October 3, 2018

UMNO TIDAK WAJAR DIHARAMKAN


UMNO TIDAK WAJAR  DIHARAMKAN
(Fikrah Bangi: 15)
BBB, 23 Muharram 1440H. = 03 Oktober 2018M. (Rabu):
Dalam Persidangan Agung Umno berakhir pada akhir September 2018 baru-baru ini ada ditimbulkan termasuk oleh Presiden Umno Dato` Seri Dr. Zahid Hamidi, bahawa Umno berkemungkinan diharamkan, sebagaimana ia pernah diharamkan kerana masalah teknikal dari segi perundangan. Walaupun pendapat itu merupakan spekulasi, tetapi kemungkinan berlaku tidak dapat dinafikan. Namun kita berpendapat perkara sedemikian seharusnya tidak terjadi.
Perlu diingat bahawa parti-parti (Melayu)  yang ada sekarang adalah merupakan belahan dari sama ada Umno atau Pas. Mengharam atau mematikan Umno sebagai penderhakaan, bahkan pembunuhan  dilakukan oleh anak terhadap ibunya ( contoh seorang anak membunuh ibunya dan dihumbangkan ke dalam tangki  najis (BH. 25 September 2018: 17).
Umno dari segi sejarah adalah parti Melayu yang terawal ditubuhkan (4 Mei 1946) atas nama Pekembar (Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu) yang di dalam bahasa Inggerisnya diringkaskan sebagai  UMNO (United Malay National Organization). Sebuah lagi parti  terawal setua Umno, ialah Pas.  Umno ditubuhkan antaranya kerana menentang konsep Malayan Union yang  dikemukakan oleh British pada masa tersebut. Sebagai alternatifnya melalui rundingan antara Umno dan Britrish tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Namun tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu tidak disetujui oleh golongan kiri – termasuklah parti Komunis Malaya yang menyebabkan mereka mengangkat senjata. Terdapat juga golongan kiri Melayu yang antaranya berjuang bagi membentuk Melayu Raya. Pemimpin mereka ditahan. Terdapat juga golongan radikal dari parti Sosialis dan Parti Rakyat yang tidak sebulu dengan golongan kanan.
Walau bagaimana Dato` Onn bin Ja`afar yang menubuhkan Umno itu, keluar dari Umno bagi menubuhkan parti yang dikenali dengan IMF (Independent Malayan Party), tetapi parti ini tidak mendapat sambutan yang menyebabkan Dato` Onn menubuhkan Parti Negara, juga tidak mendapat sambutan kecuali di Terengganu (1959).
Ketiadaan Dato` Onn , membuka ruang kepada Tunku Abdul Rahman Putera seorang anak raja Kedah, lulus undang-undang di London memimpin Umno. Tunku mengambil alih pimpinan Umno pada 26 Ogos 1951. Dalam perjuangan ke arah kemerdekaan Umno bergabung dengan MCA (1953) dan diikuti oleh MIC. Jika slogan Umno  di bawah pimpinan Dato` Onn menggunakan ungkapan `Hidup Melayu`, maka Umno di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman ialah `Merdeka`.
Pada masa Tunku dengan kerjasama British diadakan pilihanraya pertama bagi menuju ke arah berkerajaan sendiri. Dalam pilihanraya pada 27 Julai 1955 merebut 52 kerusi, maka 51 kerusi dimenangi oleh Parti Perikatan (Umno, MCA dan MIC) dan satu kerusi dimenangi oleh Pas (di Perak). Ini menunjukkan Pas sebagai sebuah parti lahir  (Gunung Semanggol - Abu Bakar al-Baqir) bersama dan seawal Umno yang kepimpinan pertamanya ialah Dr. Burhanuddin Hilmy. Pas adalah parti yang sama memperjuangkan kemerdekatan dengan hasrat menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan. Ia sama mewarnai perjuangan politik dan mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957).
Apabila pilihanraya peringkat negara diadakan pada tahun 1959, Pas menguasai Negeri Terengganu dengan memenangi juga kerusi pada perinkat negeri dan parliman. Pas juga bersama di dalam pembentukan Malaysia (16 September 1963).
Umno adalah sebuah parti yang teguh, walaupun pernah berlaku perselisihan antara kepimpinan misalnya antara Dr. Mahathir dan Tengku Ghazali  Hamzah yang menubuhkan parti Semangat 46, tetapi parti ini kemudiannya berkubur. Begitu juga berlaku perselisihan antara pimp[inan Pas (Dato` Asri Muda) dengan Muhammad Nasir di Kelantan yang membawa kepada kelahiran Berjasa, tetapi berjasa juga akhirnya berkubur.
Sebagai perkembangan lanjut perselisihan antara Dr. Mahathir Perdana Menteri  yang memimpin Umno dengan Timbalannya Anwar Ibrahim, menyebabkan lahirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Keadaan yang sama berlaku di dalam Pas, perselisihan yang berlaku di dalam Pas di bawah pimpinan  Tuan Guru Dato` Seri Abdul Hadi Awang dengan kelompok yang dipimpin oleh Mat Sabu melahirkan Amanah. Bahkan Parti yang memerintah sekarang  `Pakatan Harapan`  adalah merupakan belahan dari Umno yang menentang kepimpinan Dato` Seri Najib juga di dalamnya belahan dari Pas yang menentang kepimpinan  Dato` Seri Abdul Hadi Awang.
Apa yang hendak ditonjolkan di sini Umno adalah ibu dari parti-parti pimpinan dalam PH, sebagaimana Pas juga adalah ibu bagi Amanah.
Sebab itu jangan bunuh ibu bagi parti-parti politik berkenaan, khususnya Umno, sebagaimana juga Pas yang keduanya antara parti tertua yang memperjuangkan kemerdekaan dan pengekalannya. Biarlah semua subur dan berlomba-lomba menawarkan kepimpinan dan khidmat terbaik bagi negara dan rakyat Malaysia.
Sekian.

No comments:

Post a Comment