May 31, 2015

Aras Satu (Tingkat Tiga) Bukan Untuk Muslimat Sahaja. Pola `Belah Dua Sama Serupa` Pada Setiap Aras


BBB,  12 Sya`ban 1436 = 30 Mei 2015 (Sabtu):


Aras satu pada dasarnya untuk muslimat, tetapi sebenarnya terdapat ruang-ruang untuk kegunaan yang lain yang lebih luas dari ruang muslimat. Namun aras satu lantainya tidak seluas ruang aras utama di bawahnya, kerana ruang terbuka pada bahagian hadapan aras utama yang dipuncaki hingga kubah adalah ruangan kosong. Lantai bagi aras satu adalah separuh ke belakang dari ruang utama dengan bahagian tepi kiri kanan  merupakan lantai sisi. Tidak ada lantai atas bagi bahagian hadapan ke atas dari mihrab. Di belakang dari ruang muslimat terdapat ruang-ruang bagi berbagai fungsi. Lantai bagi muslimat berada pada bahagian tengah dengan tepi kiri kanan adalah ruangan kosong. Pada kiri kanan mempunyai jalan yang menyambung ke bahagian bahagian belakang ke hadapan. Sebagaimana bahagian bawah (aras utama) sebagai berbelah dua yang kiri kanan adalah sama. Ciri kiri kanan bertentangan dengan ruangan kiri dan kanan adalah sama merupakan pola seni bina masjid ini. Ciri ini juga boleh dilihat pada aras bawah tanah (tidak sangat ketara). Jadi ciri kukuh dapat dilihat pada masjid ini ia adalah sebagai sebuah badan yang boleh dibedah dan dibahagi dua yang kiri kanannya adalah sama dari segi bentuk. Apakah ini merupakan ciri sebuah masjid atau sebuah bangunan ? Tidak semestinya sedemikian (tidak pada Masjid al-Haram dan tidak pada Masjid Nabawi), tetapi demikianlah orientasi arkitek yang polanya diikuti, walaupun ada perubahan-perubahan berlaku, tetapi tidak menjejaskan konsep `belah dua sama serupa`.


Walaupun pola binaan kiri kanan adalah sama, tetapi penggunaan ruang yang sama dengan lawan sebelahnya adalah tidak sama. Ruang muslimat pada bahagian tengah – ke belakang adalah pemisah bagi bahagian kiri kanan, bahkan ruang bagi belakangnya adalah boleh dipecah dua, begitu juga ruang muslimat juga  boleh dipecah dua dengan garisan pembahagian dua di tengahnya. Adalah boleh dibuat kesimpulan, bahawa manusia amat dipengaruhi dengan falsafah pemikiran dan sudut pandangan bahawa hidup adalah berpasangan, apa jua yang dibuat amat dipengaruhi dengan sudut pandangan bahawa pada diri ada kiri, kanan dan diri ada pasangan lelaki perempuan. Hasil reka cipta diorientasi dengan pandangan ini - ada dua bahagian selaku belahan yang bahagian sebelah adalah sama di antara satu sama lain. Sebagaimana pecahan di bawah – aras utama, ada toilet pada kiri kanan, maka demikianlah di atas. Pada sebelah kanan dari ruang muslimat ada dua ruang utama (bilik) yang juga pada sebelah kiri juga demikian.
Aras satu ini dapat dikatakan di samping aras bagi muslimat adalah juga berfungsi sebagai aras pembelajaran, sebab itu ruang pada sayap kanan dicadangkan sebagai bilik mesyuarat dan bilik seminar, manakala dua-dua bilik bahagian belakang kiri dan kanan sebagai kelas tahfiz dan bilik sumber dan IT (Cadangan-cadangan mungkin menerima perubahan). Bilik mesyuarat yang juga ada pada aras utama, mungkin digunakan sebagai bilik pentadbiran. Cadangan bagi bilik seminar adalah bagi seminar yang bersifat kecil-kecilan. Adapun bagi seminar yang bersifat besar-besaran, maka tempat yang paling sesuai ialah di ruang aras bawah tanah yang boleh memuatkan peserta-peserta dengan agak ramai.. Sebagaimana disebutkan kegiatan yang bertempat di aras bawah tanah itu kurang mengganggu ketenangan di masjid.


Idea bagi mengadakan kelas tahfiz memang merupakan idea awal dicadangkan sejak permulaan tercetusnya keinginan mendirikan masjid. Hasrat ini timbul oleh kerana, Bandar Baru Bangi, walaupun dikatakan Bandar Ilmu, tetapi tiada tempat pengajian yang mengeluarkan para huffaz di Bangi, bahkan untuk mendapat khidmat para huffaz terutama pada bulan Ramadhan, maka terpaksa dibawa dari luar ke masjid dan surau-surau di Bandar Baru Bangi. Apa yang sepatutnya Bandar Baru Bangi yang mengexport para huffaz dari Bandar Baru Bangi ke tempat-tempat yang lain. Lantaran itu tercetus idea bagi mengadakan pengajian tahfiz, agar Bangi mengeluarkan para huffaznya sama. Pelajar tahfiz mungkin tidak ramai diambil dan bagi satu-satu sesi mungkin diambil hanya dalam lingkungan  belasan orang yang mengutamakan anak-anak tempatan. Mereka tidak rerpisah dari aliran kebangsaan, bermaksud mereka mengikuti pengajian persekolahan berdekatan dan ditambah dengan bahagian tahfiz di masjid. Kerjasama dengan sekolah-sekolah setempat perlu dilakukan, begitu juga dengan pusat-pusat tahfiz bagi memahami perjalanan dan kita tidak mesti mengikuti secara sepenuh pusat-pusat tahfiz lain, sebaliknya mengadakan penyesuaian dan penambahbaikan.
Pada aras satu ini pada bahagian belakang adalah dicadangkan diadakan pusat sumber atau perpustakaan dan juga pusat IT. Mengadakan perpustakaan adalah penting, bukan sahaja bagi pelajar tahfiz, tetapi menyediakan kitab-kitab dan buku-buku bagi bahan pengajaran dan rujukan yang boleh digunakan oleh guru-guru, pelajar-pelajar dan juga para jamaah dan masyarakat setempat. Perpustakaan ini bukan saja menjadi sumber bagi pengajian tahfiz dan guru-guru yang mengajar di masjid, tetapi juga bagi pengajaran ala pondok moden yang dicadangkan dan mereka yang berminat mencari bahan-bahan bacaan dan sumber-sumber rujukan. Berkemungkinan melalui perpustakaan pihak masjid akan menerbitkan buku-buku dan bahan-bahan bacaan.  Selari dengan perkembangan komunikasi moden, maka turut diadakan di masjid ialah bilik IT untuk pengajaran dan aplikasi penggunaan.
Difahamkan dari keterangan di atas, masjid dari awal dikenalpasti bukan sahaja menjadi pusat ibadat, tetapi juga sebagai sumber keilmuan, khususnya pengajian keagamaan dan keilmuan-keilmuan yang berhubung dengan kehidupan biasa seperti konsep keluarga bahagia, ekonomi Islam, kesihatan dalam kehidupan dan yang berkait dengan kegiatan kemasyarakatan termasuklah riadah dan gaya hidup sihat.


Mengenai ekses ke dan dari aras satu, maka untuk kemudahan turun naik ke aras satu ini sebenarnya disediakan tangga sisi pada bahagian kiri kanan masjid dengan tangga langsung dari aras bawah tanah ke aras utama dan ke aras satu, selain daripada itu kiri kanan bahagian depan juga disediakan tangga pada kiri kanan, di samping adanya perkhimatan lif bagi warga emas dan yang uzur, juga bagi kegunaan mengangkat dan menurunkan barang-barang.


Terkeatas dari bahagian aras satu ini ialah bumbung masjid dan atap yang rekabinanya adalah bersesuaian dengan iklim setempat yang lembab dan sering hujan (tidak menggunakan sutuh sebagaimana negeri Arab yang kurang hujan). Walau bagaimana kawasan masjid dan berdekatan sebagaimana telah disebutkan tanah tinggi yang berada pada tanah rendah (lembah)  bagi kedua bukit berkenaan, tidak timbul soal banjir pada kawasan masjid Al-Umm.
Dengan adanya MasjidAl-Umm dapat memberi kemudahan bagi masyarakat di Bandar Baru Bangi menunaikan ibadat dengan selesa di samping masjid Al-Hasanah dan beberapa tempat yang lain, kami merasa terpaggil bagi memenuhi keperluan yang dapat disediakan. Sudah pastilah untuk lebih sempurna akan di sambung oleh pelapis-pelapis yang akan mengisi keperluan-keperluan dengan penuh keikhlasan – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment