March 15, 2019

ANCAMAN RACUN KIMIA PENGAJARAN DARI KECUAIAN


ANCAMAN RACUN KIMIA: PENGAJARAN DARI KECUAIAN
(Fikrah Bangi: 176),
BBB,  08 Rejab 1440H. = 15 Mac 2019M. (Juma`at):
Pasir Gudang adalah kawasan industri terbesar di Johor sebagai koridur Selatan Malaysia. Sejak dibuka terdapat 254 kilang beroperasi di sana. Kilamg ini sepatutnya mengikut SOP yang sepatutnya mematuhi keperluan memberi maklumat apa jenis bahan kimia yang digunakan dan melaporkan bagaimana bahan-bahan berkenaan dilupuskan dan seharusnya ada  kawasan dan kaedah perlupusan yang dikawal oleh bahagian Alam Sekitar dan  Kerajaan Tempatan. Tetapi sejak berpuluh tahun, antara bahan-bahan beracun ini dibuang ke dalam sungai. Antara sungai yang menjadi mangsa ialah Sungai Kim Kim. Akibatnya sejak seminggu lepas (7.3.2019), keracunan bahan kimia mulai dikesan. Ianya bukan setakat apa yang terlarut di dalam air sungai tersebut, tetapi kesannya yang mengancam terbawa di dalam udara yang tersebar lima km.  radius mengancam penduduk di sekelilingnya, terutama murid-murid sekolah.  Sehingga semalam (14.3.2019 –Khamis).  statistik menunjukkan 111 buah sekolah dan beberapa pengajian tinggi  mengalami kesan toksik kimia beracun dan taman-taman kediaman penduduk. Mereka yang berada di dalam kawasan bahaya ini ialah 17,568penduduk. Daripada mereka 1,171 dirawat – melibatkan 336 pelajar. 397 daripada mereka dimasuk ke wad, 13 daripada mereka serius (bagaimana semalam tinggal  7 dirawat).
Ancaman dari racun kimia ini menyebabkan pihak berkuasa persekutuan dan negeri seperti kakitangan hospital, pihak bomba dan pertahanan awam, polis, kakitangan Jabatan Alam Sekitar, kakitangan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pendidikan,  wakil-wakil rakyat parlimen dan DUN setempat , NGO-NGO dan berbagai agensi turun padang bersama-sama berusaha mengatasi ancaman racun toksik berkenaan. Kerajaan Negeri Johor telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi membiayai operasi. Sultan Johor sendiri menderma sebanyak satu juta ringgit.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besarnya telah memanjangkan persoalan kepada pihak kerajaan Persekutuan agar mengambil langkah bagi mengatasi ancaman. Perkara ancaman toksik ini dibawa ke sidang Parlimen yang sedang bersidang  sebagai usul tergempar  dan diterima oleh semua ahli Parlimen baik dari pihak kerajaan maupun dari pihak pembangkang. Usul yang dibawa pada sebelah petang 14.3.2019 dibahas oleh beberapa ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menyesali peristiwa berlaku. Antara ahli Parlimen yang bercakap meminta supaya diketatkan prosedur agar  kilang dikehendsaki melaporkan bahan kimia yang dibawa masuk, termasuk bagaimana bahan berkenaan dilupuskan. Setiap kilang dikehendaki mempunyai tapak dan kaedah pelupusan. Wakil dari Pas Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk kepada ayat Al-Qur`an (Al-Rum: 41), bahawa kerosakan di darat dan di laut adalah diakibatkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Beliau menyebut tentang perlunya ada hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyebabkan berlakunya keracunan kimia.
Situasi yang agak panik ini menyebabkan Tun Dr. Mahathir Perdana Menteri Malaysia mengambil keputusan turun sendiri ke Pasir Gudang bagi melihat sendiri  kesan  diakibatkan oleh bahan kimia dari Sngai Kim Kim, turut sama turun ke Pasir Gudang ialah Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagaimana dalam sidang akhbar disampaikan oleh Perdana Menteri yang disertai sama oleh Timbalan Perdana Menteri, bahawa pihak kerajaan berpendapat, ``Tidak perlu diisytiharkan darurat, kerana keadaan masih terkawal. Banyak mangsa racun kimia telah pulih``.
Walau bagaimana untuk membersih Sungai Kim Kim perlu kepada peruntukan yang besar dan perlu pakar bagi mengendalikannya. Pertolongan adalah  perlu dari pihak Pusat.
Peristiwa keracunan kimia di Sungai Kim KIm adalah ingatan dan pengajaran bahawa:
·         Pengawalan alam sekitar perlu ditingkatkan dari segi SOPnya.
·         Denda yang lebih tinggi perlu dikenakan bagi mereka yang melakukan pencemaran.
·         Siapsiaga hendaklah diwujudkan secara berterusan, bukan bila berlaku baru hendak bertindak.
·         Kawasan yang berpotensi bahaya hendaklah terus berada di dalam perhatian dan pemantauan seperti kemungkina berlaku tsunami, pecahnya Empangan  Kenyir, gempa di Gunung Kinabalu, nahas kapal terbang dan sebagainya.
·         Latihan juga perlu dilakukan dari masa ke semasa. Dan berbagai lagi.
Sekian.

March 14, 2019

PPSMI YANG DITARIKBALIK MAU DIHIDUPKAN KEMBALI ?


PPSMI YANG DITARIKBALIK MAU DIHIDUPKAN KEMBALI ?
(Fikrah Bangi: 175),
BBB,  07 Rejab 1440H. = 14 Mac 2019M. (Khamis).
Berita tentang mau memberi kelonggaran bagi sekolah-sekolah melaksanakan tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) disuarakan kembali oleh Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia. Bantahan awal terhadap hasrat ditimbulkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr. Hasan Mad. (UM, 13.3.2019: 12) Cadangan  ini sebenarnya mencerminkan sikap berdolak dalik dan tidak tetapnya pendirian pihak pemerintah dan rakyat sedang menilainya.
Perlaksanaan PPSMI dulu dilakukjan tiga bulan selepas diumumkkan pada 2003. Berikutnya berlaku kekocohan, kerana tiada persediaan dari segi ketiadaan persediaan kurikulum, ketiadaan guru-guru terlatih, ketiadaan buku dan kesediaan murid kerana kejutan perlaksanaan.
Pengumuman yang dibuat juga mengejutkan pemimpin-pemimpin bahasa, pakar-pakar pendidikan dan ibu bapa. Akibat dari pengumuman ini timbul gerakan menentang perlaksanaan PPSMI hingga tertubuhnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)  yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad Bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatankuasa GMP  (termasuk Sasterawan Negara seperti  A. Samad) Said)telah menjelajah tanahair menerangkan mengapa PPSMI tidak sesuai dan perlu dimansuhkan. Berbagai forum dan seminar turut diadakan memperkatakan tentang PPSMI. Salah satu seminar PPSMI ini diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa  di Bandar Seri Putra, Bangi,  Selangor pada 14 Mac 2009 mulai dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Antara yang mengambil bahagian dalam forum ini ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad Pengerusi (GMP). Datuk A.Samad Said  Sasterawan Negara yang juga selaku Penasihat (GMP). Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Penulis selaku ADUN Bang juga selaku Tuan Rumah dan beberapa lagi. Pemilihan tempat di Bangi kerana di sini terdirinya Universiti Kebanbgsaaan Malaysia lambang kejayaan perjuangan bahasa Melayu dan Kebangsaan. Setelah 6 tahun perlaksanaan PPSMI dan 6 tahun perjuangan  GMP dengan segala kepincangan PPSMI, maka pada 8 Julai 2008 Tan Sri Mahyuddin Yassin selaku Menteri Pelajaran pada masa itu telah menarik balik dan menangguhkan perlaksanaan PPSMI. Kegagalan perlaksanaan PPSMI ditaksirkan perbelanjaan yang dilakukan bagi perlaksanaannya adalah sebanyak RM 5 bilion.
Menurut Datuk Dr. Hassan Ahmad di dalam forum yang lebih kepada sambutan kejayaan menarik balik perlaksanaan PPSMI itu, kata Datuk Dr. Hassan Ahmad, ``
``Oleh kerana bimbangkan PPSMI tidak dimansuhkan, tetapi ditangguhkan kepada 2012, sebab itu GMP tidak akan dibubarkan, sebaliknya terus aktif bagi terus memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dengan kerjasama berbagai-bagai pihak.`` (Bangi Bandar Ilmu, 2012: 55-59).``
Jangkaan oleh Datuk Dr. Hassan Ahmad benar-benar terjadi. PPSMI walaupun tidak dihidupkan kembali jangkaan 2012, tetapi kini ditimbul kembali. Ini mencabar pendukung-pendukung GMP, MPM (Majlis Perundingan Melayu) dan mereka yang peka terhadap perjuangan melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi dan Kebangsaaan di negara ini.
Perjuangan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi dan kebangsaan tidaklah menghalang dari mendalami bahasa Inggeris, sebagaimana terlaksana kini pada pengajian-pengajian tinggi dan berbagai peringkat pengajian di sekolah. Banyak pendekatan yang boleh diambil yang tidak semestinya menggunakan bahasa Inggeris bagi matematik dan Sains. Peningkatan bahasa Inggeris dapatr dilakukan dengan peningkatan kaedah pengajaran bahasa tersebut di dalam masa yang diperuntukkan bagi bahasa itu sudah banyak dan mencukupi.
PPSMI setelah 6 tahun dijalankan nyata gagal, mengapa mau dikembalikan kaedah yang telah gagal ? Tidak adakah pendekatan lain yang lebih baik dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut ?
Sekian.

March 13, 2019

LGBT - ANTARA TINDAKAN KERAS DAN PEMULIHAN


LGBT – ANTARA TINDAKAN KERAS DAN PEMULIHAN
(Fikrah Bangi:  174),
BBB,  06 Rejab 1440H. = 13 Mac 2019M. (Rabu).
Isu berhubung dengan Lesbian, Gay,, Bi-Sexual dan Trans-Gender  (LGBT) bukan baru, tetapi timbul kembali secara kebetulan sempenan Hari Wanita Sedunia yang  sama disambut di Malaysia dan pada 9 Mac 2019, ada perhimpunan yang mengadakan perarakan sempena sambutan pada hari tersebut dari Sogo ke Masjid India di Kuala Lumpur. Menyelinap sama di dalam perarakan itu kumpulan dan penyokong LGBT yang mengungkapkan antaranya ``Hidup LGBT` sambil megebarkan bendera warna pelangi, lambang bagi kumpulan itu.
Dari segi undang-undang dikatakan perhimpunan dan perarakan itu tidak mendapat keizinan dari Polis dan pihak polis  menyiasat dan  ia merupakan kesalahan menurut Seksyen 9 (5). Memanglah ia hak dan bidang kuasa Polis  bagi mengambil tindakan  untuk  menjaga  perundangan dan keselamatan  awam.
Tindakan kumpulan dan penyokong-penyokong itu dari satu pihak mendapat kecaman dari beberapa orang mufti dan juga kalangan awam, sambil menyatakan kesal terhadap mereka yang menyokong LGBT. Walau bagaimana ada yang bersifat kritikal. Misalnyta Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato` Seri Wan Salim bin Wan Mohd Noor menganjurkan agar ianya dilihat dari segi psikologi dan kerohanian. Kita menyokong pendapat ini. Bermaksud gejala sosial ini perlu dikaji secara ilmiah  oleh pihak berkenaan dan berwibawa, kemudian  tindakan diambil hasil dari dapatan dan cadangan agar  gejala ini dapat diatasi.
Sememangnya mereka ini bersalah, tapi seharusnya dikaji mengapa mereka ini terbawa kepada kegiatan LGBT. Mereka ini adalah mangsa gejala sosial dan mereka ini tidak mau terseret kepada LGBT tetapi terseret kepadanya.
Kewajaran adalah dibuat kajian secara terperinci dan mengatasinya secara teratur dan terancang dan dapat membawa kembali mereka kepada kehidupan masyarakat normal.
Perlu dilihat mereka dari segi latar belakang keluarga. Bagaimana mereka dididik. Pendidikan yang diterima dan pergaulan yang diterima. Sejauh manakah mereka dididik dalam bidang keagamaan dan kehidupan sosial mereka kini. Lebih jauh perlu dilihat apakah sebarang fahaman yang mempengaruhi mereka. Misalnya sekularisme dan leberalisme. Mereka perlu dilihat sebagai gejala sosial yang memasalahkan masyarakat.
Banyak pihak yang patut terlibat. Pertama sekali tentulah Kerajaan yang melalui Kementerian tertentu, misalnya Kebajikan Masyarakat, Belia dan Pendidikan patut memberi perhatian bagi memulihkan golongan ini agar dapat  kembali kepada masyarakat normal.
Pihak JAKIM, Jabatan-Jabatanb Agama Negeri dan Mufti-Mufti tidak seharusnya mengambil sikap mengecam semata-mata, tetapio hendaklah mengambil tindakan pro-aktif. Misalnya melalui kerjasama Kebajikan Masyarakat, JAKIM dan Pejabat Agama Negeri termasuk mufti-mufti melihat mereka sebagai mangsa gejala sosial dan mereka ini diambil dan diberi pendidikan dari segi keagamaan dan pendidikan yang dapat menyedarkan mereka dan dapat dikembalikan mereka secara normal ke dalam masyarakat.
Jika kini ada institusi dan badan yang sanggup membuka rumah perlindung kepada gadis-gadis terlanjur dan mereka ini dididik dan dipulihkan, maka mekanisme sebegini dan lebih teratur dapat diwujudkan oleh JAKIM dan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan-Jabatan Agama  Kerajaan Negeri bekerjasama membawa mereka kepada institusi pemulihan dan kalau dapat menyediakan mereka peluang untuk hidup dan peluang bekerja secara masyarakat biasa.
LGBT adalah mangsa dari gejala sosial masyarakat yanbg tidak sihat dan mereka perlu dipulihkan secara sistematik oleh pihak berkenaan  agar mereka dapat dikembalikan kepada masayarakat secara normal
Sekian.

March 12, 2019

UNGGUL BUDAYA, INTELEKTUAL PEMIMPIN DAN SMART KHIDMAT


UNGGUL BUDAYA, INTELEKTUAL  PIMPINAN  DAN SMART KHIDMAT
(Fikrah Bangi: 173),
BBB, 05 Rejab 1440H. = 12 Mac 2019M. (Selasa):
 Semalam Isnin 11 Mac 2019 Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa  Billah Shah yang baru dilantik merasmikan Sidang Parlimen Penggal Kedua Parlimen ke 14.  Yang Di Pertuan Agong dan Parlimen adalah Institusi Tertinggi  Kedaulatan dan Pemerintahan Negara. Di sini terhimpun keunggulan dan harapan negara yang rakyat menjunjung setia dan mengharapkan rahmat melaluinya dari Yang Maha Esa.
Melalui sejarah terpupuk unggul budaya yang indah bahawa Yang Di Pertuan Agong adalah Raja Berperlembagaan yang terinstitusi budaya yang unik yang menjadi kebanggan negara dan rakyat jelata.
Parlimen adalah institusi yang didukung dan menjadi harapan rakyat.  Mereka telah menghantar wakil-wakil terpilih mereka untuk berada di Parlimen membincang tentang kepentingan mereka. Wakil Rakyat di sini seharusnya wakil yang berwibawa seharusnya intelektual yang peka terhadap kehendak rakyat yang memilih mereka. Dengan kemampuan yang ada pada dirinya dari keilmuan, kepakaran dan bantuan pendukung-pendukung Wakil Rakyat  dengan tugas rasminya sebagai penggubal undang-undang di Parlimen mesti turun padang membuat penyelidikan, mendengar masalah dan harapan rakyat dan membawa ke atas ke Parlimen segala aduan dan persoalan yang releven. Pihak kerajaan perlu peka tentang apa yang dibawa dari rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Wakil Rakyat yang berwibawa ialah Wakil Rakyat yang membuat persediaan petah bercakap dan berhujah dan dapat memberi pandangan secara sponton dan  bermutu dalam keadaan yang diperlukan. Seorang Wakil Rakyat hendaklah membina identiti sebagai seorang yang berkebolehan terutama di dalam bidang kepakarannya. Jika berkebetulan ia dari pemerintah dan dilantik menjadi Menteri, maka sesungguhnya  dia dinilai adakah seorang Menteri yang bermutu bersedia dan bercakap secara berkebolehan dan mencerminkan kepakaran. Seorang Menteri jangan menampakkan dirinya adalah bukan seorang yang tersalah pilih dan bercakap perkara yang remeh temeh hingga terserlah berbagai-bagai kelemahan. Kewibawaan kerajaan adalah himpunan kewibawaan pemimpin dan kabinet dan menteri-menteri yang dipimpin. Jika ada luahan dari rakyat tentang kelemahan pemimpin atau menteri menjejaskan kredebiliti kerajaan yang memerintah. Apa lagi jika rasa tidak puas hati rakyat  ditujukan kepada ramai menteri-menteri.
Pemimpin-pemimpin tidak seharusnya menunjukkan kebolehan bercakap di Parlimen, tetapi juga hendaklah `Smart Khidmat` terhadap rakyat. Bagi seorang Wakil Rakyat tentulah kenaikannya sebagai Wakil Rakyat  tidak secara berseorangan, tetapi adalah naik melalui parti, jentera parti dan pekerja-pekerja, tetapi mekanisme ini  seharusnya tidak saja digunakan bagi mencapai kemenangan, tetapi juga sebagai mekanisme bagi memberi khidmat kepada rakyat, khususnya bagi kawasan-kawasan yang diwakili. Seorang Wakil Rakyat  seharusnya mempunyai kumpulan pemikir dan pekerja yang menyusun program dan melaksanakannya kepada rakyat. Seorang Wakil Rakyat tidak seharusnya merasa besar  dengan dirinya, tetapi seorang Wakil Rakyat dilihat mampu bercakap di Parlimen memperkatakan keperluan dan idealisme  rakyat, bercakap dengan fakta dan kenyataan dan seorang Wakil Rakyat adalah  `Smart Khidmat` sehingga dia dihormati dan dikasihi rakyat.
Bagi Wakil Rakyat yang terpilih menganggotai kabinet, tugasnya lebih mencabar. Dia mempunyai mekanisme kemnenterian dan mekanisme sebagai seorang ahli politik. Kedua-dua tufgs ini hendaklah disempurnakan dengan baik.  Perlaksanaan tugas mencerminkan adakah ia seorang menteri yang baik yang dapat menjalankan tugas kementerian dan tugas mekanisme politik dengan baik. Jangan sampai disifatkan sebagai gagal.
Pada Parlimen di bawah naungan Yang Di Pertuan Agong Raja Berperlembagaan adalah puncak pemerintahan. Padanya rakyat menghantarkan harapan dan darinya rakyat berharap dapat mengecapi kemakmuran dan keamanan.
Sekian.

March 11, 2019

LOGIK DAN BUDAYA POLITIK


LOGIK DAN BUDAYA POLITIK
(Fikrah Bangi:  172)
BBB,  4 Rejab 1440H. = 11 Mac 2019M. (Isnin).
Keresahan di kalangan pemerhati politik, khususnya bagi PH yang memerintah terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS adalah tidak berasas. Ia adalah logik, bahkan budaya politik yang diakibatkan oleh sikap dan tindakan pemerintah PH  itu sendiri. Politik adalah dinamik, bahkan dikatakan adalah alat bagimendapat kekuasaan. Bagi tujuan ini dalam politik kawan boleh bertukar jadi lawan, kadang-kadang orang yang paling rapat sebenarnya musuh yang paling dekat mencari peluang menjatuhkan kawan.
Semasa BN berkuasa, parti ini dilihat amat kuat, parti-parti lawan berusaha menjatuhkannya sehingga apa yang dianggap kini PAS dan DAP sebagai musuh politik menjadi kawan. Sekitar 1999 berlaku persepakatan antara PKR, PAS dan DAP. Dengan kerjasama ini mereka mulai memenangi kerusi parlimen dan negeri, walaupun tidak memerintah. Kerjasama diteruskan sehingga 2008 hingga kini mereka memerintah sebahagian negeri (Selangor dan Pulau Pinang), di sambung dengan pemerintahan yang kini dikenali sebagai PH. Kecuali PAS bersendirian bersama dengan PH menentang pemerintahan UMNO-BN. PH menguasai pemerintahan Federal dan menguasai sebahagian besar negeri, manakala PAS menguasai Kelantan dan Terengganu dan BN hanya dapat mempertahankan Pahang dan Perlis.
PAS mendapat pengajaran dengan bersendirian PAS tidak mampu menguasai pemerintahan peringkat Federal. UMNO (BN) ditempelak oleh pemimpin PH sebagai parti yang akan berkubur dan menyeru supaya wakil-wakil rakyat UMNO dan BN meninggalkan UMNO dan BN. Dan penghijrahan dan perlompatan memang berlaku yang melemahkan UMNO dan BN.
UMNO dan BN dibuli, mereka kehilangan pimpinan dan menghadapi berbagai tekanan. Orang yang dalam kesusahan dan ketenatan yang dibuli dan ia adalah sebahagian dari tindakan PH, maka UMNO terutama terpaksa mencari kekuatan dengan apa cara untuk bangkit. Adalah logik semasa dan yang paling dekat sama pembangkang tidak lain dari PAS, Logiknya UMNO mencari kekuatan dari pertolongan dari PAS dan PAS juga menyedari dengan persendirian tidak akan ke mana. Maka adalah suasana dan logik semasa UMNO yang mendapat pimpinan baharu yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohammad Hasan sebagai Timbalan Presisiden yang menjalankani tugas-tugas Presiden dan pemimpin bersamanya  `berpegangan tangan`  dengan PAS bangkit mencari kekuatan. Soal sama Melayu, bukan persoalan. Melayu PAS pernah bersama dengan Melayu UMNO sebelum ini  bekerjasama, maka kali ini hanya UMNO dan PAS yang ditekan dan tertekan. Adalah  logik dalam keadaan sedemikian mereka berkerjasama dan berjaya mengalahkan PH di Cameron Highlands dan Semenyih dengan sokongan rakyat yang telah mengenali watak  PH setelah 9 bulan memerintah.
Adalah logik juga, melihat kepada prestasi kerjasama antara UMNO dan PAS, maka komponan di dalam BN yang bercadang untuk keluar BN, khususnya MCA dan MIC tidak jadi keluar BN. Ini sebenarnya memberi nafas dan kekuatan baru bagi BN dan PAS yang mau mengukuhkan kerjasama. Peluang UMNO bangkit dengan kerjasama dengan PAS dan pengekalan BN adalah disebabkan oleh PH yang membuli parti itu dan `mencuri` ahli-ahli parlimen dari UMNO bagi mendapat kekuatan bagi PH. Seharusnya PH merasa malu dan tidak cemburu terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS dan pulih kembalinya BN yang mulai kembali mencabar PH. Seharusnya PH menilai diri mengapa berlaku `Arus Balik`  sokongan rakyat dari PH kepada BN, khususnya  dengan kerjasama PAS. Kini mereka berura-ura untuk menubuhkan `Kerajaan Pakatan` dengan kemungkinan Perak dan Kedah menjadi sebahagian. Ini adalah logik bagi mengukuhkan kedudukan.
Sebenarnya bertukar  rakan kongsi dalam pemerintahan semacam budaya politik negera. PAS yang dianggap musuh ketat dengan DAP adalah ,merupakan rakan politik rapat dalam Pakatan Rakyat. PKR juga adalah menjadi rakan sama memerintah di dalam Pakatan Rakyat. Kini menjadi musuh politik. Begitu juga sebelum ini PAS adalah musuh ketat UMNO dan BN, kini bekerjasama. Semua ini ialah untuk survival dan mendapat kuasa. Bumiputra Bersatu dan Amanah tidaklah terjamin terus di dalam memerintah. Perubahan mungkin berlaku dan musuh menjadi kawan dan sebaliknya. Soal bangsa atau kaum bukan menjadi kiraan utama. Ianya menjadi kebetulan oleh tuntutan keadaan dan logik semasa. Ianya seolah-olah  menjadi sebahagian budaya politik di Malaysia.
Sekian.

March 10, 2019

PERKEMBANGAN POLITIK NEGARA MAKIN MANTAP


PERKEMBANGAN POLITIK NEGARA MAKIN MANTAP
(Fikrah Bangi: 171),
BBB, 3 Rejab 1440H. = 10 Mac 2019M. (Ahad).
Situasi mutakhir politik negara memperlihatkan  makin mantap. BN yang ditubuh sejak 1973 hampir menghadapi pembubaran, tetapi dengan perkembangan mutakhir parti-parti utama di dalam BN, iaitu UMNO, MCA dan MIC  tidak jadi berpecah dan bersetuju mengekalkan BN. BN kelihatan makin mantap dengan adanya kerjasama dengan Pas.
Keempat-empat parti adalah parti-parti yang tertua di negara ini yang ditubuh dan berjuang bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair. Kemerdekaan tanahair adalah hasil dari perjuangan parti-parti berkenaan. Ini adalah keistimewaan dan legasi serta sejarah gemilang yang telah dicapai oleh keempat parti berkenaan. Bersyukur rasional yang dicapai oleh parti-parti berkenaan dan diharapkan parti parti berkenaan akan meningkatkan kualiti politik dan mencari pendekatan yang lebih mantap dan unggul yang akan mendapat sambutan dari rakyat.
Berlainan dengan PH, parti-parti yang berada di dalam PH, kecuali DAP adalah ditubuhkan akibat dari konflik yang berlaku antara parti-parti induk. DAP adalah parti tertua di dalam PH yang tertubuh dari tertubunya Malaysia (1963) yang berjuang  dengan slogan Malaysian Malaysia. Parti ini walaupun tidak diasaskan berdasarkan ethnik dan bersifat multirasial, tetapi didominasi oleh orang Cina. Ia adalah menjadi alternatif bagi orang Cina yang tidak mau menyertai MCA. Ketua Pertama ialah Lim Kit Siang. PKR adalah kedua tua dan tertubuh akibat dari konflik yang berlaku antara Perdana Menteri dan Timbalan yang membawa Timbalan berkenaan terpenjara. Dan para simpati telah menubuhkan PKR pada 4 April 1999 dengan Wan Azizah dipilih mengetuainya. Manakala Amanah adalah parti yang merupakan serpihan dari PAS. Akibat  konflik dengan kepimpinan Pas, maka kumpulan yang tidak menyetujuinya menubuhkan Amanah pada 16 September 2015 yang pada asalnya membawa slogan ``Islam Progresif``, kini `Rahmatan lil `Alamin`.  Parti ini diketuai Muhammad Sabu. Manakala Parti Bumiputra Bersatu adalah paling muda dan ditubuhkan akibat konflik antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan Timbalannya Muhyiddin Yassin dan akibatnya Muhyiddin menubuhkan Parti Bumiputra Bersatu yang mirip kepada UMNO menjelang  Pilihanraya ke 14, tetapi tidak dapat didaftarkan dan bertanding atas lambang PKR bersama parti lain di dalam PH  dan didaftarkan sebaik PH memenangi pilihanraya ke 14 dan didaftarkan pada (17.5.2018). Jelas selain dari DAP parti-parti komponan di dalam PH ditubuhkan dari konflik dan berliku-liku dan memasuki pilihanraya antaranya dengan keadaan tergesa-gesa dan membuat janji yang akhirnya sukar ditunaikan (kerana dijangka tidak menang memeribntah).
Sekarang ada dua komponan parti yang dominan di Malaysia dengan PH memerintah. Adalah diharapkan dari persetujuan mengekalkan BN yang antara komponannya parti-parti kecil lain terutama dari Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Pas dapat memantapkan parti sebaik mungkin. Sebenarnya penyatuan antara Umno, MCA, MIC dan Pas bukan perkara baru. Mereka pernah bergabung menjadi parti pemerintah dalam BN pada masa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan sebahagian dari pemimpin utama Pas pernah memegang jawatan kabinet.  PAS ditendang keluar dari BN pada masa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku sekarang semacam mengulangi apa yang pernah berlaku, tetapi adalah diharapkan apa yang dihadapi sekarang direncana sebaik mungkin.
Proses terbaru sebagaimana berita-berita di dalam akhbar-akhbar pada pagi  ini timbul cadangan dar i UMNO bagi mewujudkan Kerajaan Campuran diantara negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis. Ini adalah perkembangan yang baik. Ada cadangan agar ianya melibatkan Kedah dan Perak yang PH mempunyai majoriti tipis hasil dari sokongan bukan dari PH. Perkara ini mungkin dapat diperluaskan ke Sabah dan Sarawak ? Semua ini adalah perkembangan politik tanahair yang menarik.
Apapun diharapkan BN yang terdiri dari UMNO, MCA,. MIC dengan kerjasama PAS  dapat duduk semeja membincangkan pendekatan terbaik bagi parti-parti berkenaan dan kerajaan yang terlibat. Semua perkara hendaklah dibincang secara teliti dan mantap dan dapat dipersetujui  secara  kompromi oleh pihak-pihak berkaitan.
Perkembangan politik tanahair makin menarik dan diharap ianya menghasilkan keputusan yang teliti dan mantap.
Sekian.

March 9, 2019

ARUS BALIK POLITIK TANAH AIR


ARUS BALIK POLITIK TANAH AIR
(Fikrah Bangi: 170),
BBB,  02 Rejab 1440H. = 09 Mac 2019M. (Sabtu).
Kemenangan PH  pada pilihanraya ke 14 (9 Mei, 2018) adalah tsunami politik Malaysia yang menjatuhkan kerajaan BN.  Seterusnya di dalam beberapa pilihanraya kecil berlaku secara berturut di Selangor memperlihatkan PH begitu utuh dan tak tercabar dan puncak ialah kemenangan pilihanraya parlimen Port Dickson oleh Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2018. Ianya bagai tidak tercabar dan pernah diungkapkan oleh pimpinan PH Umno akan berkubur.
Namun di sebalik tsunami politik, perlahan berlaku `Arus Balik Politik`  diakibat oleh  berbagai faktor. Paling utama dan popular yang menjadi imej ketara bagi PH adalah kerana  PH disifatkan tidak menunaikan janji. Rakyat makin tersepit oleh kerana kos hidup yang makin meningkat. Dari satu segi adalah dilihat banyak polisi dan perubahan baru menjadikan Melayu banyak mengalami kehilangan. Protes pertama ialah dari hasil pilihanraya Parlimen Cameran Hinglands  pada 26 Januari 2019 dalam mana Umno (BN) adalah menang besar dalam pilihanraya tersebut dengan majoriti 3,238 undi. Antara faktor kemenangan ialah kerjasama antara Umno dan Pas dalam pilihanraya tersebut. Semangat dan kerjasama ini diteruskan kepada PRK Semenyih yang berlangsung pada 2 Mac 2019, hasil dari kerjasama antara Umno dan Pas sekali lagi Umno (BN) melalui calonnya Zakaria Hanafi  menang dengan majoriti tinggi, iaitu 1.914 undi. Ternyata kerjasama antara Umno dan Pas dengan isu-isu yang telah diperkatakan berlaku `Arus Balik Politik`.  Dengan faktor penyatuan ini timbul semacam ketakutan di kalangan pemimpin-pemimpin PH. Ada yang menyifatkan kerjasama antara Umno dan Pas sebagai `Perang` terhadap PH.
Sementara isu-isu yang merapatkan kerjasama antara Umno dan Pas ditingkatkan lagi oleh isu-isu penghinaan terhadap  Islam, penghinaan terhadap Nabi Muhammad,  penghinaan terhadap Agong dan pengabaian dan penghakisan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang kian terasa.
Kemenangan Umno (BN) dalam  dua pilihanraya mutakhir memberi semangat yang tinggi terhadap kedua parti itu dan mereka berikrar akan berusaha bermati-matian bagi memenangi PRK Rantau 13 April 2019 yang akan dipertahan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan selaku  Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden.
Sementara itu dengan kemenangan Umno di Cameron Highlands dan Semenyih memberi keyakinan bukan saja kepada Umno dan Pas, tetapi juga kepada parti-parti komponan di dalam BN. Kalau sebelum ini pihak MCA dan MIC bercadang untuk keluar dari BN, maka dengan keyakinan kembali masyarakat terhadap Umno, makapendirian MCA dan MIC turut berubah. Keputusan mesyuarat BN semalam, (8 Mac 2019) menghasilkan keputusan positif, bahawa Barisan Nasional akan terus kekal sebagaimana sebelumnya (The Star, 9.3.2019: 1). Pihak Pas yang selama ini tidak disetujui  oleh MCA bekerjasama, nampaknya tidak lagi menjadi halangan. Jadi kedudukan BN yang kelihatan hampir dibubar itu kembali kukuh. Ianya dikukuhkan lagi dengan kerjasama Pas dengan BN tersebut. Dengan kerjasama ini memantapkan lagi Umno dalam menghadapi pilihanraya di Rantau.
Kalau dengan kemenangan Umno di Cameron Highlands dan Semenyih memperlihatkan bahawa `Arus Balik Politik`` sedang berlaku dalam politik tanahair`, maka dengan kerjasama antara Pas dan BN maka `Arus Balik Politik` kelihatan sedang pasang secara lebih laju dan cepat. Kecergasan kembali BN dan keaktifan Pas sebagai penyokong yang kuat dan berkesan akan menghangatkan lagi suasana politik tanahair. PH semakin tercabar dengan janji-janji yang tidak ditunaikan dan polisi-polisinya yang tidak menyenangkan.
Sekian.