October 7, 2018

PERLUMBAAN MENDAPAT PENGARUH: CABARAN BAGI PEMBANGKANG


PERLUMBAAN MENAMBAH PENGARUH:  CABARAN BAGI PEMBANGKANG
(Fikrah Bangi:  19):
BBB, 27 Muharram 1440H. = 07 Oktober 2018M. (Ahad):
Dengan kemenangan PH dalam pilihanraya ke 14, mereka nampaknya, makin bersemangat dan perlumbaan meningkat pengaruh dan sokongan berlaku.   Perlumbaan menambah pengaruh dan sokongan bukan saja terhadap lawan –  pembangkang, tetapi berlaku perlumbaan  dalaman di kalangan parti komponan di dalam PH itu sendiri.
PKR sebagai parti dominan di dalam PH, sedang sebok, bahkan kecoh dengan pemilihan pemimpin dari peringkat cabang hingga pada peringkat Pusat. Parti ini paling popular. Ianya menjadi rebutan untuk menjadi ahli dalam parti itu, manakala dari satu pihak terjadi rebutan bagi menjadi pemimpin pada peringkat cabang, negeri dan pusat. Mendapat kedudukan di dalam parti bererti bakal mendapat banyak peluang bagi mendapat kedudukan. Bukankah ramai pemimpim atasan parti mendapat peluang menjadi menteri, timbalan dan berbagai jawatan lagi. Peluang bagi mereka yang menganggotai PKR dijangka lebih cerah lagi, apabila Dato` Seri  Anwar Ibrahim dijangka menang dalam pilihanraya Parlimen Port Dickson dan bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat. Perlumbaan bagi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR nampaknya sengit antara saudara Azmin dan Rafizi. Siapa yang memenangi jawatan sudah pastilah mempunyai masa depan yang cerah.
Perlumbaan bagi meningkatkan prestasi parti yang merupakan perlumbaan dalaman terjadi juga di dalam parti yang merupakan serpihan dari Pas dan berpisah dan menubuhkan Amanah Negara  pada 16 September 2015  dan menjadi komponan PH itu juga mendapat habuan lumayan dengan peluang mendapat perlantikan menjadi menteri, timbalan menteri dan beberapa jawatan  yang lain. YB Anuar Tahir Setiausaha Agung bagi Amanah dengan ghairah mengeluarkan statistik keahlian parti itu yang terus bertambah. Dalam wawancara melalui media letronik beliau memaklumkan bahawa keahlian bagi Amanah sekarang ini melebihi  100,000 orang dengan  cawangan yang ditubuhkan padsa masa ini ialah 159 cawangan. Menurutnya Amanah sedang bekerja keras bagi menambahkan keahlian. Menurutnya jumlah keahlian bertambah dengan memberi contoh:
Jun 2018  sebanyak 5,539  ahli
Julai                           10,460
Ogos                          12,815
Menurutnya keanggotaan parti itu terus bertambah. Parti itu yang mendakwa mendukung perjuangan Islam sedang membuat pendekatan mentafsirkan Islam secara progresif. Ini merupakan cabaran kepada Pas menilai pendekatan-pendekatan yang dibawanya adakah menepati kehendak Islam atau sebaliknya.
Antara PKR, Amanah Negara dan Bumiputra Bersatu, kelihatan, Bumiputra Bersatu agak ketinggalan. Parti itu masih di dalam memperkemas diri. Masih menutup cawangan dan memecat pihak yang tidak menurut aturan dan melantik yang baru sebagaimana dilakukan oleh Timbalan Presiden Bumiputra Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin. Sebenarnya dari segi nama parti bagi parti ini tidak menarik, namaya agak perkauman dan tidak bersifat terbuka. Ianya seolah-olah bagi mengambil tempat Umno, sedang trend sekarang yang menarik perhatiam, perjuangan parti seharusnya tidak berpuak, seharusnya bersifat Malaysia secara terbuka. Kekuatan yang ada pada parti itu, kerana pimpinan utama Dr. Maharhir memimpin  parti itu. Pengaruh Dr. Mahathir menarik keahlian menyertainya.
Dengan melihat parti-parti di dalam PH sebok memperbaiki diri, mengadakan kegiatan menambah ahli dan cawangan, tetapi kita tidak nampak kesungguhan pihak pembangkang memperbaiki diri dan sama  menambah prestasi dan sokongan.
Pihak Pas diingatkan bahawa selain dari perlumbaan dalaman, pihak PH, khususnya PKR sedang mempertingkat prestasi diri. Antara pimpinan  PH, khususnya PKR seperti Anwar Ibrahim dan Azmin Ali pernah mengatakan, bahawa parti itu akan memfokuskan dalam pilihanraya akan datang antaranya menawan Terengganu yang diketahui sejarah penguasaan politik di negeri itu sering berubah. Pas perlu bersedia menghadapi cabaran, di samping cabaran-cabaran yang lain yang bakal mendatang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment