May 5, 2015

Rasulullah S.A.W. Arkitek Pembina Masjid Dan Pembangun Madinah Al-Munawwarah


BBB, 15 Rajab 1436 = 04 Mei 2015 (Isnin):


Dua buah masjid yang dikaitkan sebagai masjid-masjid awal yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. Pertama ialah Masjid Quba` yang dibina di dalam persinggahan Baginda dalam rangka Hijrah Baginda ke Madinah al-Munawwarah. Rasulullah s.a.w. tiba di Quba` pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal (dikira tarikh awal Hijrah) selepas 13 tahun Baginda diutus menjadi Rasul. Di Quba` Rasulullah s.a.w. singgah selama tiga hari. Di Quba` inilah Baginda meletakkan asas batu pertama bagi pembinaan Masjid Quba`. Masjid ini adalah masjid pertama dibina di dalam Islam dan Al-Qur`an menyifatkannya sebagai masjid yang diasaskan di atas dasar taqwa (Al-Taubah: 108-109).


Apabila Sayyiduna Ali tiba dari Makkah dan menyertai Rasulullah s.a.w., maka Baginda bergerak dari Quba` pada pagi Jumaat menuju ke pinggiran Yathrib. Ketibaan baginda dan jamaah disambut gembira dan setiap kelompok orang Islam menginginkan Rasulullah s.a.w. singgah di rumah masing-masing. Rasulullah membiarkan unta yang ditunggangi memilih mana rumah untuk disinggahi. Akhirnya unta berlutut di marbat, iaitu tempat penjemuran buah kurma dimiliki dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhail bin Amr di perkampungan Bani Malik bin Al-Najjar. Di tanah itu Baginda turun dan masuk ke rumah Khalid bin Yazid r.a. yang kemudian lebih dikenali sebagai Abu Ayub al-Ansari. Selepas berunding Baginda membeli sebidang tanah milik dua anak yatim itu bagi membangunkan masjid. (Sami bin Abdullah al-Maghluts, Atlas Rasulullah S.A.W., Pustaka Islamika Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2014: 142).
Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengasaskan Masjid Quba`, demikian Rasulullah sama membina Masjid Madinah yang dikenali dengan Masjid Nabawi bermula dengan membersih tapak dari pokok-pokok dan bekas bangunan lama. Keluasan bangunan adalah 100 hasta lebar dan panjang. Dinding diperbuat daripada batu dan tanah, atapnya diperbuat daripada pelepah kurma, tiangnya pula daripada batang kurma. Lantainya daripada pasir dan krikil. Masjid mempunyai 3 pintu. Di tepi masjid turut dibina beberapa ruang menjadi bilik-bilik isteri-isteri Nabi. Selepas siap bangunan yang dibina secara gotong royong antara golongan Muhajirin dan Ansar itu, maka Rasulullah berpindah dari rumah Abu Ayub al-Ansari ke bahagian tepi masjid berkenaan.
Fungsi Masjid Nabawi tidak sahaja untuk bersolat, tetapi mempunyai multi-purposes. Di bahagian masjid ini turut tinggal mereka yang berhijrah dan tidak mempunyai kediaman, maka mereka yang dikenali sebagai Ahli al-Suffah tinggal di bahagian masjid ini. Melalui masjid ini Rasulullah mengajar orang-orang Islam berhubung dengan keilmuan dan amal ibadat Islam. Setengah daripada mereka datang berkhemah di sekitar masjid bagi mempelajari keilmuan dan hukum hakam keislaman. Melalui masjid ini Rasulullah mentadbir dan menjalankan mesyuarat bagi pentadbiran berkenaan. Melalui masjid dan amal ibadat Rasulullah memperkukuhkan persaudaraan antara sesama Islam yang berhijrah dikenali dengan kaum Muhajirin dan penduduk Madinah yang terdiri dari kaum Aus dan Khazraj dikenali sebagai Kaum Ansar. Sebahagian kecil orang Yahudi turut menerima Islam seperti Abdullah bin Salam yng dikenali sebagai ulama bagi ugama Yahudi dan beberapa yang lain, tetapi kebanyakan tidak menerima Islam. Pendek kata ibadat, pentadbiran, pertahanan dan dakwah adalah digerak dari Masjid Nabawi.


Dengan berkembangnya fungsi masjid, maka adalah didapati bangunan asal dan pertama kali didirikan itu sudah tidak mampu untuk mengisi tugas dan peranan masjid berkenaan. Sebab itu pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi Masjid Nabawi dibesarkan. Atas rundingan dengan Rasulullah s.a.w. Sayyiduna Uthman bin `Affan membeli sebidang lagi tanah berhampiran masjid bagi perluasan masjid. Perluasan berlaku selepas berlakunya peperangan Khaibar (7H./628M.). Penambahan baru menjadikan masjid hampir berbentuk empat segi  berukuran 50 x 49.5 meter. Yang menjadikan luas keseluruhan ialah 2,475 meter. Tinggi dindingnya ialah 3.5 meter dengan 3 pintu dan 35 tiang. Untuk pencahayaan digunakan minyak, di samping pembakaran pelepah kurma. (Sami bin Abdullah al-Maghluts, 2014: 148).
Sesungguhnya melewati sejarah, tamadun dan peradaban umat Islam, maka Masjid Nabawi terus berkembang dari segi fizikal dan fungsi penggunaannya sesuai Madimnah berkembang dari sebuah penempatan yang asalnya bernama Yathrib kepada Madinah al-Munawwarah, sebuah bandar pentadbiran dan ibu negara bagi pemerintahan negara Islam yang khalifah-khalifahnya terdiri dari Sayyiduna Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sebelum memindahkan pentadbiran ke luar dari Madinah. Hingga ke abad 13H./17M. Masjid Nabawi kelihatan mempunyai dinding empat segi bujur dengan bersutuh bahagian keliling dan jalan tengah bersutuh, sedangkan pada bahagian tengah adalah terbuka.


Perubahan yang ketara sebagai bangunan yang menarik dan indah dengan identiti bagi kawasan Rawdah mempunyai kubah berwarna hijau dan berbumbung dirakam pada 1326H./1908M. Iaitu pada peringkat akhir pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah. Pada masa itu identiti Masjid Nabawi mempunyai ciri-ciri, iaitu:
1)      Kubah hijau bulat bujur dan tajam ke atas – berbentuk bawang dengan tunjuk langit yang indah
2)      Mempunyai menara yang bentuk menaranya sebagaimana menara-menara di Masjid al-Haram dan menara-menara kebanyakan masjid di Makkah dan Madinah
3)      Mempunyai tiang-tiang yang mempunyai bentuk arch lengkung bahagian atas
4)      Masih mempunyai medan ruang terbuka pada bahagian tengah
5)      Mempunyai buah-buah butung pada bahagian sutuh yang menarik pandangan
6)      Mempunyai hiasan taman seperti pokok kurma dan pokok yang lain
7)      Mempunyai lampu bagi menerangkan kawasan sekitar.
Banyak lagi tahap perkembangan dan perubahan yang berlaku terutama dari segi perluasan masjid. Seingat Penulis ketika pemergian kali pertama (1985), bangunan Masjid Nabawi masih masjid lama dan dalam usaha untuk membina yang baru. Pada masa itu bangunan diruntuhkan dan sebagai ganti tempat solat didirikan khemah-khemah dikeliling masjid dan kunjungan Penulis pada tahun 1994 bangunan yang indah dan besar sebagaimana yang ada kini baru siap. Pada masa itu satu yang mengkagumkan dan menarik perhatian ialah pada bahagian tengah masjid mempunyai seperti payung besar yang pada siang hari dibuka payung bagi mengelak daripada panas dan pada malam hari ditutup payung untuk mendapat udara nyaman waktu malam. Berada di dalamnya amat selesa. Dan pemergian Penulis terakhir (2015) ialah bangunan yang sama, tetapi di dalamnya kelihatan sudah agak lusuh, namun pada bahagian luar – bahagian lantai dipasang marmar sekeliling masjid yang seluas sejam berjalan kelilingan dan bagi kawasan ini disediakan khemah sebagai payung besar bertiang letrik yang payung ini boleh dikuncup terutama pada malam hari, kerana tidak panas dan dibuka pada siang hari, untuk mengelak dari panas. Payung-payung yang berjumlah ratusan ini mengindahkan pandangan dan memberi keselesaan kepada jamaah. Mereka boleh membuat pilihan untuk ke dalam bangunan atau santai dan releks di luar bangunan.
Sudah pastilah pembangunan dan perubahan terus berlaku di Masjid Nabawi yang lebih memberi keselesaan, bahkan menjadi panduan dan ikutan bagi pembangunan dan perkembangan masjid-masjid di luar bagi Madinah, bahkan di mana saja masjid didirikan.

Sekian.


No comments:

Post a Comment