October 25, 2018

UMNO SUDAH `TIADA`, CABARAN BAGI AHLINYA


UMNO SUDAH `TIADA`: CABARAN KEPADA AHLINYA
(Fikrah Bangi:  37):
BBB, 16 Safat 1440H. = 25 Oktober 2018M. (Khamis):
Demikian diungkapkan oleh Tun Mahathir (BH,23,10,2018). Ungkapan ini adalah merupakan cabaran kepada ahli-ahli Umno, terutama bagi pemimpin-pemimpinya. Sememangnya ada respond  dari Dato` Seri Zahid Hamidi Presiden Umno dan Timbalannya Dato` Muhammad Hasan. Tetapi  menjawab cabaran ini  perlu kepada  tindakan  secara strategik dan sistematik. Dari segi rakyat, kita kira sudah turun kemarahan lantaran kehendak mereka sudah tercapai dan melihat apa yang dialami Umno elemen simpati mulai kembali. Kesempatan ini hendaklah diambil oleh Umno bagi memulih Umno dengan berbagai pendekatan yang strategik dan sistematik.
Sebagaimana di dalam sejarah dan realiti hingga kini, bahawa Umno dan parti-parti lain jika mau memerintah tidak mungkin dengan secara bersendirian, tetapi mesti berkerjasama dengan parti lain. Dalam konteks Umno sebagai parti berasaskan kaum perlu berganding dengan parti yang terbuka dan bersifat multi-rasial, tetapi Umno perlu mempekemas diri terlenih dahulu sebelum dapat menarik kerjasama dengan parti yang lain. Umno perlu mentransforkan diri sehingga dilihat sebagai satu yang baru dan diyakini. Keadaan ini misalnya dilakukan oleh MCA (Star, 24.10, 2018: 11), tetapi MCA dan yang lain lagi tentulah membuat pilihan dengan rakan yang dianggap sama dapat memberi kekuatan baginya. Dan tidak mau kembali kepada gaya lama yang menyebabkan MCA dan komponan dalam BN ditolak rakyat.
Persoalan mengapa BN ditolak oleh rakyat perlu dikaji sedalam-dalamnya dan perlu diambil tindakan bagi memperbaiki. Selama ini dilihat bahawa BN telah mengamalkan budaya ketuanan yang tidak boleh dicabar. Ia memisahkan diri dari masyarakat dan tidak turun kepadanya, melainkan dengan cara tuan yang berkuasa. Ianya membentuk sebagai `Feudal Baru`  di dalam BN, khususnya di dalam Umno, segalanya milik mereka dan untuk mendapat rahmat seharusnya bersama mereka. Elemen inilah yang  meramai dan menyokong BN. Khususnya Umno. Keberadaan mereka adalah amat rapuh. Lihatlah sebaik kekalahan dialami, spontan mereka melarikan diri. Kita melihat mereka yang berwatak dedalu ini berlaku di kalangan mereka yang dianggap pemimpin tertinggi selama ini. Mereka seumpama ini mengintai peluang di mana kesempatan baru berada.
Pemulihan Umno, iaitu dengan menampilkan diri sebagai yang baru, segar bertenaga dan bersemangat baru, jangan lupa dari segi akar dan sejarah. Umno sebagai parti tertua dan banyak jasa. Tokoh-tokoh yang dihormati perlu menjadi elemen yang dihormati dan simpati.  Di samping memperbaiki diri, sebagaimana disebut ialah mendapat rakan yang dapat memperkuatkan diri. Paling ideal buat masa ini ialah bekerjasama sebagai rakan strategik dengan PKR yang parti itu dan kepimpinan dan pengasasnya dari Umno. Keistimewaan parti ini kerana bersifat multi-rasial dan terbuka. Umno seharusnya menerima kepimpinan di dalam parti itu sebagai pemimpin dan  rakan strategik. Dengan bersama parti itu sudah cukup bagi mendapat  majoriti kerusi. Kekuatan akan lebih dapat digembling jika turut sama dengan penyertaan Pas yang sebenar sama memerlukan parti yang bersifat terbuka dan multi-rasial. Tawaran kerjasama dengan PKR adalah releven, khususnya dalam keadaan kepimpinan tertinggi parti itu berada di dalam keadaan ketidakpastian.,
Alternatif yang lain, jika PKR enggan dan tidak mau berpecah dan berpisah dari rakannya kini, maka Umno perlu kembali kepada rakan-rakan lama yang sama sanggup berubah kepada wajah baharu. Perkembalian bagi membentuk pakatan yang baru perlu kepada penilaian dari segi kesetiaan yang terlihat selama ini, terutama selepas kekalahan yang dialami.
Alternatif dan keadaan yang agak sukar dan memerlukan masa yang panjang baik bagi Umno dan juga Pas ialah perlu mengambil inisiatif menggalakkan satu kelompok baru mewujudkan satu parti yang bersifat multi-rasial, tetapi tidak melibatkan Umno dan Pas di dalamnya. Partri ini menjadi induk bagi komponan bagi Umno dan Pas dan mana-mana parti yang sesuai untuk sama menyertainya.
Apa yang dilihat bahawa pada akhirnya membentuk sistem dua kelompok parti yang ditawarkan kepada rakyat memilihnya. Komponan A dan Komponan B. Jika dilihat komponan A tidak mampu memberi kepuasan kepada rakyat, maka rakyat boleh memilih komponan B. Demikianlah pemerintahan boleh bertukar antara kedua alternatrif, bila satu pihak tidak memberi kepuasan kepada rakyat, mereka boleh mengubah pilihan. Begitulah seterusnya.
Cabaran yang diterima  Umno seharusnya menjadi daya penggerak ke arah tindakan positif yang   menunjukkan Umno bukan saja hidup tapi berwibawa dan mampu berkuasa.
Sekian.

No comments:

Post a Comment