June 3, 2009

Perhimpunan Nazir Peringkat Hulu Langat-Serdang


Kajang: 9 J. Akhir 1430=3 Jun 2009: Mulai awal Jun pentadbiran masjid-masjid di Negeri Selangor mulai diambilalih oleh pentadbiran baru. Masjid-masjid diarah oleh JAIS mengadakan acara timbang-terima tugas dari AJK lama kepada AJK Baru dalam tempoh dua minggu. Pagi ini pihak Pejabat Agama Daerah Hulu Langat mengadakan pertemuan nazir-nazir Hulu Langat -Serdang bertempat di Dewan Orang Ramai Kajang dan dihadiri lebih kurang 120 nazir, penghulu dan ketua kampong. Dalam pertemuan ini ADUN Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu, YB Dr. Che Rusli Che Mat selaku Ahli Parlimen Hulu Langat dan Haji Mohd Amin selaku Pentadbir PAID Hulu Langat menyampaikan ucapan masing-masing. Perkara yang ditekankan bahawa Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian terhadap perkembangan agama Islam di negeri Selangor. Banyak peruntukan diberi bagi mendirikan masjid, surau dan sekolah agama. Tahniah kepada nazir-nazir yang dilantik dan terima kasih kepada nazir-nazir yang telah memberi khidmat sebelumnya. Perlantikan adalah satu amanah, nazir selaku pentadbir hendaklah berusaha memakmurkan masjid. Jadikan masjid, bukan semata-mata sebagai tempat beribadat, tetapi juga sebagai tempat kegiatan masyarakat seperti sambutan-sambutan keagamaan contoh hariraya, maulid ar-Rasul, sambutan Awal Hijrah dan sebagainya. Masjid juga seharusnya menjadi sumber ilmu bagi penduduk setempat, bimbingan remaja seperti mengadakan tuisyen, bimbingan agama, sukan dan lain-lain. Melalui masjid dan surau diharap dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan aman damai.

No comments:

Post a Comment