BBB 28 Rajab 1436 = 17 Mei 2015 (Ahad):
Menurut skema Takmilah, faktor manusia dan
memperkasakannya dengan keilmuan dan kemampuan dari segi kreativiti dan inovasi
adalah amat penting. Dari segi pembinaan masjid memerlukan kelompok atau jamaah
yang mempunyai kepakaran mereka di dalam bidang-bidang yang berhubungan dengan masjid,
lantaran itu perlu dilakukan secara berjamaah. Bukan setakat satu AJK, tetapi
melibatkan lantikan terhadap mereka yang
mempunyai kepakaran khusus, baik dari segi arkitektur, engineering, elektrikal,
ukur bahan, kontrektor pembinaan dan kemahiran khusus, misalnya yang melibatkan
estetika seperti pembinaan kubah, menara dan dekorasi-dekorasi.
Penubuhan AJK dan perlantikan-perlantikan
adalah merupakan keperluan dan mekanisme Takmilah bagi mempertingkatkan
kemampuan menghasilkan dapatan dan cadangan serta dari segi kreativiti dan
inovasi. Sebenarnya tahap-tahap menuju puncak Takmilah dari segi fizikal dan
pengisian (lebih bermaksud kepada ibadat, pendidikan keilmuan dan kerohanian)
memerlukan perjalanan dan peningkatan kualiti yang panjang. Sekurang-kurangnya
boleh dilihat sepuluh martabat (tahap) sebagaimana di dalam skema berajah
berikut:
(Rajah)
Dari sepuluh tahap (martabat) sebagai disusun
di dalam skema Takmilah di atas, kita telah membicarakan tiga tahap daripada
sepuluh tahap berkenaan (dikira dari bawah ke atas). Ketiga-tiga adalah
melibatkan potensi tenaga manusia pada peringkat individu. Misalnya yang
mempunyai keilmuan dan daya kreativiti dan inovasi dari segi senibina (termasuk
di bawah aspek nilai – seni) dan juga kepakaran (keilmuan) dan kemahiran dari
segi pembinaan atau engineering, maka kombinasi dari berbagai kepakaran,
kreativiti dan inovasi memperkasakan kelompok berkenaan, sebagaimana tercermin
di dalam penubuhan AJK teknikal.
Sebagai dibuktikan hasil dari perbincangan
tentang `kerja tanah` dan mendapat tempat parkir telah menghasilkan satu penemuan
yang amat bermakna, iaitu bonus bagi Masjid al-Umm dengan penambahan satu
tingkat di bawah tanah yang boleh digunakan sebagai dewan serbaguna. Maka
masjid yang asalnya dua tingkat menjadi tiga tingkat, iaitu aras bawah tanah,
aras utama dan aras satu. Dengan adanya aras bawah tanah, maka dibincangkan bersama
proposal arkitek (martbat tiga) tentang konsep ruang dan bilik-bilik yang wajar
bagi ruang bawah tanah ini, termasuk tangga yang dapat naik dan turun ke atas
sehingga para jamaah di bawah dapat dikira sebagai makmum yang sah yang
mengikut imam bersolat pada ruang utama. Begitu juga dengan ruang seminar,
ruang akad nikah, persalinan dan ruang penyediaan makanan dan lain-lain. Jikalau
bagi masjid dua tingkat dalam plan arkiteknya ruang mihrab bagi masjid dua
tingkat ini, masih mengekalkan minhrab dua tingkat dan kelihatan sebagai tong
atau drum tergantung dan tidak begitu sesuai dari segi estetika, maka dicadangkan
bahawa mihrab pada dua tingkat dipanjangkan ke bawah menjadi tiga tingkat.
Dengannya memudahkan bagi ruang bawah tanah mengenalpasti arah qiblat jika ada
function yang memerkan penentuan arah qiblat, khususnya solat. Perbincangan
juga melibatkan sistem berhawa dingin dan keperluan kipas yang sesuai dengan
lantai atas yang agak rendah.
Perbincangan yang paling utama diberi
perhatian ialah mengenai aras utama bagi jamaah. Bagi aras ini jika masuk dari
bahagian depan bangunan, maka ianya adalah bersamaan dengan aras bumi hingga
tidak nampak dan tidak disedari adanya aras bawah tanah. Pada aras ini tumpuan
perbincangan ialah bahagian depan yang melibatkan selain dari mihrab yang
disebutkan ialah mimbar, bilik imam dan peralatan. Dekorasi pada bahagian depan
dan dinding, ruang utama yang terbuka luas dan ruang lempah yang dibatasi
dinding kaca yang juga membataskan antara ruang berhawa dingin dan bagi mereka
yang tidak selesa dengan berhawa dingin dan melalui ruang lempah ini dapat
turun naik melalui tangga. Pada aras utama ini juga dibincangkan perlunya ada
pada bahagian permulaan masuk, bilik untuk anak-anak (dijaga di sini semasa ibu
mereka datang berjamaah dan juga pengajian) dan juga bilik mesyuarat. Pada
bahagian depan ini juga ada ruang tempat wudhu` pada bahagian kiri kanan, juga
toilet yang berasingan pada bahagian kiri kanan. Juga pada sebelah kanan bagi
aras utama (aras bumi) ialah `bilik mayat` bagi kemudahan mengurus jenazah.
Sebagaimana dari bahagian sisi demikian pada bahagian hadapan mempunyai tangga
kiri dan kanan bagi membolehkan turun naik dari aras utama ke aras satu, bahkan
pada bahagian sebelah kiri dari hadapan, berhampiran tangga dicadang disediakan
lif bagi beberapa tujuan. Antaranya bagi kemudahan oku, terutama jamaah
perempuan untuk naik turun dari aras utama ke atas dan juga sebaliknya. Lif ini
juga dapat digunakan bagi menaik turun barang-barang dan juga digunakan bagi
situasi kecemasan. Pada aras utama ini terdapat ruang mini taman yang boleh
dihiaskan dengan pokok dan bunga-bunga hidup atau disediakan bangku di samping
hiasan-hiasan yang lain.
Pada aras satu yang lantainya tidak meliputi
seluruh ruang, tetapi lantainya pada bahagian belakang dan sisi kiri kanan.
Pada dasarnya aras satu adalah aras bagi muslimat, tetapi sebenarnya tidak ke
seluruhan. Ruang bagi mereka adalah pada bahagian hadapan. Adapun pada bahagian
di belakang atas ini terdapat bilik-bilik yang disediakan bagi kelas tahfiz,
bilik IT, bilik sumber dan juga bilik mesyuarat. Daripada bahagian belakang ini
dapat naik ke tingkat atap. Tidak untuk kegunaan awam. Dari sini boleh
dilakukan pembersihan bahagian atas hingga boleh sampai kepada kubah dan atap.
Adapun atap pada asalnya kurang kecuraman, maka diminta sedikit dicuramkan bagi
kemudahan larian air hujan. Dari bahagian atas ini kelihatan secara terang
bahagian kubah, menara, bahkan pandangan keliling masjid.
Bahagian yang amat diberi tumpuan ialah kubah.
Kubah ini adalah berada di atas sebahagian besar dari ruang utama solat pada
aras utama. Adapun dari segi bentuk kubah dibincang dan usaha mendapat pakar
bagi membina kubah Masjid al-Umm ialah diadakan tender dan interview khusus,
sebagaimana juga pemilihan kontrektor juga adalah secara tender terbuka dan
interview. Turut menjadi topik perbincangan ialah mengenai bentuk menara dan
timbul cadangan pengubahsuaian. Selain itu perhatian perbincangan ialah
terhadap dinding, tingkap dan dekorasi dalaman dan juga luaran.
Melalui perbincangan-perbincangan di dalam
mesyuarat-mesyuarat teknikal dan induk, maka kejelasan timbul tentang bentuk
Masjid al-Umm, lebih-lebih lagi bila dikeluarkan perspektif berhubung dengan
bahagian-bahagian yang diberi perhatian dalam perbincangan. Pihak arkitek juga
mengikuti perbincangan dan mengambil maklum berhubung dengan cadangan-cadangan
dan penambahbaikan yang harus dilakukan (ketara berubah dari plan dan
perspektif asal). Semuanya ini perlu diangkat kepada pihak MPKj dan
jabatan-jabatan berkenaan. Permohonan kelulusan plan kepada MPKj dan jabatan-jabatan
berkaitan dibuat pada 15 Februari 2013 dan permohonan bagi kelulusan landscape
dibuat sebelum daripada itu, iaitu pada 5 Februari 2013.
Sekian.
No comments:
Post a Comment