May 9, 2015

Takmilah Masjid Berfalsafah Tauhid, Penglahiran Taabbudiyyah, Mikraj Rohani Dan Penyatuan Ummah



Telah kita bicarakan puncak-puncak bagi masjid
Dari Masjid al-Haram ke Masjid Nabawi
Bahkan menghayati turut sama sujud di bumi
Berdepan Ka`abah sama mengelilingi
Sama mengukur jarak antara Safa dan Marwah
Sama bersolat di samping Rasulullah
Peluang berdamping bertempat di Raudah
Mengangkat tangan berdoa memohon syafaat.


Kita juga membicara masjid-masjid biasa
Tumbuh dibina di seluruh pelusuk dunia
Bertanah liat berdinding pasak beratap rumputan
Bertiang kayu berdinding dan berlantai papan
Berkasau nibung beratap rumbia atau beratap bata
Biar berada di bumi kontang berpadang pasir membahang
Atau diceruk kampung di selang seli pohon-pohon
Di tanah lapang, ditepi bukit atau di tepi sawah terbentang
Semuanya penglahiran cinta hamba biar berjarak masa
Menerima dakwah Rasulullah tentang keesaan Allah
Melahirkan kepatuhan melalui solat yang difardukan
Mikraj rohani sebagaimana mikraj berlaku pada Nabi
Mengesan peribadi nilai kebaikan menolak kejahatan.


Masjid-masjid walau sebesar atau sekecil mana
Fizikalnya di atas bumi hakikatnya bertapak di hati
Dibangun dari keringat dan susunan helai ikhlas
Bukan semata untuk solat dan ibadat
Tapi tapak benih semaian anak-anak
Lihatlah mereka bersih dari noda
Berpakaian sopan membawa muqaddam
Berdepan guru membaca al-Qur`an
Memahami fardu ain dan kewajipan
Di sini anak muda melentur jiwa
Cintakan masjid menghayati pendidikan
Bila melaut tidak lupakan keluarga
Biar setinggi mana kerjaya digapai
Tidak lupa masyarakat menatangnya.


Sesungguhnya identiti masjid dominan ialah azan
Setiap tiba waktu muazzin mengingatkan
Dan yang setia patuh berbundung datang
Qiyam rukuk sujud bersama imam
Jernih wajah berkesan dahi cahaya iman
Masjid bukan saja tempat kemudahan beribadat
Tapi dari masa ke masa diisi dengan pengajaran
Lantaran mengiringi solat atau khas diperuntukkan
Rancak dengan pengajaran dari kejauhan kedengaran
Dihadiri pencinta ilmu tempatan dan luaran
Disampai guru setempat atau jemputan
Lantaran di sini Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.

Masjid Rumah Allah kecintaan ummah
Lantaran di mana ada masjid ada jamaah mengimarah
Masjid bukan semata untuk solat dan pengajian
Tapi ia adalah institusi masyarakat menyatukan
Sesungguhnya masjid adalah syiar umat Islam.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
19 Rajab 1436 (Jumaat)

08 Mei 2015. 

No comments:

Post a Comment