PERKEMBANGAN POLITIK NEGARA MAKIN MANTAP
(Fikrah Bangi: 171),
BBB, 3 Rejab 1440H. = 10 Mac 2019M. (Ahad).
Situasi mutakhir politik negara
memperlihatkan makin mantap. BN yang
ditubuh sejak 1973 hampir menghadapi pembubaran, tetapi dengan perkembangan
mutakhir parti-parti utama di dalam BN, iaitu UMNO, MCA dan MIC tidak jadi berpecah dan bersetuju mengekalkan
BN. BN kelihatan makin mantap dengan adanya kerjasama dengan Pas.
Keempat-empat parti adalah parti-parti yang
tertua di negara ini yang ditubuh dan berjuang bagi memperjuangkan kemerdekaan
tanahair. Kemerdekaan tanahair adalah hasil dari perjuangan parti-parti
berkenaan. Ini adalah keistimewaan dan legasi serta sejarah gemilang yang telah
dicapai oleh keempat parti berkenaan. Bersyukur rasional yang dicapai oleh parti-parti
berkenaan dan diharapkan parti parti berkenaan akan meningkatkan kualiti
politik dan mencari pendekatan yang lebih mantap dan unggul yang akan mendapat
sambutan dari rakyat.
Berlainan dengan PH, parti-parti yang berada
di dalam PH, kecuali DAP adalah ditubuhkan akibat dari konflik yang berlaku
antara parti-parti induk. DAP adalah parti tertua di dalam PH yang tertubuh
dari tertubunya Malaysia (1963) yang berjuang dengan slogan Malaysian Malaysia. Parti ini
walaupun tidak diasaskan berdasarkan ethnik dan bersifat multirasial, tetapi
didominasi oleh orang Cina. Ia adalah menjadi alternatif bagi orang Cina yang
tidak mau menyertai MCA. Ketua Pertama ialah Lim Kit Siang. PKR adalah kedua
tua dan tertubuh akibat dari konflik yang berlaku antara Perdana Menteri dan
Timbalan yang membawa Timbalan berkenaan terpenjara. Dan para simpati telah
menubuhkan PKR pada 4 April 1999 dengan Wan Azizah dipilih mengetuainya.
Manakala Amanah adalah parti yang merupakan serpihan dari PAS. Akibat konflik dengan kepimpinan Pas, maka kumpulan
yang tidak menyetujuinya menubuhkan Amanah pada 16 September 2015 yang pada asalnya
membawa slogan ``Islam Progresif``, kini `Rahmatan lil `Alamin`. Parti ini diketuai Muhammad Sabu. Manakala
Parti Bumiputra Bersatu adalah paling muda dan ditubuhkan akibat konflik antara
Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan Timbalannya Muhyiddin Yassin dan
akibatnya Muhyiddin menubuhkan Parti Bumiputra Bersatu yang mirip kepada UMNO menjelang Pilihanraya ke 14, tetapi tidak dapat
didaftarkan dan bertanding atas lambang PKR bersama parti lain di dalam PH dan didaftarkan sebaik PH memenangi
pilihanraya ke 14 dan didaftarkan pada (17.5.2018). Jelas selain dari DAP
parti-parti komponan di dalam PH ditubuhkan dari konflik dan berliku-liku dan
memasuki pilihanraya antaranya dengan keadaan tergesa-gesa dan membuat janji
yang akhirnya sukar ditunaikan (kerana dijangka tidak menang memeribntah).
Sekarang ada dua komponan parti yang dominan
di Malaysia dengan PH memerintah. Adalah diharapkan dari persetujuan
mengekalkan BN yang antara komponannya parti-parti kecil lain terutama dari
Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Pas dapat memantapkan parti sebaik mungkin.
Sebenarnya penyatuan antara Umno, MCA, MIC dan Pas bukan perkara baru. Mereka
pernah bergabung menjadi parti pemerintah dalam BN pada masa Tun Abdul Razak
menjadi Perdana Menteri dan sebahagian dari pemimpin utama Pas pernah memegang
jawatan kabinet. PAS ditendang keluar
dari BN pada masa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku
sekarang semacam mengulangi apa yang pernah berlaku, tetapi adalah diharapkan
apa yang dihadapi sekarang direncana sebaik mungkin.
Proses terbaru sebagaimana berita-berita di
dalam akhbar-akhbar pada pagi ini timbul
cadangan dar i UMNO bagi mewujudkan Kerajaan Campuran diantara negeri-negeri
yang diperintah oleh pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.
Ini adalah perkembangan yang baik. Ada cadangan agar ianya melibatkan Kedah dan
Perak yang PH mempunyai majoriti tipis hasil dari sokongan bukan dari PH.
Perkara ini mungkin dapat diperluaskan ke Sabah dan Sarawak ? Semua ini adalah
perkembangan politik tanahair yang menarik.
Apapun diharapkan BN yang terdiri dari UMNO,
MCA,. MIC dengan kerjasama PAS dapat
duduk semeja membincangkan pendekatan terbaik bagi parti-parti berkenaan dan
kerajaan yang terlibat. Semua perkara hendaklah dibincang secara teliti dan mantap
dan dapat dipersetujui secara kompromi oleh pihak-pihak berkaitan.
Perkembangan politik tanahair makin menarik
dan diharap ianya menghasilkan keputusan yang teliti dan mantap.
Sekian.
No comments:
Post a Comment