini juga belum berlaku. Terakhir yang melibatkan Majleza ialah penyediaan mimbar dari bahan kayu tempatan dan dekorasi-dekorasi berdasarkan motif tumbuhan tempatan yang bersifat tebuk tembus yang pada puncak bagi mimbar ini ialah ukiran ayat kursi yang juga secara tebuk tembus.


Melihat kepada kerja-kerja yang begitu banyak oleh kontrektor utama – Tekad Nusantara dan sub kontrektor Majleza, kita bimbang, terutama Majleza yang tenaga kerjanya yang kelibat hanya beberapa orang – setakat ini, apakah tempoh yang diharapkan dapat disiapkan. Walau bagaimana kita berharap semua pihak terlibat peka terhadap harapan yang tertangguh dan penangguhan yang diberi jangan membuka jalan kepada penangguhan yang lain. Kita juga berharap kerja-kerja seni yang sebenarnya tidak dapat dipaksakan akan dapat dilakukan sebaik mungkin dan dapat mencapai piawayan tinggi yang dapat memuaskan semua pihak. Bagi  Penulis diharapkan ianya sama dapat mencapai piawayan Takmilah sebagai teori pembinaan dan penilaian masjid .

Sekian.

June 21, 2015

Aras Satu (Tingkat Tiga) Aras Muslimat Dan Fungsi Pelbagai Bilik


BBB, 03 Ramadhan 1436 = 20 Jun 2015 (Sabtu):
Sedari awal, masjid Al-Umm merangka bahawa aras satu di atas aras utama adalah aras untuk muslimat. Walau bagaimana terdapat di bahagian belakang bilik-bilik bagi berbagai fungsi. Secara kasar bahawa aras satu ini mengambil ruang separuh ( bahagian atas) dari ruang aras utama, iaitu separuh dari bahagian belakang bagi  aras utama yang terletak di bawah aras ini ruang solat aras utama bahagian belakang dan bahagian tandas dan kawasan wudhu` kiri dan kanan yang dibelah pada bahagian tengahnya ialah jalan masuk ke ruang utama. Untuk naik ke aras satu ini ialah melalui tangga sisi kiri dan kanan yang mempunyai dua kelok yang setiap satu bermata tangga ialah 13 x2 mata tangga. Pada bahagian kiri juga disediakan perkhidmatan lif bagi kemudahan OKU naik, atau bertujuan untuk membawa naik dan turun barang-barang.


Aras satu ini juga boleh dibahagi kepada dua. Separuh pertama ialah bahagian muslimat pada bahagian hadapan yang untuk sampai kepadanya melalui tangga sisi kiri atau kanan yang disebutkan, kemudian melalui lorong kiri atau kanan untuk ke ruang solat muslimat. Disebelah lorong (di belakang ruang muslimat) ialah kawasan kosong satu sebelah kanan dan satu sebelah kiri yang di bawahnya ruang taman berfungsi sebagai ruang masuk keluar udara dan cahaya, juga menyejukkan jika hujan. Paling kanan dan juga kiri ialah ruangan untuk mengambil wudhu` dan tandas. Ruang muslimat dijangka boleh memuatkan 500 muslimat secara serentak. Kini sebahagian ruang muslimat telah ditailkan, tetapi sebahagian dari bahagian depan masih digunakan sebagai ruang dari atas (di samping dari ruang utama) bagi tiang-tiang menungkat ruang kubah yang memerlukan masa bagi kemantapannya. Apabila batang-batang besi penungkat ini ditiadakan, maka pada bahagian hadapan muslimat akan dipasang dengan railing yang menghadang dari jatuh, tetapi tidak menghalang muslimat dari melihat aktiviti solat berjamaah yang dipimpin imam pada bahagian hadapan di aras utama. Pada bahagian dinding bahagian atas berdepan dengan ruang muslimat akan diisi dengan ayat Al-Qur`an yang  ada hubungan dengan muslimat dan kehidupn berkeluarga sebagaimana telah diperkatakan.
Walau bagaimana, jika ruang aras utama masih kurang dari jamaah, terutama pada waktu-waktu solat fardhu lain dari Juma`at, maka kemungkinan kalangan muslimat akan menggunakan ruang sebelah kiri, bahagian belakang untuk ruang solat muslimat. Di sini agak bersesuaian kerana ruang wudhu` dan tandas sebelah kiri pada aras utama ini memang disediakan untuk muslimat. DI samping wujudnya ruang mengambil wudhu` dan tandas bagi muslimat pada aras pertama.
Pada bahagian belakang dari kawasan muslimat dipisahkan lorong dari tangga kiri ke kanan dan dipisahkan oleh dua ruang kosong belakang muslimat, maka separuh bahagian belakang adalah bilik-bilik bagi berbagai fungsi. Antara tangga kiri ke kanan terdapat 4 bilik yang sama luas yang antara dua bilik terdapat anjung – ruang kosong yang di bawahnya ialah ruangan masuk ke ruang aras utama.


Keempat-empat bilik ini memang diwujudkan bagi program dan kegiatan masjid. Bilik yang berbentuk empat segi, maka bilik pertamanya ialah untuk bilik mesyuarat rasmi pihak AJK masjid dalam hubungan dengan pentadbiran masjid dan kegiatan-kegiatan yang berhubung dengannya. Walaupun ada beberapa ruang dapat dijadikan bilik mesyuarat seperti pada ruang bawah tanah dan pada bahagian belakang aras utama, tetapi itu bukan bilik mesyuarat rasmi yang dapat diguna bagi berbagai tujuan. Bilik mesyuarat ini dapat memuat antara 60 – 80 orang secara serentak. Dari segi perspektif bilik ini disediakan dengan perabut kerusi meja yang canggih. Turut disediakan audio-visual di samping papan putih untuk ditulis atau dilayari penerangan.
Bilik kedua dengan keluasan yang sama ialah bilik seminar yang dapat memuatkan dalam jumlah yang sederhana dalam lengkungan 80 orang. Kelainan dalaman tidak disediakan meja bundur, sebaliknya dengan kerusi-kerusi bermeja dengan bahagian hadapan papan putih bagi tulisan dan penayangan. Jika seminar dalam jumlah yang ramai, maka ruang bawah tanah adalah digunakan. Sebenarnya untuk seminar dalam jumlah yang kecil, bilik mesyuarat dapat digunakan sebagai bilik seminar. Dengan itu ruang dapat digunakan dengan kerap dan tidak sekali sekala sahaja dari segi penggunaan. Dipisah oleh anjung kosong, pada sebelah bahagian lagi ialah terdapat dua bilik yang sama luas. Bilik ketiga ialah Bilik Tahfiz. Bilik ini diwujudkan oleh kerana pihak masjid bercadang untuk mengadakan kelas tahfiz yang mengambil pelajar dalam lingkungan belasan orang setiap kali keluaran. Ini ialah kerana selama ini surau-surau di Bandar Baru Bangi sering mendapatkan tenaga tahfiz dari luar untuk memimpin solat, terutama pada bulan Ramadhan. Adalah sepatutnya BBB yang menghantar tenaga-tenaga tahfiz ke luar dari BBB. Kurikulum dan tenaga pengajar akan diusahakan bagi menjadi kelas tahfiz di Masjid Al-Umm kelas tahfiz yang standard yang tak kurang mutunya dengan tahfiz-tahfiz yang lain. Kerjasama dengan kelas-kelas dan pengajian tahfiz tempat yang lain akan diadakan bagi menjamin pengajian tahfiz Masjid Al-Umm bermutu. Keutamaan pengambilan pelajar ialah dari anak-anak dari penduduk BBB di samping dari luar. Asrama akan disediakan bagi yang memerlukan penginapan. Khususnya bukan dari anak-anak penduduk setempat.
Bilik terakhir (keempat), ialah bilik sumber atau perpustakaan. Adalah penting bagi masjid yang mengendalikan pengajian berbagai peringkat dan tahfiz menyediakan perpustkaan yang dapat menyediakan bahan-bahan pengajian dan buku-buku rujukan yang dapat digunakan oleh guru-guru dan pelajart-pelajar, bahkan penduduk dan mereka yang mengikuti pengajian untuk mendapat sumber bacaan dan bahan-bahan rujukan. Keutamaan penyediaan buku-buku ialah buku-buku yang ada hubungan dengan pengajaran-pengajaran yang diadakan di masjid, di samping buku buku umum. Buku-buku yang disedia dan menjadi koleksi perpustakaan ialah bidang keislaman dan keperluan masyarakat semasa. Adalah dicadang sama pada bilik perpustakaan ini disediakan kemudahan IT & komputer bagi penggunaan dan pembelajaran lantaran pengkatelogan buku-buku adalah melalui komputer, sebab itu perlu diadakan sudut komputer untuk dipelajari oleh pelajar-pelajar seperti tahfiz dan juga bagi bahan maklumat yang berhubung dengan perpustakaan dan rujukan umum dan segala kemudahan yang dapat diekses melalui kemudahan IT.


Dengan kedudukan di atas, maka dapat dikenalpasti, bahawa aras utama masjid adalah aras terpenting yang digunakan bagi tujuan ibadat. Pada aras ini juga diadakan pengajaran terbuka seperti pengajian mengiringi solat-solat terutama selepas maghrib dan isya`, pengajian hujung minggu, pada hari Sabtu dan Ahad, pengajian berpekej dan sebagainya. Aras pertama dikenali sebagai aras muslimat yang selain dari solat dapat diadakan kegiatan-kegiatan khusus bagi muslimat. Di samping itu aras satu ini juga adalah untuk tahfiz, mesyuarat dan seminar dalam jumlah yang kecil, manakala aras bawah tanah dikenali sebagai aras untuk kegiatan kemasyarakatan di samping kegiatan ilmu dalam jumlah yang lebih ramai.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan ialah bagi menjadikan Masjid Al-Umm sebagai tempat ibadat dan mempunyai kemudahan pengajian dan pembelajaran sesuai dengan keperluan dan kehidupan semasa. Diharap kegiatan yang berlaku di Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu menyemarakkan lagi Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.