October 12, 2018

PERBINCANGAN SEBELUM MAJLIS PENYERAHAN


PERBINCANGAN SEBELUM MAJLIS PENYERAHAN
(Fikrah Bangi: 24):
BBB, 2 Safar 1440H. = 11 Oktober 2018M. (Khamis):
Hari ini adalah merupakan hari bersejarah bagi Masjid Al-Umm, lantaran sebelumnya telah diatur berbagai-bagai persediaan yang  puncaknya adalah pada petang hari ini, iaitu selepas solat `Asar akan diadakan penyerahan secara simbolik Masjid Al-Umm oleh Kontrektor ke pihak MAIS dan pihak MAIS menyerahkannya kepada Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm.
Sejak pagi-pagi lagi kalangan muslimat menyediakan peralatan untuk jamuan, membersih mangkuk pinggan dan mengatur meja, terutama bagi VIP untuk minum petang selepas upacara penyerahan. Kalangan VIP adalah dijangka 20 orang dari keseluruhan yang menyertai solat  `Asar dan mengikuti acara dijangka seramai 200 orang.


Persediaan yang penting ialah pada ruang utama solat, kerana pada tempat ini dilangsung acara penyerahan. Lantaran itu dari pagi dipasang backdrop di sebelah kiri mihrab yang menyebut tentang acara  yang bakal berlangsung. Restrum untuk berucap telah diturunkan sejak malam tadi dari bilik seminar  di tingkat atas. Manakala pada meja yang berkembar dengan mimbar yang dijadikan meja bagi tempat guru mengajar, di tambah kerusi dari satu kepada tiga, kerana dijangka akan berlaku upacara menandatangani acara penyerahan, iaitu oleh Kontrekltor, MAIS dan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm. Tidak ada perubahan yang lain pada ruang solat utama.


Di Pejabat Pentadbiran pula  disusun  agenda yang berlangsung pada petang. Penulis juga  menyemak kata-kata dalam warkah yang bakal ditandatangani pada petang nanti.  Adalah wajar warkah berkenaan berada di dalam fail plastik yang berlipat sebagaimana disimpan warkah ijazah. Oleh itu diminta saudara  Saufi pergi membelinya di kedai. Persoalan apakah bahan yang hendak diserahkan secara simbolik dalam upacara penyerahan berbeza  pendapat. Kontrektor mau menggunakan reflika kunci, tetapi pihak  JAIS mau menggunakan tongkat khatib. Kunci sebenarnya lebih praktikal.
Penulis sendiri meneliti dan memperbaiki naskhah ucapan yang telah didraft sejak semalam. Antaranya memasukkan pada permulaan daif-daif yang bakal hadir berdasarkan sebaran jemputan oleh JAIS dan apa yang Penulis susun. Agenda bagi acara penyerahan juga disusun dan bakal dibuat sepuluh salinan untuk para VIP.


Satu yang penulis tekankan, terutama kepada saudara Tompang technician, ialah tentang sound system yang mesti perfect dan elak dari gangguan. Kejelasan suara juga dipastikan hingga ke belakang – di ruang legar tempat diadakan jamuan. Penulis juga memesankan kepada saudara Tompang, bahawa bagi upacara ini hendaklah dipasang air-cond. Pada kebiasaan air-cond hanya dipasang pada waktu antara maghrib dengan isya` sahaja. Selepas pulang dari pejabat dan datang bagi solat zohor didapati meja-meja (dua meja bulat) bagi  VIP  serama 10 orang telah sedia  diatur.
Selepas solat zohor Penulis pulang, makan tengahari dan berihat, tetapi sebelum jam 3.00 petang Penulis menerima maklumat dari muslimat melalui kerani pejabat, bahawa tamu  VIP  lebih ramai akan datang, iaitu satu kali ganda dari jumlah asal iaitu 20 kepada 40 orang. Muslimat yang menyediakan tempat dan makanan bagi VIP  menggelabah, kerana dijangka tidak cukup dari segi persediaan makanan. Penulis minta ditambah tempat makan VIP kepada 4 meja bulat  (40 orang) dan dapatkan bahan makanan mana yang dapat. Penulis mengawalkan pemergian ke masjid dengan pakaian baju Melayu  bersamping sebagaimana dipersetujui oleh jawatankuasa.


Katika Penulis tiba dengan pakaian untuk Majlis Penyerahan telah hadir Yang Berbahagia S.F.Ustaz Haji Mahayudin bin Abu Bakar Pegawai Tadbir PAID. Penulis menjemputnya  dengan diiringi sama oleh Dr. Tajul Ariffin Nordin AJK ke bilik VIP bercakap-cakap sebelum tibanya waktu asar.
Berikutnya tiba VIP-VIP yang lain seperti Tuan Mohd  Shahzihan, bin Ahmad, Ketua Bahagian Pengurusan Dakwah mewakili Pengarah  JAIS, Yang Berbahagia Ustaz Hashim bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid di JAIS, Dato` Haji Abdullah bin Mohd Zain Nazir Masjid al-Hasanah, Tuan Haji Ishak Arshad Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Umm. Tuan Haji Hussin bin Yunos AJK dan beberapa yang lain. Puncak kehadiran ialah dengan tibanya Yang Berbahagia Dato` Bakhtiar bin Hussin Setiausaha Majjlis Agama Islam Selangor.  Dato` Bakhtiar sempat menandatangani Buku Pelawat Masjid Al-Umm. Topik yang dibicara oleh VIP-VIP semasa berada di bilik VIP ini ialah cadangan persempadanan surau-surau antara Masjid Al-Hasanah dengan Masjid Al-Umm berdasarkan peta yang dibawa. Permohonan mendirikan masjid di Selangor yang bertambah, prosidur selepas Masjid Al-Umm diserahkan, keperluan pendaftaran untuk memohon imam-imam dari JAIS dan penamgguhan mesyuarat agung di Masjid Al-Hasanah.
Perbincangan berterusan hingga azan `Asar.
Sekian.

No comments:

Post a Comment