October 14, 2018

TAHAP KEDUA - UCAPAN PEMBINAAN MASJID AL-UMM


TAHAP KEDUA – UCAPAN PEMBINAAN MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 26)
BBB, 04 Safar 1440H. = 13 Oktober  2018 (Ahad):
Tahap Kedua –Pembinaan.


Pembinaan Masjid Al-Umm bermula selepas mendapat kelulusan plan arkitek dari pihak MPKj bertarikh 4  Disember 2013 dan  `Masuk Tapak`, bermaksud  bermula kerja ialah pada 10.12. 2013, iaitu  menepati sasaran hasrat AJK Pembinaan mau membina bangunan tidak lewat dari setahun dari tarikh  Lawatan Tapak Dato` Menteri Besar Selangor  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (4 Januari 2013). Permulaan binaan adalah bermodalkan wang sebanyak RM2,641,102.35. Berikut dari `Masuk Tapak` upacara menentukan Arah Kiblat ditentukan olehj Pejabat Mufti Selangor dengan menjemput Dato` Dr. Haron Din melaksanakannya pada  2 Januari 2014. Pada hari itu Dato` Dr. Haron Din berjanji untuk menderma sebanyak RM1  juta, tetapi apabila menyerahkannya beberapa hari berikutnya beliau menambahkan derma peribadinya menjadi RM1.2 juta. Dato` Dr. Haron Din banyak membantu menggerakan dana Masjid Al-Umm seperti mengusahakan mendapat sumbangan Wang Zakat Selangor (RM800,000), menerima derma dari orang perseorangan, termasuk dana dari Kerajaan Negeri Selangor RM4 juta melalui Dato` Menteri Besar Selangor Dato` Seri Azmin `Ali di Masjid a;-Hasanah pada 9 September 2016. Beliau juga memberi pinjam RM1 juta dari Tabung Wang keluarganya – Birr al-Walidayn.


 Bagi melicinkan pembinaan satu jawatankuasa dinamakan Jawatankuasa Teknikal dilantik yang diketuai oleh Ir. Haji Ishak Haji Arshad dan memulakan mesyuarat pada peringkat permulaan pembinaan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab  dari segi pembinaan fizikal dan melaporkan kepada mesyuarat Induk. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh Pengerusi dan beberapa Jawatankuasa induk. Jawatankuasa Teknikal berurusan dengan kontrektor, sub-sub kontrektor arkitek dan consultant-consultant. Mesyuarat teknikal dan Induk bukan  saja mempastikan pembangunan menurut spesifikasi plan arkitek, tetapi juga perubahan dan penambahan (meningkatkan kos). Misalnya Masjid Al-Umm yang berasal dua tingkat diambil keputusan menambahkan aras bawah tanah menjadikannya tiga tingkat.
Keluasan lantai bagi Masjid Al-Umm ialah 4,317 meter persegi
Bersamaan 46,456 kaki persegi. yang boleh menampung seramai 3,800  Jama`ah.
Masjid Al-Umm sebagaimana disebut adalah berorientasikan ilmu sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu. Pada aras utama sebagai tempat solat utama juga digunakan sebagai tempat pengajaran bagi berbagai-bagai keilmuan.
Manakala tingkat atas dari aras utama terdapat Bilik Seminar (dua bilik boleh disatukan mengikut ramai peserta). Pada tingkat ini juga terdapat 2 bilik kuliah, bilik tahfiz,IT  dan Perpustakaan. Pada aras ini juga terdapat bilik mesyuarat yang juga boleh dijadikan bilik seminar dan diskusi dalam jumlah yang lebih kecil. Manakala aras bawah tanah adalah Dewan Konvensyen, bagi pengajian atau perhimpunan  yang lebih ramai yang dapat memuatkan serama 1,000 orang atau 600 orang bermeja. Dewan ini juga dapat digunakan bagi majlis-majlis perkahwinan, sambutan-sambutan dan berbagai-bagai pertemuan. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Masjid Al-Umm  dapat disewa oleh pihak luar dengan kadar yang munasabah dan ianya menjadi sumber kewangan bagi Masjid Al-Umm. Kini Masjid Al-Umm giat dengan berbagai-bagai pengajian dari pengajian menadah kitab, pengajian bersifat  talaqqi dan halaqah  hinggalah seminar bulanan menurut gaya  universiti. Sememangnya Masjid Al-Umm berhasrat mencapai taraf  `Al-Jami`ah` (Universiti) seperti Universiti Qairawan di Maghribi dan Al-Azhar di Mesir. Adalah menjadi hasrat Jawatankuasa mendapatkan tapak `Medan Usahawan` berdekatan dengan Masjid Al-Umm seluas 2 ekar untuk didirikan bangunan berbelas tingkat bagi melengkapkan prasarana bagi sebuah pengajian tinggi. Plan bagi pembangunan ini dibincangkan dantelah disiapkan. Usaha bagi mendapat kelulusan tapak dan kewangan adalah dilakukan sebaik siapnya Masjid Al-Umm.
Usaha mendirikan Masjid Al-Umm yang menelan belanja RM21 juta  (kini masih terhutang RM2 juta) adalah bergantung kepada banyak pihak. Pihak AJK Masjid mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor  dan Pejabat Menteri Besar yang banyak memberi kemudahan baik  dari segi tapak, kelulusan dan kewangan, pihak JAIS dan MAIS yang meluluskan pembinaan Masjid Al-Umm dan memberi kebenaran memungut derma seterusnya  mendaftarkan Masjid Al-Umm setelah mendapat CCC, Pejabat Daerah Hulu Langat yang mengusahakan bagi menggezetkan tapak Masjid, MPKj yang meluluskan plan dan CCC, Lembaga Zakat Selangor dan Wilayah, Bank Mu`amalat dan Bank Negara yang menyumbang dana, seterusnya berbagai institusi, orang perseorangan, khususnya para jama`ah Masjid Al-Umm yang  terus memberi sumbangan kepada Masjid Al-Umm.
Masjid Al-Umm akan terus berusaha membina imej dan identitinya paling utama sebagai Pusat Ibadat danKeilmuan yang selesa, sesuai dengan keberadaannya di Wilayah Ilmu yang di dalam dan kelilingnya berpuluh universiti, Pusat Pengajian Tinggi dan Pusat-pusat  Latihan dan  Kemahiran, sesuai dengan penduduk Bandar Baru Bangi yang terdiri dari kalangan ilmuan yang berkhidmat di berbagai-bagai pusat keilmuan. Mereka juga sebagai aset kepada Masjid  yang sama berkhidmat menyampaikan pengajaran.
Dengan bangunannya yang disifatkan sebagai cantik  dan menarik,  Masjid Al-Umm diharap menjadi `Landmark` bagi Bandar Baru Bangi dan menjadi tarikan bagi orang ramai untuk berkunjung ke Masjid Al-Umm dan mendapat manfaat darinya.
Sekian.

No comments:

Post a Comment