October 15, 2019

ELAK ALIRAN SESAT PEGANG SUMBER ISLAM


ELAK AJARAN SESAT, PEGANG SUMBER ISLAM
(Fikrah Bangi: 375),
BBB:  16 Safar 1441H. = 15 Oktober 2019).
Ustaz Zarifi selaku moderator memulakan forum dengan membandingkan sebuah motokar perlu diservice dari masa ke masa, jika tidak diberi perhatian, maka lambat laun dia akan rosak. Demikian diri kita  dari masa ke masa  perlu dipastikan pegangan kita tidak rosak kerana terabai dari mengikuti keilmuan yang dapat memperbaiki diri dan pegangan kita menurut landasan yang betul. Menurut pengajian seperti mengikuti forum oleh tokoh wibaya pada malam ini dapat kita `check`  pegangan kita. Kiranya ada yang kurang jelas dapat kita memperbaiki pegangan dan akidah kita.
Forum malam ini yang panelnya terdiri dari Dr. Abdul Rahman Mahmud dari UKM dan Dr.Muhammad  Ayman Al-Akiti dari UIAM bertolak membicarakan persoalan akidah menurut perspektif tradisional dan ancaman semasa di zaman moden.
Soal ajaran salah telah wujud sejak dari awal zaman Islam seperti lahir Nabi Palsu yang dikenali Musailamah al-Kazzab pada zaman Nabi dan kelahiran golongan yang enggan membayar zakat pada zaman Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Mereka diperangi oleh Khalifah Abu Bakar.
Selepas perkembangan negara Islam lahir penyelewengan-penyeleweng yang dikenali dengan Khawarij, Mu`tazilah, Jabariyyah, Shi`ah dan sebagainya. Penentangan dilakukan oleh ulama`-ulama` Sunni yang dari segi akidahnya seperti Ash`ari-Maturidi dan Al-Tahawi, manakala dari segi fiqh atau shari`atnya seperti imam mazhab empat iaitu, Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali dan tasawuf menurut Imam Al-Ghazali. Kita Al-hamdulillah teguh berpegang dengan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, walaupun ada cabaran dari penyeleweng seperti akidah songsang, amalan khurafat dan tariqat-tariqat menyeleweng. Keadaan adalah terkawal.
Kekuatan kta kerana terus berpegang kepada sanad keilmuan yang benar dari segi akidah, wujudnya institusi yang terus memperkembangkan keilmuan yang benar baik dari madrasah, pondok, sekolah dan pengajian tinggi. Ianya diperkukuhkan dengan sanad amalan yang terus diwarisi terutama melalui amalan berjamaah seperti di masjid, surau dan berbagai tempat ibadat.  Demikian sanad bertasawuf murni yang menggilat hati rohani yang menjadikan umat berakhlak dan berbudi tinggi.
Manakala Dr. Muhammad Ayman yang lebih menumpulkan pembicaraan pada ancaman akidah pada zaman moden. Menurutnya generasi muda kini lebih terpengaruh dengan gaya hidup moden yang bersifat individualis dan kurang berinteraksi secara berjamaah. Lantaran itu antara mereka tertarik dengan fikiran dan faham semasa yang bersifat sekular yang memisahkan pandangan hidup dari kepercayaan agama dan akhirat. Mereka tertarik misalnya dengan konsep liberal dari segi pemikiran dan tidak mau diikat dengan kepercayaan agama secara tradisional. Nilai ethik mereka bukan secara tradisi yang memisahkan antara baik dan buruk, tetapi lebih bersifat pragmatis. Mereka juga terdedah dengan pandangan yang bersifat pluralisme yang melihat kebenaran bukan bersifat mutlak dan satu, tetapi datang dari sumber-sumber berbagai, termasuk kebenaran beragama yang menerima apa yang disifatkan semua benar. Kedua-dua pemikiran ini amat berbahaya. Penghujahan terhadap kedua aliran ini memerlukan tokoh yang amat berwibawa seperti misalnya Yusof al-Qaradhawi dan Zakir Naik. Inilah cabaran terhadap para intelektual kita terutama dari pengajian tinggi yang perlu melahirkan pemikir-pemikir Islam bertahaf tinggi yang mampu berdialog dan menjawab cabaran-cabaran akidah pada zaman moden.
Dalam pusingan kedua kedua panel bersetuju bagi memurnikan akidah tidak lain dari kembali kepada sumber asas Islam, iaitu Al-Qur`an dan Al-Hadith dan kepada turath yang telah dihasilkan oleh ulama yang selama ini menjadi panduan bagi umat Islam sejak berzaman.
Walau bagaimana ancaman semasa dari segi akidah terutama sekularisme, liberalisme dan pluralisme semacam tidak berjawab.
Sekian.

No comments:

Post a Comment