March 16, 2021

 

PERBINCANGAN KERJASAMA

(Fikrah Bangi: 886).

BBB: 02 Sha`ban 1442H. = 16 Mac 2021M. (Selasa).

Perbincangan antara Nazir dan AJK Masjid dengan Puan Hidayah Ramli selaku Ahli MPKj dan pegawai-pegawainya yang hadir bersama pada pagi Juma`at 5 Mac 2021 bertempat di Warung Masjid Al-Umm adalah berkisar kepada dua perkara penting, iaitu menaiktaraf kawasan warung dengan memperbaiki kerosakan dan menjaga kebersihan serta memajukan peniaga-peniaga dan kedua ialah kerjasama dengan MPKj bagi menaiktaraf dari segi landscaping dan taman di dalam kawasan Masjid Al-Umm dan di luar dari kawasan dalaman..

Terdahulu  ketika mempengerusikan mesyuarat Nazir mengucapkan terima kasih di atas respond pihak Ahli MPKj yang datang ke mesyuarat dan juga wakil-wakil dari peniaga. Menurut Pengerusi,  Masjid Al-Umm adalah sebuah masjid yang dianggap menarik dan tercantik, kalau pun tidak di seluruh Selangor, sekurang-kurangnya di Hulu Langat, maka pihak AJK, tidak mau masjid hanya cantik dari segi bangunan, tetapi perlu juga menarik dari segi persekitaran. Pihak masjid berpendapat dengan pihak masjid menyewa 3 unit warung di Medan Usahawan yang amat dekat dengan masjid dapat pihak masjid bekerjasama dengan MPKj dan peniaga-peniaga menjaga kawasan sekitaran dari segi kebersihan, memperbaiki kerosakan dan penaiktarafan kawasan.

Bagi masjid perlu kepada nasihat MPKj dari segi susunatur hiasan taman, penghijauan dan penanaman pokok-pokok hiasan di luar kawasan masjid dan menaikkan papan tanda ke arah masjid dari berbagai-bagai arah. Manakala bagi kawasan warung perlu kepada pembaikan kerosakan, kebersihan kawasan, mengecat bangunan, membersih dari kereta-kereta rosak yang ditinggalkan di sekitar Medan Usahawan. Selain daripada itu diharap pihak MPKj tidak hanya memberi sewa warung yang sebanyak  28 petak itu, sedang penyewanya tidak memajukannya, sebaliknya dengan menjadikannya tempat stor barangan sahaja, lantaran sewanya murah. Mereka hendaklah dipaksa untuk berniaga. Pihak MPKj juga diharap dapat membantu peniaga-peniaga memajukan peniaga-peniaga. Menurut En Juahirni Wakil Peniaga,  pihak Peniaga mau kenal pasti peniaga-peniaga dan mudah untuk kerjasama. Senarai lengkap diharap dapat disediakan oleh MPK bagi kerjasama dan berbagai kebajikan yang dapat dilakukan..

Menurut Puan Hidayah Ahli MPKj, beliau amat berterima kasih kerana dijemput ke mesyuarat dengan demikian dapat berkenalan dengan AJK Masjid dan juga peniaga-peniaga  Warung Medan Usahawan.

Beliau memaklumkan pihak MPKj mempunyai perancangan bagi menaikkan taraf kawasan Pasar  berdekatan masjid hingga kawasan perniagaan Seksyen 16. Beliau menyebut secara spesifik pihak MPKj memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta ringgit bagi memperbaiki jalan ke terowong dari  Jalan Masjid-Sekolah. Beliau berharap penaikan taraf  bagi kawasan luar masjid dapat disertakan bersama dengan pembaikan jalan ke kawasan terowong.

Dalam perbincangan beliau mengambil perhatian tentang kerosakan-kerosakan  infra-struktur di Medan Usahawan dan berusaha untuk mengecatnya. Beliau juga bersetuju pihakpenyewa hendaklah diberi tempoh tertentu agar berniaga, kalau tidak kebenaran menyewa akan ditarik balik. Pihak MPKj juga akan mempastikan sampah dan kotoran yang terdapat di sekitar Medan Usahawa akan diambil tindakan membersihkannya.

Pihak MPKj, melalui wakilnya,iaitu Encik Zulkarnain bahagian landscape bersedia bekerjasama  memberi nasihat kepada pihak masjid mengenai jenis pokok dan  hiasan yang baik bagi masjid. Beliau mencadangkan agar masjid menggunakan kaedah saliran air bagi  pokok-pokok agar tidak keurangan air siraman dan kekeringan. Saluran air ini diintegrasikan dengan cadangan masjid untuk mewujudan taman mini yang mempunyai pancutan air bagi meningkatkan taman dan hiasan masjid.

Bagi kawasan  luar, terutama penanaman pokok di bawah rentasan  TNB pihak MPKj  akan menanamkan hiasan pokok  yang bersesuaian selari dengan pembaikan jalan ke terowong.

Adapun  jalan masuk ke masjid akan dipilih pokok hiasan yang bersesuaian. Pihak masjid memohon dari pihak MPKj membekalkan pokok-pokok yang bersesuaian bagi ditanam di ruang bertingkat dari masjid turun ke kawasan warung.

 

Pihak  masjid, peniaga-peniaga warung dan MPKj akan terus bekerjasama seterusnya bagi memajukan kawasan masjid, warung dan sekitaran.

Perbincangan dapat memanfaatkan bagi semua pihak bagi memajukan BBB,khususnya Zon 17 di bawah jagaan Puan Hidayah selaku Ahli MPKj.

Sekian.

No comments:

Post a Comment