Sejak pelancaran derma bagi pembinaan Masjid
Al-Umm pada 19 Mei 2012, maka adalah menjadi hasrat AJK Pembinaan, bahawa
selewat-lewat tempoh bagi mendirikan Masjid al-Umm adalah pada akhir 2013.
Sebagai Adun Bangi Penulis memang berhasrat seboleh-bolehnya masjid segera
dibina, kalau boleh dalam tempoh Penulis sebagai Adun Bangi (Mac 2013). Ada
beberapa halangan yang dihadapi bagi menyegerakan pembinaan Masjid Al-Umm dalam
kadar yang segera. Pertama ialah kekurangan dana yang jumlahnya pada akhir
Januari 2013 (selepas kunjungan Y.A.B. Dato` Menteri Besar dan terima derma
dari orang ramai) sebagaimana laporan Bendahari hanya ada sebanyak
RM1,252,430.41. Usaha bagi meningkatkan jumlah dana ini terus dilakukan oleh
AJK, terutama yang diberi keizinan memungut derma. Kedua plan pembinaan yang
telah diangkat kepada pihak MPKj masih belum diluluskan. Meskipun surat ditulis
kepada YDP MPkj seperti bertarikh pada 8 Oktober 2013 dan sebelumnya pertemuan AJK
secara langsung dengan pihak YDP, namun plan berkenaan masih belum turun. Walau
bagaimana pihak AJK tidak boleh menunggu plan turun baru mengambil tindakan
berhubung dengan urusan pembinaan. Sebaliknya AJK membuat keputusan membuka
tender bagi mana-mana kontrektor yang berminat. Perbincangan dibuat dengan
pihak Perunding May Consult pada 11 September 2013 untuk mengeluarkan tender.
Setelah segala dokumen disediakan, maka penjualan dokumen dilakukan pada 2
Oktober 2013 bersamaan 26 Zulkaedah 1434. Sebanyak 10 kontrektor telah masuk
membeli dokumen tender iaitu:
1) GTS Contractor Sdn. Bhd.
2) Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
3) Margong Jaya Services Sdn. Bhd.
4) Vastec Engineering Sdn. Bhd.
5) Twinty Enterprise Sdn. Bhd.
6) Iqtiqad Maju Sdn. Bhd.
7) Bangi Mas Sdn. Bhd.
8) Ufukrata Sdn. Bhd.
9) Pembinaan Sham
10) Sde Bina Sdn Bhd.
Mereka semua dijemput hadir untuk diinterview oleh
AJK diketuai Penegrusi Pembangunan ialah pada 19.11.2013. Namun tiga daripadanya
tidak datang, iaitu Bangi Mas Sdn. Bhd.,Ufukrata Sdn. Bhd. Dan Pembinaan Sham.
Antara perkiraan bagi penilaian ialah Pengalaman dalam pembinaan, khususnya
masjid, mempunyai peralatan, projek dalam perlaksanaan, modal yang ada, harga
tender yang ditawarkan, kesanggupan menanggung risiko sekiranya lewat membuat
pembayaran dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap pembinaan masjid yang
bakal ditawarkan. Setelah interview pada 19.11.2013, maka pada 21 November
pihak AJK bersidang membuat pemilihan dan bersetuju menawarkan kontrek
pembinaan kepada Tekad Nusantara Sdn. Bhd yang pengarahnya ialah Tuan Haji
Marzuki Hj. Che Omar, memandangkan kemampuan syarikat dan telah menunjukkan
kejayaan dan komitmennya terhadap pembinaan Kompleks Pendidikan Bangi (2013).
Pihak Tekad Nusantara telah menjawab pada 25 November 2013 menyatakan
persetujuan menjadi kontrektor bagi pembinaan Masjid Al-Umm dalam tempoh 18
bulan dari penyerahan tapak dengan jumlah tawaran RM10,556,800.
Jika pembinaan fizikal dilihat sebagai
merealisasikan plan arkitek kepada bentuk fizikal yang merupakan aspek dari
Takmilah, maka pembinaan kubah adalah menjadi identiti dominan bagi sesebuah
masjid terutama masjid moden. Kubah membawa ciri estetika tinggi bagi masjid
yang juga merupakan lambang estetika tinggi bagi Takmilah. Ianya mengambil
bentuk bulat, iaitu bentuk paling sempurna bagi bentuk fizikal. Kubah biasanya
tidak mengambil sepenuhnya bentuk bulat, tetapi dengan ciri-ciri bentuk bulat
yang ada pada kejadian alam seperti bulat bawang besar, buah delima atau bulat
telur. Dengan bentuk-bentuk demikian bertambah seri dan indah kubah dan masjid
yang mendukungnya. Contoh-contoh kubah yang terkenal pada masjid-masjid
terkenal ialah seperti kubah pada Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah, kubah
pada Masjid al-Aqsa, Palestin, Masjid Sulaimaniyah II di Istanbul Turkey dan
Masjid Sultan Salahuddin Ibn al-Marhum Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Sejak usaha permulaan membina Masjid Al-Umm,
maka bentuk dan ciri kubah ini begitu diberi perhatian, bahkan tender dilakukan
selepas tender pemilihan kontrektor. Sebenarnya pencarian dan interview
terhadap pembina kubah Masjid al-Umm berlaku berperingkat-peringkat. Tender
tawaran bagi kontrektor masuk mengemukakan cadangan dan interview dilakukan
sejak awal April 2014. Pada peringkat permulaan terdapat empat buah syarikat
yang berminat terhadap tender membina kubah iaitu:
1) Aktif Alluminium Sdn. Bhd. Cheras
2) Tri-Arch Sdn. Bhd., Kuchai Lama, Kuala Lumpur
3) Kubah Anum, Setapak
4) TA Decke Sdn. Bhd. Subang
Pihak consultan, iaitu May Consult memberi
maklumat tentang syariakat-syarikat berkenaan dan tawaran-tawaran harga
daripada mereka. Mereka dipanggil untuk diinterview pada 6 Mei 2014. Tetapi
dari 4 syarikat berkenaan hanya yang datang adalah tiga syarikat sahaja, iaitu Aktif Aluminium, Cheras,
Kubah Anum, Setapak dan TA Decke Sdn. Bhd. Subang. Apa yang dinilai di dalam
interview ialah mengenai pengalaman membina kubah, kemampuan dari segi pekerja
bagi memasang kubah dan berkaitan dengannya, kewujudan jentera bagi memasang
dan membina kubah dan penyeliaan, kemampuan kontrektor termasuk dari segi
kewangan, projek-projek yang sedang dijalankan, harga yang ditawarkan (biasanya
antara RM200 ribu). Dan faktor-faktor yang dapat dijadikan pertimbangan. Adalah
didapati Aktif Aluminium dan TA Decke Sdn. Bhd. Subang berpengalaman di dalam
membina kubah-kubah masjid manakala Kubah Anum lebih banyak membina kubah-kubah
bagi surau-surau. Walau bagaimana pihak AJK merasakan belum mendapati pembina
kubah yang didapati serasi dengan kehendak masjid. Mereka lebih mengemukakan
kaedah mereka membina kubah, tetapi tidak membuat cadangan langsung dengan letak
kubah di Masjid Al-Umm. Walau bagaimana antara syarikat yang menawarkan diri
untuk membina kubah itu dipanggil lebih dari sekali untuk mempastikan kemampuan
dan kesesuaian, kreativiti dan inovasi yang mereka cadangkan. AJK amat
hati-hati dan bimbang kiranya pembinaan kubah sekerat jalan atau tidak sampai
kepada mutu dan ciri estetika yang diharapkan. Sebenarnya pihak AJK di dalam
pembinaan kubah bukan mementingkan dari segi murah, tetapi lebih mementingkan
keserasian dan menepati dengan ciri estetika yang bakal menjadi identiti bagi
Masjid Al-Umm. Lantaran itu, oleh kerana
masa bagi membina kubah masih banyak, sedangkan pembinaan bangunan Masjid Al-Umm
masih pada peringkat awal, maka cadangan memilih kontrektor yang akan membina
Kubah Masjid Al-Umm ditangguhkan dulu.
Usaha mencari kontrektor bagi pembinaan
fizikal masjid dan kubah yang melambangkan dari segi estetika memberi erti
bahawa AJK memberi perhatian terhadap kesempurnaan fizikal dan estetika yang
ditekan dari segi Takmilah bagi Masjid Al-Umm yang kelak diharap masjid
mempunyai ciri dan identiti tersendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment