May 14, 2015

Memperkasa Tenaga Ahli Jawatankuasa - Tonggak Utama Takmilah


BBB, 24 Rajab 1436 = 13 Mei 2015 (Rabu):


Kerja membina masjid bukan kerja perseorangan, tetapi adalah kerja jamaah yang perlu berurusan dengan banyak pihak. Perlantikan AJK pada peringkat permulaan adalah bersesuaian dengan masa permulaan, tetapi melalui mesyuarat-mensyuarat dan perbincangan-perbincangan adalah dicadangkan supaya keahlian ditambah oleh beberapa kewajaran. Perlantikan pada peringkat permulaan adalah dengan mengambil kira perlunya perwakilan dari sepuluh buah surau yang berada di sekeliling tapak Masjid al-Umm dan perlantikan diharap mewakili suaru-surau berkenaan di dalam AJK, walaupun tidak semua AJK mewakili setiap surau berkenaan. Perlantikan juga dengan mengambil kira golongan muda sebagai pelapis. Namun pengurusan ke arah pembinaan berjalan agak kurang lancar diakibatkan ada antara AJK yang mewakili surau diharap dapat memberi kerjasama dan tenaga tidak memberi kerjasama yang diharapkan, bahkan tidak datang mesyuarat. Ada kalangan yang dilantik jatuh sakit dan uzur dan tidak dapat memberi kerjasama oleh keuzuran, manakala beberapa tenaga muda yang diharapkan dapat memberi kerjasama dengan tenaga muda mereka juga tidak memberi kerjasama yang diharapkan.


Sebenarnya tenaga AJK adalah paling penting. Bahkan merupakan tonggak utama dalam `Takmilah`. Dari mereka dapat dijana idea-idea bernas, segar dan mantap. Dari mereka diharap mencetuskan sentuhan seni bina kreatif dan inovatif dan dapat memberi tenaga kerja dan usaha bagi menjayakan pembinaan dan kombinasi dari semua diharap pembinaan masjid mencapai piawayan Takmilah baik dari segi kesegaran idea, kreativiti, estetika dan tenaga kerja. Melalui mesyuarat-mesyuarat timbul cadangan dari semasa ke semasa agar dijemput tenaga pakar, berkeilmuan dan berpengalaman agar menyertai AJK. Misalnya Tuan Haji Omar Jaafar telah dicadangkan agar dijemput menyertai AJK sebelum Majlis Pelancaran Derma Masjid Al-Umm (19 Mei 2012). Jemputan terhadap beliau memandangkan bahawa beliau adalah merupakan Bekas YDP Pertama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, pernah menjadi Pegawai Tadbir Pembangunan UKM, UIAM dan Telekom Malaysia. Beliau menerima perlantikan dan antara sumbangan idea penting beliau, bahawa AJK perlu melantik AJK Teknikal bagi mengendalikan perkara-perkara yang berkait dengan teknikal dari segi pembangunan. Hasil dari cadangan beliau seorang pakar dalam bidang engineering yang juga tenaga pensyarah di Fakulti Engineering UKM, iaitu Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad dilantik menjadi AJK pembangunan, bahkan apabila diwujudkan AJK Teknikal (akhir 2012) beliau dilantik mengetuai AJK Teknikal berkenaan. Turut dilantik ialah Ir. Tuan Haji Ghazali bin Hussin Bekas Engineer di IKRAM Malaysia yang kini mempunyai Firma Engineeringnya sendiri. Apabila diwujudkan AJK Tapak yang menyeliakan pembangunan beliau dilantik selaku Pengerusi AJK Tapak (awal 2014). Turut dilantik ialah YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang baru, iaitu Tuan Haji Ahmad Sufie Munasir yang menggantikan Dr. Tajul Ariffin Noordin sebagai AJK Pembangunan. Adalah dengan kedudukan beliau sebagai YDP Persatuan Penduduk BBB memudahkan urusan terutama dengan pihak-pihak jabatan dan kerajaan tempatan serta dengan penduduk Bandar Baru Bangi. Turut dilantik ialah Tuan Haji Mohd. Kalok bin Latiff Bekas Pendaftar UPM dan pakar di dalam bidang koperasi yang diharap beliau kelak akan memimpin Koperasi Masjid Al-Umm yang insya Allah dalam proses penubuhan. Sebagaimana telah disebut Yang Mulia Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dikenalpasti sebagai seorang arkitek yang mewakili Syarikat Urusbina Sdn. Bhd. Arau, Perlis dan tinggal di perumahan Seksyen 2 berdekatan tapak Masjid Al-Umm dilantik mengetuai bahagian arkitek. Ada antara mereka yang bertukar jawatan seperti Tuan Haji Hussin Yunos Bekas Pegawai PKNS dan Hasil Dalam Negeri Setiausaha AJK pertama ini terpaksa menarik diri dan  menjadi AJK biasa pada awal 2013 oleh faktor kesihatan (Tuan Haji Hussin menjalani pembedahan jantung di IJN pada 9 Mei 2015 baru-baru ini dan al-hamdulillah syukur selamat), tempat beliau diambilalih selaku Setiausaha ialah Tuan Haji Suib bin Maulud Bekas Pendaftar UPM dan UMT, disamping mereka mulai awal 2013 dilantik Setiausaha Kerja iaitu Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar. Maka mulai November 2012 saff AJK bagi pembinaan Masjid Al-Umm adalah sebagaimana berikut:
1)      Dr. Haji Shafie bin Abu Bakar     - Pengerusi Induk
2)      Ir. Haji Ishak bin Arshad              - Pengerusi AJK Teknikal (mulai akhir 2012)
3)      Haji Ghazali bin Hussin                - Pengerusi AJK Tapak (mulai awal 2014)
4)      Haji Ahmad Sufie bin Munassir  - YDP Persatuan Penduduk BBB
5)      Haji Mohd. Nor bin Haji Mohd Yasin – Bendahari (Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik)
6)      Haji Suib bin Maulud                   - Setiausaha (Mac 2013)
7)      Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad     (Arkitek)
8)      Dr. Tajul Ariffin bin Noordin      - Ketua AJK Pendidikan
9)      Haji Abdul Rahman bin Daud    - Pengarah Pembangunan Tapak (mulai awal 2014)
10)   Hj. Ahmad bin Haji Hasbullah
11)   Haji Mohd Kalok bin Latiff
12)   Mohd. Ghazali bin Haji Abbas
13)   Haji Hussin bin Yunos
14)   Haji Omar bin Jaafar (hingga akhir 2013)
15)   Mohd Adham bin Anuar          - Setiausaha Kerja.
Jelas dari perlantikan yang dibuat dari masa ke masa ke tahun 2013 mencerminkan satu barisan pakar di dalam bidang pentadbiran, engineering, teknikal dan arkitek. Selain dari firma arkitek, bahwa perlu disebutkan, biarpun dilantik tenaga-tenaga pakar di dalam AJK-AJK, bahawa semua mereka adalah memberi tenaga sukarela di dalam memberi idea dan cadangan, bahkan mereka turut sama hadir ke mesyuarat-mesyuarat mingguan di dalam beberapa AJK yang mereka dilantik. Peranan mereka besar di dalam mencetuskan idea-idea bernas seperti di dalam memilih kontrektor, firma-firma yang terlibat di dalam pembinaan bangunan, mihrab, menara, mimbar, dekorasi dalaman, perabut, permaidani dan berbagai-bagai lagi. Pembaikan-pembaikan yang dibuat adalah merupakan usaha mencari titik Takmilah di dalam usaha mencari satu hasil yang sempurna – Masjid Al-Umm, sekadar termampu.


Adalah diyakini masyarakat melihat kepada progress pembinaan yang dibuat yang maklumat dan perjalanan sentiasa dipaparkan kepada mereka dari semasa ke semasa dan mereka dapat melihat sendiri dengan mata kepala mereka tentang progress yang dilakukan bagi pembinaan masjid. Kita bersyukur kepada Allah di atas kepercayaan masyarakat terhadap AJK, lantaran itu mereka terus menyalurkan derma berterusan dan dapat dikatakan bahawa hingga ke tahap kini, masalah kewangan tidak menjadi halangan bagi progress pembinaan. Kita berusaha bagi mempersembahkan masjid terbaik kepada masyarakat dan insya Allah akan mengisinya dengan pengimarahan dan kegiatan-kegiatan yang mencerminkan Masjid Al-Umm adalah pusat ibadah, sumber ilmu dan pusat kegiatan kemasyarakatan yang berada di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment