BBB, 14 Rajab 1436 = 03 Mei 2015 (Ahad):
Makkah al-Mukarramah sebagai Tanah lempahan
wahyu (Kebanyakan surah diturunkan di Makkah hanya 28 daripada 114 surah adalah
Madaniyyah), maka sepantasnya Makkah adalah juga pusat sumber ilmu. Ilmu yang
langsung bersumberkan wahyu dan ilmu-ilmu yang mengolah terhadap kandungan
wahyu Al-Qur`an itu. Namun bagi yang datang bagi menyempurnakan ibadat wajib
haji dan umrah, jika bertujuan untuk mendalami keilmuan, maka sekadar bermukim
lebih kurang 40 hari bagi yang menunaikan haji atau belasan hari untuk umrah (termasuk
ke Madinah), sebenarnya tidak ada masa dan peluang untuk mendalami keilmuan.
Pengajian adalah dilakukan bagi menyempurnakan amalan ialah di tanahair
masing-masing sebelum berpeluang terpilih menjadi tamu Allah.
Semasa di Makkah al-Mukarramah, masa dirasa
amat terhad, semuanya mau diisi dengan amal ibadat sejak dari pagi hinggalah
kembali ke malam. Untuk berlamaan di Masjid al-Haram bagi mengisinya dengan
amalan, bahkan bagi mendapat ruang, maka seawal tiga pagi seharusnya sudah
bangun bagi membersih diri dan persiapan dan sekiranya dapat berada di ruang
masjid sebelum jam 4.00 pagi adalah lebih selesa untuk bersolat tahajud, hajat,
witir, berwirid, bertasbih, betahmid, berdoa dan membaca Al-Qur`an hingga
menjelangnya subuh dan muazzin menyampaikan azan. Jika berkemampuan ibadat
diteruskan, khususnya membaca Al-Qur`an sehingga ke siangnya yang perlu pulang
bagi mengikuti jadual makan pagi yang dikuti dengan tidur ganti bagi
mengembalikan tenaga dan kecergasan. Mulai jam 11.00 pagi seharusnya bersedia
untuk kembali ke Masjid al-Haram bagi mengisinya dengan ibadat sehingga
menunaikan zohor. Perkembalian ke penginapan bagi makan tengahari dan sebelum
jam 4.00 kembali ke masjid bagi menunaikan solat asar. Dan kembali jam 6.00
petang bagi menunaikan solat maghrib hingga Isyak. Itu adalah merupakan rutin
biasa di dalam menunaikan solat di masjid dan belum termasuk ke luar ke miqat
bagi yang menyempurnakan umrah termasuk tawaf dan saie dan bagi yang menunaikan
haji mengikuti rukun dan wajib haji. Manakala pada waktu-waktu lapang diambil
peluang untuk bertawaf sunat di samping menggunakan sebahagian masa untuk
menziarah ke lokasi-lokasi berkaitan dengan sejarah dan perkembangan Islam.
Sesungguhnya kehadiran dalam masa yang terhad
tidak ada peluang untuk mendalami keilmuan di Masjid al-Haram. Di dalam masjid
bahan yang disediakan ialah Al-Qur`an di rak-rak di almari atau di tiang-tiang
yang memudahkan para jamaah mencapainya untuk dibaca. Tidak ada kitab-kitab
atau buku-buku yang lain disediakan, kerana tiada lebih dari Al-Qur`an dari
segi pembacaan, khususnya di masjid dan tiada guru yang memimpin halaqah
keilmuan di waktu-waktu senggan, sebagaimana dapat diikuti di Masjid Nabawi,
itupun khusus pengajian atau hafalan Al-Qur`an. Barangkali sengaja dielak dari
pengajian keilmuan yang melibatkan mazhab dan berlainan pendapat di tengah
jamaah yang berlainan mazhab.
Seharusnya sumber dan tradisi ilmu dari Makkah
sebagaimana tradisi ibadat adalah bersumberkan Makkah. Keadaan sedemikian adalah
berlaku sejak zaman tradisi di alam Melayu yang merujuk dan bersumberkan
Makkah. Keislaman Pasai adalah bersumberkan Makkah dengan turunnya Syeikh
Ismail dari Makkah, demikian juga pengislaman Melaka dikaitkan dengan Syeikh
Abdul Aziz yang turun dari Makkah mengislamkan Raja Melaka. Merujuk kepada
pengajaran keilmuan Islam beraliran sunni ulama` yang dikenalpasti dan yang
pertama mengarang kitab fiqh di dalam bahasa Melayu, ialah Syeikh Nuruddin
al-Raniri seorang Arab berpengajian Makkah, turun ke Ranir (India) dan ke Aceh
dan mengarang kitab Fiqh Mazhab Shafie yang berjudul Sirat al-Mustaqim (di
samping beberapa judul yang lain). Ulama` terkenal tempatan Syeikh Abdul Rauf
Singkel adalah juga mengaji di Makkah yang antara gurunya ialah Syeikh Ibrahim
al-Kurani yang mengarang kitab fiqh dan tafsir terawal dalam bahasa Melayu
(terjemahan dan huraian terhadap Tafsir Baydawi). Syeikh Abdul Malik bin
Abdullah (Tuk Pulau Manis) ulama terkenal dari Terengganu juga mendapat
pendidikan di Makkah yang mengarang Hikam Melayu termasuk kitab fiqh Kifayah.
Ramai pula ulama-ulama yang berasal dari
Patani yang mengarang berbagai-bagai kitab di dalam bahasa Melayu semasa di
Makkah dan digunakan dengan meluas di pengajian-pengajian tradisi di Alam
Melayu. Yang terkenal dari kalangan mereka yang bergiat sejak pertengahan abad
ke 19 ialah Syeikh Daud al-Fatani. Ulama ini mengajar di Makkah, mengarang
kitab di dalam berbagai bidang berjumlah lebih dari 30 buah kitab dan beliau
mempunyai sejumlah murid yang juga menjadi penyalin-penyalin kitab (belum ada
percetakan). Salinan-salinan kitab ini disebarkan ke alam Melayu terutama
melalui mereka yang datang menunaikan haji dan bila wujudnya percetakan, maka
kitab-kitab Syeikh Daud dicetak di Makkah, Mesir dan Singapura dan makin luas
penyebarannya. Ulama-ulama lain dari Patani yang belajar di Makkah dan
mengarang kitab-kitab ialah seperti Syeikh Abdul Samad al-Falimbani yang
berasal dari Patani dan ke Palembang dan Makkah dan banyak mengarang mengenai
kitab tasawuf menurut pendekatan al-Ghazali. Syeikh Abdul Samad meninggal
syahid di Patani. Selain daripada itu ialah Syeikh Zainal Abidin dan Syeikh Nik
Mat Ismail al-Fatani yang mereka mengarang kitab fiqh. Dari Banjar pula yang
belajar di Makkah dan mengarang kitab Sabil al-Muhtadin ialah Syeikh Muhammad
Arshad al-Banjari. Apa yang disebut di atas adalah sebahagian sahaja dari
ulama-ulama Arab dan Jawi yang mendapat pendidikan di Makkah yang bersifat
terbuka pada masa mereka dan mengarang berbagai-bagai kitab keilmuan Islam yang
digunakan di dalam pengajian-pengajian keislaman di Alam Melayu yang
memperkukluhkan Islam di Alam Melayu. Apa yang dipaparkan ialah bagi
menunjukkan bahawa Makkah – termasuk Madinah, mempunyai pertalian yang erat
dari segi ibadat dan keilmuan Islam. Namun kekukuhan dari tradisi keilmuan
Islam dari Makkah-Madinah yang berlaku pada zaman tradisi itu tidak berlaku
pada masa kini. Pemergian lebih bersifat ibadat, apakah kerana berlainan mazhab
?
Sekian.
No comments:
Post a Comment