March 9, 2019

ARUS BALIK POLITIK TANAH AIR


ARUS BALIK POLITIK TANAH AIR
(Fikrah Bangi: 170),
BBB,  02 Rejab 1440H. = 09 Mac 2019M. (Sabtu).
Kemenangan PH  pada pilihanraya ke 14 (9 Mei, 2018) adalah tsunami politik Malaysia yang menjatuhkan kerajaan BN.  Seterusnya di dalam beberapa pilihanraya kecil berlaku secara berturut di Selangor memperlihatkan PH begitu utuh dan tak tercabar dan puncak ialah kemenangan pilihanraya parlimen Port Dickson oleh Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2018. Ianya bagai tidak tercabar dan pernah diungkapkan oleh pimpinan PH Umno akan berkubur.
Namun di sebalik tsunami politik, perlahan berlaku `Arus Balik Politik`  diakibat oleh  berbagai faktor. Paling utama dan popular yang menjadi imej ketara bagi PH adalah kerana  PH disifatkan tidak menunaikan janji. Rakyat makin tersepit oleh kerana kos hidup yang makin meningkat. Dari satu segi adalah dilihat banyak polisi dan perubahan baru menjadikan Melayu banyak mengalami kehilangan. Protes pertama ialah dari hasil pilihanraya Parlimen Cameran Hinglands  pada 26 Januari 2019 dalam mana Umno (BN) adalah menang besar dalam pilihanraya tersebut dengan majoriti 3,238 undi. Antara faktor kemenangan ialah kerjasama antara Umno dan Pas dalam pilihanraya tersebut. Semangat dan kerjasama ini diteruskan kepada PRK Semenyih yang berlangsung pada 2 Mac 2019, hasil dari kerjasama antara Umno dan Pas sekali lagi Umno (BN) melalui calonnya Zakaria Hanafi  menang dengan majoriti tinggi, iaitu 1.914 undi. Ternyata kerjasama antara Umno dan Pas dengan isu-isu yang telah diperkatakan berlaku `Arus Balik Politik`.  Dengan faktor penyatuan ini timbul semacam ketakutan di kalangan pemimpin-pemimpin PH. Ada yang menyifatkan kerjasama antara Umno dan Pas sebagai `Perang` terhadap PH.
Sementara isu-isu yang merapatkan kerjasama antara Umno dan Pas ditingkatkan lagi oleh isu-isu penghinaan terhadap  Islam, penghinaan terhadap Nabi Muhammad,  penghinaan terhadap Agong dan pengabaian dan penghakisan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang kian terasa.
Kemenangan Umno (BN) dalam  dua pilihanraya mutakhir memberi semangat yang tinggi terhadap kedua parti itu dan mereka berikrar akan berusaha bermati-matian bagi memenangi PRK Rantau 13 April 2019 yang akan dipertahan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan selaku  Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden.
Sementara itu dengan kemenangan Umno di Cameron Highlands dan Semenyih memberi keyakinan bukan saja kepada Umno dan Pas, tetapi juga kepada parti-parti komponan di dalam BN. Kalau sebelum ini pihak MCA dan MIC bercadang untuk keluar dari BN, maka dengan keyakinan kembali masyarakat terhadap Umno, makapendirian MCA dan MIC turut berubah. Keputusan mesyuarat BN semalam, (8 Mac 2019) menghasilkan keputusan positif, bahawa Barisan Nasional akan terus kekal sebagaimana sebelumnya (The Star, 9.3.2019: 1). Pihak Pas yang selama ini tidak disetujui  oleh MCA bekerjasama, nampaknya tidak lagi menjadi halangan. Jadi kedudukan BN yang kelihatan hampir dibubar itu kembali kukuh. Ianya dikukuhkan lagi dengan kerjasama Pas dengan BN tersebut. Dengan kerjasama ini memantapkan lagi Umno dalam menghadapi pilihanraya di Rantau.
Kalau dengan kemenangan Umno di Cameron Highlands dan Semenyih memperlihatkan bahawa `Arus Balik Politik`` sedang berlaku dalam politik tanahair`, maka dengan kerjasama antara Pas dan BN maka `Arus Balik Politik` kelihatan sedang pasang secara lebih laju dan cepat. Kecergasan kembali BN dan keaktifan Pas sebagai penyokong yang kuat dan berkesan akan menghangatkan lagi suasana politik tanahair. PH semakin tercabar dengan janji-janji yang tidak ditunaikan dan polisi-polisinya yang tidak menyenangkan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment