May 22, 2015

Doa Selamat, Penetapan Arah Qiblat Dan Niat


BBB,  03 Sya`ban 1436 = 21 Mei 2015 (Khamis):


Perkara yang penting dan berkaitan dengan rukun solat yang menentukan sah atau tidak solat ialah mengadap Qiblat. Ayat al-Qur`an bermaksud:
``Dari  mana jua engkau keluar (untuk bersolat), maka hendaklah engkau menghalakan wajah engkau ke arah Masjid al-Haram.`` (al-Baqarah: 150).
Salah satu keperluan masjid yang mau didirikan mestilah mengambil kira tentang penetapan arah Qiblat sebelum bangunan didirikan.
Sebagaimana telah dimaklumi, kerja-kerja tanah sudah bermula dari 21 Disember 2013, maka bersesuaian dengan permulaan kerja tanah dan sebelum bermula sebarang pembinaan, maka sewajarnya keperluan menetapkan Qiblat perlu disempurnakan terlebih dahulu. Tindakan telah diambil sebaik kelulusan plan pembinaan Masjid Al-Umm oleh MPKj dengan menghubungi Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Selangor bagi mendapat keizinan bagi menentukan arah Qiblat.


Dalam masa yang sama sempena dengan permulaan kerja tanah pihak AJK Pembinaan Masjid Al-Umm telah membincangkan dalam mesyuarat sejak 20 Disember 2013 untuk mengadakan `Majlis Doa Selamat` sempea dengan permulaan `kerja tanah` bagi Masjid Al-Umm. Adalah diambil keputusan bagi menjemput Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bagi memimpin `Majlis Do`a Selamat` tersebut di tapak pembinaan Masjid Al-Umm pada pagi 2 Januari 2014.  Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din adalah merupakan Penaung Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Permohonan agar Tuan Guru menjadi Penaung telah dibuat keputusan AJK Pembinan dan kunjungan AJK Pembinaan menemui Tuan Guru dilakukan pada 6 Julai 2013 di Kompleks Pendidikan Islam Bangi, selepas Tuan Guru menyampaikan ceramah di situ pada pagi tersebut. Adalah tidak manis selama ini nama beliau telah digunakan tanpa perlantikan beliau menjadi Penaung secara rasmi. Taklimat pembinaan Masjid Al-Umm dan penyampaian dokumen mengenai masjid disampaikan kepada Tuan Guru pada tengahari diikuti jamuan bersama AJK dan Pentadbir KPI.
Adalah secara kebetulan pihak Pejabat Mufti Negeri Selangor memberi respond segera bagi permohonan Majlis Penetapan Arah Qiblat. Lantaran itu kedua-dua majlis dapat dijalankan pada hari yang sama. Pihak Tuan Guru juga diminta sama merasmikan Majlis Penetapan Arah Qiblat berkenaan.


Pada 2 Januari 2014 ini pihak Tekad Nusantara sedang menolak tanah (buldozar) dan membersih pokok-pokok yang masih belum dibuang sebelumnya. Tangga yang dibina oleh pihak MPKj masih belum diruntuhkan dan majlis diadakan pada tapak masjid di atas, tidak jauh dari tangga.
Majlis Doa Selamat dan Penetapan Arah Qiblat ini dapat dikatakan sederhana. Tamu-tamu istimewa yang dijemput ialah selain dari Tuan Guru ialah Adun Bangi, Ahli Parlimen Hulu Langat, Pengarah JAIS, Jabatan Mufti, YDP MPKj, Pegawai Daerah Hulu Langat, Jurutera Hulu Langat, Pegawai Tadbir PAID, Nazir Masjid al-Hasanah, YDP Persatuan Penduduk BBB, Kontroler PKNS, Ketua Polis Kajang, Ketua Balai Polis BBB, Ketua Balai Bomba Bangi, Arkitek, Kontrektor dan Perunding-Perunding Pembinaan Masjid BBB, Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah di BBB dan Pengerusi-pengerusi surau-surau di BBB.


Majlis ringkas dan sederhana itu dihadiri lebih kurang 100 orang dengan pembacaan doa oleh Tuan Guru dilakukan pada tapak Masjid Al-Umm. Kemudian diikuti dengan Majlis Penetapan Arah Qiblat.
Dari pengalaman Penulis yang banyak terlibat dengan Majlis Pecah Tanah dan Penentuan Arah Qiblat, khususnya berhubung dengan pembinaan surau-surau, tugas Pejabat Mufti menetapkan Qiblat dilakukan oleh kontrektor berpengalaman yang dilantik bagi melaksanakan urusan penetapan arah Qiblat mengikut zon-zon. Bagi majlis-majlis penetapan arah kiblat, kontrektor/juru ukur inilah yang datang dan tidak semestinya pegawai dari Pejabat Mufti yang datang. Pengukur-pengukur bagi penetapan arah kiblat ini adalah mendapat tauliah dan diberi amanah bagi mengesahkan arah Qiblat. Sebenarnya seluruh negeri Selangor dari peringkat negeri, daerah, pekan dan kampung sudah tersedia sifir darjah dan minit bagi ukuran penentuan arah Qiblat. Berdasarkan sifir yang ada diadjust dengan ukuran yang didapati. Walau bagaimana pada majlis perasmian seperti juga bagi Masjid Al-Umm peralatan dan arah Qiblat disediakan dan secara formaliti arah Qiblat ini dirasmikan oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Selepas perasmian arah ini yang arahya ditanda dengan pancang kayu, diminta oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dipastikan pancangnya dari batang besi dan dipastikan juga arah ini tidak berubah dengan berlakunya pergerakan tanah yang sedang giat dilakukan.
Dari ukuran yang dibuat antara jam 9.00 hingga 10.30 pagi di Tapak Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi kedudukan ukuran arah Qiblat Masjid al-Umm adalah sebagaimana berikut:
Latitude:            02 darjah      56 minite      40 second
Longitude:       101 darjah      46 minite      15 second
Arah Qiblat:    292 darjah       36 minite      58 second
Tarikh Pengesahan:     02 Januari 2014
Diuperakukan Oleh:    Dato` Seri Utama Diraja, Mufti Selangor
Tarikh:                           03 Januari 2014
Surat Dari Jabatan Mufti:   06 Rabiul Awal 1435 bersamaan 08 Januari 2014.
Demikianlah penetapan Arah Qiblat bagi Masjid Al-Umm juga adalah mempunyai simbolisme, bahawa di dalam mendirikan Masjid Al-Umm ini seharusnya membetuli dari segi Qiblat maknawi, iaitu niat dari awal semestinya kena betul bagi mendirikan `Rumah Allah` dan arahnya juga mesti ikhlas dan sumber kewangan bagi mendirikannya semestinya yang halal dan adalah semuanya kerana Allah dan atas dasar `taqwa` agar ianya membetuli dengan firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya masjid (Quba`) yang engkau bina (wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya) sudah sepatutnya engkau solat padanya.``
                                                                         (Al-Taubah: 108)
Kita percaya di atas niat, semata keikhlasan dan taqwa kepada Allah, maka insya Allah masyarakat memberi kepercayaan dan insya mereka akan bersama-sama membina Masjid Al-Umm secara ikhlas dan atas dasar  taqwa – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment