May 3, 2015

Transformasi Masjid Al-Haram Dari Segi Fizikal


BBB, 13 Rajab 1436 = 02 Mei 2015 (Sabtu):
Masjid asal dan asas dari segi pembicaraan ialah Masjid al-Haram di Makkah dan diikuti dengan Masjid Nabawi di Madinah. Dari segi prinsip asas adalah tidak berubah, ianya adalah tempat solat dan ibadat. Masjid al-Haram adalah induk dan menjadi Qiblat lantaran di dalam masjid ini ada Ka`abah yang diarah (Al-Baqarah: 144) dan mengarah kepadanya segala masjid yang lain (termasuk surau atau istilah-istilah yang lain yang bermaksud seumpamanya).  Sungguhpun dari segi prinsip masjid adalah tempat solat dan ibadat, tetapi dari segi perkembangan berlaku transformasi perubahan dan perkembangan baik dari segi fizikal dan maknawi (maksud kepada pengisian).


Ka`abah mula didirikan oleh Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail. Makkah yang asalnya berada di tanah gersang menjadi maju selepas penempatan Hajar dengan anaknya Ismail dan mengalirnya air zam-zam. Dengan adanya air zam-zam mulai adanya kafilah yang melewatinya dan mendapat sumber air. Kafilah terawal mohon izin menetap di pinggir Makkah ialah Bani Jurhum yang mendapat keizinan Hajar dengan syarat Telaga Zam-Zam tetap di bawah milik Hajar dan anaknya. Apabila Ismail anak Nabi Ibrahim yang beribukan Hajar berasal dari Mesir itu menjadi dewasa, maka ianya dikahwin dengan seorang gadis dari Bani Jurhum tersebut. Ka`abah yang diperintah oleh Allah kepada Nabi Ibrahim mendirikannya menjadi pusat ibadat yang mana Nabi Allah Ibrahim mengajar kaumnya di Ka`abah tentang agama Tauhid tentang keesaan Allah Ta`ala dan tiada yang disembah (bersolat) melainkan kepadaNya. Do`a Nabi Allah Ibrahim agar Makkah menjadi makmur. Ayat al-Qur`an menyebut:



``Dan Nabi Ibrahim berdo`a, ``Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala,`` ... Do`a Nabi Ibrahim lagi:``Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanam-tanaman padanya di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami mereka ditempatkan di situ supaya mereka mendirikan solat dan memakmurkan dengan ibadat, oleh itu jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka supaya datang beramai-ramai ke situ dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman semoga mereka bersyukur.`` (Ibrahim: 35 &37).
Permohonan Nabi Inrahim dikabulkan Allah dan Makkah menjadi makmur. Ka`bah menjadi tempat ibadat bagi penduduk dan mereka yang datang.

Walau bagaimana penguasaan Bani Jurhum mendapat saingan antaranya dari Bani Khuzaah bagi menguasai dan menjaga Ka`abah. Keturunan dari Bani Khuzaah dikatakan mereka yang bertanggungjawab memperkenalkan penyembahan berhala di Ka`abah sehinggalah ke zaman Qusayy bin Kilab – moyang Nabi Muhammad s.a.w. yang kemudian kuasa menjaga Ka`bah berpindah kepada ketururunan Quraisy melalui Qusayy. Pewarisan diteruskan kepada Hashim membawalah kepada Abdul Muttalib ninda Nabi Muhammad s.a.w. (Johari Yaman, Mengenali Rasulullah s.a.w., Nadi Minda Resources, Rawang,  Selangor, 2009: 18-21).
Dilihat dari segi fizikal binaan Ka`abah mengalami siri perubahan – tidak dari segi tempat. Pembaikan adalah melalui:
1)      Bangunan Ka`abah yang dibangunkan oleh Nabi Ibrahim al-Khalil yang berbentuk empat segi bujur dengan dinding dari kepingan batu-batu dengan bahagian atas terbuka dan mempunyai satu pintu masuk. Belum ketara dari segi Hijir Ismail.
2)      Bangunan Ka`abah yang disempurnakan oleh kaum Quraisy. Masih dalam bentuk empat segi bujur, tertutup kelambu hitam dan bersutuh dan ada Hijir Ismail.
3)      Bangunan Ka`abah yang disempurnakan oleh Abdullah bin al-Zubayr. Masih dalam bentuk empat segi bujur bersutuh dan berkelambu hitam dan berhias dengan les pada bahagian atas.
4)      Bangunan Ka`abah yang disempurnakan oleh Al-Hajjaj bin Yusuf. Hampir berbentuk empat segi dengan hiasan kelambu berles bahagian atas.
5)      Bangunan Ka`abah seperti kini sebagaimana dokumen Ubaidillah Muhammad Amin Kurdi.


(Gambar-gambar).
Gambar-gambar dari: Sami bin Abdullah al-Maghluts, Atlas Rasulullah S.A.W., PTS Islamika Sdn. Bhd., Malaysia, 2014: 49 & 51).
Dari segi bangunan keliling Ka`abah juga mengalamai banyak perubahan dari kawasan keliling yang asalnya kosong dinaikkan bangunan di kelilingan dengan pintu-pintu masuk ke bahagian tengah.
Hingga kepada setengah abad yang lepas bangunan kelilingan adalah bertingkat dengan tiang-tiang yang berbentuk bulat dengan bahagian atas berhias arch sebagaimana hiasan tiang-tiang Masjid Damshiq. Sudah ada tingkat bagi yang bertawaf.
Kini berlaku pembangunan besar-besaran bagi bangunan keliling Ka`bah dan tingkat-tingkat bagi tawaf. Projek ini dijangka akan siap pada 2016. Namun pembangunan bagi bangunan keliling berterusan. Misalnya melihat ke luar dari kawasan saie dan keluar ke kawasan Shaukani yang Penulis berkesempatan dapat melihat, semua perumahan dari Masjid al-Haram telah dirobohkan bagi pembangunan bangunan-bangunan yang lebih baharu dan teratur. Tidaklah dipastikan bilakah pembangunan dan penyusunannya akan berakhir.
Satu yang menarik semua lantai keliling Ka`abah hingga kawasan saie, bahkan ruang medan keliling Baitullah hingga berhadapan penginapan hotel-hotel, kepingan lantainya sebesar sajadah setiap satu disusun secara teratur semuanya mengarah kepada Qiblat – Ka`abah. Jadi bagi setiap makmun di mana saja berada bila tiba solat tidak terkeliru dari menghadapi Qiblat, walaupun berada di bahagian level bawah tanah atau bahagian tengah, tetapi tidak nampak bangunan Ka`abah. Penyediaan air-cond. antara tingkat berbeza bagi menyesuaikan jamaah yang datang dari berbagai negara yang cuacanya berlainan. Ada yang sejuk, ada yang sederhana dan ada yang panas. Tidaklah dipasti pembangunan yang begitu rancak dan berterusan akan dapat menampung kehadiran para jamaah, khususnya pada musim haji. Namun itulah usaha yang terus dilakukan bagi memberi kepuasan dan keselesaan kepada tamu-tamu Allah yang terus datang dan bertambah kehadiran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment