May 1, 2015

Fungsi, Ciri Dan Identiti Masjid


BBB, 11 Rajab 1436 = 30 April 2015 (Khamis):
Masjid adalah institusi terpenting di dalam Islam. Kewujudannya bersama Islam, bahkan lebih awal. Istilah masjid digunakan kepada Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa yang merujuk kepada peristiwa Isra` Mi`raj Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjid al Haram ke Masjid al-Aqsa (Al-Isra: 1). Pembinaan Masjid al-Haram dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. Masjid ertinya `tempat sujud` iaitu dari akar kata `sajada` perlakuan sujud merujuk kepada perbuatan seorang hamba yang di dalam keadaan paling merendah diri kepada Allah dalam solat, iaitu sujud, maka istilah masjid adalah merujuk kepada tempat sujud – Masjid.


Kepentingan masjid mempunyai pertalian yang erat dengan kewajipan solat. Solat adalah merupakan rukun Islam yang penting di dalam Islam yang kewajipannya banyak disebut di dalam al-Qur`an, antaranya bermaksud:
 ``Sesungguhnya solat itu kewajiban ke atas orang mukmin menurut waktu tertentu.``  (Al-Nisa`: 103) dan banyak lagi ayat.
Lantaran bersolat adalah kewajipan bagi setiap muslim, maka kewajipannya hendaklah dilakukan pada tempat dan waktu-waktu tertentu. Keperluan mendirikan solat pada tempat dan waktu-waktu tertentu memerlukan pembinaan tempat solat yang dikenali sebagai `masjid`. Pada zaman permulaan dakwah keislaman Rasulullah s.a.w. semasa di Makkah, baginda, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut tidak mempunyai peluang mendirikan `masjid` kerana menghadapi tekanan dari golongan kuffar Quraisy di Makkah. Sebaliknya apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, maka tindakan yang utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ialah mendirikan masjid pertama di dalam Islam, iaitu Masjid Quba` dan diikuti dengan pembinaan Masjid Nabawi (Masjid al-Madinah).


Sebagaimana telah disebutkan bahawa Masjid al-Haram telah sedia ada dan menjadi Qiblat solat orang Islam selepas Allah mengarahkan pertukaran Qiblat dari Masjid al-Aqsa kepada Masjid al-Haram ( al-Baqarah: 144). Masjid al-Haram adalah masjid yang khas dalam mana ianya bukan saja menjadi tempat solat yang di dalamnya Ka`abah sebagai Qiblat menjadi arah bagi mereka yang bersolat, tetapi Masjid al-Haram juga menjadi pusat ibadat bagi ibadat Haji dan Umrah dalam mana di dalamnya Ka`bah menjadi tempat tawaf dan tempat shair – antara Safa dan Marwah.
Sebenarnya boleh dikatakan bahawa dengan wujudnya Ka`abah yang menjadi arah Qiblat bagi menunaikan solat mencetuskan kepada lahirnya masjid-masjid bagi menunaikan solat dan semua masjid yang didirikan adalah berkedudukan mengarah kepada Qiblat. Keistimewaan beberapa masjid lantaran ada hubungannya dengan Nabi Muhammad s.a.w. Masjid Madinah yang merupakan masjid kedua penting dari segi fadilah, lantaran Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri yang mendirikan masjid yang dinisbahkan kepada Baginda dan dikenali sebagai Masjid Nabawi. Masjid ini dilihat begitu penting lantaran maqam Baginda adalah berada di dalam bahagian masjid berkenaan. Lantaran itu, walaupun bukan sebagai kewajipan, maka setiap orang yang datang menunaikan haji atau umrah, maka dilihat tidak sempurna tanpa menziarah Masjid Nabawi yang padanya Maqam Rasulullah. Di dalam menunaikan haji dan umrah rangkaian masjid didirikan bagi menyempurnakan ibadat haji dan umrah. Misalnya tempat-tempat yang menjadi miqat bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah seperti Hudaybiyah, Ja`ranah, Tan`im, Bi`r  Ali dan beberapa tempat yang lain didirikan masjid-masjid sebagai kemudahan bermiqat kepada para jamaah haji dan juga umrah. Adalah dilihat fungsi masjid-masjid ini lebih penting, lantaran kesemuanya adalah merupakan tempat kemudahan bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah, di samping penduduk setempat menggunakannya sebagai tempat beribadat seperti masjid biasa.


Di dalam perkembangan Islam dan komitmen penganutnya melahirkan jutaan masjid  dari berbagai benua, negara-negara, negeri-negeri, wilayah-wilayah dan ke daerah, bandar, kampung dan desa lahirnya masjid-masjid yang semuanya mengarah kepada Qiblt di Makkah al-Mukarramah. Semua masjid-masjid yang lahir sama ada yang mengikut pola seni bina Masjidal-Haram atau Masjid Nabawi atau yang mengikut kesesuaian iklim dan cuaca tempatan seperti bahan binaan dari tanah liat atau kayu-kayu sebenarnya dari segi fungsi tidak lain dari tempat masyarakat umat menunaikan solat. Tidak ada perbezaan dari segi fadilah ibadat di antara masjid tertentu di bandar misalnya berbanding dengan masjid-masjid di luar bndar, terpulang kepada keikhlasan dari segi usaha mendirikannya sebagai tempat beribadat Masjid yang diasaskan secara taqwa (al-Taubah: 108).
Walau bagaimana dilihat dari segi perkembangan seni bina, maka adalah pengaruh budaya dan daya kreativiti penduduk negara-negara tertentu atau kawasan-kawasan tertentu. Misalnya Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan berbagai masjid yang lahir di Makkah dan Madinah dan mengkin di tanah-tanah Arab yang lain mempunyai identiti tertentu kerana iklimnya yang kurang mengalami hujan antaranya bersutuh. Ciri seni binanya antaranya terpengaruh dengan masjid terkenal, misalnya Masjid Damshiq kerajaan Umawi  yang mempunyai seni bina yang bangunannya bertiang berhiasan arch lengkung pada tiang-tiang. Begitu juga dengan menara-menara di Masjid al-Haram dan Madinah mengambil bentuk menara yang hampir sama bentuk, nanakala masjid-masjid berkenaan mempunyai kubah yang mungkin tidak sama bentuk, tetapi mencirikannya sebagai salah satu seni bina Islam. Di dalam perkembangan seni bina masjid, maka lahirlah masjid-masjid terkenal yang mempunyai bentuk dan ciri-ciri setempat tertentu seperti Masjid Qairawan, Masjid Sumarra, Ibn Talun, Masjid Isfahan, Masjid Qazwin, Masjid Curdova, Al-Azhar, Masjid Sultan Salim II Turkey, Masjid Sulayman, Turkey. Manakala di Alam Melayu terbina seperti Masjid Demak, Jawa, Masjid Kg. Laut Kelantan, Masjid-masjid lama Melaka dan lain-lain. Masjid-masjid berkenaan mempunyai ciri dan identiti tersendiri, antaranya dipengaruhi dari segi pembinaan oleh cuaca dan iklim setempat, bahan-bahan bersesuaian dan jurubina setempat dan sezaman. Semuanya mencerminkan keunikan seni bina, kehalusan jiwa jurubina setempat. Walau bagaimana semuanya tidak lari dari segi fungsinya sebagai tempat ibadat, khususnya solat bagi umat Islam dan semuanya mengarah ke Qiblat penyatuan umat.

Sekian.



No comments:

Post a Comment