May 17, 2015

Penubuhan AJK Teknikal Dan Perlantikan-Perlantikan, Memaksimum Potensi Bagi Mencapai Hasil Berkualiti - Mekanisme Takmilah


BBB, 27 Rajab 1436 = 16 Mei 2015 (Sabtu):

Di dalam menuju piawaian tertinggi masjid dari segi fizikal yang hakikatnya tiada had, lantaran model utama Masjid al-Haram terus berubah dan berkembang, demikian juga Masjid Nabawi. Maka manusianya – di dalam konteks di sini adalah jamaah atau jawatankuasa yang merangka, mereka- bentuk, merubah dan membaiki ke peringkat terbaik, maka manusia ini paling penting perlu diperkasa dan memaksimum potensi mereka bagi mencapai hasil berkualiti, antaranya dengan meningkatkan kebolehan manusia dan kelompok ini dengan minda (khususnya keilmuan serta pengalaman, juga kemampuan dari segi estetika), agar paduan dari unsur-unsur berkenaan meningkatkan hasil yang mencerminkan pemikiran dan unggul dari segi kreativiti.


Kelompok manusia pertama yang berperanan menjana idea dan kreativiti dalam membina Masjid Al-Umm ialah AJK Pembinaan masjid berkenaan. Memikirkan bahawa AJK tidak semua mempunyai kepakaran di dalam pembinaan, maka dalam mesyuarat pembinaan bertarikh 21 Mac 2012, adalah dicadangkan supaya ditubuhkan AJK Teknikal. Cadangan ini diterima baik dan sebuah AJK Teknikal ditubuhkan yang keahliannya adalah terdiri daripada:
1)      Ir. Haji Ishak bin Arshad  - Pengerusi
2)      Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad - Arkitek (Dari segi teknikal, kerana beliau mempunyai kepentingan, maka beliau tidak lagi menjadi AJK Pembinaan yang kemudian dikenali sebagai AJK Induk), kecuali dipanggil bagi pembentangan
3)      Ir. Mohd Safari Ahmad – Tetuan Safari Ingeniuers (Setapak)
4)      En. Mohd. Ashri Yusuf  - Tetuan May Consult (Business Centre , Gombak)
5)      En. Abdul Razak Ab. Rahman – Mewakili Tekad Nusantara. Bangi.
6)      Ir. Haji Ghazali Hussin (Bangi)
7)      Perunding Azfar – Mechanical & Electrical (Danau Kota, Kuala Lumpur).
Turut menyertai AJK ini ialah AJK Induk, iaitu
Tuan Haji Abdul Rahman Daud dan
Tuan Haji Mohd bin Haji Yassin – Bendahari
Nik Mohd Adham bin Anuar – Setiausaha Kerja
Manakala Pengerusi dan Setiausaha AJK Induk sering mengikuti sama mesyuarat bagi mengikuti perkembangan.


Sebenarnya setelah bersetuju melantik AJK Teknikal (dengan nama belum lengkap) pihak AJK Teknikal membuat selidikan dan pencarian bagi melantik seperti perunding bahagian engineer, bahagian ukurbahan, pihak mewakili kontrektor (belum dipilih masa itu) dan bahagian mekanikal dan elektrikal. Sebab itu  mesyuarat pertama bagi AJK Teknikal hanya baru dapat diadakan pada 14 Ogos 2012. Oleh kerana pejabat urusan pembinaan yang menjadi pejabat Setiausaha Kerja di Medan Usahawan begitu kecil, maka bilik mesyuarat sama ada diadakan di Pejabat Persatuan Penduduk BBB yang terletak bersebelahan dengan pejabat setiausaha kerja. Mesyuarat juga di Pejabat Pengerusi Induk, sebelum dipindah ke bilik mesyuarat di tapak pembinaan.
Tugas AJK Teknikal ialah mempastikan apa yang bersifat teknikal pembinaan tidak terkeluar dari perhatian dan penilaian AJK Teknikal dan membawa keputusan kepada AJK Induk sebagai penilaian peringkat akhir bagi diputuskan. Mesyuarat AJK Teknikal diadakan sebulan sekali, juga diikuti oleh mesyuarat AJK Induk yang juga merupakan sebulan sekali. Pada peringkat permulaan mesyuarat-mesyuarat diadakan pada malam hari , hari Selasa dan kemudian dipindah kepada siang hari pada hari yang sama.
Dapatlah dikatakan bahawa dengan adanya AJK Induk dan AJK Teknikal, maka tumpuan kerja makin berfokus dan mendalam. Tumpuan utama bagi mesyuarat JK Teknikal ialah terhadap Plan Arkitek yang telah disediakan oleh pihak arkitek diwakili oleh Ar. Raja Fuaddin atau wakilnya En. Hazizan (lebih kemudian).
Contoh perkara yang dibincangkan ialah mengenai parkir bagi jamaah, khususnya pada hari Jumaat. Adalah disedari bahawa tapak bagi Masjid Al-Umm adalah kecil, iaitu (1.93)  ekar sahaja. Dengan keluasan sedemikian tentulah tidak mampu menyediakan parkir yang cukup bagi jamaah. Sebenarnya pada peringkat permulaan cadangan untuk mendirikan Masjid Al-Umm pihak AJK telah membuat pertemuan dengan pihak PKNS bagi memohon tanah lapang di hadapan tapak Masjid al-Umm berdekatan dengan Dewan Orang Ramai bagi dikekalkan sebagai tanah lapang dan dijadikan kawasan parkir bagi masjid dan dewan. Malangnya tidak lama selepas pertemuan, naik iklan dari anak syarikat PKNS bagi didirikan rumah kediaman semi-D. Pihak AJK pernah membuat bantahan, tapi pembinaan rumah berkenaan dilakukan. Kini rumah-rumah berkenaan mengganggu pandangan masjid dan menjadikan kawasan masjid kelihatan lebih sempit.


Sebagai alternatif pihak AJK mencadangkan bagi digunakan tanah lapang di bawah cable bersebelahan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi untuk ditambak menjadi kawasan parkir. Usaha bagi mendapat kebenaran dari pihak TNB menggunakan tanah lapang untuk parkir dilakukan oleh AJK yang diketuai oleh Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud. Keizinan akhirnya didapati dari pihak TNB Pusat. Penggunaan tanah adalah amat penting dari segi perubahan layout dan landscaping bagi masjid dan juga kawasan parkir. Pada peringkat awal adalah dijangka oleh pihak perunding (ukur bahan), bahawa oleh kerana kedudukan tapak masjid merendah pada bahagian kiri, berdekatan dengan Dewan Orang Ramai, lantaran itu ada AJK membuat anggaran perlu dibawa masuk dari luar lebih kurang 5,000 lori tanah. Namun dari perbincangan serius dilihat bahawa tidak perlu dibawa masuk tanah dari luar, sebaliknya perlu dikeluarkan tanah dari tapak pada bahagian hadapan masjid, berdekatan Medan Usahawan. Dengan demikian tercetus sebuah idea yang bernas dari AJK yang mengubahkan plan arkitek awal kepada potensi menjadikan masjid tiga tingkat, bermaksud tambahan satu tingkat bawah tanah.
Bagi mengimplimentasi cadangan dan idea bernas ini, maka bila kerja-kerja tanah dimulakan, maka tapak diratakan dan bahagian dari tanah diangkut dan ditambak di tanah lapang di bawah cable dihadapan sekolah. Kerja memindahkan tanah ini memakan masa berbulan dan melibatkan perpindahan tanah lebih dari 2,000 lori. Jelas dari contoh di atas, perlantikan AJK dapat memaksimumkan potensi yang dapat mencetuskan idea bernas yang memberi kebaikan kepada pembinaan Masjid Al-Umm. Penjanaan idea terus berlaku di dalam mesyuarat-mesyuarat seterusnya.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment