October 18, 2018

KUASA, DOLAR DAN TITLE


KUASA, DOLAR DAN TITLE
(Fikrah Bangi:  30)
BBB, 09 Safar 1440H. = 18 Oktober 2018M. (Khamis):
Ketiga-tiga perkara di atas menjadi kemegahan di dalam hidup dan ada orang yang hidup memburuinya sepanjang hidup dengan apa cara yang dapat. Di dalam kehidupan kekinian jalan pintas bagi mencapai ketiga-tiga perkara atau sebahagian daripadanya ialah melalui politik ! Ini bukan bererti politik  semata-mata keji, kerana ada yang berjuang melalui politik dengan tujuan murni. Ini berlaku sejak tradisi. Mereka seperti Mat Kilau,  Haji Abdul Rahman Limbong  dan Tok Janggut yang berjuang menentang British dan mempertaruhkan jiwa raga mereka bagi mempertahankan agama dan tanahair. Melalui politik juga tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air  mepertaruhkan jiwa raga, mereka seperti Abu Bakar al-Baqir, Dr.  Burhanuddin Hilmi, Tunku Abdul Rahman. Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Razak  dan ramai lagi yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair.
Kekuasaan yang dicapai melalui politik yang diwarisi dari pejuang-pejuang yang ikhlas, kadang-kadang menjadi budaya bagi bukan saja bagi mendapat kuasa, tetapi kekayaan dan juga pangkat kedudukan. Kekuasaan yang dicapai melalui politik oleh Umno-Perikatan dan BN telah membentuk budaya, bahawa melalui jalur politik ,memberi jalan mudah bagi mencapai kuasa, kekayaan dan juga gelaran. Ianya berterusan dan menjadi sebati bagi yang mencapai kuasa melalui politik. Adalah dipandang bahawa melalui politik peluang  dan mudah mencapai kuasa, kekayaan dan kedudukan.  Mencapai kedudukan dalam politik, maka pangkat bergolek datang. Kelalaian dengan kuasa, harta dan pangkat ini memualkan rakyat dan tiba-tiba selepas enam dekad berkuasa, maka kekuasaan, peluang kekayaan dan peluang mendapat pangkat dicabut dari mereka, bahkan antara mereka diseret ke muka pengadilan. Dengan seketika kekuasaan yang begitu gah runtuh dan menjadi kerdil sekejap masa. Segala peluang hilang.
Melihat pada kekuasaan baru, sindrom yang berlaku pada kekuasaan yang baru dijatuhkan, nampaknya tidak dijadikan pengajaran, kecuali yang teguh dengan iman dan prinsip. Kita melihat kemenangan dan kekuasaan yang dicapai diluar jangka yang diakui oleh pemimpin tertinggi mereka menjadikan mereka terkejut dengan kekusaan yang diberi. Selama ini mereka yang sama menderita bersama rakyat jelata tanpa harta tiba-tiba diberi jawatan menteri, timbalan menteri dan kedudukan lain lagi  menjadikan mereka kaget dan gugup, tidak biasa dengan kedudukan dan membuat kenyataan, kadang-kadang melucukan, sebelum dapat menyesuaikan diri.
Belum berlamaan masa kita melihat politik sebagai jalan mencapai kuasa, harta dan title kembali menjadi buruan. Di dalam PKR berapa banyak peristiwa perebutan, cabar mencabar, pertentangan fizikal berlaku, bahkan budaya yang berlaku di dalam kerajaan dahulu yang diruntuhkan kembali menjadi benih penyakit di dalam PKR. Seorang pemimpin yang mau merebut jawatan kedua tertinggi di dalam parti berkenaan menuduh berlaku pembelian undi untuk dipilih dengan seharga RM100 bagi satu undi (UM, 17.10, 2018: 1 & 3). Sesungguhnya  yang menawarkan ganjaran dan yang menerimanya dipengaruhi nafsi ammarah yang berada di bawah garisan akhlak keji atau lebih dikenali dengan rasuah. Parti yang relatifnya muda (ditubuhkan pada 4 April 1999) berbanding dengan Umno dan Pas sesungguhnya telah mulai dijangkiti penyakit dalaman (jiwa) yang jika tidak dibendung akan mengulangi  apa yang menjadi budaya dan amalan parti tertua itu. Perebutan dan  perbalahan bagi mendapat peluang  kuasa, kekayaan dan kedudukan secara tidak tertib itu, ialah kerana kurangnya pertahanan dalaman. Sememangnya parti itu tidak menekankan dari segi tarbiah keagamaan dan kerohanian sebagaimana  yang dilakukan di dalam PAS. PKR sesungguhnya tidak mempunyai kekukuhan dalaman, jika sindrom yang menjadi penyakit dalaman ini berterusan, maka lambat laun  PKR juga akan mengalami keruntuhan.
Kekuatan iman dan dalaman tercabar  dan kelihatan mulai berlaku di dalam Amanah yang merupakan belahan dari parti Pas, Sebaik kemenangan yang diterima dengan cara mengejut, bagai dalam mimpi sebahagian daripada mereka terkejut dengan jawatan-jawatan tinggi sebagai menteri dan timbalan menteri, tanpa diketahui apakah jasa yang telah dibuat, tiba-tiba mereka  menadah bintang-bintang yang berguguran ke haribaan ! Sesungguhnya rakyat tersenyum melihat gelagat mereka, bagai anak-anak yang  mendapat mainan yang menyeronokkan  !
DAP yang selama ini kental sebagai pembangkang, tidak kurang juga menerima kejutan. Kini menguasai pusat dan menjawat di dalam jawatan-jawatan tinggi sebagai menteri, timbalan menteri dan berbagai jawatan dan kemudahan. Ada antara mereka ghairah dan tidak tahan dengan kilauan  bintang. Ada antara mereka melanggar pantang, sehingga terpaksa dibuat teguran. Kata Guan Eng,
``DAP not a party going after awards.`` (Star, 15.10.2018: 9).
Ada anggota parti yang kemarut bintang cuba mempertahankan bintang, tetapi akhirnya akur dengan arahan DAP Pusat. Demikianlah DAP yang terkenal kuat dengan disiplin tidak terelak dari menerima tempias sindrom kuasa, harta dan pangkat kedudukan.
Kedudukan dan wibawa seorang pemimpin sejati tidak memerlukan kepada hiasan luaran yang bukan jati diri.
Pelajarilah kepimpinan Lee Kuan Yu, Obama dan beberapa yang lain yang gemerlap dengan kepimpinan dan jati diri !
Sekian.

No comments:

Post a Comment