October 7, 2018

PERLUMBAAN MENDAPAT PENGARUH: CABARAN BAGI PEMBANGKANG


PERLUMBAAN MENAMBAH PENGARUH:  CABARAN BAGI PEMBANGKANG
(Fikrah Bangi:  19):
BBB, 27 Muharram 1440H. = 07 Oktober 2018M. (Ahad):
Dengan kemenangan PH dalam pilihanraya ke 14, mereka nampaknya, makin bersemangat dan perlumbaan meningkat pengaruh dan sokongan berlaku.   Perlumbaan menambah pengaruh dan sokongan bukan saja terhadap lawan –  pembangkang, tetapi berlaku perlumbaan  dalaman di kalangan parti komponan di dalam PH itu sendiri.
PKR sebagai parti dominan di dalam PH, sedang sebok, bahkan kecoh dengan pemilihan pemimpin dari peringkat cabang hingga pada peringkat Pusat. Parti ini paling popular. Ianya menjadi rebutan untuk menjadi ahli dalam parti itu, manakala dari satu pihak terjadi rebutan bagi menjadi pemimpin pada peringkat cabang, negeri dan pusat. Mendapat kedudukan di dalam parti bererti bakal mendapat banyak peluang bagi mendapat kedudukan. Bukankah ramai pemimpim atasan parti mendapat peluang menjadi menteri, timbalan dan berbagai jawatan lagi. Peluang bagi mereka yang menganggotai PKR dijangka lebih cerah lagi, apabila Dato` Seri  Anwar Ibrahim dijangka menang dalam pilihanraya Parlimen Port Dickson dan bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat. Perlumbaan bagi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR nampaknya sengit antara saudara Azmin dan Rafizi. Siapa yang memenangi jawatan sudah pastilah mempunyai masa depan yang cerah.
Perlumbaan bagi meningkatkan prestasi parti yang merupakan perlumbaan dalaman terjadi juga di dalam parti yang merupakan serpihan dari Pas dan berpisah dan menubuhkan Amanah Negara  pada 16 September 2015  dan menjadi komponan PH itu juga mendapat habuan lumayan dengan peluang mendapat perlantikan menjadi menteri, timbalan menteri dan beberapa jawatan  yang lain. YB Anuar Tahir Setiausaha Agung bagi Amanah dengan ghairah mengeluarkan statistik keahlian parti itu yang terus bertambah. Dalam wawancara melalui media letronik beliau memaklumkan bahawa keahlian bagi Amanah sekarang ini melebihi  100,000 orang dengan  cawangan yang ditubuhkan padsa masa ini ialah 159 cawangan. Menurutnya Amanah sedang bekerja keras bagi menambahkan keahlian. Menurutnya jumlah keahlian bertambah dengan memberi contoh:
Jun 2018  sebanyak 5,539  ahli
Julai                           10,460
Ogos                          12,815
Menurutnya keanggotaan parti itu terus bertambah. Parti itu yang mendakwa mendukung perjuangan Islam sedang membuat pendekatan mentafsirkan Islam secara progresif. Ini merupakan cabaran kepada Pas menilai pendekatan-pendekatan yang dibawanya adakah menepati kehendak Islam atau sebaliknya.
Antara PKR, Amanah Negara dan Bumiputra Bersatu, kelihatan, Bumiputra Bersatu agak ketinggalan. Parti itu masih di dalam memperkemas diri. Masih menutup cawangan dan memecat pihak yang tidak menurut aturan dan melantik yang baru sebagaimana dilakukan oleh Timbalan Presiden Bumiputra Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin. Sebenarnya dari segi nama parti bagi parti ini tidak menarik, namaya agak perkauman dan tidak bersifat terbuka. Ianya seolah-olah bagi mengambil tempat Umno, sedang trend sekarang yang menarik perhatiam, perjuangan parti seharusnya tidak berpuak, seharusnya bersifat Malaysia secara terbuka. Kekuatan yang ada pada parti itu, kerana pimpinan utama Dr. Maharhir memimpin  parti itu. Pengaruh Dr. Mahathir menarik keahlian menyertainya.
Dengan melihat parti-parti di dalam PH sebok memperbaiki diri, mengadakan kegiatan menambah ahli dan cawangan, tetapi kita tidak nampak kesungguhan pihak pembangkang memperbaiki diri dan sama  menambah prestasi dan sokongan.
Pihak Pas diingatkan bahawa selain dari perlumbaan dalaman, pihak PH, khususnya PKR sedang mempertingkat prestasi diri. Antara pimpinan  PH, khususnya PKR seperti Anwar Ibrahim dan Azmin Ali pernah mengatakan, bahawa parti itu akan memfokuskan dalam pilihanraya akan datang antaranya menawan Terengganu yang diketahui sejarah penguasaan politik di negeri itu sering berubah. Pas perlu bersedia menghadapi cabaran, di samping cabaran-cabaran yang lain yang bakal mendatang.
Sekian.

October 6, 2018

HASIL DARI PERTEMUAN DENGAN YB ADUN SUNGAI RAMAL


HASIL DARI PERTEMUAN DENGAN YB ADUN  SUNGAI RAMAL
(Fikrah Bangi: 18)
BBB, 26 Muharram 1440H. = 06 Oktober 2018M. (Juma`at):
Menyorot kembali ke belakang, iaitu pada pagi Juma`at  14 September  2018, pihak Jawatankuasa Masjid Al-Umm diketuai oleh Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, Ir. Tuan Haji Ishak Haji Arshad sebagai Timbalan Pengerusi, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku  AJK, Prof. Dr. Amran bin `Abdul Kadir selaku AJK dan Nik Muhammad Adham bin Anuar selaku Pemangku Setiausaha bertemu dengan ADUN Sungai Ramal YB Mazwan bin Johar di Pejabatnya di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Dalam pertemuan  ringkas itu telah dibincangkan tentang beberapa perkara yang berkait dengan Masjid Al-Umm dan perkara-perkara yang berhubung dengan Bandar Baru Bangi.
Tiga dari perkara yang dibincangkan ialah:
1)      Jalan 1/3K, yang menghala ke Masjid Al-Umm yang rosak, pecah dan lengkuk. Minta dibaiki.
2)      Keperluan mendirikan  solat Juma`at di Masjid Al-Umm
3)      Hutang  Masjid Al-Umm dengan kontrektor yang masih tertonggak.
Pada pagi Khamis  4 Oktober 2018 sepsukan pekerja membaiki jalan terdiri dari satu lori membawa tar dan dua buah jentera perata jalan  dan  antara 5 – 6 pekerja datang meratakan jalan 1/3K yang rosak. Jalan adalah sepanjang  setengah kilometer panjang. Sebelumnya semua kereta-kereta yang parking di tepi jalan berkenaan diminta dialihkan,  Dalam masa 2 jam  jalan tersebut dapat disiapkan.
Penulis menganggap pembaikan jalan 1/3K ini dibaiki  hasil dari permohonan  dibuat semasa bertemu dengan ADUN Sungai Ramal sebagaimana disebutkan di atas. Namun pihak kita tidak menerima maklumat atau salinan surat yang diminta kepada  pihak MPKj membaiki jalan tersebut. Jalan ini sebenarnya telah lama rosak, akibat dari laluan lori sampah yang berat dan sering berhenti pada jalan tersebut semasa memungut sampah pada waktu pagi, Jalan belakang juga pernah digunakan oleh lori berkenaan hingga pecah dan rosak teruk. Selepas pembaikan lori berkenaan tidak lagi melalui jalan belakang. Sebenarnya, sebelum pilihanraya ke 14 (9.5.2018), banyak jalan-jalan berdekatan, ada yang tidak rosak pun dibaiki, kita mengharapkan jalan 1/3K, dibaiki, tetapi tidak dibaiki. Kita menganggap pembaikan jalan itu hasil dsari tindakan YB ADUN Sungai Ramal, walaupun kita tidak menerima surat salinan tindakan yang dibuat.
Sebagaimana maklum antara tindakan yang dipohon dari ADUN Sungai Ramal agar mengusahakan sama agar Masjid Al-Umm segera dapat digunakan untuk solat Juma`at. Kita difahamkan mesyuarat mengenai Masjid Al-Umm di JAIS pada petang 4 Oktober, kerana mau menyelesaikan perkara yang berhubung dengan Masjid Al-Umm agar dapat dibawa ke dalam Mesyuarat Masjid yang akan diadakan  dalam masa terdekat selepas mesyuarat Masjid Al-Umm. Walaupun begitu kita bersangka baik, kemungkinan pihak ADUN Sungai Ramal turut sama mengambil tindakan supaya pihak JAIS dapat menyelesaikan berkenaan dengan kelulusan bagi Masjid Al-Umm, baik dari segi menggunakan untuk solat Juma`at atau mendapat CCC, tetapi sekali lagfi kita tidak mendapat sebarang salinan, jika tindakan diambil oleh ADUN Sungai Ramal.  Jika sebenarnya tindakan dibuat oleh ADUN Sungai Ramal bagi kedua-dua perkara di atas, kita bersukacita, kiranya mendapat salinan surat yang dibuat kepada pihak berkuasa berkenaan sebagai dokumen yang kami anggap penting bagi Masjid Al-Umm.
Perkara ketiga, kita difahamkan pihak ADUN Sungai Ramal meluluskan sejumlah peruntukan tertentu, walaupun tidak banyak kepada Masjid Al-Umm, namun peruntukan tersebut masih belum diterima oleh Masjid Al-Umm, kerana terpaksa melalui procedure   yang perlu diikuti. Kita berharap peruntukan ini dapat disegerakan, kerana pihak masjid sebagaimana maklum memerlukan kewangan bagi melunaskan hutang yang ditanggung.
Walau apapun kita mengucapkan terima kasih, kerana semua kelulusan yang dibuat adalah dalam masa pemerintahan Kerajaan Pakayan Harapan, Ini bererti semua  kelulusan yang didapati adalah hasil dari zaman Kerajaan Pakatan.
Terima kasih.

October 5, 2018

MASJID AL-UMM MEMULAKAN SOLAT JUMA`AT 12 OKTOBER 2018


MASJID AL-UMM MEMULAKAN SOLAT  JUMA`AT 12 OKTOBER 2018
(Fikrah Bangi: 17):
BBB, 24 Muharram 1440H. = 04 Oktober 2018M. (Khamis):
Bersyukur kepada Allah, kerana pada  Juma`at 12 Oktober 2018 bersamaan 3 Safar 1440 pihak Masjid mendapat kebenaran dari JAIS bagi mendirikan solat Juma`at pertamanya. Ini   berikutan dari pengeluaran CCC yang diputuskan di dalam  mesyuarat di JAIS pada petang hari ini (4 Oktober).
Beberapa orang Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, iaitu Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm,  Ir. Tuan Haji Ishak Arshad selaku Timbalan Pengerusi, Tuan Haji Hussin bin Yunos selaku Bendahari dan Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar selaku Pemangku Setiausaha dijemput hadir ke Mesyuarat Berkaitan Pembangunan Masjid Al-Umm,  Bandar Baru Bangi pada 4 Oktober 2018 bersamaan 24 Muharram 1440 bertempat di Bilik Mesyuarat  Haji Ali, Jabatan Agama Islam Selangor, Tingkat 6 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. Hadir ke mesyuarat itu:
·         Y.A.D. Dato` Haji  Emran bin Haji Kadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor  (MAIS) – Mempengerusikan mesyuarat.
·         Y.D.H. Dato` Orang  Kaya To` Ungku Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Tuan Abdul Jalil bin Dato` Abdul Rani.
·         Wakil dari MPKj
·         Tuan Haji Mahyudin bin Abu Bakar,
Pegawai Tadbir, PAID, Hulu Langat.
·         En Mohd Azam bin Azmi,
Penolong Pegawai Unit Pembangunan JAIS.
·         Ustaz Mohd Nazri bin Sabirin,
Ketua Unit Pembangunan Masjid,
PAID, Hulu Langat.
·         Ustaz Hashim,
Pegawai Dari PAID
·         Ar. Tuan Raja Fuaddin bin Raja Ahmad,
Arkitek Masjid Al-Umm.
·         Tetuan Safari Ingineuers
Engineer Masjid Al-Umm (Perunding)
·         Tuan Haji Marzuki bin Haji Omar
Tekad Nusantara (Kontrektor).
Dato` Emran memulakan perbincangan dengan menyatakan tujuan mesyuarat bagi membincangkan tentang pembangunan Masjid Al-Umm.
Penulis sebagai Pengerusi Masjid Al-Umm diminta memberi maklumat tentang Masjid Al-Umm. Masjid Al-Umm sudah siap 98%. Semua sudah mendapat kelulusan termasuk dari bomba. Apa yang sedang dilakukan ialah membaiki kerosakan-kerosakan kecil. Masjid sudah digunakan untuk solat waktu selepas mendapat CPC sejak 14.12.2017. Hingga kini tiada masalah yang dihdapi. Kos pembangunan RM21 juta, sudah dibayar  RM19 juta dan baki RM2 juta sedang dibayar secara beransur. Memandangkan masjid sudah siap dan mendapat kelulusan dari berbagai pihak Masjid memohon izin untuk mendirikan solat Juma`at dalam masa terdekat. (Wakil MPKj mau dipastikan maklumat, tapi belum tiba pada masa itu).
Penulis meminta Tuan Haji Ishak menambahkan maklumat, Katanya, semua keperluan 21 borang  telah dipenuhi termasuk plan tambahan telah diangkat dan mendapat kelulusan. Kini menunggu kelulusan bagi CCC dari MPKj.
Dato` Emran menyatakan kita menunggu kesampaian wakil MPKj. Sebenarnya kita mau tahu maklumat dari MPKj. Kebenaran  mendirikan Jumaat boleh diberi jika pihak MPKj memberi akuan `Bangunan Layak Digunakan`, walaupun tanpa CCC. Beliau menyebut banyak masjid di bawah jagaan beliau mendapat derma  dari orang berada. Setengahnya mendapat kelulusan penggunaan sedang dalam pembinaan.
Tuan Haji Hussin Bendahari memohon dari Dato` Emran , jika ada pihak dermawan mau menderma, mohon disalurkan kepada Masji Al-Umm. Beliau akan cuba melihatnya, katanya.
Pihak arkitek Raja Fuaddin dan Konterktor  Tuan Haji Marzuki Haji Omar bercakap yang mereka tidak ada halangan bagi mendapat kelulusan MPKj.
Dalam masa perbincangan Wakil MPKj tiba-  agak lewat. Beliau menyampaikan salam Dato` YDP MPKj dan memaklumkan semua perkara yang berhubung dengan Masjid  Asl-Umm telah diluluskan. Kami mengucapkan al-hamdulillah
Kata Dato` Emran, kalau dari awal kita dapat tahu, tentu tak perlu mesyuarat panjang-panjang.  Sebenarnya Surat untuk CCC telah tersedia. Tunggu penurunan tarikh berkuatkuasa, iaitu pada hari ini.
Dengan kelulusan dibincangkan tarikh mula untuk mendirikan solat Juma`at. Sebenarnya  menurut aturan kata pihak PAID boleh dimulakan mulai esok (Jumaat 5 Oktober), tapi oleh kerana perlu kepada penyerahan dan penyebaran maklumat, maka dipersetujui tarikh mulai mendirikan Juma`at bagi Masjid Al-Umm ialah pada 12 Oktober 2018 hadapan. PAID akan turun ke Masjid Al-Umm bagi membuat penyerahan surat kebenaran mendirikan Juma`at pada Asar petang Khamis 11 Oktober 2018.
Mesyuarat berakhir jam 3.30 petang.
Sekian.

October 4, 2018

MENUJU KE ARAH SISTEM DUA KOMPONAN PARTI BERIMBANG


MENUJU KE ARAH SISTEM DUA KOMPONAN PARTI  BERIMBANG
(Fikrah Bangi: 16)
BBB:  24 Muharram 1440H. = 04 Oktober 2018M. (Khamis):
Telah dibicarakan dalam suasana  kesedaran politik  begitu meningkat, terutama di kalangan intelektual dan  generasi muda elemen tradisional yang tak menguntungkan  dan kaum tidak lagi menarik perhatian dan tidak menjadi elemen sentimen yang dapat menarik sokongan generasi intelektual dan golongan muda. Sebab itu parti politik yang mengharapkan sokongan mereka perlu menyesuaikan diri dan merubah diri sesuai dengan situasi semasa. Kita mau semua parti mantap dan kukuh dan menawarkan diri sesuai dengan keperluan semasa. Kita mau semua pihak berkemampuan di dalam mencapai keseimbangan yang pada puncaknya dipilih pihak yang sedikit ada kelebihan kerana kebijaksanaan dan kreativiti di dalam menarik sokongan.
Umno dan Pas sebagai pihak yang tidak mengusai pemerintahan pada peringkat negara bersama-sama yang lain yang tidak memerintah seharusnya meningkatkan prestasi masing-masing ke tahap seimbang atau melebihi dari lawan, sehingga digeruni lawan.
Sudah diperkatakan dalam suasana politik Malaysia yang berbilang kaum Umno terutama perlu membuka diri kepada semua kaum, kita telah mencadangkan akan Umno mengubahsuai diri dengan menerima kemasukan semua kaum iaitu dengan  sedikit perubahan Umno kepada  `United Malaysians National Organization`, hanya tukar Malay kepada Malaysian, tetapi dari segi akronimnya tetap sama iaitu Umno. Cadangan ini nampaknya tidak diterima dan dijawab dalam persidangan  bahawa  Umno mau kekal sebagai parti orang Melayu.
Tetapi perlu diingat dengan iklim politik Malaysia yang berbagai kaum, sebuah parti politik, khususnya yang berasaskan kaum tidak mampu untuk mendapat majoriti sokongan, tanpa kerjasama dengan parti-parti yang lain.
Kita mencadangkan satu alternatif  agar Umno dan Pas mewujudkan sebuah jenama parti yang bersifat terbuka bagi semua kaum yang di dalamnya Umno, Pas dan kaum-kaum lain.  Sebagaimana telah disebut  di dalam ucapan dasar Presiden di dalam Konvensyen Umno 2018,  Dato` Seri Dr. Zahid Hamidi mencadangkan agar  diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Kita mencadangkan konsep perpaduan ini dijadikan nama dan identiti yang dibina bagi satu komponan parti yang akan menentang `PH` yang merupakan komponan bagi parti yang sedang memerintah sekarang. Daripada `Perpaduan` diambil akronim bagi parti, akronim dimaksudkan ialah SEPADU. Kita menggesa pihak Umno dan Pas adalah pemula bagi menggerakkan SEPADU di samping mencari parti-parti, kaum, kelompok dan tokoh-tokoh lain menyertai komponan `SEPADU berkenaan.
SE bererti  =  Satu
PADU   bererti = Kukuk, mantap dan kuat
SEPADU dari segi akronim boleh bermaksud:
SE =  Selain (selain dari)
PA = PAS
dU =  dan Umno
Umno dan Pas perlu memperkemas dan memperbaiki diri di samping mendapat kerjasama parti-parti, kaum, pertubuhan, NGO dan orang perseorangan menyertainya.
Kita mau agar wujud dua komponan parti yang menjadi alternatif bagi pilihan rakyat. Perbincangan mengenai SEPADU hendaklah dilakukan secara teratur, smart dan menarik. Pilihanraya ke 15 hendaklah menjadi target mendapat sokongan seimbang dari rakyat bahkan memerintah.
SEPADU adalah tidak bersfat kaum, tetapi terbuka bagi semua rakyat.  (Nama Pas dan Umno tidak penting di dalam SEPADU, secara kebetulan dan boleh diabaikan). Yang penting adalah nama SEPADU yang bersifat terbuka.  Keadaan yang sama terdapat di dalam PH yang di dalamnya terdapat parti yang bersifat perkauman seperti Bumiputra Bersatu (mungkin asal untuk menandingi Umno), di samping PKR dan Amanah yang tidak dikaitkan dengan kaum dan bersifat terbuka.
Persoalan istilah atau akronim di sini bukanlah bersifat utama, tetapi Umno dan Pas mesti mencari mekanisme bagi penyertaan berbagai kaum di dalam sebuah pakatan yang perlu dikenalpasti dan dipersetujui.
Kita merasa sukacita jika hasrat mewujudkan dua komponan parti yang mempunyai kekuatan berimbang dan sentiasa menjadi alternatif bagi pilihan rakyat yang melihat  dan memilih mana yang sedikit lebih baik antara dua pilihan.
Sekian.

October 3, 2018

UMNO TIDAK WAJAR DIHARAMKAN


UMNO TIDAK WAJAR  DIHARAMKAN
(Fikrah Bangi: 15)
BBB, 23 Muharram 1440H. = 03 Oktober 2018M. (Rabu):
Dalam Persidangan Agung Umno berakhir pada akhir September 2018 baru-baru ini ada ditimbulkan termasuk oleh Presiden Umno Dato` Seri Dr. Zahid Hamidi, bahawa Umno berkemungkinan diharamkan, sebagaimana ia pernah diharamkan kerana masalah teknikal dari segi perundangan. Walaupun pendapat itu merupakan spekulasi, tetapi kemungkinan berlaku tidak dapat dinafikan. Namun kita berpendapat perkara sedemikian seharusnya tidak terjadi.
Perlu diingat bahawa parti-parti (Melayu)  yang ada sekarang adalah merupakan belahan dari sama ada Umno atau Pas. Mengharam atau mematikan Umno sebagai penderhakaan, bahkan pembunuhan  dilakukan oleh anak terhadap ibunya ( contoh seorang anak membunuh ibunya dan dihumbangkan ke dalam tangki  najis (BH. 25 September 2018: 17).
Umno dari segi sejarah adalah parti Melayu yang terawal ditubuhkan (4 Mei 1946) atas nama Pekembar (Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu) yang di dalam bahasa Inggerisnya diringkaskan sebagai  UMNO (United Malay National Organization). Sebuah lagi parti  terawal setua Umno, ialah Pas.  Umno ditubuhkan antaranya kerana menentang konsep Malayan Union yang  dikemukakan oleh British pada masa tersebut. Sebagai alternatifnya melalui rundingan antara Umno dan Britrish tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Namun tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu tidak disetujui oleh golongan kiri – termasuklah parti Komunis Malaya yang menyebabkan mereka mengangkat senjata. Terdapat juga golongan kiri Melayu yang antaranya berjuang bagi membentuk Melayu Raya. Pemimpin mereka ditahan. Terdapat juga golongan radikal dari parti Sosialis dan Parti Rakyat yang tidak sebulu dengan golongan kanan.
Walau bagaimana Dato` Onn bin Ja`afar yang menubuhkan Umno itu, keluar dari Umno bagi menubuhkan parti yang dikenali dengan IMF (Independent Malayan Party), tetapi parti ini tidak mendapat sambutan yang menyebabkan Dato` Onn menubuhkan Parti Negara, juga tidak mendapat sambutan kecuali di Terengganu (1959).
Ketiadaan Dato` Onn , membuka ruang kepada Tunku Abdul Rahman Putera seorang anak raja Kedah, lulus undang-undang di London memimpin Umno. Tunku mengambil alih pimpinan Umno pada 26 Ogos 1951. Dalam perjuangan ke arah kemerdekaan Umno bergabung dengan MCA (1953) dan diikuti oleh MIC. Jika slogan Umno  di bawah pimpinan Dato` Onn menggunakan ungkapan `Hidup Melayu`, maka Umno di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman ialah `Merdeka`.
Pada masa Tunku dengan kerjasama British diadakan pilihanraya pertama bagi menuju ke arah berkerajaan sendiri. Dalam pilihanraya pada 27 Julai 1955 merebut 52 kerusi, maka 51 kerusi dimenangi oleh Parti Perikatan (Umno, MCA dan MIC) dan satu kerusi dimenangi oleh Pas (di Perak). Ini menunjukkan Pas sebagai sebuah parti lahir  (Gunung Semanggol - Abu Bakar al-Baqir) bersama dan seawal Umno yang kepimpinan pertamanya ialah Dr. Burhanuddin Hilmy. Pas adalah parti yang sama memperjuangkan kemerdekatan dengan hasrat menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan. Ia sama mewarnai perjuangan politik dan mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957).
Apabila pilihanraya peringkat negara diadakan pada tahun 1959, Pas menguasai Negeri Terengganu dengan memenangi juga kerusi pada perinkat negeri dan parliman. Pas juga bersama di dalam pembentukan Malaysia (16 September 1963).
Umno adalah sebuah parti yang teguh, walaupun pernah berlaku perselisihan antara kepimpinan misalnya antara Dr. Mahathir dan Tengku Ghazali  Hamzah yang menubuhkan parti Semangat 46, tetapi parti ini kemudiannya berkubur. Begitu juga berlaku perselisihan antara pimp[inan Pas (Dato` Asri Muda) dengan Muhammad Nasir di Kelantan yang membawa kepada kelahiran Berjasa, tetapi berjasa juga akhirnya berkubur.
Sebagai perkembangan lanjut perselisihan antara Dr. Mahathir Perdana Menteri  yang memimpin Umno dengan Timbalannya Anwar Ibrahim, menyebabkan lahirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Keadaan yang sama berlaku di dalam Pas, perselisihan yang berlaku di dalam Pas di bawah pimpinan  Tuan Guru Dato` Seri Abdul Hadi Awang dengan kelompok yang dipimpin oleh Mat Sabu melahirkan Amanah. Bahkan Parti yang memerintah sekarang  `Pakatan Harapan`  adalah merupakan belahan dari Umno yang menentang kepimpinan Dato` Seri Najib juga di dalamnya belahan dari Pas yang menentang kepimpinan  Dato` Seri Abdul Hadi Awang.
Apa yang hendak ditonjolkan di sini Umno adalah ibu dari parti-parti pimpinan dalam PH, sebagaimana Pas juga adalah ibu bagi Amanah.
Sebab itu jangan bunuh ibu bagi parti-parti politik berkenaan, khususnya Umno, sebagaimana juga Pas yang keduanya antara parti tertua yang memperjuangkan kemerdekaan dan pengekalannya. Biarlah semua subur dan berlomba-lomba menawarkan kepimpinan dan khidmat terbaik bagi negara dan rakyat Malaysia.
Sekian.

October 2, 2018

PRK PD SEMARAKKAN DEMOKRASI, TIAP CALON ADA MISI


PRK PD SEMARAKKAN DEMOKRASI, TIAP CALON ADA MISI
(Fikrah Bangi:  14).
BBB, 22 Muharram 1440H. = 02 Oktober 2018M. (Selasa):
Selepas Dato` Danyal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Dato` Seri Anwar bertanding bagi melayakkan dirinya ke parlimen (Star, 19 Sept. 2018), pendapat bercampur-campur. Ramai berpendapat tidak wajar dikosongkan, akibatnya Umno mengambil keputusan bertindak memprotes dengan pengosongan dan Anwar mau bertanding dengan memboilot dan Umno tidak bertanding, manakala Pas pada peringkat permulaan cenderong  sebagaimana Umno tidak akan meletakkan calon. Tapi yang  kedengaran mau bertanding ialah PRM dan calon-calon bebas. Dengan demikian dijangka pada masa itu PRK bakal diadakan adalah hambar. Ia semacam sebagai memberi  laluan mudah bagi Anwar.
Tetapi bila penamaan calon didapati ada 7 calon bertanding termasuk dari Pas dan Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad – letak jawatan dari Umno sehari sebelum penamaan calon. (Sinar: 20 Sept. 2018) dan beberapa yang lain (Bebas). Dengan situasi itu dilihat PRK PD merancakkan.
Daripada 7 calon, dilihat yang menarik perhatian dan boleh menggugat Anwar ialah dua orang, iaitu  Tan Sri Isa Samad (Bebas) dan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari  Mokhtar dari Pas.
Isa Samad dilihat mempunyai misi tersendiri. Paling utama dilihat Isa bertanding, kerana protes terhadap Umno yang beliau adalah pendukung kuat Umno, kerana tidak bertanding. Tidak bertanding Umno dilihat tidak wajar, bahkan boleh disifatkan sebagai pengecut. Umno sebuah  parti besar. PD adalah kawasan parlimen yang dikuasai Umno sebelum ditawan oleh PKR  dua penggal lepas. Isa Samad adalah ahli parlimen di PD sebelumnya. Isa mau merampas kembali kawasan parlimen yang pernah dia mewakilinya. Sebagai anak jati Negeri Sembilan dan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum Tok Mat, Isa mau menunjukkan kelakiannya dengan tidak membiarkan PD dikuasai oleh bukan dari anak tempatan. Isa Samad juga mau memulihkan imejnya yang tercalar, ketika dia diseret ke pengadilan oleh SPRM dengan memakai baju lokap SPRM, sesungguhnya memalukan beliau. Sekarang dengan bertanding, bermakna ia bebas, lantaran itu boleh bertanding, bahawa dirinya tidak bersalah, jika tidak tentu tidak boleh bertanding. Maruah baginya lebih penting sama ada menang atau kalah, tetapi Isa berharap penduduk PD yang pernah diwakili, dan rakyat Negeri Sembilan menyokong dan simpati terhadapnya dengan mengundi memilihnya mewakili Parlimen PD.
Kehadiran Leftenan Kolonel (B) Nazari Mokhtar, sebagai calon yang baru dikenalpasti oleh Pas, kerana sebelumnya dijangka Pas turut menarik diri, tetapi pada hari penamaan calon Pas menampilkan calonnya yang dianggap berwibawa dan dikatakan setara dengan Anwar Ibrahim. Kolomel Nazari sebagai Bekas Pegawai Tinggi tentera bertanding di kawasan tentera di PD diharap mendapat simpati terutama dari kalangan pengundi tentera. Walaupun tujuan utama Pas dengan bertanding ialah sebagai misi dakwah  Pas tidak boleh dipandang ringan, kerana pendukungnya di mana-mana. Pas menunjukkan pengaruhnya di dalam ketiga-tiga kerusi pilihanraya DUN di negeri Selangor. Walaupun tidak menang, tetapi yang menyokong calon-calon Pas meningkat. Di PD juga Pas mau uji kemampuannya. Pas tidak asing di Negeri Sembilan, kerana ianya pernah menguasai kerusi-kerusi dewan negeri, jadi tidak mustahil untuknya menguasai Parlimen atau sekurang-kurang dapat mengukur pengaruhnya di PD.
Bagi Anwar  Ibrahim, adanya pertandingan hingga tujuh penjuru memberi keabsahan kehadirannya dicabar oleh Pas dan juga Bekas Veteran Umno. Langkah PD mengukuhkan strategi yang diambilnya. Sesungguhnya walaupun dijanji menjadi Perdana Menteri Menunggu, tetap tanpa ada kerusi Parlimen tidak dapat dilantik sebagai Perdana Menteri, sebab itu walau apa pun ada pendapat tidak wajar dikosongkan kerusi PD, peluang ini perlu diisi. Anwar tidak harus dikeciwakan bagi kali kedua. Ia seharusnya membuat persediaan dan mengatur strategi, sekurang-kurang suaranya akan bergema di dalam parlimen. Anwar sebenarnya adalah lebih layak dari segi kedudukan partinya yang merupakan parti terkuat di dalam kerajaan yang memerintah. Dia adalah ditunggu oleh banyak pihak agar masa pemerintahannya kelak dapat mengembalikan situasi tenang dari ketegangan yang mulai meningkat !
Sekian.

October 1, 2018

`SEPADU` BAGI PAS, UMNO DAN KAUM-KAUM LAIN BERGABUNG: SATU PROPOSAL


`SEPADU` BAGI PAS, UMNO DAN KAUM-KAUM LAIN BERGABUNG:  SATU PROPOSAL
(Fikrah Bangi = 13)
BBB, 21 Muharram 1440H. = 01 Oktober 2018M. (Isnin):
Dalam ucapannya dalam Persidangan Agung Umno 2018 Dato` Seri Zahid Hamidi  Presiden Umno  mempertahankan bahawa Umno  adalah parti berteraskan Melayu dan Bumiputra Malaysia. Cadangannya supaya mewujudkan `Kerajaan Perpaduan` dianggap, antaranya oleh Khairy Jamaluddin sebagai tergesa-gesa. Apa yang perlu ditekankan pada peringkat permulaan ialah memperbaiki Umno dari dalam terlebih dahulu. Kita bersetuju.
Tetapi perlu diingat dengan berteraskan Melayu dan bumiputra – juga dengan Pas dalam keadaan sekarang tidak dapat menarik semua kaum bersatu bagi membentuk kerajaan. Baik Umno maupun Pas perlu mencari mekanisme yang dapat menyatu semua kaum bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Penulis mencadangkan konsep `Perpaduan` yang dicadangkan oleh Zahid ini dapat dibina dan dikembangkan  kepada satu konsep gabungan yang bakal dapat membentuk kerajaan Malaysia yang melibatkan semua kaum. Caranya begini:
Asas perpaduan adalah berteraskan Pas +Umno+campur berbagai kaum dalam akronim
   SEPADU bermaksud  SOLADIRITI dan UNITI
Dalam SEPADU MALAYSIANS ada Pas, Umno dan United Malaysians (lain-lain kaum digabungkan  dalam `United Malaysians`).
Disebut  secara ringkas ialah `SEPADU MALAYSIANS ` atau lebih ringkas lagi disebut `SEPADU` sahaja` bermaksud di dalamnya ada Pas, Umno dan lain-lain kaum berada di dalam istilah Malaysians.
 Dengan SEPADU tidak menghilangkan nama baik Pas, maupun Umno, sebaliknya dapat ditambah keanggotaan kaum-kaum lain sama ada atas nama parti kaum, kumpulan kaum atau individu dalam `SEPADU`.
Dengan pendekatan ini:
Nama Pas kekal
Nama Umno kekal
Dapat  ditambah berbagai kaum dalam `Malaysians`.
Menampilkan ciri solidariti dan unity.
Bersifat Malaysia.
Dengan pendekatan ini.
Merealisasikan hasrat kerjasama antara Pas, Umno dan berbagai kaum.
Menghindar Umno dari tuduhan bersifat perkauman.
Umno dan lain-lain dapat bangkit dengan imej dan semangat baru.
Pas bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan berbagai pihak.
Dengan pendekatan ini baik Pas maupun Umno dapat menerima dan bekerjasama dengan kaum-kaum lain dalam semangat Malaysia, tetapi tetap mempunyai `Teras dan Keaslian`  yang dipertahankan.
Dengan keadaan ini pembaikan dari dalam perlu dilakukan segera, begitu juga pembukaan bagi semua kaum menyertai `SEPADU MALAYSIANS` segera dilakukan secara teliti.
Pada peringkat permulaan rundingan antara Pas dan Umno hendaklah dilakukan terlebih dahulu.
Keperluan-keperluan asas hendaklah disediakan terlebih dahulu, juga dirundingkan kaedah penyertaan kaum dan individu lain dalam `SEPADU MALAYSIANS`.
Perlu diingat tanpa penyertaan semua kaum sukar untuk memerintah pada peringkat Malaysia (Pusat).
Catatan:  Perubahan atau penyesuaian dapat dilakukan melalui perbincangan. Pas dan Umno dan lain-lain kelak perlu bersifat terbuka untuk berunding.
Sekian.