March 2, 2021

 

MASALAH  DALAMAN ANCAMAN PERLU DISELESAIKAN

(Fikrah Bangi:  878),

BBB:  18 Rejab 1442H. = 02 Mac 2021M. (Selasa).

Selepas setahun pentadbiran PN di bawah tadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas insya Allah makin berkurangnya wabak Covid-19 dengan adanya berbagai vaksin dihasilkan bagi memberi ketahanan warga  negara ini dan juga warga dunia, maka apakah yang akan dihadapi negara, khususnya kepimpinan politik sama ada dari pihak pemerintah, maupun dari pihak pembangkang, ialah menghadapi pilihanraya yang ke 15. Pihak pembangkang memang mendesaknya berterusan sejak dari awal kenaikan pihak PN. Pihak pemerintah, khusuisnya PM dalam ucapannya sempena setahun pemerintahan yang disifatkan sebagai `Kerajaan Prihatin`  mengisyaratkan, bahawa selepas redanya wabak Covid-19, maka pihak kerajaan akan mendapatkan mandat dari rakyat bagi meneruskan pemerintahan, jika terpilih atau sebaliknya. Tempoh darurat  (hingga Ogos 2021) tidak menjadi halangan dari diadakan pilihanraya. Tempoh penggal pilihanraya ke 14  (2018-2022) masih panjang, tetapi pihak pemerintah tidak mau situasi politik tidak kukuh berterusan. Mandat baru yang lebih kukuh diperlukan.

Semua pihak termasuk pihak kerajaan yang memerintah haruslah dengan penuh kesedaran dari sekarang  membuat persediaan bagi menghadapi pilihanraya ke 15. Ucapan Perdana Menteri sempena setahun memerintah adalah menggariskan plan tindakan yang akan diambil bagi menghadapi pilihanraya.

Antaranya meneruskan strategi pengawalan terhadap wabak Covid, bahkan menghapuskannya. Dalam masa rakyat tertekan dan ramai yang kehilangan pekerjaan, maka antara janji yang diharapkan, dapat dibasmikan kemiskinan yang antaranya diakibatkan oleh Covid-19,  Bahawa mereka yang hilang pekerjaan dan yang bakal masuk ke pasaran pekerjaan akan mendapat peluang kerja, menyediakan peluang dari bidang ekonomi digital. Rakyat juga memerlukan jaminan dari segi keselamatan dan kesihatan. Mereka juga mengharapkan Rancangan  Malaysia yang ke 12 dapat memulihkan ekonomi negara bersama dengan pemulihan ekonomi global.

Apa yang penting ialah organisasi yang berhasrat meneruskan pemerintahan mestilah bersifat padu bersatu. Apakah ini berlaku di dalam PN yang mau mempertahankan kedudukan ?

Tidak dapat dinafikan ada masalah yang perlu diselesaikan di dalam PN. PN termasuk Sabah adalah dianggotai oleh Umno (BN), Bersatu, Pas, GPS dari Sarawak. Mereka berdepan dengan lawan dari PH yang terdiri dari PKR, DAP dan Amanah.

Masalah dalaman yang dihadapi oleh PN, ialah Umno yang merasa dirinya sebagai `Big Brother` yang sebelum 2018 mendominasai pemerintahan negara. Walaupun kalah dalam pilihanraya ke 14, tetapi Umno mempunyai kerusi yang banyak (42 BN)  berbanding dengan Bersatu (22) yang mengetuai pemerintahan pada peringkat parlimen dan negeri. Umno merasa lebih kuat dengan kemenangannya di dalam beberapa pilihanraya kecil pada akhir 2019 dan awal 2020. Walaupun Umno menyertai pemerintahan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada peringkat pusat dan juga diketuai oleh pihak Bersatu pada  peringkat  beberapa negeri membawa rasa tidak puashati pihak Umno. Tidak seperti Pas dan parti-parti lain di dalam PN, Umno dalam tindak tanduknya menunjukkan rasa tidak puashati. Sebagai menunjukkan protes, mereka mau jawatan-jawatan yang lebih banyak sebagai mencerminkan kekuatannya di dalam PN. Kadangkala  tindakannya membayangkan  mau mewujudkan pakatan pihak lawan yang menjadi tandatanya, bukan saja dari PN, tetapi bagi rakyat. Pergolakan yang membawa perubahan pucuk pimpinan peringkat negeri seperti  di Johor, Melaka dan Perak memperlihatkan pihak Umno memperlihatkan kekuasaan.

Ungkapan yang menyatakan bahawa Umno tidak akan menyertai pilihanraya bersama Bersatu,  dan Umno tidak akan menyerahkan sebarang kerusi yang dimenangi sebelum ini secara terbuka memperlihatkan tidak ada rundingan secara tertutup yang seharusnya perkara-perkara yang memperlihatkan perpecahan di dalam PN tidak sampai terkeluar secara terbuka kepada orang ramai.

Walau bagaimana  pertanda perpecahan ini sudah menunjukkan sedikit terkawal. Walau bagaimana isu berkenaan bukan  bererti telah dapat diselesaikan sepenuhnya. Kita tidak melihat isu tidakpuas hati berlaku di dalam Bersatu, Pas dan GPS.  Mungkin ada tetapi tidak sampai  terkeluar secara terbuka kepada orang ramai.

Umno harus ingat situasi selepas Covid-19 adalah berbeza dari sebelumnya, sokongan mungkin berubah dengan kejayaan mengendalikan pemerintahan oleh pemerintah kini. Apa lagi dengan masalah yang dihadapi oleh beberapa kepimpinan tertinggi Umno. Jika Umno dilihat tidak setia dan mengugut untuk bertanding secara sendirian, mungkin hukuman yang akan diberi oleh rakyat lebeh teruk dari keputusan pilihanraya ke 14.

Perpaduan dan kesetiaan lebih penting dijaga di dalam persediaan dan rundingan  menghadapi pilihanraya ke 15.

Sekian.

No comments:

Post a Comment