October 16, 2018

ANWAR KEMBALI DARI JALAN BERLIKU


ANWAR KEMBALI DARI JALAN BERLIKU
(Fikrah Bangi: 28)
BBB,  06 Safar 1440H. = 15 Oktober 2018 (Isnin):
Hari ini  - Isnin 15 Oktober 2018 Dato` Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah menjadi ahli Parlimen selepas memenangi pilihanraya kecil Port Dickson (13 Oktober) dengan majoriti yang selesa (23, 560) dengan undi yang didapati (31,015) meninggalkan saingan terdekatnya dari Pas yang mendapat undi sebanyak 7,456. Lima lagi pesaingnya semuanya  hilang wang  pertaruhan, termasuk Isa Samad. Demikianlah, tanpa menghirau apa orang lain kata, Anwar mengambil kesempatan kerusi yang sengaja dikosongkan oleh Danyal Abdullah sebelumnya. Anwar merasa beliau tidak seharusnya melihat gelombang perubahan besar politik  negara dari luar. Beliau seharusnya turut sama nencorak perubahan dari dalam. Pendekatan terbaik buat dirinya pada masa ini ialah dengan menyertai parlimen.


Anwar kembali ke parlimen adalah melalui jalan berliku. Sesungguhnya Anwar  sudah menjadi ahli parlimen dan menyertai kabinet pada akhir 1990an dan hanya selangkah sahaja lagi untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Belian dan Sukan, Menteri Pelajaran dan kewangan,tetapi kemelut  fitnah yang dihadapi beliau terpaksa merengkok dalam penjara, bahkan dipukul hingga lebam matanya. Lambang PKR yang merupakan `Mata` adalah diambil dari pengalaman episod  derita Anwar yang cedera matanya.
Perjuangan Anwar adalah perjuangan panjang. Kegiatannya dapat diikuti dari kegiatan kemahasiswaanya sejak akhir 1960an. Idealisme perjuangannya ialah Islam. Dalam gerakan kemahasiswaannya  beliau pernah menjawat sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Bagi merealisasikan idealisme perjuangan keislamannya beliau menubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada masanya beliau adalah sebagai jurucakap mahasiswa pada zamannya. Pengaruh kepimpinannya sama didukung oleh Persatuan Mahasiswa UKM  (PMUKM)  yang baru ditubuh (18 Mei 1970). PKPIM sama memperjuangkan penubuhan UKM.
Apabila tempoh pengajiannya di Universiti Malaya tamat, sebagai wadah perjuangannya beliau menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan wadah pendidikan yang ditubuhkan ialah Yayasan Anda yang bertempat di Kampung Baru Kuala Lumpur dan Pantai Baru, Kuala Lumpur. ABIM banyak melahirkan pemimpin-pemimpin generasimuda yang memperjuangkan idealisme politik dan pendidikan Islam. Mereka seperti Ghazali Nawawi, Sidek Fadhil, Kamaruddin Ja`far, Kamaruddin Mohd Nor, Mohd Nor Manuty, Anuar Tahir, Ramli Ibrahim,  Dr. Hatta Ramli,  Zahid Hamidi dan ramai lagi. Sebahagian dari mereka menjadi pemimpin PKR dan  sebahagian  menjadi anggota kabinet yang memerintah sekarang. Mereka pada peringkat gerakan pemuda Islam ini menjadi `Jalur Tengah` antara Umno dan Pas. Pada satu peringkat apabila Anwar memutuskan untuk memasuki bidang politik tanahair. Pas mengharap Anwar dengan idealis keislamannya memasuki Pas, manakala Umno mengharapkan Anwar, sebagaimana diharap Tun Razak agar Anwar memasuki Umno. Apabila Anwar memilih Umno berlaku perpecahan di dalam ABIM memprotes tindakannya. Walau bagaimana  solidariti kembali  di dalam ABIM yang kemudian menjelma di dalam PKR, manakala sebahagian di dalam Pas.
Sebagai pemimpin muda yang berkarisma tinggi, pengaruh Anwar  begitu kuat di kalangan generasi muda dan apabila ia memasuki politik maka ianya  memberi impak kepada politik dan masyarakat. Pelonjakannnya dalam politik dianggap pantas dan menggugat establishment semasanya  dan ianya dicemburui dan harus disekat.
 Bagi pemimpin yang normal yang tidak ada falsafah perjuangan dan tidak ada visi dan misi  politik , maka kejatuhan pertamanya sudah cukup menjadi pukulan maut dari segi politik dan masa depannya. Namun Anwar yang mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai,  semangatnya menembusi dinding penjara  dan disuara oleh pendukung-pendukungnya. Idealismenya tidak mati, tetapi terus menyala membakar  tenaga-tenaga muda yang bergerak membela perjuangan dan kebebasanya dan kita melihat sejarah melakari perjuangannya dan dia meniti kembali perjalanan bagi membina legasinya di tengah sokongan masyarakat.
Walau bagaimana perjuangan dan perjalanan Anwar masih panjang. Beliau mengalami realiti kembali ke parlimen. Janji menjadi Perdana Menteri belum pasti terpulang kepada penentuan dari segi azali. Namun kita percaya sebagaimana Anwar sebelum ini tidak terhenti dari perjuangan, kita percaya beliau mempunyai perancangan  `Perubahan` di parlimen dan menggerakkan masyarakat dengan parti PKRnya yang merupakan parti terbesar yang beliau mendapat mandat kepimpinan yang kuat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment