May 6, 2015

Perkembangan Pembinaan Masjid Dan Ciri-Ciri Senibinanya


BBB,  16 Rajab 1436 = 05 Mei 2015 (Selasa):
Perkembangan pembinaan masjid adalah berlaku dengan perluasan kawasan penganut Islam. Walaupun di mana saja bumi Allah dari situ boleh didirikan solat mengarah Qiblat, tapi masjid adalah sebagai satu bangunan dan institusi yang didirikan padanya solat secara jamaah dan berjumaat, juga bagi menyampaikan pengajaran dan berbagai kegiatan keislaman. Pentingnya masjid, 


lantaran itu sebaik mempunyai peluang, maka Rasulullah s.a.w. dalam rangka Hijrah Baginda ke Madinah telah memberi perhatian utama terhadap pembinaan masjid, iaitu dengan mendirikan Masjid Quba` dan Masjid Nabawi di Madinah sebagaimana telah dibincangkan.
Masjid al- Haram dan Masjid Nabawi adalah menjadi contoh utama bagi sebarang pendirian masjid. Masjid al-Haram sebagai Qiblat dan pusat ibadat dan Masjid Nabawi sebagai tempat ibadat, pembangunan fizikal dan pengisian kegiatan. Dalam perkembangan Islam sudah tentulah begitu banyak sekali masjid-masjid yang telah didirikan, tetapi yang menjadi contoh dan warisan adalah masjid-masjid terkenal lantaran keunggulan senibina dan keunikan atau sebagai kesan sebuah pemerintahan yang pernah dicapai oleh Islam atau lantaran peranan dan fungsinya dari segi keilmuan dan pendidikan terhadap masyarakat umat atau menunjukkan keunggulan dari segi Islam dan senibina yang dicapai umatnya pada satu-satu masa.
Contoh keunggulan dari segi senibina ialah Masjid Agung Damshiq (715M.) yang merupakan kesan dari warisan Kerajaan Umawiyyah. Masjid ini indah dan istimewa dari segi tiang dan arch yang bulat bujur yang lembut dan harmoni. Arch dan dinding dihiasi dengan mozaik-mozaik yang dengannya terhasil berbagai-bagai pola yang bersifat geometrik design dan juga berciri alam flora. Bentuk arch  tiang dan hiasan ini menjadi ciri senibina Islam yang mempengaruhi seni-seni bina yang lain dari segi senibina Islam. 


Lanjutan dari pemerintah kerajaan Umawiyyah yang berjaya memerintah kerajaan Andalus dan sekitarnya di Spanyol maka kerajaan ini meninggalkan warisan seni bina Islam (Masjid dan Istana) yang tinggi mutunya. Sebuah warisan senibina masjid yang indah dan mempengaruhi senibina masjid secara khusus dan senibina Islam secara umum ialah Senibina Masjid Cordova. Keistimewaannya ialah dari segi tiang-tiang bulat yang menyambung di atasnya dengan arch berlengkung tunduk bagai pintu-pintu gerbang tanpa mengganggu ruangan bawah yang kelihatan luas terbentang. Pengaruh dari segi senibina tiang dan arch antara tiang ini meluas digunakan di dalam seni bina masjid dan seni-seni bina bangunan. Antara senibina yang menarik di Masjid Cordova ialah  ragam hias kubah dari bahagian dalam kubah berkenaan yang dikukuhkan dengan tulang-tulang yang berbentuk empat segi dan tiga-tiga segi kecil yang mengukuhkan kedudukan kubah berkenaan. Pencapaian kehalusan senibina masjid di Cordova ini adalah dari kehalusan seni dan rohani dari jiwa arkitek muslim yang menyentuh pengalaman dan penghayatan kekudusan Yang Maha Pencipta sehingga dapat dijelmakan ke dalam senibina Masjid Cordova yang sukar dicapai selepas itu, kerana jiwa seni rohani yang kudus halus dan kudus hilang dengan hilangnya pemerintahan Islam di Andalus di Spanyol selepas itu. Namun warisan senibina Masjid Cordova ini terus kekal hingga kini sebagai menandakan kehebatan Islam yang antaranya dijelmakan di dalam seni bina Masjid Cordova dan juga Istana Al-Hamra`.
Kesan dari tamadun dan peradaban Islam yang terpercik kepada senibina Masjid ialah hasil dari  meningkatnya keilmuan di Maghribi yang melahirkan tokoh-tokoh ilmuan di sana. Peningkatan keilmuan di Maghribi ini ialah hasil dari pendirian Masjid Qairawan. Masjid ini bukan saja sebagai pusat ibadat solat, tetapi Masjid Qairawan meningkat menjadi pusat pengajian terkenal dan mencapai tahap universiti. Masjid Qairawan dianggap sebagai universiti terawal di dunia yang lebih awal dari Masjid Al-Azhar. Dari sini lahir ramai ulama-ulama dan di perpustakaan di masjid ini banyak tersimpan manuskrip-manuskrip yang dihasil dan digunakan di dalam pengajaran. Penemuan manuskrip-manuskrip keilmuan di sini banyak menjawab sebahagian daripada hasil-hasil dari karangan ulama yang diketahui judul, tetapi tidak diketahui karya yang akhirnya ditemui di sini.
Pola yang berlaku di Masjid Al-Qayrawan juga berlaku kepada Masjid al-Azhar di Mesir. Al-Azhar yang dibina pada zaman kerajaan Fatimiyy di Mesir sebagai sebuah masjid berkembang maju menjadi sebuah `Jami` - universiti dan perkembangan universiti ini terus berlaku hingga kini.


Selain dari faktor-faktor di atas yang melahirkan senibina masjid, ialah pewarisan masjid yang mencerminkan ketinggian budaya Islam, khususnya seni pada sesuatu masyarakat. Ini misalnya terhasil seni bina masjid di Isfahan, Turkey, di Parsi, India dan berbagai tempat lagi.
Salah sebuah hasil senibina menarik yang lahir dari budaya dan peradaban Islam ialah Masjid Jami` Isfahan (1088M.). Isfahan ialah  antara pusat tamadun Islam yang berkembang di kawasan yang terletak di bawah wilayah budaya Parsi. Parsi adalah satu bangsa yang terkenal dan tinggi dari segi daya dan pencapaian estetik. Ramai dari kalangan penyair-penyair Islam terkenal adalah dari kalangan yang mendalam budaya dan bahasa Parsi. Wilayah berkenaan juga melahirkan tokoh-tokoh ulama dan para muhaddithin. Contoh Imam Bukhari. Senibina masjid seperti Masjid Isfahan adalah satu dari pencapaian hasil seni bina Islam yang tinggi. Satu identiti seni bina pada Masjid Isfahan ialah reka bentuk pintu gerbang ke kawasan masjid yang berbentuk arch yang berbentuk lengkung yang indah dan lembut dari segi pandangan. Terdapat dua pintu gerbang utama yang terbina di Masjid Isfahan. Manakala ruang tengah dan sisi juga bentuk pintu gerbang yang melakarkan seni bina masjid berkenaan. Dengan ruang tengah di kelilingi bangunan dari ruang masuk dengan bahagian tengah adalah medan terbuka. Ciri arch ala pintu gerbang ini menjadi salah satu seni bina Islam. Di samping itu tukang-tukang dari Isfahan hingga kini adalah pekerja-pekerja mahir dari segi dekorasi dalaman dan luaran masjid.


Antara senibina bina masjid terkenal ialah hasil dari ketinggian daya seni bina umat Islam Turki. Turki adalah kerajaan besar umat Islam yang menyambung pemerintahan dari kerajaan Abbasiyyah dan berkekalan hingga ke awal abad 20, sebelum negara-negara Islam di kuasai Barat. Antara hasil seni yang diwarisi dari Kerajaan Turki ialah seni bina masjid. Antara masjid terkenal di Turki ialah Masjid Sulayman II dan beberapa masjid yang mirip dengan seni bina Masjid Sulayman II ini. Keistimewaan yang mencirikan seni masjid di Turki ialah kubah-kubah yng banyak dibina di masjid seperti di Masjid Sulayman II dan beberapa masjid yang seumpamnya. Kubah adalah merupakan salah satu identiti yang mencirikan masjid di samping menara-menara.
Dengan berbagai-bagai senibina masjid terkenal sebagaimana diperkatakan melahirkan berbagai ciri senibina yang indah dan unik. Kesemuanya menjadi identiti senibina masjid umat yang diwarisi dan dijadikan panduan di dalam mengolah dan meningkatkan senibina Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment