March 19, 2021

 

KRONOLOGI PERANG TERHADAP  COVID-19

 

Hari ini 18 Mac 2021

Setahun perang terhadap Covid-19

Dikenalpasti akhir 2019 di China

Wuhan pasar pelbagai makanan eksotik

Dan 5 Februari rakyat Malaysia pertama dijangkiti

30 Februari diumumkan Covid di Malaysia terkawal

Walaupun seminggu berikut amaran 100, 000

Bakal kelihangan pekerjaan diperkukuh amaran

WHO isytihar 13.3.20 Covid-19 pandemik

Diikuti pengisytiharan di Malaysia 18 Mac

Dan bermula dengan Perintah Pengawalan Pergerakan.

 

Heboh permulaan kluster jangkitan

Dari Jamaah di Sri Petaling mengadakan muktamar

Dihadiri perwakilan dari seluruh dunia

Gempar sekatan dan kawalan,

Namun jangkitan merebak ke Simpang Renggam,

Sungai Lui, Hulu Langat dan City Tower Kuala Lumpur

Kes berjumlah 3,793 dengan 102 positif (54%)

Dan satu kematian. Dan dunia mula menyaksikan

Peningkatan kes 100,000 di Amerika

Diikuti Itali, Spanyol, Perancis dan German

Malaysia yang prihatin mengawal merebak seluruh negara

Pernah turun kes kepada angka paling rendah

Pada Julai 2000, tetapi melonjak kembali selepas PRK Sabah.

 

Catatan  perkembangan 1.1.2021

Covid-19 tertinggi 2,525 dengan kematian 471 + 8

Mendepani Selangor 1,205, Melaka 239

Johor 194 dan Sabah 299 dan lain negeri

Mengawasinya negara di bawah Dharurat

Dari 12.1.21 ke Ogos 21 di bawah perkara 150(1) perlembagaan.

Manakala pada peringkat global

USA dengan kes 20,216,991 dan kematian 350,778

India dengan kes 10,267,282 dengan 148,774 kematian

Brazil dengan 7,619,970 dan kematian 193,940

Diikuti Itali, Spanyol,  Rusia,Perancis Turki dan German

Dan lain-lain negara tiada kecuali dari wabak berkenaan.

 

Bermula dari awal 2021,

Diperkatakan tentang vaksin

Firma seperti Pfizer Bion Tech Amerika-German

Astra Zanica Oxford England, Cinovax China

Johnson And Johnson dari Amerika

50 negara negara melibatkan vaksinasi

Negara kita tidak terkecuali menerima hantaran

21 Februari 2021 dan bermula vaksi pada 24 Februari

Melibatkan 80% rakyat negara dan bukan warganegara

Tahap pertama vaksinasi melibatkan setengah juta

Diikuti tahap kedua  melibatkan 9.4 juta dan selebihnya

Melalui tahap ketiga, semua digalak mendaftar diri.

 

Kerja vaksinasi melibatkan semua

Bersifat tempatan dan global

Walaupun tiada ketentuan berakhir

Perang berterusan  tiada gencetan

Pertanda menunjukkan penurunan

Semalam di negara kita jumlah kes 326.034

Dengan 309,612 pulih, manakala aktif kes 15,204

Dan kematian 1,218 , antara  terendah peringkat global

Prehatin negara dan frontliners terus memeranginya

Semoga dalam masa terdekat kembali kita kepada normal

Bebas bergerak tiada lagi sekatan

Kita menang memerangi wabak tiada kelihatan.

 

Sekian.

(Fikrah Bangi: 889)

BBB:  05 Sha`ban 1442H. = 19 Mac 2021M. (Juma`at).

March 18, 2021

 

DI KEJAUHAN  PINGGIR  2020

(Fikrah Bangi: 888),

BBB:  04 Sha`ban 1442H. =  18 Mac 2021M. (Khamis).

 Ketika slogan 2020 begitu popular dibicarakan sekitar 2000, mengukurnya dengan diri yang ketika itu sudah berusia 58 tahun, walaupun relatifnya masih muda, tetapi untuk sampai kepada 2020, maka usia akan meningkat 78 tahun. Penulis sendiri menjangka kemungkinan tidak akan sampai kepada tahun 2020 yang diwawasankan. Ketibaan kepada masa itu dilihat begitu jauh. Umur 78 adalah dilihat begitu larut dan untuk sampai ke usia ini, kebanyakan sudah kembali ke rahmatullah sebelumnya !

Bahkan ketika Penulis berusia lebih dari 51 tahun dan berbaki 4 tahun lagi untuk bersara (umur bersara pada masa itu ialah 55 tahun), Penulis sendiri merasakan bahawa Penulis pada masa itu sebenarnya adalah seorang tua.

Ketika menghadiri Kursus Pemeriksaan Kertas STPM di Merlin Hotel. Pada 9 Jun 1993 yang dirasmikan oleh Dato` Abu Bakar Barakbah Pengarah Pemeriksaan STPM pada masa itu, Penulis merakamkan sebuah puisi mencerminkan pandangan terhadap diri pada masa itu (sudah tua). Puisi adalah berjudul:

SEORANG  TUA  DI JENDELA USIA

Lembutnya hari

Ketika senja merapatkan diri

Ke teluknya

Seorang tua

Menjengahkan dirinya

Di jendela usia

Yang makin luntur

Rindu menggoris kalbu

Ingatan pada yang dikasihi

Inginnya menangguh hidup ini

Tapi mentari usianya

Tidak mungkin terbit kembali

Di pagi hari

Segalanya hanyut dalam kenangan

Berlarian

Perlahan tangan tuanya

Merapatkan daun jendela

Dan merah di kaki senja

Makin kelabu

Menenggelamkan

Sebuah perjalanan.

Pulau Pinang,

9 Jun 1993.

(Shafie Abu Bakar, Puncak Rindu, Galeri Bangi Bandar Ilmu, 2013: 15).

 

Penulis tidak pesimis terhadap hidup dan ada harapan jika masa ditangguhkan dan penilis terus hidup dan meneruskan kegiatan. Walau bagaimana masa terus bergerak dan tiada sebarang penangguhan dan siapa yang lewat dan tidak terus bergerak dengan pergerakan masa dia akan ketinggalan.

 

Pada masa ini dapat dikatakan bahawa Penulis seorang yang setia dengan situasi semasa, melakukan tugas-tugas rutin yang diamanahkan. Antara tugas-tugas utama ialah selaku pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Panel Hadiah Sastera Malaysia (1979-1999), Ketua Pemeriksa Kertas Sastera  STPM ( - sehingga 1999).

Sungguhpun situasi poliik tanah air mulai berkocak, tetapi tiada ketara kesan politik semasa pada masa itu mempengaruhi Penulis.

Sekian.

March 17, 2021

 

2020-AN: PENYIMPANGAN, ANJAKAN DAN CABARAN

(Fikrah Bangi: 887),

BBB:  03 Sha`ban 1442H. = 17 Mac 2021M. (Rabu).

2020 adalah tahun yang menarik dari segi bilangan tahun sejarah. Sebelum melangkah ke abad 21 lagi pemimpin negara kita melihatnya sebagai angka yang significant dan meletakkan angka tersebut sebagai petanda bagi satu wawasan, iaitu ``Wawasan 2020``, satu wawasan  dalam mana bangsa Malaysia pada masa itu diharap menjadi `Bangsa Maju` berganding dengan negara-negara seperti Jepun dan  Korea Selatan. Sebagai katalis bagi menggerakkan Bangsa Malaysia Maju, maka disertakan dengan slogan `Wawasan 20` seperti ungkapan, `Pandang Ke Timur`. Pemimpin yang menggariskan harapan bagi Malaysia Maju dengan Wawasan 2020, tidak lain daripada Dr. Mahathir yang beliau dilihat hingga ke akhir abad 20 sebagai `Pemimpin yang tidak tercabar, bahkan pada kulit luar bagi sebuah majalah, iaitu MASSA`, Mahathir disifatkan pemimpin yang Kekal Supreme (Massa, 25 Oktober 1997). Walaupun Mahathir terpaksa berundur pada awal abad ke 21, tetapi beliau dapat kembali berkuasa pada Mei  2018, menjelang dua tahun 2020, tetapi pada 2020 ini berlaku  `Penyimpangan`, bukan saja wujudnya pengakuan bahawa Wawasan 2020 sebagai gagal, tetapi kerajaan yang memerintah yang dipimpin Dr. Mahathir yang dikenali sebagai Kerajaan Pakatan Harapan` tumbang dan diganti oleh Pakatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai dari awal Mac 2020. Ertinya bukan saja pada 2020 itu tidak dapat direalisasikan Wawasan 2020. Ianya dapat dikatakan sebagai `Penyimpangan` dari visi dan misi yang diasaskan sejak dari zaman pemerintahan Mahathir bagi penggal pertama, tetapi bersama gagalnya Wawasan 2020, ialah gagalnya visi dan misi Pakatan Harapan.

Sebenarnya penyimpangan dari perancangan normal, banyak berlaku pada 2020. Dilihat dari segi politik kerajaan PH yang dilihat sebagai teguh dengan majoriti yang kukuh  adalah satu penyimpangan bagi sejarah politik negara yang di luar jangkaan. Sekarang adalah dilihat pertarungan berlaku dari segi politik antara PN dan PH bagi menguasai politik negara. Dalam pertarungan ini belum dapat dipastikan apakah penyimpangan yang mungkin berlaku yang akan menjajarkan politik negara.

Satu peristiwa besar yang meletakkan bukan sahaja negara kita di dalam kegawatan, bahkan dunia secara Global di dalam kegawatan, iaiah berlakunya wabak pandemik  yang bermulanya dari Wuhan di negara China, sejak akhir 2019. Adalah di luar dari jangkaan dunia Covid-19, sebagai musuh yang tidak nampak ini merebak ke seluruh dunia, tanpa mengira bangsa maju atau mundur , miskin atau kaya. Bahkan negara-negara kaya seperti Amerika, negara-negara UE di Eropah adalah negara-negara yang teruk mengalami wabak berkenaan. Kini lebih dari dua juta setengah penduduk dunia mengalami kematian dengan Amerika mengalami kematian lebih dari setengah juta jiwa, diikuti dengan Brazil, India, Rusia, UK, Perancis, Italy, Spain, Turkey dan Germany. Malaysia tidak terkecuali dari mengalami wabak berkenaan dan terakhir jumlah kematian ialah 1,210 (+ 4).

Wabak Covid-19 adalah benar-benar penyimpangan dari normal kehidupan dunia. Akibat dari kebimbangan yang dihadapi secara global ini, menggerak dunia bekerjasama secara global bagi menghapuskan Covid-19 ini. Sejak dari awal Covid-19 ini disedari,maka berbagai-bagai negara, terutama negara-negara maju menghasilkan  Pfizer dari Amerika dan German, Astra Zanica di UK dihasilkan dengan kerjasama Universiti Oxford, Cinovax dihasilkan oleh China, Sputnik 5 dihasilkan oleh Rusia dan terakhir ialah jenama Johnson and Johnson yang dihasilkan  di Amerika.

Walaupun peluang menmghasilkan vaksin akan mendapat pulangan ekonomi, tetapi semua pihak menyedari bahawa Covid-19 tidak dapat dihapuskan tanpa kerjasama secara global. Ertinya jika sebahagian negara saja divaksin, maka keselamatan negara yang divaksin tidak terjamin, dijangkiti dari negara yang tidak divaksin, lantaran itu kempen pada peringkat dunia di bawah pimpinan Bangsa Bersatu  dilakukan bagi memvaksinkan seluruh dunia. Antara negara kaya menghantar bantuan vaksin kepada negara miskin secara percuma.

Amalan sedemikian dilakukan dinegara kita,  penggunaan vaksin dilakukan sejak akhir Februari 2021 melibatkan semua rakyat jelata dan setiap rakyat dan bukan warganegera juga diberi vaksin secara percuma. Kerjasama pada peringkat global ini adalah merupakan kesedaran tinggi kemanusiaan yang dipimpin oleh Bangsa Bersatu dan kerja ini adalagh berterusan sehinggalah  Covid-19 dapat dihapuskan. Kini trend ke arah penurunan kes Covid-19 mulai berlaku dan memperlihatkan kejayaan. Semoga keamanan dari ancaman penyakit global dapat dikembalikan dan manusia diharap kembali hidup normal.

Penyimpangan dari normal berlaku di dalam berbagai bidang dan anjakan terpaksa dilakukan menyimpang dari kebiasaan. Ini juga sedang dihadapi manusia secara global.

Sekian.

March 16, 2021

 

PERBINCANGAN KERJASAMA

(Fikrah Bangi: 886).

BBB: 02 Sha`ban 1442H. = 16 Mac 2021M. (Selasa).

Perbincangan antara Nazir dan AJK Masjid dengan Puan Hidayah Ramli selaku Ahli MPKj dan pegawai-pegawainya yang hadir bersama pada pagi Juma`at 5 Mac 2021 bertempat di Warung Masjid Al-Umm adalah berkisar kepada dua perkara penting, iaitu menaiktaraf kawasan warung dengan memperbaiki kerosakan dan menjaga kebersihan serta memajukan peniaga-peniaga dan kedua ialah kerjasama dengan MPKj bagi menaiktaraf dari segi landscaping dan taman di dalam kawasan Masjid Al-Umm dan di luar dari kawasan dalaman..

Terdahulu  ketika mempengerusikan mesyuarat Nazir mengucapkan terima kasih di atas respond pihak Ahli MPKj yang datang ke mesyuarat dan juga wakil-wakil dari peniaga. Menurut Pengerusi,  Masjid Al-Umm adalah sebuah masjid yang dianggap menarik dan tercantik, kalau pun tidak di seluruh Selangor, sekurang-kurangnya di Hulu Langat, maka pihak AJK, tidak mau masjid hanya cantik dari segi bangunan, tetapi perlu juga menarik dari segi persekitaran. Pihak masjid berpendapat dengan pihak masjid menyewa 3 unit warung di Medan Usahawan yang amat dekat dengan masjid dapat pihak masjid bekerjasama dengan MPKj dan peniaga-peniaga menjaga kawasan sekitaran dari segi kebersihan, memperbaiki kerosakan dan penaiktarafan kawasan.

Bagi masjid perlu kepada nasihat MPKj dari segi susunatur hiasan taman, penghijauan dan penanaman pokok-pokok hiasan di luar kawasan masjid dan menaikkan papan tanda ke arah masjid dari berbagai-bagai arah. Manakala bagi kawasan warung perlu kepada pembaikan kerosakan, kebersihan kawasan, mengecat bangunan, membersih dari kereta-kereta rosak yang ditinggalkan di sekitar Medan Usahawan. Selain daripada itu diharap pihak MPKj tidak hanya memberi sewa warung yang sebanyak  28 petak itu, sedang penyewanya tidak memajukannya, sebaliknya dengan menjadikannya tempat stor barangan sahaja, lantaran sewanya murah. Mereka hendaklah dipaksa untuk berniaga. Pihak MPKj juga diharap dapat membantu peniaga-peniaga memajukan peniaga-peniaga. Menurut En Juahirni Wakil Peniaga,  pihak Peniaga mau kenal pasti peniaga-peniaga dan mudah untuk kerjasama. Senarai lengkap diharap dapat disediakan oleh MPK bagi kerjasama dan berbagai kebajikan yang dapat dilakukan..

Menurut Puan Hidayah Ahli MPKj, beliau amat berterima kasih kerana dijemput ke mesyuarat dengan demikian dapat berkenalan dengan AJK Masjid dan juga peniaga-peniaga  Warung Medan Usahawan.

Beliau memaklumkan pihak MPKj mempunyai perancangan bagi menaikkan taraf kawasan Pasar  berdekatan masjid hingga kawasan perniagaan Seksyen 16. Beliau menyebut secara spesifik pihak MPKj memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta ringgit bagi memperbaiki jalan ke terowong dari  Jalan Masjid-Sekolah. Beliau berharap penaikan taraf  bagi kawasan luar masjid dapat disertakan bersama dengan pembaikan jalan ke kawasan terowong.

Dalam perbincangan beliau mengambil perhatian tentang kerosakan-kerosakan  infra-struktur di Medan Usahawan dan berusaha untuk mengecatnya. Beliau juga bersetuju pihakpenyewa hendaklah diberi tempoh tertentu agar berniaga, kalau tidak kebenaran menyewa akan ditarik balik. Pihak MPKj juga akan mempastikan sampah dan kotoran yang terdapat di sekitar Medan Usahawa akan diambil tindakan membersihkannya.

Pihak MPKj, melalui wakilnya,iaitu Encik Zulkarnain bahagian landscape bersedia bekerjasama  memberi nasihat kepada pihak masjid mengenai jenis pokok dan  hiasan yang baik bagi masjid. Beliau mencadangkan agar masjid menggunakan kaedah saliran air bagi  pokok-pokok agar tidak keurangan air siraman dan kekeringan. Saluran air ini diintegrasikan dengan cadangan masjid untuk mewujudan taman mini yang mempunyai pancutan air bagi meningkatkan taman dan hiasan masjid.

Bagi kawasan  luar, terutama penanaman pokok di bawah rentasan  TNB pihak MPKj  akan menanamkan hiasan pokok  yang bersesuaian selari dengan pembaikan jalan ke terowong.

Adapun  jalan masuk ke masjid akan dipilih pokok hiasan yang bersesuaian. Pihak masjid memohon dari pihak MPKj membekalkan pokok-pokok yang bersesuaian bagi ditanam di ruang bertingkat dari masjid turun ke kawasan warung.

 

Pihak  masjid, peniaga-peniaga warung dan MPKj akan terus bekerjasama seterusnya bagi memajukan kawasan masjid, warung dan sekitaran.

Perbincangan dapat memanfaatkan bagi semua pihak bagi memajukan BBB,khususnya Zon 17 di bawah jagaan Puan Hidayah selaku Ahli MPKj.

Sekian.

March 15, 2021

 

 

                     MAKLUMAN

Al-Salamu `Alaykum  Wmt.  Wbrt.

Dimaklumkan ruangan  ini dihentikan seminggu,

Kerana pada petang Isnin 8.3.2021 lepas saya  mengalami  serangan jantung.

Pada jam 6.00 petang hari itu dimasukkan ke Hospital Serdang.

Setelah dua hari menjalani ujian didapati negatif daripada Covid-19, maka pada petang Rabu 10.3.2021 operasi membuka saluran jantung tersumbat dilakukan  secara teknik  ingiogram. Tempoh operasi dari jam 4.00-6.00 petang.  Al-Hamdulillah selamat.

Operasi kali ini tertumpu pada saluran satu yang tersumbat 90%. Untuk saluran dua yang tersumbat 75% insya Allah akan dilakukan pada 14.4.2021. Manakala saluran ketiga yang tersumbat 50%  secara makan ubat.

Insya Allah saya akan terus menulis.

Terima  kasih.

March 8, 2021

 

KERJASAMA  MASJID  AL-UMM  DENGAN  MPKj

(Fikrah Bangi: 884),

BBB:  24 Rejab 1442H. = 08 Mac 2021M. (Isnin).

Pihak Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi telah menerima tawaran pihak MPKj menyewa tiga unit (No. 1, 2 & 3 - bersambung) warung Medan Usahawan, Seksyen 1, berhadapan Masjid Al-Umm. Tawaran bertarikh 31 Januari 2021 itu diterima oleh pihak Masjid dan menguruskan segala bayaran berkenaan.

Ada beberapa tujuan penyewaan berkenaan.

1)    Menjadikan warung sebagai `Pusat Aktiviti (Luar) Masjid Al-Umm` seperti bagi menyalurkan kegiatan kebajikan, pendidikan, hubungan dengan peniaga-peniaga warung serta masyarakat  dan menyewakannya untuk mesyuarat, tuisyen, jualan dan promosi barang-barang.

2)    Oleh kerana warung-warung berkenaan (28 warung) betul-betul berhadapan dan berdekatan dengan masjid, maka ianya memberi kesan dari segi kebersihan, landscaping, alam sekitar dan budaya kemasyarakatan dan niai setempat.

3)    Dengan menyewa tiga unit – terbanyak penyewaan berbanding dengan penyewa-penyewa yang lain, maka ianya adalah menjadi saluran bagi pihak Masjid dengan pihak MPKj bekerjasama bagi memperbaiki kekurangan dan menaiktaraf warung-warung dan kawasan sekitar, termasuk bagi kawasan Masjid Al-Umm.

Sebaik maklumat mendapat tawaran  pihak Masjid telah mengadakan dua mesyuarat permulaan, iaitu pada 21 Januari (maklumat tidak rasmi)  dan 10 Februari 2021. Mesyuarat pertama menilai kerosakan pada warung-warung yang ditawarkan dan penambahan keperluan seperti  memasang dua unit air-cond. menggantikan tempat yang dikosongkan oleh penyewa dahulu, membeli mangga-mangga  untuk keselamatan dan pembersihan yang perlu dilakukan.

Mesyuarat kedua ialah melaporkan pembaikan dan pembersihan yang telah dilakukan yang memakan kos pembaikan sahaja ialah RM2,200/= dan pengisian ruang dengan kerusi-kerusi, meja dan barang-barang perlu disimpan di dalam ruang penyimpanan.

Setelah semua dibaiki dan sesuai dijadikan tempat pertemuan,maka diadakan mesyuarat penting – Mesyuarat bagi kali Ke 3 yang melibatkan pihak Ahli MPKj bagi  Zon 17, termasuk di bawahnya Masjid Al-Umm, Warung Medan Usahawan, kawasan Pasar  dan Seksyen Satu hinggalah kepada kawasan Seksyen 16. Wakil Ahli MPKj bagi zon tersebut ialah Puan Rozeeta @ Hidayah Binti Ramli dan empat wakil dari MPKj yang datang bersama Puan Hidayah, iaitu:

Puan A`ida bahagian Pentadbiran, En. Farizul bahagian Harta dan En. Zulkarnain bahagian Landscaping yang semuanya di bawah MPKj. Turut sama hadir atas jemputan ialah En. Juahirni Nazar dan seorang sahabatnya selaku wakil bagi penyewa-penyewa warung.

Manakala pihak Masjid al-Umm diwakili oleh Nazirnya Dr. Haji Shafie bin Abu Bakar, Tuan Haji Nadzri bin Daud Bendahari Masjid al-Umm, Dato` Dr. Mohd Wahid bin Samsudin yang mengetuai Biro Kebersihan, Hajah Kamarian bt. Mohd Yusof yang mengetuai Biro Kebajikan, Haji Azni bin Osman Timbalan bagi Biro Kebajikan, Ir. Haji Ishak bin Arshad - Ketua Biro Pembangunan , Che` Khadijah bt. Imam Supaat Ketua bahagian Beliawanis, Encik Tompang bin Jamal Technician.

Mereka semua adalah mewakili bidang-bidang yang ada hubungan dengan masjid dan warung.

Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm mau meningkat dan menaiktaraf kawasan  masjid, warung, pasar dan seksyen Satu dari segi imejnya yang selama ini dianggap sebagai  `Old Town` di Bandar Baru Bangi.

 Kawasan ini sebagai namanya `Seksyen Satu` adalah kawasan terawal dibangun di Bandar Baru Bangi. Pada awal pembangunan Bandar Baru Bangi pada tahun 1977 hingga 1 akhir 1980an, maka tempat ini adalah tempat yang termaju di Bandar Baru Bangi, kerana tiada seksyen lain membangun sepertinya. Pada peringkat awal  di warung inilah menjadi tempat pertemuan dan makan-makan, terutama bagi pelajar-pelajar UKM berihat dari belajar dan makan-makan di tempat ini, terutama  pada waktu malam. Tempat ini menjadikannya  hidup dengan adanya sekolah rendah dan menengah tidak jauh dari kawasan masjid dan warung.

Tetapi selepas 1990an selepas terbukanya seksyen-seksyen yang lain seperti Seksyen 16 dan Seksyen Empat tambahan, maka daya tarikan kepada Seksyen Satu,khususnya ke warung ini makin berkurang, bahkan sebagai mati, walaupun cuba dihidupkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan menjenamakan tempat ini sebagai `Medan Usahawan`.

Pendek kata siapnya pembangunan fizikal Masjid Al-Umm pada tahun 2018, Medan Usahawan sudah mati. Yang segikit  menghidupkan kawasan ini hanyalah kerana ada pasar basah yang beroperasi hanya pada sebelah pagi.

Misi Masjid Al-Umm dengan kerjasama MPKj dan peniaga-peniaga yang mulai dipulihkan pada awal tahun 2021 ini  (tawaran baru bagi peniaga) bagi membaikpulih, menghidup dan menceriakan kawasan ini bersama wujudnya Masjid al-Umm.

Sekian.

March 7, 2021

 

PERPECAHAN:  PENJAJARAN BARU POLITIK ?

(Fikrah Bangi: 883).

BBB:  23 Rejab 1442H. = 07 Mac 2021M. (Ahad).

Pendapat yang dikemukakan oleh saudara Ahmad Murtadha dari UUM dan saudara Mujibu Abdul Muis dari UITM bahawa terdapat dua kumpulan di dalam Umno, iaitu satu kumpulan mau kerjasama Umno dengan  Bersatu dalam PN diteruskan, manakala satu lagi ialah kumpulan yang mau memutuskan kerjasama dengan Bersatu selepas bubarnya parlimen. Jelas bibit-bibit perpecahan  mulai terdapat di dalam Umno.

Penangguhan kerjasama sehingga bubarnya parlimen mungkin dapat menyekat dari perpecahan dari segera menjadi ketara. Jika tidak mereka yang berasal dari Umno terpaksa meletakkan jawatan dari kabinet dan menjadi kacau dan mungkin perpecahan lebih ketara, kerana kemungkinan ada yang enggan dari meletakkan jawatan atau mungkin sanggup berpeindah kepada Bersatu atau parti yang lain di dalam PN. Walau bagaimana di dalam keadaan sekarang, sudah ada yang tidak berpuashati dan membuat perhitungan.

Walau bagaimana, jika situasi sekarang dapat dikekalkan sudah tentu ada perkiraan ahli-ahli menjelang pembubaran parlimen. Kita kira sebahagian besar dari  mereka yang telah diberi kedudukan dan melihat bahawa potensi PN akan lebih baik bila tibanya masa pilihanraya sudah membuat pendirian akan berada di dalam PN dan sanggup menghadapi risiko dipecat dengan adanya jaminan mereka akan terus diberi tempat untuk bertanding. Kumpulan ini akan berterusan dengan mengukuhkan kedudukan PN dan  peribadi. Risiko yang akan dihadapi, bahawa mereka tidak dibenarkan bertanding atas kawasan yang dimenangi atas tiket UM+BN. Di dalam hal ini,jika tidak ada kawasan alternatif, maka akan berlaku pertandingan lebih dari satu lawan satu.

Satu kumpulan lagi ialah mereka yang menurut hasrat sebahagian pimpinan  Umno memutuskan kerjasama  dengan Bersatu. Sebagaimana sering diperkatakan, mana-mana parti yang bertanding secara bersendirian – maksud dengan BN, maka sukar untuk mendapat kemenangan majoriti. Jadi Umno akan, bahkan mungkin sudah dibuat pilihan, maka kerjasama yang paling dekat ialah dengan PKR. Dari segi perhitungan dengan kerjasama dengan PKR ditambah dengan Amanah, mereka akan mendapat majoriti undi Melayu dan bumiputra.

Tetapi perlu diingat bahawa satu komponen utama di dalam PH ialah Dap. Belum pernah sebelum ini ada kerjasama antara Umno dan Dap. Kerjasama Umno dengan Dap akan mengundang penolakan sebahagian besar pengundi Melayu-Bumiputra terhadap gabungan Umno dengan PH atau jenama baru yang diberi. Dengan kerjasama dengan PH yang di dalamnya ada Amanah, maka adalah diharapkan bahawa Amanah mengambil tanggungjawab  menarik pengundi yang kuat dengan Islam. Ertinya ianya memainkan peranan seperti Pas di dalam PN. Amanah sebenarnya tidak mampu mengambil peranan Pas. Amanah tidak mampu mendapat pengaruh di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan kawasan-kawasan yang kuat dengan pengaruh Islam seperti Pas.

Kerjasama dengan PKR, membawa jajaran baru politik yang disertai oleh sebahagian dari pendukung yang mau bekerjasama dengan PKR. Dalam keadaan sedemikian Umno kehilangan sebahagian besar dari pengundi Melayu yang mendukungnya sebelumnya. Umno juga akan kehilangan undi Pas yang  bekerjasama dengannya di dalam PN. Kekuatan PH adalah dari dokongan solid dari kalangan orang-orang Cina terhadap Dap. Perlu diingat dengan menyeberang kepada PKR, Umno sebenarnya mengabaikan peranan parti komponannya, iaitu MCA yang kehilangan fungsi dan tenggelam di bawah pengaruh Dap. Bagi MCA  adalah lebih baik kedudukan bersama BN di dalam PN. Keadaan yang sama dilihat bagi MIC.

Dengan andaian bahawa Umno akan bekerjasama dengan PKR, maka tugas parti-parti komponan di dalam PN ialah memberi tumpuan kepada menguasai kerusi-kerusi yang dipegang oleh Umno sebelum ini. Di dalam hal ini tidak dapat ditolak kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru atau lebih dari itu. Apakah slogan yang akan dibawa oleh Umno ? Adakah bertujuan menyatukan orang Melayu melalui PKR dan Amanah ? Slogan ini sebenarnya tidak tepat dan tidak releven, lantaran ianya bersama Dap,  Umno baesama PKR dan Dap adalah dilihat buan lagi sebagai parti dominan dan terpaksa merendahkan suara menurut rentak dan kehendak PKR dan Dap yang bersifat multi-rasial dan tiada membedakan kedudukan dari segi kaum dan agama. Sebenarnya dengan menyertai PH (atau nama lain yang diubah), tiada peluang bagi Umno memegang tampuk pemerintahan. Bermaksud jawatan Perdana Menteri tidak dapat dipegang oleh Umno. Mereka tidak boleh mengatasi Ketua PKR yang dilihat mendominan di dalam PH.

Apa yang dijangkakan bahawa kepimpinan kerajaan, jika melalui PN, maka sebagaimana  telah ditegaskan, termasuk oleh Pas mereka menyokong jawatan Perdana Menteri diteruskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi andainya Umno bersama dengan komponan baru dan jajaran  baru  politik, dan jika mereka menang maka jawatan Perdana Menteri adalah dijangka dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan keadaan sedemikian kedudukan Umno, tidak lebih baik dari beradanya di dalam PN. Parti-parti lain dalam jajaran  baru disertai Umno tidak akan menyerah kepada Umno memiliki majoriti kerusi. Umno dengan keadaannya seperti sekarang tidak akan menjadi lebih baik di dalam penjajaran politik baru yang mau disertainya dan belum pasti mendapat sokongan akar umbi parti dan rakyat majoriti.

Sekian.