BBB, 20 Rajab 1436 = 09 Mei 2015 (Sabtu):
Setiap masjid mempunyai sejarah tersendiri.
Masjid al-Haram di Makkah pembinaannya dikaitkan dengan Nabi Allah Ibrahim
al-Khalil bersama anaknya Ismail. Pembinaan Masjid Nabawi di Madinah dilakukan
oleh Rasulullah s.a.w. dalam rangka hijrah Baginda ke Madinah.
Sebagaimana masjid-masjid yang lain, maka
Masjid Al-Umm mempunyai latar sejarahnya yang tersendiri. Masjid Al-Umm tidak
terpisah dari sejarah pembinaan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.
Pengwujudan Bandar Baru Bangi adalah sebagai pemangkin bagi kemajuan UKM.
Bandar Baru Bangi adalah diharapkan menjadi `Bandar Universiti` - UKM. Sebab
itu apabila tapak UKM dikenalpasti sejak 1972, turut dikenalpasti tapak bagi
Bandar Baru Bangi dan apabila kampus UKM
mulai dibangunkan, maka turut dibangunkan ialah tapak perumahan Bandar Baru
Bangi.
Pembangunan Baru Bangi 1975 adalah bermula
dengan Seksyen Satu yang mana tapak bagi sebuah masjid disediakan di Seksyen
Satu, di pinggir bukit Bangi (bersempadan dengan Seksyen 2). Perumahan awal
dibangunkan ialah perumahan jenis semi D (8 lorong), rumah teres dua tingkat
(dua baris) dan perumahan teres setingkat type A dan B yang kesemua berjumlah
200 buah rumah.
Perpindahan ke kampus UKM dari Jalan Pantai
Baru, Kuala Lumpur (kampus sementara sejak 18 Mei 1970) ialah pada bulan
Oktober 1977 (berperingkat). Penulis selaku pensyarah pada masa itu mula
menghantar buku-buku ke pejabat kampus Bangi pada 26 Oktober 1977, diikuti
pemindahan mereka yang membeli rumah di Bandar Baru Bangi ialah pada 30
November 1977. PKNS yang berpejabat di Taman Mesra Kajang menyerahkan kunci rumah
pada tarikh tersebut dibuat di tapak perumahan BBB.
Pada peringkat permulaan belum timbul tentang
keperluan mendirikn masjid di Bandar Baru Bangi, sedangkan di kampus UKM
sendiri masih belum ada masjid. Pada peringkat permulaan bagi penduduk Bandar
Baru Bangi yang masih kecil bilangan itu dan juga bagi warga kampus UKM
bersolat Jumaat adalah di Masjid Kajang. Bagi penduduk awal Bandar Baru Bangi
untuk ke Kampus dan Masjid Kajang terpaksa melalui jalan teras jernang melalui
jambatan kayu atau jalan pintas melalui jalan tanah kebun getah dan kelapa
sawit keluar melalui jambatan di West Country ke Kajang. Jambatan ke UKM
sebagaimana kini belum lagi dibina.
Apabila warga kampus makin ramai berpindah,
maka pihak UKM mengadakan solat Jumaat di hadapan foyer Pejabat Pentadbiran,
UKM, tapi oleh kerana tempat ini kurang selesa, maka ruang solat Jumaat
dipindahkan ke ruang legar Fakulti FSKK. Apabila bangunan Perpustakaan UKM siap
dibina. Rasmi pembukaannya pada 19 Sya`ban 1400=02 Julai 1980, maka solat
Jumaat dilakukan di tingkat bawah bangunan Perpustakaan Tun Seri Lanang
tersebut hinggalah Masjid UKM yang mula dibina pada 16 Mac 1979 itu siap dan
mula digunakan pada 16 April 1982. Dengan adanya Masjid UKM ini, maka solat
Jumaat bagi penduduk BBB menunaikan solat Jumaat di sini.
Adapun bagi mendirikan solat berjamaah pada
peringkat awal diadakan solat berjamaah
dari rumah ke rumah sebagai amalan usrah, namun selepas penduduk mengadakan AJK
bagi mengadakan aduan kerosakan kepada pihak PKNS, maka AJK ini sebagai
persatuan penduduk yang diketuai oleh Encik Omar Jaafar dan disetiausahakan
oleh Encik Salleh bin Kasim yang mana Encik Omar Jaafar sebagai Pegawai
Pentadbir UKM dilantik menjadi Ahli Ahli Majlis Daerah Hulu Langat, maka beliau
yang selaku YDP Persatuan Penduduk pertama BBB telah berusaha mendapat sebuah
bangunan yang dapat dijadikan surau bagi penduduk BBB yang pada masa itu hanya
mempunyai satu seksyen sahaja. Di atas usaha ini maka pihak PKNS bersetuju
menyerahkan sebuah rumah semi D beralamat No. 6, Jalan 1/3G sebagai surau bagi
penduduk. Bangunan ini secara rasmi diserahkan oleh pihk PKNS kepada Penduduk
BBB pada 5 Ogos 1978. Penduduk BBB
mengadakan gotong royong membersih rumah tersebut yang secara kebetulan juga
bagi menyambut awal Ramadhan, maka pada 6 Ogos 1978 bersamaan 01 Ramadhan 1395
Surau mula digunakan. Nama Surau Al-Umm diberi nama, kerana inilah surau
pertama digunakan oleh penduduk BBB. Nama Al-Umm bererti `Ibu` bagi surau BBB.
Dengan adanya Masjid di UKM dan Surau al-Umm di Seksyen Satu BBB, maka penduduk
tidak memikirkan tentang mendirikan masjid buat pada masa itu.
Walau bagaimana oleh kerana adanya tapak bagi
masjid di Seksyen Satu, maka pada tahun-tahun 1990an ada usaha untuk mendirikan
surau dari AJK Surau al-Umm. Pihak Setiausaha Surau pada masa itu Tuan Haji
Hussein Yunus pernah membuat permohonan kepada pihak JAIS bagi mendapat
kebenaran bagi mendirikan surau, dan pernah dilancarkan pemungutan derma,
tetapi usaha ini terhenti. Apa lagi pada awal 1990an selepas berlaku
pertambahan perumahan seperti jalan 1/7 hingga 1/9, maka timbul dari kalangan
penduduk berkenaan usaha mendirikan surau yang kini dikenali dengan Surau
Al-Nur. Surau ini terkenal sebagai surau yang mengadakan solat Jumaat dan
banyak menjalankan kegiatan keilmuan dan mendapat sambutan dengan adanya
guru-guru setempat dan guru-guru yang didatangkan dari luar. Tenaga utama yang
menggerakkan surau ini yang asalnya AJK Surau Al-Umm ialah Tuan Haji Ghazali
Abbas. Surau ini menjadi lebih terkenal dengan adanya Dar al-Shifa` yang pusat
kegiatannya berdekatan dengan Surau al-Nur dan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
yang asalnya tinggal di Taman Bangi Kajang berpindah dan menetap di Jalan 1/9
BBB di sini. Perlu disebut selepas 1990an, kawasan BBB makin meluas, beberapa
seksyen bertambah seperti Seksyen 2, 3 dan 4, maka penduduk bagi
seksyen-seksyen berkenaan berusaha mendirikan surau bagi kawasan perumahan
masing-masing, maka makin bertambahlah surau-surau di BBB. Walau bagaimana
hingga kepada masa tersebut belum ada masjid khas bagi BBB hinggalah pada akhir
1990an ini pihak Kerajaan negeri Selangor melalui PKNS mengadakan bangunan
masjid, walau bagaimana pemilihan tapak tidak dilakukan pada tapak asal yang
disediakan untuk masjid di Seksyen Satu BBB, kerana pada masa itu dengan
bertambahnya berbagai seksyen di BBB – hingga Seksyen 9, maka tapak di Seksyen
Satu BBB dilihat tidak lagi strategik, lagi pula keluasan tapak berkenaan
dilihat terlampau sempit bagi sebuah masjid (1.93 ekar), sebaliknya sebuah
tapak baru yang strategik yang berada di kawasan pusat bandar di seksyen 9,
telah dipilih bagi Masjid BBB. Adalah difahamkan pada asalnya dirancang bagi
mendirikan `Pusat Islam` BBB yang luasnya melebihi 10 ekar, tapi yang menjadi
realiti hanya Masjid BBB sahaja didirikan yang kemudiannya dikenali sebagai
Masjid Al-Hasanah di atas tapak lebih kurang lima ekar. Ini adalah merupakan
masjid terawal didirikan di Bandar Baru Bangi dan masjid yang terkenal dengan nama
Masjid Al-Hasanah ini mula digunakan pada akhir tahun 2,000. Maka dengan adanya
Masjid Al-Hasanah, di samping penduduk juga boleh menggunakan Masjid UKM, maka
tiada timbul soal mau mendirikan Masjid di Seksyen Satu BBB. Namun tapak
berkenaan tetap kekal bagi bangunan masjid - kawasan yang berdekatan dengan sebuah padang dan
Sekolah Kebangsaan BBB itu ditumbuhi hutan kecil.
Sekian.
No comments:
Post a Comment