May 26, 2015

Mengimbangi Kedudukan Tapak Masjid Al-Umm: Benteng Memperkasa Kedudukan, Menarik Pandangan


BBB, 07 Sya`ban 1436 = 25 Mei 2015 (Isnin):
Tapak Masjid Al-Umm sudah dikenalpasti dan diperuntukkan sejak awal dibangunkan BBB (1975). Kedudukan fizikalnya tidak boleh diubah lagi, iaitu diatas Lot 5117, Jalan 1/4A, Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi seluas 1.89 ekar, bersempadan dengan jalan ke Seksyen 2, bersebelahan padang awam dan perumahan semi D dan jalan dari Seksyen Satu ke Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan. Dari segi landscaping tapak Masjid Al-Umm adalah berada di antara dua kaki bukit, iaitu Bukit Bangi dan Bukit Mutiara (nama baru sesudah wujudnya perumahan di situ). Lantaran dengan kedudukannya di kaki bukit, maka kelihatan tapak Masjid Al-Umm berada pada tapak yang relatifnya sedikit tinggi dari level tanah biasa. Keberadaannya pada lembah antara dua bukit, maka dilihat juga tapak dan masjid berada di lembah bagi kedua bukit yang darinya mengalir turun air ke bahagian bawah ke Sungai Langat, lantaran itu perlembahan ini juga dikenali sebagai `wadi` (lembah) dan kerana di keliling kawasan berkenaan terdapat Dar al-Shifa`.  sekolah-sekolah – dua  rendah dan sebuah menengah, integrasi, kafa, sekolah agama, kompleks pendidikan Islam dan surau-surau yang giat menyebarkan keilmuan Islam, maka `wadi` berkenaan dikenali dengan `Wadi Ilmu`. Adalah diharapkan dengan berdirinya Masjid Al-Umm ianya memperkukuhkan kedudukan kawasan tersebut sebagai `Wadi Ilmu`.


Untuk menyempurnakan dari segi tapak, dengan kedudukannya yang sedia ada, maka pihak kontrektor yang memulakan kerja-kerja tanah memikirkan berdasarkan pengalaman, bagaimana kedudukan terbaik bagi tapak Masjid Al-Umm. Arah Qiblat menjadi pedoman utama bagi kedudukan masjid. Kerja permulaan ialah bagi meratakan tapak yang makin ke tepi, kedudukan tanah makin lembut. Tanah bahagian tepi jalan ke sekolah, bersebelahan dengan Medan Usahawan, adalah tanah yang ditolak dari bahagian dalam (atas) ke tepi.  Bahagian tepi ini dikira lebih lembut. Sebagai bukti tepian bersempadan dengan rumah semi –D, lama sebenarnya dari timbunan tanah dan sampah dan tembok bagi perumahan berkenaan tidak mempunyai konkrit bahagian bawah dan bagi menghadapi tanah mungkin turun dan merosakkan tembok, kaedah mengukuhkannya dilakukan (benteng L shape)  sebagai sempadan bagi salah satu bagi jalan masuk ke Masjid.


Bagi mengelak dari berlaku pergerakan tanah pada bahagian tepi tapak ke sebelah medan usahawan, naka pihak perunding mencadangkan dibina tembok bagi mengukuhkan tapak masjid. Lantaran itu selepas dari perataan tanah di dalam kawasan yang berpagar zinc biru (hoarding), maka antara kerja-kerja awal dilakukan ialah membina tembok (R.C.Wall). Tembok adalah sepanjang dari  sebelah kanan masjid hingga ke bahagian kiri yang tingginya lebih dari 10 kaki. Kerja-kerja dari bulan Januari 2014 hingga awal Februari 2014 adalah memakan masa selama 26 hari. Fungsi tembok ini adalah mengukuhkan tapak bagi masjid dan menahan pergerakan tanah yang menahan keberatan bangunan. Secara tidak langsung dengan pembinaan benteng ini, ia adalah sebagai dinding pagar yang memisahkan kawasan masjid dengan jalan awam pada bahagian bawah. Ruang tidak berpagar ialah jalan masuk berpintu pada bahagian kiri dan kanan. Dengan demikian dengan adanya benteng ini mengelak pencerobohan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam kawasan masjid pada bahagian depan masjid. Manakala jalan masuk dari bahagian permukaan adalah dikelilingi pagar.
Sebagaimana dibicarakan, bahawa pembinaan masjid tidak lari dari mengikuti elemen-elemen dominan yang mengidentitikan masjid seperti kubah, menara, mihrab,  mimbar, ruang wudhu` dn sebagainya, tetapi pembinaan sesebuah masjid tidak seharusnya mengambil seratus peratus plan binaan masjid lain, tanpa penambahan dengan daya kreativiti dan inovasi setempat sukar membezakannya dari masjid yang lain. Setiap masjid di samping mempunyai ciri-ciri dominan sesebuah masjid, seharusnya mempunyai kelainan dan ciri-ciri tersendiri yang boleh dikaitkan dengan ciri dan imej setempat. Misalnya Masjid Shah Alam (Masjid Sultan Salahuddin ibn Sultan Abdul Aziz Shah) berlainan dari masjid Alor Star dan berlainan dengan Masjid  Kuala Kangsar dan Johor Baharu (Sultan Abu Bakar) yang tiap satu ada ciri dan identiti tersendiri.
Kita berpendapat dari awal pembinaannya Masjid Al-Umm membawa ciri kelainan tersendiri. Pembinaan tembok (R.C.Wall) memberi imej dan identiti tersendiri terhadap masjid Al-Umm. Tembok seolah-olah satu tingkat terkeatas dari level bahagian bawah biasa yang menjadikan orang yang melihat mendongak ke atas, walaupun pada level benteng adalah tanah. Ini menjadikan Masjid Al-Umm yang tiga tingkat itu bagai 4 tingkat, walaupun pada hakikatnya adalah tiga tingkat sahaja.
Kedudukan Masjid Al-Umm dipinggir bukit dan berbenteng pada bahagian hadapan, dapat diimaginasikan sebagai sebuah bahtera atau kapal besar yang sedang berlabuh di dermaga, walaupun masjid ini tidak mempunyai elemen air yang memberi identiti bagi masjid di tepi air sebagai `Masjid Terapung` atau `Masjid Tasik` dan sebagainya. Bagi menghidupkan imej benteng bagi Masjid Al-Umm, ianya tidak akan berada sebagai benteng konkrit semen semata-mata, tetapi sedang difikirkan bagaimana benteng dapat digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkannya sebagai imej masjid seperti menjadikannya sebagai latar bagi `Taman Mini` bagi masjid yang dari atasnya menjalar ke bawah tumbuh-tumbuhan berjalir menghijau dan berbunga. Sebahagian mungkin diguna sebagai ruang iklan yang dikomersilkan atau digunakan sebagai latar bagi ``Islamic Mural`` yang berunsur pendidikan.


Walau bagaimana benteng adalah sebahagian dari bahagian bawah bagi tapak masjid. Adalah diharapkan ianya menjadi salah satu imej dan mekanisme bagi mempromosikan masjid yang fungsi utama tidak lain dari menyediakan tempat ibadat yang selesa bagi sesiapa yang menggunakannya. Di samping sebagai tempat ibadat masjid akan menjadi sumber ilmu pengetahuan keislaman yang melaluinya masyarakat dapat memetik bahkan mendalami ilmu pengetahuan keislaman, begitu juga masjid menjadi sumber pengajian bagi generasi muda dari peringkat anak-anak membawalah kepada anak-anak remaja. Bahkan melalui masjid ini adalah diharapkan ianya menjadi pusat kegiatan kemasyarakatan bagi semua lapisan masyarakat.


Walaupun masjid mendukung fungsi utama bagi pengibadatan, keilmuan, pendidikan dan kemasyarakatan elemen-elemen yang membawa kepada keselesaan dan keceriaan tidak diabaikan. Sesungguhnya masjid yang indah mengkhusyuk, mendamaikan  jiwa dan fikiran. Kita berharap Masjid Al-Umm berada di tengah masyarakat dengan imej-imej fizikalknya yang positif, tetapi lebih-lebih lagi dengan imejnya sebagai pusat keilmuan, pendidikan dan kemasyarakatan, sesuai dengan keberadaannya di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment