May 15, 2015

Plan Arkitek: Antara Konvensional, Kreativiti-Inovasi - Menuju Takmilah


BBB. 25 Rajab 1436 = 14 Mei 2015 (Khamis):
Sesudah mendapat kelulusan kerajaan negeri tentang gazet tanah dan kebenaran dari JAIS pembinaan masjid al-Umm dan wujudnya AJK pembangunan dan dana dicari, maka tugas utama AJK ialah mengusahakan pembinaan. Membina sebuah masjid bukan sebagai membina sebuah pondok yang terus boleh mendirikan tiang dan lantai dengan anggaran  panjang dan lebar dan memasang atap. Mendirikan masjid yang terletak di bawah Majlis Perbandaran Kajang, memerlukan ketelitian dari segi persediaan plan dan mendapat kelulusan plan dari pihak berkuasa kerajaan tempatan. Plan seharusnya bukan tujuan untuk mendapat kelulusan semata-mata, tetapi ia seharusnya adalah rekacipta yang memberi kepuasan hati. Apa yang ditunjuk di dalam plan adalah sebagai panduan pembinaan oleh pihak kontrektor.
Sebagaimana telah disebutkan dalam AJK awal ada dicadangkan tokoh tertentu bagi menyediakan plan pembangunan dan lanscaping masjid, tetapi tidak berjalan, secara kebetulan antara AJK dari Surau Damai  berdekatan dengan tapak Masjid Al-Umm memperkenalkan Yang Mulia Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad yang tinggal di Seksyen Dua BBB dan ahli jamaah Surau Damai. Beliau diterima menjadi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau adalah Arkitek Urusbina berpejabat di No. 47, Taman Seri Medan, Jalan Raja Syed Alwi, 01000, Kangar Perlis dan tinggal di Bandar Baru Bangi.


Sebagai arkitek bertauliah  yang diamanahkan, beliau telah bekerja menyiapkan plan bagi Masjid Al-Umm dengan firma syarikatnya di Perlis dengan lakaran kasar dari AJK Pembinaan dengan peruntukan kos pembinaan pada masa itu dijangkakan ialah RM11.2 juta. Adalah difahamkan bahawa selain dari membina surau-surau dan bangunan-bangunan biasa, maka ini adalah merupakan kali pertama syariktat Urusbina merangka plan bagi pembinaan masjid. Adalah menjadi hasrat AJK Masjid Al-Umm dari segi bentuk binaan mempunyai ciri-ciri seni bina dan identiti trersendiri. Sudah tentu dari segi teori Takmilah di dalam merangka plan arkitek, pereka mendepani berbagai-bagai jenis masjid yang plan masjid dapat diwujudkan dari contoh yang ada, tetapi bukan hasrat AJK untuk meniru dan mengadaptasi dari plan-plan masjid-masjid yang sedia ada. Tetapi semestinya tidak lari dari ciri-ciri masjid yang konvensional sehingga jangan sampai ianya tidak dikenali sebagai masjid. Contoh bagi masjid biasanya ada kubah, menara, mihrab, mimbar, tempat wudhu` dan sebagainya. Kemungkinan juga dapat direka cipta berdasarkan elemen tempatan yang sesuai dengan iklim dan cuaca setempat dan juga contoh dari masjid lama di alam Melayu. Sebagai contoh seni bina masjid yang menyimpang dari kebanyakan masjid moden ialah Masjid Negara yang tidak berkubah, tetapi beratap sesuai dengan cuaca dan iklim tempatan dan bermenara secara berlainan itu. Di sini adalah merupakan cabaran bagi arkitek di samping mengekalkan ciri-ciri konvensionl seharusnya kreatif dan inovatif dan dapat menampilkan satu plan arkitek yang istimewa yang dapat menampilkan sebuah masjid yang ada ciri-ciri konvensional, tetapi dapat menampilkan elemen-elemen tradisional dan moden unik dan kreatif dan memancarkan identiti tersendiri dan menghasilkan sebuah Masjid Al-Umm yang lain dari yang lain. Walau bagaimana jika pada zaman tradisi, nenek moyang kita dapat menampilkan binaan masjid yang berciri tempatan, tapi kini elemen tempatan dan bersifat alam Melayu atau sekurang-kurangnya Malaysia (kecuali Melaka) tidak dapat ditampilkan oleh arkitek-arkitek seni bina masjid, sebaliknya semakin mutakhir ciri universal-umat tentang masjid lebih dominan dan ciri-ciri tradisi dan tempatan makin tenggelam di dalam lipatan sejarah.


Walau apapun disamping mengharapkan arkitek dapat mengemukakan plan yang menghasilkan sebuah seni bina yang unik, kreatif dan inovatif, paling penting plan perlu mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kajang dan jabatan-jabatan yang berkaitan tidak kurang dari 16 jabatan, selain dari MPKj perlu kelulusan bomba, pejabat Daerah, TNB, JKR, kesihatan, perparitan dan sebagainya. Untuk mendapat kelulusan plan berkenaan bukan perkara yang mudah. Komen-komen datang dari jabatan-jabatan berkenaan jika tidak menurut spesifikasi yang diperlukan dan adalah perkara biasa plan akan turun naik diminta diperbaiki dan sebarang perubahan pada plan juga perlu diberi maklumat dan plan baru kepada jabatan-jabatan berkenaan.
Walau bagaimana sebelum plan dapat disediakan dengan sempurna, ujian pertama dari segi penyediaan plan – terlebih dahulu secara kasar, ialah plan bagi Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm yang berlangsung pada Sabtu 10.00 pagi 19 Mei 2012 untuk dipamerkan kepada mereka yang datang bagi Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm.
Sebenarnya hingga kepada tarikh tersebut plan arkitek belum dapat disiapkan, tetapi dapat dipamerkan tentang tapak secara langsung berdekatan dan perspektif bangunan secara kasar, iaitu pandangan keseluruhan, pandangan sisi dan pandangan hadapan.
Adapun dari segi plan dan usaha menyempurnakan adalah menjadi topik perbincangan di dalam mesyuarat sejak dari pertengahan 2012 dan plan sebenarnya (melibatkan 50 salinan) hanya dapat dikemukakan kepada pihak MPKj yang menjadi pusat penyelarasan bagi berbagai jabatan  pada 15 Februari 2013 (Belum tentu mendapat kelulusan).
Jika dilihat kepada plan awal bagi Masjid Al-Umm berdasarkan gambar perspektif, sesungguhnya bentuknya dapat dikatakan `tidak menarik` dan begitu `biasa`, bahkan dapat dikatakan sebagai bangunan bertaraf `surau biasa`. Tiada elemen tradisional atau kreatif dan inovatif baru dapat dikesan pada plan cadangan bagi masjid Al-Umm. Barangkali ini tidak dapat dipersalahkan kepada mana-mana pihak, khususnya dari AJK yang dari awal tidak memberi penekanan terhadap bentuk dan plan yang dikehendaki. Tiada perbincangan mendalam hingga melibatkan seminar dan pembentangan kertas kerja dari arkitek-arkitek jemputan bagi mengemukakan apakah plan harapan yang dikehendaki. Barangkali selain dari tiada pakar, juga kerana memikirkan kewangan yang ada di tangan yang tidak mengizinkan untuk diadakan perbincangan secara ilmiah, kreatif dan inovatif tentang seni bina masjid. Dapatlah dikatakan bahawa perspektif permulaan dan plan yang diasaskan kepadanya menjadi tempat perbincangan dan bergerak kepada piawaian terhad bagi Takmilah Masjid Al-Umm.


Sesungguhnya sesuatu plan arkitek (yang diluluskan) adalah menjadi ikutan bagi kontrektor melaksanakan pembangunan berdasarkan plan arkitek berkenaan. Walaubagaimana sebagaimana telah disebutkan oleh kerana di dalam AJK Pembangunan Masjid Al-Umm adalah terdiri dari berbagai-bagai profesional yang biasa dengan soal arkitek dan pembangunan bangunan, maka dengan kepakaran yang ada pada mereka, maka plan permulaan yang disediakan oleh arkitek Jurubina adalah merupakan plan persediaan permulaan yang dinilai oleh pihak AJK, bahkan tidak jarang menghadapi kritikan dan sanggahan di dalam mesyuarat yang diminta supaya dibaiki dan ditingkatkan paln berkenaan kepada penghasilan yang lebih bermutu. Antara kritikan yang dikemukakan, selain dari persediaan helai-helai plan arkitek, bahawa pihak arkitek diminta menyediakan secara lengkap dan terperinci secara  bergambar yang dapat dilihat kedudukan sebenarnya bahagian-bahagian masjid apabila dibangunkan. Seingat Penulis hal ini tidak disediakan sebagaimana persediaan yang dibuat oleh bahagian yang lain. Lantaran itu, jika sesuatu bangunan khususnya masjid seharusnya plan terlebih dahulu disediakan dengan teliti dan lengkap dan bila dilulus kontrektor pembinaan akan mengikutinya spesifikasinya 100%, jika tidak mungkin ditolak dan perlu diperbetulkan, tetapi apa yang berlaku pada plan arkitek bagi pembangunan Masjid Al-Umm, bahawa plan lakar awal, menjadi asas bagi perbincangan dan pembaikan sehingga sebagai produk akhir ianya menampakkan perubahan yang ketara dari plan asal. Namun kita memuji di atas kesetiaan dan ketekunan Arkitek Jurubina yang tabah menghadapi kritikan dan terus setia menyediakan plan arkitek bagi Masjid Al-Umm.
Walau bagaimana kekurangan-kekurangan yang ketara  memberi ruang yang banyak bagi AJK membuat cadangan dan pembaikan yang dapat memperbaiki plan arkitek berkenaan dan plan arkitek itu memakan masa yang agak lama sebelum dapat diangkatkan kepada pihak yang berkenaan (MPKj). Semua ini adalah merupakan proses menuju Takmilah bagi pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian.




No comments:

Post a Comment