March 18, 2021

 

DI KEJAUHAN  PINGGIR  2020

(Fikrah Bangi: 888),

BBB:  04 Sha`ban 1442H. =  18 Mac 2021M. (Khamis).

 Ketika slogan 2020 begitu popular dibicarakan sekitar 2000, mengukurnya dengan diri yang ketika itu sudah berusia 58 tahun, walaupun relatifnya masih muda, tetapi untuk sampai kepada 2020, maka usia akan meningkat 78 tahun. Penulis sendiri menjangka kemungkinan tidak akan sampai kepada tahun 2020 yang diwawasankan. Ketibaan kepada masa itu dilihat begitu jauh. Umur 78 adalah dilihat begitu larut dan untuk sampai ke usia ini, kebanyakan sudah kembali ke rahmatullah sebelumnya !

Bahkan ketika Penulis berusia lebih dari 51 tahun dan berbaki 4 tahun lagi untuk bersara (umur bersara pada masa itu ialah 55 tahun), Penulis sendiri merasakan bahawa Penulis pada masa itu sebenarnya adalah seorang tua.

Ketika menghadiri Kursus Pemeriksaan Kertas STPM di Merlin Hotel. Pada 9 Jun 1993 yang dirasmikan oleh Dato` Abu Bakar Barakbah Pengarah Pemeriksaan STPM pada masa itu, Penulis merakamkan sebuah puisi mencerminkan pandangan terhadap diri pada masa itu (sudah tua). Puisi adalah berjudul:

SEORANG  TUA  DI JENDELA USIA

Lembutnya hari

Ketika senja merapatkan diri

Ke teluknya

Seorang tua

Menjengahkan dirinya

Di jendela usia

Yang makin luntur

Rindu menggoris kalbu

Ingatan pada yang dikasihi

Inginnya menangguh hidup ini

Tapi mentari usianya

Tidak mungkin terbit kembali

Di pagi hari

Segalanya hanyut dalam kenangan

Berlarian

Perlahan tangan tuanya

Merapatkan daun jendela

Dan merah di kaki senja

Makin kelabu

Menenggelamkan

Sebuah perjalanan.

Pulau Pinang,

9 Jun 1993.

(Shafie Abu Bakar, Puncak Rindu, Galeri Bangi Bandar Ilmu, 2013: 15).

 

Penulis tidak pesimis terhadap hidup dan ada harapan jika masa ditangguhkan dan penilis terus hidup dan meneruskan kegiatan. Walau bagaimana masa terus bergerak dan tiada sebarang penangguhan dan siapa yang lewat dan tidak terus bergerak dengan pergerakan masa dia akan ketinggalan.

 

Pada masa ini dapat dikatakan bahawa Penulis seorang yang setia dengan situasi semasa, melakukan tugas-tugas rutin yang diamanahkan. Antara tugas-tugas utama ialah selaku pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Panel Hadiah Sastera Malaysia (1979-1999), Ketua Pemeriksa Kertas Sastera  STPM ( - sehingga 1999).

Sungguhpun situasi poliik tanah air mulai berkocak, tetapi tiada ketara kesan politik semasa pada masa itu mempengaruhi Penulis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment