UCAPAN SETIAUSAHA MAIS & PENYERAHAN MASJID
AL-UMM
(Fikrah Bangi 27)
BBB, 06 Safar 1440H. = 15 Oktober 2018M.
(Isnin):
Berikut dari ucapan Pengerusi Pembinaan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm pada petang 11 Oktober itu, maka Setiausaha Majlis
Agama Islam Selangor (MAIS) Ybhg. Dato` Bakhtiar bin Hussinmenyampaikan ucapan.
Selepas menyebut para tamu kehormat yang hadir sebagaimana disebut oleh
Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm sebelumnya beliau menyebut bahawa:
``Pentingnya masjid dapat dilihat dari Hijrah
Rasul s.a.w. ke Madinah, perkara yang
pertama diberi keutamaan oleh
Rasulullah s.a.w. ialah membina Masjid Quba` dan Masjid Madinah``. Demikian
kepentingannya dijadikan ikutan bahawa di dalam sesuatu kariahdibina masjid
yang menjadi pusat kegiatan ummah. Masjid menurutnya memberi sumbangan penting,
khususnya di Selangor di dalam
membangunkan Selangor sebagai `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur`. Ini
diperkukuhkan lagi dengan pembinaan SRA, tahfiz, bahkan KUIS.
Pembinaan Masjid Al-Umm menurut Setiausaha
MAIS itu adalah bagi menyempurnakan tuntutan ummah, baik dari segi ibadat dan
juga pengajian. Dengan kelulusan Masjid Al-Umm mendirikan Juma`at pada 4
Oktober 2018 bersamaan 24 Muharram 1440 yang lepas dan dengan kapasitinya dapat
menampung jama`ah antara 3,000 hingga 3,800 jama`ah dapat mengurangkan kesesakan yang terpaksa ditampung
oleh hanya sebuah masjid di Bandar Baru Bangi, iaitu Masjid Al-Hasanah.
Sesungguhnya sudah ada 10 surau di
Bandar Baru Bangi yang dibenarkan mendirikan Juma`at. Dengan adanya Masjid
Al-Umm mengurangkan tuntutan surau untuk mendirikan Juma`at di tempat
masing-masing. Beliau menyebut, walau
bagaimana pihak JAIS-MAIS terus menerima permohonan bagi mendirikan masjid dan
surau yang mau mendirikan Juma`at.
Permohonan dinilai dan diberi kebenaran bagi yang layak. Dato` Bakhtiar memberi
statistik mengenai jumlah masjid di negeri Selangor kini.
Jumlah Masjid di seluruh Selangor ialah 422
buah.
Jumlah masjid di seluruh Hulu Langat 51 buah.
Seterusnya Dato` Bakhtiar percaya Masjid
Al-Umm akan terus dimakmurkan oleh masyarakat setempat. Beliau memetik ayat
Al-Qur`an yang bermaksud:
``Hanya sanya yang (layak) memakmurkan
(menghidupkan) masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut
melainkan kepada Allah (dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah
diharapkan mereka menjadi dari golongan orang-orang yang mendapat pertunjuk.``
(Al-Taubah: 18).
Menurut Setiausaha itu, pentadbir-pentadbir
masjid hendaklah menurut apa yang digariskan oleh Al-Qur`an dan Al-Sunnah.
Pentadbir dan jama`ah hendaklah mengelak dari perkara-perkara yang boleh
membawa perpecahan. Masjid adalah zon
aman, maka elakkan dari membawa faham politik dan taassub kepada sesuatu aliran
fahaman dan kepimpinan. Bagi melicinkan
pentadbiran pihak JAIS-MAIS mengeluarkan enakmen yang berhubung dengan masjid
dan surau. Pihak pentadbir masjid dan surau diminta mengikuti enakmen dan
peraturan yang berhubung dengan masjid dan surau berkenaan.
Sekian. Wassalam.
Selepas
selesai ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha MAIS itu, majlis
diteruskan dengan acara simbolik penyerahan masjid, iaitu:
Pihak Kontrektor Masjid, iaitu Tekad
Nusantara Sdn Bhd. diwakili Tuan Haji Marzui bin Haji Omar menyerahkan
lambang kunci kepada Ybhg. Dato` Hj. Bakhtiar bin Hussin bagi pihak MAIS
menerima lambang kunci tersebut dan kemudian menyerahkannya kepada Dr. Shafie
bin Abu Bakar Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm.
Selepas penyerahan diadakan sesi bergambar dan diikuti dengan
jamuan ringan di Ruang Legar Masjid Al-Umm yang disertai para tetamu dan juga
jama`ah berjumlah lebih kurang 500
orang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment