Keperluan masjid, paling utama ialah bagi
tempat mendirikan solat secara jamaah dan untuk berjumaat. Sebarang bentuk
bangunan yang bersih dan mengadap Qiblat, sudah cukup untuk digunakan sebagai
masjid. Bahan-bahan binaan boleh digunakan dari bahan setempat, sebagaimana
Rasulullah s.a.w. di dalam membina Masjid Nabawi adalah menggunakan bahan-bahan
setempat daripada batang, pelepah dan daun kurma, batu-batu, pasir dan krikil,
maka bangunan seluas 100 hasta lebar dan panjang itu menjadi Masjid Nabawi
terawal. Dalam kata lain masjid penting dan perlu dibina di dalam kawasan
penduduk Islam bagi keperluan solat, berjamaah dan berjumaat. Dari segi
meterial pembangunan terpulang kepada kewujudan bahan setempat yang sesuai
dijadikan bahan binaan. Di utara Afrika, masjid tradisional didirikan dari
bahan selut dan tanah dengan rangka binaan dari batang-batang dan dahan-dahan
pokok. Rumput-rumput panjang dijadikan atap yang dapat mengurangkan kepanasan.
Di alam Melayu masjid-masjid tradisi didirikan
dari batang-batang pokok besar yang digergaji menjadikan tiang, belira, rasuk,
dinding, lantai dan tanggang untuk bumbung, manakala atap yang lebih
tradisional menggunakan daun nipah yang dianyam menjadi atap rumbia, manakala
yang lebih bermutu atap dari batu bata yang dibakar dan disangkut atas kasau
hingga tersusun menjadi lebih menarik. Misalnya antara masjid tradisi di
Terengganu yang dianggap lebih kukuh dan teguh didirikan berasaskan dua buah
rumah limas yang digandingkan menjadikannya bangunan yang agak tinggi, boleh
berdiri di bawah. Misalnya dalam ingatan Penulis Masjid Kampung Nyiur Paka,
pada asalnya adalah gandingan dua buah rumah limas. Kayu-kayu dan bahan binaan
didapati dari hutan di kaki Bukit Bauk. Secara gotong royong kayu seperti
cengal, meranti, medang, kuin dan kapur ditebang dan digergaji bagi mendapatkan
tiang, rasuk, belira dan berbagai lagi. Masjid ini didirikan sebelum perang
dunia kedua dan masjid dari kayu ini kekal hingga kini. Walaupun pihak penduduk
ditawarkan dengan binaan batu, tetapi penduduk masih mempertahankan bangunan
dari kayu. Perubahan berlaku, hanya tiang-tiang cengal yang agak tinggi itu
dipotong bagi merendahkan bangunan masjid berkenaan. Masjid ini masih kekal
sehingga kini dengan penambahbaikan, tetapi bangunan kayu tetap dipertahankan.
Rata-rata bangunan masjid tradisi di alam Melayu
adalah dibina dari kayu, lantaran ianya adalah bahan lumrah kedapatan.
Masjid-masjid sejak abad ke 17 mencerminkan falsafah dan pegangan semasa,
misalnya pegangan kepada falsafah
wahdatul wujud dan melihat susunan perjalanan dan peningkatan kualiti
rohani daripada syariat, tariqat,
hakikat dan ma`rifat, lantaran itu dilihat bangunan masjid tradisi yang
dipengaruhi pandangan ini bumbungnya terdiri dari empat tingkat yang
mencerminkan tingkat-tingkat tersebut. Contoh bangunan masjid awal yang dibina
bertingkat sedemikian seperti Masjid Demak, di Jawa, Masjid Kampung Laut, Kota
Bharu dan Masjid Lama Pekan, Pahang. Walaupun dikatakan bahawa bangunan masjid
bumbung bertingkat ini ada kaitan dengan fahaman falsafah wahdat al-wujud,
mungkin falsafah ini tidak timbul bagi masyarakat awam atau yang lebih
kemudian, lantaran pembinaan masjid sedemikian adalah praktikal bagi suasana di alam Melayu. Bangunan sedemikian bertujuan
menjadi ruang bagi kemasukan angin ke dalam bangunan, sebab jika pada hari
panas, maka ianya dapat menyejukkan bahagian dalam dan bawah bangunan masjid.
Selain dari memudahkan larian angin ke dalam bangunan ianya melancarkan air
hujan yang turun dengan agak laju, berbanding jika atap hanya setingkat
berbentuk V terbalik. Dengan bentuk
bertingkat juga boleh mengurangkan tekanan angin ribut yang boleh merosakkan
bangunan, khususnya atap dan bahagian atas bangunan. Lantarai itu kita melihat
masjid-masjid tradisi yang lebih kemudian, masih mengekalkan bangunan masjid
yang atap bertingkat. Bangunan masjid-masjid seperti ini masih kedapatan di
banyak tempat di negeri Selangor seperti Masjid Dato` Dagang Kampung Jawa,
Masjid Rahmani, Kampung Permatang, Selangor, Masjid Badli Shah, Kampung Parit
6, Masjid Al-Nur, Kampung Sungai Haji Derani dan beberapa yang lain (Mohd
Zainudin Abdullah & Noorhayati Md. Yatim, Warisan Masjid-Masjid Lama Di
Selangor, PADAT, Selangor 2012: 194hlm.).
Satu ciri masjid berbentuk bertingkat ialah
masjid-masjid tradisi Melaka yang dikatakan mempunyai pengaruh senibina masjid
di Cina. Melaka pada zaman kegemilangannya diketahui rapat dengan negeri Cina.
Sultan Mansur Shah dikatakan pernah
melawat negeri Cina dan Cina menghadiahkan kepada Raja Melaka Puteri Hang Li
Po. Dengan adanya hubungan Melaka Cina dan ada yang berpendapat Islam Melaka
melalui Cina, maka dilihat seni bina masjid di Melaka ada hubungannya dengan
seni bina masjid di Cina seperti Masjid Alai, Kg. Keling, Kampung Hulu dan
banyak lagi. Bukti kaitan pengislaman Melaka
ada kaitan dengan Cina adalah dikatakan Laksamana muslim dari Cina iaitu
Muhammad Cheng Ho singgah di Melaka. Identiti seni bina masjid ala pagoda Cina
ini menjadi identiti bagi seni bina masjid negeri Melaka, bahkan pembinaan
Masjid Negeri Melaka adalah diambil dari ciri senibina masjid tradisi negeri
Melaka yang dikenali sebagai Masjid al-Azim Melaka.
Meskipun diperkatakan bahawa, terdapat
pengaruh-pengaruh tertentu di dalam senibina masjid di alam Melayu, namun di
samping pengaruh-pengaruh berkenaan, sebenarnya bentuk seni bina rumah yang berciri
tempatan adalah merupakan senibina dominan di dalam pembinaan masjid. Dapat
dikatakan sebelum awal abad 20 pembinaan
bangunan dari semin adalah tidak begitu wujud di alam Melayu, kecuali
jabatan-jabatan kerajaan dan
bangunan-bangunan pentadbiran yang pembinaannya adalah dari semin,
selain daripada itu, pembinaan masjid, lebih-lebih bangunan untuk solat yang
lebih kecil yang dikenali dengan surau, musalla, madrasah, balai dan langgar
adalah dibina dari kayu-kayu dan papan yang lumrah terdapat secara tempatan.
Ciri-ciri bangunan masjid yang bersifat
tempatan pada zaman tradisi belum ada apa yang menjadi identiti masjid-masjid
kini yang mempunyai menara, kubah dan mihrab sebagaimana kini. Menara tidak
dibina, kerana tidak mempunyai kemudahan, seperti pembesar suara pada masa
kini. Cukup bagi muazzin yang lebih dikenali sebagai bilal itu mengalunkan azan
dari bahagian hadapan masjid. Masjid tradisi lebih mengambil rumah lama
setempat dan tidak mempunyai kubah yang menjadi identiti bagi masjid kini. Untuk
memasang kubah yang agak berat kurang bersesuaian di atas puncak atap dari
rumbia dan tidak bersesuaian dengan senibina bahagian atap berbentuk V
terbalik. Keberatan kubah mungkin tidak sesuai dengan struktur atap bagi masjid
yang menggunakan kayu-kayu dan atap rumbia. Untuk melambangkan mihrab dibina
ruang kecil menonjol ke hadapan bagi melambangkan mihrab. Walau bagaimana pada
zaman moden ini dalam mana harga kayu lebih mahal dari semin, dan bangunan kayu
tidak begitu tahan dan mudah terbakar, maka kita dapati material bagi membina
masjid telah berubah dari menggunakan kayu kepada penggunaan semin, sebagaimana
juga berlaku perubahan kepada pembinaan rumah biasa. Perubahan penggunaan
material semin, batu dan besi mempengaruhi bentuk dan seni bina masjid.
Sekian.
No comments:
Post a Comment