BBB. 06 Sya`ban 1436 = 24 Mei 2015 (Ahad):
Makna imbang bermaksud, keberadaan sesuatu
pada tempatnya secara saksama, tidak melebihi bahagian dari bahagian yang lain,
berukur dan bersukat secara sama dan
saksama di antara satu dengan yang lain. Imbang dan berimbang adalah fenomena
kewujudan yang boleh disaksi dengan mata kepala dan juga dengan mata minda.
Dengan berimbang cakerawala menghasilkan putaran yang harmoni dan tidak berlaku
pertentangan dan pertembungan yang merosakkan. Firman Allah bermaksud:
``Dia menggerakkan matahari, bulan dan
bintang-bintang (berimbang) di atas orbit masing-masing menurut perintah Nya.``
(Al-A`raf: 54).
Dengan berimbang antara malam dan siang
menghasilkan iklim dan cuaca yang baik yang memberi keselesaan hidup bagi
hidupan dan tumbuhan, dengan berimbang dari segi makan dan minum memberi
kesihatan yang baik bagi pengamalnya. Firman Allah bermaksud:
``Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan
bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan
malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu dari
tiap-tiap apa jua yang kamu berhajat kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat
Allah, nescaya lemahlah kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar)
begitu zalim dan kufur (Ibrahim: 33-34).
Fenomena yang lain dapat dilihat dari segi
keimbangan ialah sebuah pesawat kapalterbang dapat meluncur laju dari lapangan
terbang ke angkasa dan terbang berpuluh jam
hingga sampai ke destinasi secara selamat, sebuah pokok yang rendang
dapat berdiri tegak dan tidak mudah ditumbangkan oleh angin dan ribut lantaran
keseimbangan dahan-dahan dan daun-daun yang mengimbangkan tegak berdirinya
pokok tersebut.
Ciri keimbangan juga berlaku dalam sastera dan
seni bina. Sebuah pantun mempunyai keimbangan dari segi susunan baris, susunan
kata dan suku kata bagi setiap baris dan susunan barisnya pula mengikut
skema ab, ab. Sebagai contoh pantun:
Pagi-pagi pergi ke ladang,
Hendak menyemai si benih padi;
Betapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harapan hati.
(Sekalung
Budi Seuntai Bahasa, DBP, 1990: 48).
Keimbangan dapat dilihat dalam mana setiap
baris mempunyai empat perkataan dan bagi setiap baris mempunyai 9 – 10 suku
kata. Susunan barisnya menurut skema pantun iaitu ab, ab. Dalam mana dua baris pertama sebagai pembayang dan baris
kedua adalah sebagai maksud. Pantun di susun berimbang dan digubah oleh orang
yang faham dengan ciri dan estetika pantun. Pantun di atas begitu indah dan
tinggi dari segi daya estetik.
Seterusnya konsep `Imbang` dan `Berimbang`
adalah seharus, bahkan semestinya menjadi ciri seni bina. Keimbangan seharusnya
diberi perhatian bermula dari segi pemilihan tapak. Apakah tapak berada di atas
tanah rata yang jika demikian mungkin lebih mudah bagi mendirikan rumah, jika
rumah tradisi yang menggunakan kayu dan papan, boleh diasas dan diletakkan
tiang di atas alas batu, dan tiang diperkukuh dengan belira menurut keluasan
yang diperlukan dan dipasang rasuk, gelegar, lantai, dinding dan atap menurut
ketinggian yang sesuai. Rumah sedemikian boleh diangkat dan dipindah secara
gotong royong, jika perlu kepada pemindahan. Kekukuhan adalah kerana adanya
keseimbangan dari segi pemasangan – biasanya tidak menggunakan paku, meskipun
tiang-tiangnya tidak ditanam di dalam tanah dan boleh diangkat dan dipindahkan
dengan mengangkatnya secara gotong royong, sebagaimana berlaku bagi rumah-rumah
tradisi di kampung-kampung, bahkan masjid dan surau boleh diangkat dan
dipindahkan. Contoh Masjid Kg. Laut di Kelantan dipindah ke Nilam Puri.
Adapun bagi rumah moden – rumah batu dan
bertingkat pula, maka perlu dibuat kajian tentang struktur tanah, lembut atau
keras, adakah berada pada tanah rata atau pada pinggiran bukit atau atas bukit.
Jika demikian, maka perlu dikaji oleh bahagian pakar tanah, agar bangunan yang
akan didirikan adalah mantap dan berimbang kedudukan rumah dan tanah hingga
tidak condong dan runtuh. Bahkan lebih dari itu sebelum pembinaan dilakukan
perlu kepada juru ukur yang mengukur tapak dan ukuran bangunan agar sesuai
dengan kedududukan tapak. Untuk mendirikan bangunan perlu kepada arkitek yang
dapat menyediakan plan arkitek yang seharusnya berimbang dan harmoni antara
bangunan utama dengan bahagian-bahagian yang lain. Arkitek bekerja melibatkan
kerja-kerja ukur bersifat matematik dan geometrik yang melibatkan ketepatan
untuk piling, penanaman cerocok, memasang tiang-tiang, beam-beam, lantai, dinding, level-level bangunan hingga kepada
bumbung dan atap, saluran dan saliran.
Arkitek pada dasarnya menyediakan plan
bangunan yang plan berkenaan harus bermutu, sesuai dan menepati dengan
keperluan bangunan dan keperluan-keperluan yang berkait dengan bangunan,
terutama berkait dengan keselamatan dan paling penting setelah semua disediakan
menurut plan yang dikehendaki, seharusnya mendapat kelulusan dari pihak
berkuasa kerajaan tempatan dan jabatan-jabatan yang berhubungan. Sebuah
bangunan atau rumah yang dibina, khususnya di dalam perbandaran, bukanlah rumah
berasingan, tetapi adalah sebahagian daripada perumahan, misalnya berada di
dalam taman perumahan. Rumah-rumah sedemikian perlu kepada plan yang
bersesuaian dengan plan-plan perumahan yang lain setaman – biasanya hampir
sama, agar kedudukan berimbang dan harmoni dan sama mendapat kemudahan
infrastruktur dan kemudahan awam. Rumah sedemikian melibatkan kontrektor
berwibawa yang mempunyai bahagian engineering, ukur bahan, letrik, keperluan
bomba dan keselamatan. Sebab itu perumahan di dalam taman-taman tersusun
dikendalikan pembinaannya oleh kontrektor berwibawa, bertauliah dan
berpengelaman. Satu-satu taman pula berada didalam rangkaian
perumahan-perumahan yang lain yang merupakan sebahagian dari pembangunan
tersusun yang banyak memberi kemudahan infra-struktur dan kebajikan penduduk.
Perumahan juga melibatkan landscaping dan susunatur bandar yang melibatkan
kemudahan lalu-lintas, perhubungan, keselamatan dari banjir, kebakaran dan
pencemaran. Kemudahan tempat belajar, beribadat, pejabat, tempat perniagaan.
Semuanya ini merupakan keperluan yang mengimbangkan keperluan penduduk dan
keharmonian masyarakat.
Kediaman dan kehidupan yang teratur dan
berimbang dengan berbagai kemudahan mencerminkan tahap tamadun dan peradaban
yang dicapai oleh masyarakat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment