March 12, 2019

UNGGUL BUDAYA, INTELEKTUAL PEMIMPIN DAN SMART KHIDMAT


UNGGUL BUDAYA, INTELEKTUAL  PIMPINAN  DAN SMART KHIDMAT
(Fikrah Bangi: 173),
BBB, 05 Rejab 1440H. = 12 Mac 2019M. (Selasa):
 Semalam Isnin 11 Mac 2019 Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa  Billah Shah yang baru dilantik merasmikan Sidang Parlimen Penggal Kedua Parlimen ke 14.  Yang Di Pertuan Agong dan Parlimen adalah Institusi Tertinggi  Kedaulatan dan Pemerintahan Negara. Di sini terhimpun keunggulan dan harapan negara yang rakyat menjunjung setia dan mengharapkan rahmat melaluinya dari Yang Maha Esa.
Melalui sejarah terpupuk unggul budaya yang indah bahawa Yang Di Pertuan Agong adalah Raja Berperlembagaan yang terinstitusi budaya yang unik yang menjadi kebanggan negara dan rakyat jelata.
Parlimen adalah institusi yang didukung dan menjadi harapan rakyat.  Mereka telah menghantar wakil-wakil terpilih mereka untuk berada di Parlimen membincang tentang kepentingan mereka. Wakil Rakyat di sini seharusnya wakil yang berwibawa seharusnya intelektual yang peka terhadap kehendak rakyat yang memilih mereka. Dengan kemampuan yang ada pada dirinya dari keilmuan, kepakaran dan bantuan pendukung-pendukung Wakil Rakyat  dengan tugas rasminya sebagai penggubal undang-undang di Parlimen mesti turun padang membuat penyelidikan, mendengar masalah dan harapan rakyat dan membawa ke atas ke Parlimen segala aduan dan persoalan yang releven. Pihak kerajaan perlu peka tentang apa yang dibawa dari rakyat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Wakil Rakyat yang berwibawa ialah Wakil Rakyat yang membuat persediaan petah bercakap dan berhujah dan dapat memberi pandangan secara sponton dan  bermutu dalam keadaan yang diperlukan. Seorang Wakil Rakyat hendaklah membina identiti sebagai seorang yang berkebolehan terutama di dalam bidang kepakarannya. Jika berkebetulan ia dari pemerintah dan dilantik menjadi Menteri, maka sesungguhnya  dia dinilai adakah seorang Menteri yang bermutu bersedia dan bercakap secara berkebolehan dan mencerminkan kepakaran. Seorang Menteri jangan menampakkan dirinya adalah bukan seorang yang tersalah pilih dan bercakap perkara yang remeh temeh hingga terserlah berbagai-bagai kelemahan. Kewibawaan kerajaan adalah himpunan kewibawaan pemimpin dan kabinet dan menteri-menteri yang dipimpin. Jika ada luahan dari rakyat tentang kelemahan pemimpin atau menteri menjejaskan kredebiliti kerajaan yang memerintah. Apa lagi jika rasa tidak puas hati rakyat  ditujukan kepada ramai menteri-menteri.
Pemimpin-pemimpin tidak seharusnya menunjukkan kebolehan bercakap di Parlimen, tetapi juga hendaklah `Smart Khidmat` terhadap rakyat. Bagi seorang Wakil Rakyat tentulah kenaikannya sebagai Wakil Rakyat  tidak secara berseorangan, tetapi adalah naik melalui parti, jentera parti dan pekerja-pekerja, tetapi mekanisme ini  seharusnya tidak saja digunakan bagi mencapai kemenangan, tetapi juga sebagai mekanisme bagi memberi khidmat kepada rakyat, khususnya bagi kawasan-kawasan yang diwakili. Seorang Wakil Rakyat  seharusnya mempunyai kumpulan pemikir dan pekerja yang menyusun program dan melaksanakannya kepada rakyat. Seorang Wakil Rakyat tidak seharusnya merasa besar  dengan dirinya, tetapi seorang Wakil Rakyat dilihat mampu bercakap di Parlimen memperkatakan keperluan dan idealisme  rakyat, bercakap dengan fakta dan kenyataan dan seorang Wakil Rakyat adalah  `Smart Khidmat` sehingga dia dihormati dan dikasihi rakyat.
Bagi Wakil Rakyat yang terpilih menganggotai kabinet, tugasnya lebih mencabar. Dia mempunyai mekanisme kemnenterian dan mekanisme sebagai seorang ahli politik. Kedua-dua tufgs ini hendaklah disempurnakan dengan baik.  Perlaksanaan tugas mencerminkan adakah ia seorang menteri yang baik yang dapat menjalankan tugas kementerian dan tugas mekanisme politik dengan baik. Jangan sampai disifatkan sebagai gagal.
Pada Parlimen di bawah naungan Yang Di Pertuan Agong Raja Berperlembagaan adalah puncak pemerintahan. Padanya rakyat menghantarkan harapan dan darinya rakyat berharap dapat mengecapi kemakmuran dan keamanan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment