October 11, 2018

PERSEDIAAN MENDIRIKAN SOLAT JUMA`AT PERTAMA MASJID AL-UMM


PERSEDIAAN MENDIRIKAN JUMA`AT PERTAMA DI MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 23).
BBB,  02 Safar 1440H. = 11 Oktober 2018M. (Khamis):
Sebenarnya persediaan dari segi solat tidaklah bermasalah, oleh kerana solat waktu didirikan di Masjid Al-Umm sejak dari 16.12,2017 sempena  sambutan Maulid al-Rasul setahun yang lepas. Namun bagi mendirikan solat juma`at melibatkan jama`ah yang ramai, maka persediaan yang berhubung dengan solat Juma`at perlu diadakan persediaan. Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat khas yang diadakan pada Selasa 9 Oktober yang lepas
Kerisauan timbul ialah apabila pihak Syabas mengumumkan  pemotongan air mulai 9 – 11 Oktober, Ini membimbangkan kami takut kesannya sampai keesokan hari bila didirikan Juma`at, tapi mujur nampaknya bekalan air pulih lebih awal. Namun sebagai tambahan dari  paip air yang sedia ada, dua kolah sebagai tempat rezab air diminta diisikan.
Pada peringkat permulaan, sebaik keizinan mendirikan Juma`at di Masjid Al-Umm pada 4 Oiktober 2018, maka hebahan dilakukan melalui internet, whashap, hebahan secara lisan dilakukan di Masjid Al-Hasanah dan Surau Al-Nur sebelum solat Juma`at lepas. Surat-surat pekeliling juga dihantar ke surau-surau keliling Masjid Al-Umm, di sekolah-sekolah berdekatan, Kompleks Pendidikan Islam Bangi  dan Balai Polis Bangi.
Dari aspek luaran persediaan yang perlu diberi perhatian ialah aspek lalu-lintas. Ini ialah kerana pihak masjid tidak mempunyai kawasan parking yang luas. Bahagian dalam hanya dapat memuatkan kenderaan kurang daripada 100 buah, sebab itu kawasan Medan Usahawan,, tepi jalan dari masjid ke sekolah dan jalan masuk terpaksa digunakan. Bagi menyelaraskan parkir bahagian dalam dan luaran, pihak masjid akan menggunakan khidmat RELA  bagi mengatur parkir kenderaan. Tempat-tempat khas imam-iman minta disediakan. Arah ke masjid juga dipersetujui untuk dibuat papan tanda dari jalan-jalan luar ke arah masjid.
Dalam mesyuarat juga diperingatkan supaya dipasang tiga jenis bendera bagi tiga tiang yang disediakan, iaitu bendera  Persekutuan, negeri dan masjid bagi menyerikan pandangan masjid.
Dari segi persediaan dalaman semua jawatankuasa dan sukarelawan diminta hadir mulai dari pagi Juma`at untuk membersihkan ruang masjid – Pembersihan harian biasa dilakukan oleh  dua pekerja membersih dan pembersihan mingguan dilakukan oleh sukarelawan pada setiap hari Ahad. Bilik air dan tempat wudhu` di semua bahagian diminta dipastikan bersih.  Pembersihan pagi Juma`at ini ialah kerja-kerja pembersihan sebelum membentang sejadah pada bahagian serambi (koridor atau sayap) kanan dan kiri masjid. Pada ruang utama dan atas telah sedia dihampar carpet. Pembentangan sejadah juga dilakukan pada ruang legar. Adalah dijangka sebagai solat Juma`at pertama ramai yang datang dan dijangka ruang masjid akan penuh - Insya Allah. Pada hari Juma`at ini juga diminta pihak yang menjaga iklan pada skrin digital mempastikan maklumat adalah tepat dan semasa.
Pihak yang menjaga dari segi teknikal diminta mempastikan bahawa air-cond bagi bahagian dalaman dipasang – Juga dua kipas besar digerakkan secara perlahan, manakala bagi ruang serambi kanan dan kiri dan bahagian ruang legar dipasang kipas. Adalah dipersetujui anak-anak sekolah dari dua sekolah berdekatan ditempatkan di serambi kanan dan kiri dan mereka dikawal oleh petugas-petugas agar tidak membuat bising.
Bagi pegawai masjid, iaitu imam dan bilal, dikehendaki berada pada saf hadapan iaitu pada tempat yang dikhaskan dan memakai jubah dengan warna ditentukan (hitam kelabu). Imam dan Bilak bertuga s ditentukan. Imam dikehendaki bersedia dengan teks khutbah yang dibekalkan oleh JAIS. Adalah disetujui pungutan derma  dilakukan secara peti duit bergerak, sebaiknya tidak melibatkan waktu khutbah.
Adalah dipersetujui, bahawa kawasan Masjid Al-Umm adalah kawasan larangan dari perniagaan. Bagi kawasan parkir dan medan usahawan juga tidak dibenar mengadakan perniagaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment