May 23, 2015

Derma Dari Dato` Dr. Haron Din Dan Usahanya Meningkatkan Dana Pembinaan Masjid Al-Umm: Berbagai Derma


BBB, 04 Sya`ban 1436 = 22 Mei 2015 (Jumaat):
Wujudnya dana pembinaan Masjid Al-Umm memberi keyakinan kepada AJK dan kontrektor melakukan kerja-kerja pembinaan. Walau bagaimana sejak pelancaran derma dilakukan pada 19 Mei 2012 sehingga ke akhir  tahun 2013 (31 Disember) jumlah dana yang terkumpul dari orang ramai relatifnya masih sedikit, iaitu sejumlah RM2,641,102.35. Dengan jumlah ini kerja-kerja pembinaan dimulakan dengan kepercayaan bila genap RM6 juta nanti akan mendapat sejumlah yang dijanjikan oleh kerajaan Negeri Selangor.


Namun pihak Masjid Al-Umm dan AJK menerima rahmat pada Majlis Penetapan Qiblat semasa berbual-bual dengan  Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din telah bertanya tentang jumlah dana yang dapat dipungut setakat ini. Jumlah di atas dikemukakan kepada beliau. Menurut Dato` Dr. Haron Din insya Allah beliau akan mencuba mendapatkan sejumlah RM1.5 juta dalam masa terdekat bagi menambahkan dana Masjid al-Umm. Pengumuman itu melegakan pihak AJK yang dengan pengumuman itu akan menambahkan dana hingga melebihi RM4 juta. Janji yang dibuat oleh Tuan Guru pada 2 Januari 2014 itu tidak sampai seminggu kerana keesokan hari beliau meminta AJK ke rumahnya pada Sabtu 4 Januari untuk mengambil cek yang dijanjikan. Hadir bagi menerima cek tersebut ialah Pengerusi, Bendahari Tuan Haji Mohd. Nor bin Yasin, Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud AJK dan Dr. Tajul Ariffin Noordin juga AJK.
Bila menerima cek tersebut kami agak terkejut, lantaran janji asal ialah berjumlah RM1.5 juta, tetapi bertambah sebagaimana tertulis pada cek ialah sebanyak RM1.52 juta. Ertinya bertambah RM20,000 dari jumlah yang dijanjikan. Dengan cek itu bererti dana Pembinaan Masjid Al-Umm yang terkumpul adalah sebanyak RM4,161,102.35.
Usaha Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din di dalam menambahkan dana pembinaan Masjid Al-Umm tidak setakat itu, tetapi melalui beliau diadakan pertemuan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor yang membawa kepada pertemuan dengan YAM Tan Sri Dato` Seri Syed Anwar Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Pengarah Lembaga Zakat Selangor di rumahnya pada 6 Februari 2014 dan atas usaha Tan Sri bersama Dato` Dr. Haron Din maka pihak AJK mendapat dana sebanyak RM1.8 juta. Penerimaan dilakukan di rumah Tan Sri pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1435. Dengan pertambahan dana ini di samping usaha terus dilakukan bagi mendapat dana memberi keyakinan kepada AJK bagi meningkatkan usaha seterusnya mendapat dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm.


Berbagai usaha sebenarnya di lakukan bagi penambahan derma dan berbagai cara pula derma disampaikan oleh orang ramai. Antaranya dengan menulis kepada berbagai-bagai institusi bagi mendapatkan dana, termasuklah kepada bank-bank yang antaranya memberi respond yang baik. Antaranya ialah melalui Tabung derma yang diletakkan di masjid-masjid dan surau-surau yang dipungut setiap Jumaat dan dari masa ke masa. Usaha ini banyak dilakukan oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud dan beberapa AJK yang lain.
Banyak derma pula datang dari orang ramai. Antara derma didapati dari kenalan peribadi dan cara pendekatan tersendiri. Beberapa orang dikenalpasti memberi derma secara bulanan dan berterusan antara RM1,000 dan RM500 sebulan. Manakala yang lain datang menyerahkan derma kepada AJK yang diberi hak memungut derma dengan berbagai-bagai jumlah. Jika derma antara RM10,00 hingga RM100.00 mereka diberikan kopon yang tersedia antara RM10.00, RM30.00 dan RM50.00. Terdapat pula jenis sijil waqaf dari RM500.00 hingga RM5,000.00, RM10,000 RM30.000, RM50,000 dan RM100,000. Manakala derma-derma yang biasa ialah dengan mengeluarkan resit biasa ditulis menurut jumlah yang didermakan. Tetapi ramai daripada penderma yang menderma secara terus ke dalam akaun ``Tabung Masjid Al-Umm`` – May bank Islamic. No. Akaun ialah 5628 -3460 – 7208  atau Akaun Bank Islam – Tabung Masjid Al-Umm . No Akaun 12 – 029 – 01 -007126 – 9 . Mutakhir derma yang agak banyak disumbangkan ialah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang terus dimasukkan ke dalam Account sebanyak RM500,000 pada 23 Safar 1436 bersamaan 16 Disember 2014.  Turut menderma ialah Bank Rakyat (RM10,000) pada 01 Safar 1436 bersamaan 24 November 2014. Dapatan yang dipungut oleh AJK yang diberi hak memungut derma adalah diserahkan kepada Tuan Bendahari. Biasanya sebelum memulakan mesyuarat bulanan yang diadakan. Bendahari pula akan melaporkan secara bertulis pungutan dan perbelanjaan bulanan dan jumlah kesemua bagi setiap bulan – termasuk dapatan melalui akaun terus. Pihak penderma juga boleh mendapatkan resit pelepasan Cukai Pendapatan yang diberi pengecualian oleh pihak Cukai Pendapatan – Kebenaran yang didapati mulai 1 Mac 2014 hingga 28 Februari 2017.
Pada peringkat permulaan pembinaan tidak banyak tuntutan dari pihak kontrektor, lantaran kerja-kerja adalah baru pada peringkat permulaan. Tetapi sebarang tuntutan, maka kerja yang dilakukan dinilai oleh pihak Perunding, penilaian ini dibawa kepada penilaian peringkat teknikal sebelum pihak Bendahari pada peringkat Induk menerima nasihat untuk diluluskan yang turut menandatangani kelulusan tuntutan oleh pihak Pengerusi Induk atau sebaliknya tuntutan ditangguhkan jika ada masalah dan perkara yang dikira tidak menurut keperluan tuntutan.


Sesungguhnya berdasarkan pengalaman Penulis semasa menjadi Wakil Rakyat baik sebagai Wakil Rakyat Kajang (1999-2004) atau Wakil Rakyat Bangi (2008-2013) banyak terlibat dengan usaha pembinaan masjid-masjid dan juga surau-surau. Sesungguhnya untuk mendirikan masjid bergantung pada derma orang ramai tidak mudah dilakukan. Banyak halangan yang terpaksa ditempuh. Antaranya ialah masalah tanah tapak masjid yang tidak dapat diselesaikan. Contoh pengalaman untuk mendirikan masjid di West Country, Seksyen Lima BBB dan juga Masjid di Taman Melur, Seksyen Tujuh, BBB yang urusan berkenaan tanah mengenai cadangan mendirikan masjid di situ masih belum dapat diselesaikan. Halangan yang besar juga ialah untuk memungut derma yang bukan saja perlu mendapat keizinan dari MAIS, tetapi ialah usaha untuk mendapat derma itu sendiri yang memerlukan komitmen yang tinggi dari AJK. Namun ada yang berjaya sebagai contoh pembinaan Masjid di Bandar Seri Putera yang Penulis sedikit sebanyak terlibat semasa menjadi Adun termasuk bagi kawasan itu (2008-2013). Akhirnya masjid yang didirikan dari derma orang ramai dapat disiapkan dan dapat digunakan sejak 2013. Berlaianan dengan mendirikan surau-surau kejayaan lebih banyak dicapai apabila ada tapak dan komitmen AJK dan penduduk setempat memudahkan sesebuah surau disiapkan. Berpuluh surau dapat disiapkan dalam masa Penulis menjadi Adun Bangi. Syukur di dalam usaha mendirikan Masjid Al-Umm, tidak banyak masalah yang dihadapi. Ini tidak lain dari kerja kuat AJK dan keterlibtan berbagai pihak di dalam membiayai pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment