October 8, 2018

MASALAH KHULWAT, TIDAK DISETUJUI MUFTI-MUFTI: ANTARA SIKAP TERHADAP ISLAM I


MASALAH KHULWAT: TIDAK DISETUJUI MUFTI-MUFTI - ANTARA SIKAP TERHADAP ISLAM
(Fikrah Bangi: 20):
BBB, 28 Muharram 1440H. = 08 Oktober 2018M. (Isnin):
Berikut dari kenyataan YB Dato` Dr. Mujahid Yusof Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung, antaranya  (Star: 6 October 2018: 4) mengenai undang-undang khulwat, bahawa tidak wajar persoalan peribadi dicerobohi, mengundang respond dari beberapa pihak yang berwibawa:
Mafti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, berkata, ``Undang-undang ini telah lama dijalankan, sebagai seorang Menteri seharusnya Mujahid  meneliti persoalan dan sepatutnya dibawa berbincang sebelum membuat kenyataan. (Sinar, Ahad, 7 Oktober 2018: 1 & BH, 7 Oktober 2018: 5).
Mufti Pahang  Dr. Abdul Rahman Osman, mengingatkan bahawa Menteri tak ada kuasa arahkan penguatkuasa hentikan operasi, kerana kuasa di bawah Majlis Negeri.`` (Sinar, 7 Oktober 2018: 1), manakala Mohd Yusof Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan, ``Jika dia lupa saya ingatkan semula, bahawa mencegah kemungkaran dituntut dalam agama.`` (BH, 7 Oktober, 2018: 5). Demikian tiga daripada banyak komen yang dibuat terhadap kenyataan Mujahid Yusof.
Sebenarnya sejak PH memenangi pilihanraya (9 Mei, 2018), kita tertanya-tanya tentang pendekatan keislaman yang diambil oleh PH yang dikatakan bersifat progresif  itu. Seharusnya ada penulisan lengkap yang menggariskan pendekatan Islam Progresif itu agar dapat difahami secara menyeluruh. Namun dari masa ke masa timbul persoalan demi persoalan yang memperlihatkan sikap dan pendirian PH yang masyarakat dapat menilaikannya.
Pendirian yang berhubung dengan khalwat di atas misalnya mencerminkan sikap, ``Jangan jaga tepi kain orang` PH yang selari dengan budaya Barat,tetapi bercanggah dengan tuntutan Islam. Misalnya ayat Al-Qur`an menyebut, bermaksud:
``Hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran.`` (Ali `Imran: 104).
Juga Hadith diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Khudhri r.a. berkata, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Siapa daripada kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia merubahkannya dengan tangannya, maka jikalau dia tidak berkuasa, maka hendaklah mengubahnya dengan lisannya, maka jika dia juga tidak berkuasa,  maka hendaklah dia merubahnya dengan hatinya. Ini adalah selemah-lemah iman.`` Riwayat Muslim. (Hadith 40 al-Nawawi).
Maka bagi kita persoalan yang berhubung dengan hukum-hukum Islam ini, maka  dengan apakah kita berpegang, jika tidak dengan Al-Qur`an dan Hadith  Nabi ?
Beberapa persoalan yang lain yang menjelaskan pendirian PH berhubung dengan persoalan agama, antaranya `Amalan LGBT yang pada asalnya ada semacam simpati, tetapi diterima bahawa amalan ini tidak diterima di negara ini. (Komen pemimpin 21.9.2018).
Berhubung dengan lesbian, sebagaimana pelaku-pelakunya dihukum  sebat di Mahkamah Syar`iyyah,  di Kuala Terengganu, pemimpin tertinggi PH tidak dapat menerimanya dan menganggapnya zalim.
Persoalan yang lain, ialah  berhubung dengan umur bagi gadis mau berkahwin yang amat diberi perhatian oleh Datin Seri Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri, tetapi tidak semua bersetuju dengan pendapatnya, termasuk Mufti Pahang dan Sabah.
Antara yang lain,  sikap Menteri Wilayah, Khalid Samad yang mengarah Pusat Tahfiz  ditutup, kecuali yang mendaftar. Beliau dituntut agar berlembut dan berdiplomasi dalam memperbaiki pengajian-pengajian tahfiz.
Sikap keras ini dipertunjukkan juga oleh PH pada peringkat permulaan memerintah, yang ada cadangan untuk meniadakan sahaja JAKIM, tetapi mendapat tentangan dari berbagai-bagai pihak, termasuk mereka yang diminta pada peringkat awal membuat cadangan mewujudkan JAKIM. Oleh kerana wujud tentangan sengit terhadap penghapusan atau pengubahsuaian, maka sebagaimana tentangan terhadap pengubahsuaian MARA, maka cadangan ditarik balik. Buat sementara ?
Walau bagaimana kita masih tidak mendapat gambaran jelas tentang pendirian dan pendekatan PH, khususnya Amanah yang darinya Menteri diberi tugas menjaga hal ehwal Islam. Kita perlu mengikuti perkembangan bagi mendapat gambaran menyeluruh berhubung dengan Islam kerajaan yang memerintah yang mendakwa bersifat progresif di sebalik ada anggapan cenderung kepada liberal.
Sekian.

No comments:

Post a Comment