July 20, 2010

Impi Menjadi Realiti: Mereka Ceria Bergotong Royong

Taman Kajang Impian, BBB, 05 Syaaban = 17 Julai (Sabtu):


Taman Kajang Impian, Bandar Baru Bangi adalah taman baru dan paling mutakhir dihuni, iaitu sejak awal tahun 2010. Sebagai taman baru, penduduknya relatif muda-muda. Impi mereka berkeluarga dan hidup bahagia bersama anak-anak kecil menjadi realiti di Kajang Impian di sini. Pihak ADNS Bangi pertama kali turun ke Taman ini merasmikan Persatuan Penduduk dan penggunaan surau bagi penghuni di sini berikut dari perpindahan mereka di sini. Dalam pertemuan dan perbincangan penduduk memerlukan sebuah court badminton dan ADNS Bangi bersetuju memberi peruntukan dengan syarat pembinaan hendaklah secara gotong royong bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Jumlah peruntukan yang diluluskan ialah RM3000.


Pada hari ini kira-kira jam 11.00 pagi ADNS Bangi tiba ke perumahan Kajang Impian. Ramai dari penghuni turun bergotong royong. Menurut Saudara Khairul Pengerusi pembinaan court tersebut, "Kerja-kerja permulaan membersih tapak, telah dilakukan sedikit demi sedikit sejak beberapa hari yang lalu," tambahnya, "Puncak bagi gotong royong adalah hari ini dalam mana semua keperluan disediakan seperti berpuluh beg semin, pasir, batu krikil, besi jaring, cangkul, penyodok, dan kereta-kereta sorong." Menurutnya, "Mereka juga menyewa mesin penggaul semin, tetapi tak dapat digunakan, kerana mesin berkenaan rosak." Sebab itu menurutnya, "Kami membancuh semin secara manual."


Sememangnya semasa kami sampai kalangan pekerja lelaki sedang menggaul semin di dua tempat, sebahagian mengangkut semin yang digaul dengan kereta sorong dan meratakannya di tapak court badminton yang masa kami tiba separuh daripadanya sudah diratakan dengan simen. ADNS Bangi mengambil kesempatan sama menggaul simen, pasir dan krikil. Pada masa yang sama kaum wanita sebok bergotong royong memasak nasi bagi keperluan makan tengahari.


Sedang gotong royong rancak berlaku, tiba-tiba kehabisan pasir dan batu krikil. Saudara Khairul segera mengoderkan bekalan tambahan. Adalah dijangka kerja meratakan tapak yang berada dipertengahan perumahan itu akan siap pada sebelah petang. Walaupun begitu perataan simen dan pelicinan akan disambung pada hari lain.

Dengan gotong royong menyiapkan court badminton yang juga akan digunakan bagi sepak takraw dapat menyelamatkan perbelanjaan. Jika diupah kontrektor memerl;ukan peruntukan lebih dari lima ribu ringgit, tetapi dengan gotong royong dapat disempurnakan dengan kos RM3,000 sahaja.


Terbayang perasaan riang di kalangan pekerja-pekerja lelaki yang mudan-muda, termasuk anak-anak Sekolah, juga ceria terbayang pada wajah wanita-wanita – isteri pekerja-pekerja lelaki. Pekerja wanita menyediakan air dan makanan tengahari, manakala anak-anak kecil bermain berdekatan keriangan. Sesungguhnya bergotong royong mengeratkan hubungan di kalangan mereka. Berkat gotong royong kerja menjadi ringan dan kos dapat dikurangkan. Alhamdulillah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment