BBB, 12 Sya`ban 1436 = 30 Mei 2015 (Ahad):
Sehingga akhir Mei 2015 dapatlah dikatakan
bahawa perkembangan pembinaan fizikal secara rangka bangunan Masjid Al-Umm
adalah siap. Fasa seterusnya ialah meyempurnakan rangka fizikal bangunan dengan sentuhan `seni
kreativiti` yang melengkap, menyempurna
dan mengindahkan masjid Al-Umm. Sebahagian dari luaran, misalnya bahagian
hadapan (bermihrab) kiri kanan sudah sempurna pemasangan dan pasangan.
Dilihat dari segi Takmilah, ia merupakan tahap
perjalanan kualiti seni bina yang pada peringkat awal merealisasikan kreativiti
imaginasi pada tahap plan arkitek kepada realiti fizikal yang berjaya
dilaksanakan. Kini ialah tahap Takmilah Lahiri, iaitu mentransformkan rangka
fizikal yang boleh diibaratkan sebagai masih `bertelanjang` dengan memberi
pakaian yang indah, beradab sopan, bersih dan kena dengan tempat dan suasana bagi sebuah
masjid.
Keperluan merealisasikan tahap estetika lahiri
ialah menyempurnakan bentuk dan gambaran realiti bahagian bangunan dengan
meraikan ciri-ciri sepatutnya. Misalnya reka bentuk yang menarik, mencerminkan
keharmonian, berwarna lembut, mencetus rasa kudus, khusyuk dan tawaduk yang
gabungan antara semua meningkatkan daya estetika yang memikat.
Antara bahagian awal yang telah siap ialah
bahgian depan (bermihrab) yang menghadap (Qiblat) ke arah medan parkir Jalan ¼,
berdepan dengan Masjid Al-Umm. Beberapa ciri seni bina telah disentuh, bahawa
antara ciri senibina Masjid Al-Umm:
1) Mengambil elemen bulat (termasuk semi bulat, lengkung bulat) menuju
sempurna.
2) Elemen berimbang sama ada bersamaan atau bertentang
3) Konsep belah dua yang tiap bahagian bersamaan.
4) Elemen seni yang mengharmonikan meninggikan daya estetik
5) Tidak lari dari tradisi, tapi mempunyai ruang berkreatif dan
berinovasi.
Elemen-elemen di atas begitu banyak dan
menjadi identiti senibina Masjid Al-Umm. Fokus pembicaraan terhadap bahagian
luar hadapan (bermihrab) dan berada pada
bahagian atas benteng kukuh masjid pada bahagian bawahnya.
Selepas membicarakan tentang tiang-tiang yang
mengambil jumlah 360 dan 360 darjah, maka ruang lengkungan, pintu dan tingkap
pada bahagian hadapan juga mengambil bentuk bulat dan semi bulat, kecuali
bahagian bawah (aras bawah tanah). Mengambil bentuk bulat dan semi bulat
memberi kesan tanggapan, penghayatan dan
makna sempurna, lengkap, kudus, khuduk, tawaduk dan harmoni..
Bulat yang pertama – dilihat semi bulat melengkung
memanjang ke bawah ialah mihrab tiga tingkat yang tidak saja sempurna, tetapi menyempurnakan rukun dan
amalan jamaah yang bergantung kesempunaan ibadat dengan mengadap Qiblat. Mihrab
adalah seolah-olah imam bagi struktur lahiri dan fizikal masjid.
Dilihat pada tiga aras, maka lengkungan dan
pintu bagi aras satu adalah mengambil
bentuk lengkung bulat, bersebelah kiri dan kanan mihrab, setiap belah adalah
lima lengkung pintu, manakala bagi aras dua dibawah juga mengambil lengkung
bulat yang lebih kecil dari aras satu yang setiap belah adalah tujuh
lengkungan. Jumlah ini mencerminkan elemen `belah dua sama` yang setiap belah
adalah berjumlah secara setentang adalah sama. Penggunaan jumlah angka tiga,
lima dan tujuh secara gasal adalah bilangan yang mencerminkan sifat tunggal
ketuhanan yang tidak ada kesamaan bagi Nya. Jumlah pintu yang sama bentuk, sama
besar dan dibaris secara seturut dan sama serta sepadan dengan bahagian sebelah
mencerminkan sifat harmoni, kreativiti dan inovasi pengkarya.
Di sebalik daripada lengkungan dan pintu-pintu
yang berbentuk bulat dan semi bulat, maka kita dapati pintu-pintu di bawah
lengkungan aras satu dan di bawah lengkungan aras utama adalah mengambil bentuk
biasa, iaitu bentu empat segi dan empat segi panjang, tiga kiri kanan di bawah
aras satu dan di bawah aras utama, iaitu pintu empat segi panjang yang pintu
besar setiap belah sebanyak 7 pintu relatifnya besar (tiga daripadanya pintu
besar).
Mengapa tidak dipilih bentuk bulat dan semi
bulat pada bahagian bawah ?
Ini ialah kerana bentuk bulat dipandang
sebagai sempurna, suci dan kudus. Maka bentuk bulat dan semi bulat kurang
sesuai dan tidak manis diletakkan
statusnya pada bahagian tanah. Bentuk bulat adalah hiasan tepi, bukan menjadi
ruang keluar masuk pengunjung, maka ruang keluar masuk seperti pintu biasa dan
pintu sederhana, terutama bagi memasuk dan mengeluarkan barang-barang dan
keluar masuk orang maka adalah paling sesuai pintu empat segi. Lantaran itu
lengkungan dan pintu semi bulat hanya berada pada bahagian atas dari aras bawah
tanah.
Persoalan sejauhmanakah pengkarya dan perekacipta
bebas di dalam menghasilkan seni bina masjid, khususnya bagi Masjid Al-Umm ?
Dalam hal ini kita menegaskan, bahawa seharusnya
tidak ada pembaharuan seratus peratus bagi pembinaan masjid, tetapi pengkarya
mempunyai ruang berkreativiti dan berinovasi. Sebagaimana ditegaskan tidak
boleh meninggalkan elemen tradisi yang mencirikan seni bina masjid, andainya
pengkarya mau bersifat revolusi mau lari dari bentuk masjid yang konvensional,
maka jika terlampau menyimpang, maka ianya akan dianggap bukan masjid dan tidak
ada yang mewarisi dan meneruskannya. Pengkarya mesti mengekalkan elemen
tradisi. Misalnya mihrab yang menandakan arah qiblat, kubah yang menandakan
pertengahan masjid dan menara yang melambangkan peningkatan kejiwaan bagi
pengembaraan jiwa yang semuanya membawa elemen estetik yang kudus. Pengkarya
seharusnya menggunakan elemen tradisional dan konvensional yang mengidentitikan
sesebuah masjid di samping berkreativiti dan berinovasi.
Masjid Al-Umm tidak menyimpang dari tradisi
dan konvensional, bahkan mengekalkan elemen-elemen berkenaan, bahkan
setengahnya memang mengambil contoh dari masjid-masjid tertentu, misalnya Masjid
al-Haram dan Masjid Nabawi dan masjid-masjid bagi banyak aspek Masjid Al-Umm,
namun dalam pada itu banyak membawa elemen kreativiti dan inovasi tersenditi
Memanglah diakui mengambilan bentuk bulat dan
semi bulat bukan dari keaslian idea pengkarya, misalnya bentuk lengkung bulat
terkenal di Masjid Jami` Isfahan dan juga Masjid Cordova, demikian bentuk bujur
memanjang ke bawah ialah di Masjid al-Shakhrah di Baitul Maqdis. Namun ruang
kreativiti pengkarya dapat dilihat dengan jelas dari bahagian tembok. Kedudukan
tiga aras dan susunan pintu-pintu tidak ada kesamaan dengan masjid-masjid yang
lain. Pengkarya mempunyai ruang dan kemampuan berkreativiti, antara elemen tradisional
dan konvensional dengan elemen kreativiti dan inovasinya. Kita percaya Masjid
Al-Umm akan muncul sebagai sebuah masjid berciri dan identiti tersendiri yang mengukuh
tradisi dan penerokaan dari segi kreativiti dan inovasi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment