July 17, 2010

Pakatan Rakyat Berusaha Membawa Ketelusan: BN Enggan

Dewan Negeri Selangor, 03 Syaaban = 15 Julai (Khamis):

Usaha Pakatan Rakyat (PR) membawa ketelusan di dalam pentadbiran negeri Selangor terbukti nyata. Pendekatan-pendekatan yang dilakukan seperti penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Special Select Committee On Competence, Accountability And Tranperency – Selcat), Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Bagi Dewan Negeri Selangor, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam.

Untuk membuktikan komitmen Pakatan Rakyat, Dewan Negeri Selangor yang bersidang dari 12 – 15 Julai telah membawa satu perubahan mengejutkan yang selama ini tidak dilakukan oleh mana-mana Dewan Undangan Negeri, bahawa Dewan Negeri Selangor mencadangkan untuk melantik Dato' Haji Mohd Shamsuddin Bin Haji Lias, Ahli Dewan Negeri Kawasan Sungai Burung dari Umno, menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan bagi menggantikan Y.B. Tuan Lee Kim Sin Ahli Dewan Negeri Kawasan Kajang, seterusnya mengekalkan Y.B. Tuan Lee Kim Sin sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan.

Maklumat berkenaan perlantikan Y.B. Dato' Haji Mohd Shamsuddin Bin Haji Lias ini diketahui sejak hari pertama Dewan Negeri bersidang, kerana agenda mengenai perlantikan beliau tercatat di dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat sejak hari pertama mesyuarat, iaitu 12 Julai 2010. Antara kami termasuk ADNS Bangi turut mengucapkan tahniah kepada Y.B.Dato' Haji Mohd Shamsuddin. Para juru gambar bagi pemberita akhbar-akhbar yang berkampung di ground floor Dewan Annex setiap hari bersidang mengambil gambar beliau untuk dijadikan fokus bila tiba masa Dewan Negeri bersidang meluluskan perlantikan tersebut. Cadangan perlantikan Y.B. Dato' Mohd Shamsuddin berdasarkan pengalaman beliau yang luas di dalam bidang pentadbiran termasuk kewangan semasa menjadi Pegawai Daerah di negeri Selangor. Respond beliau terhadap perlantikan ini adalah baik dan melihat pada wajahnya, beliau menerima perlantikan yang merupakan sebagai penghormatan terhadap beliau.

Malangnya Y.B Dato' Seri Mohamad Khir Bin Toyo kembali ke Sidang pada hari ini setelah setahun digantung dari menghadiri Sidang. Beliau yang sebagai Ketua Pembangkang dalam ucapan bahasannya mengenai perlantikan Y.B. Dato' Haji Mohd Shamsuddin mengeluarkan syarat yang dianggap di luar kewajaran sebagai kata pepatah "Diberi betis hendakkan paha". Syarat yang boleh diterima jika dilantik 4 daripada 7 orang dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan adalah dari BN, iaitu satu syarat yang tidak mungkin dapat diterima. Tindakan beliau ini dapat dikatakan sengaja mencari helah agar pihak kerajaan tidak mendapat kemenangan dari segi moral dan sekali gus menggagalkan polisi dan niat baik kerajaan.

Y.B. Dato' Haji Mohd Shamsuddin dalam ucapan ringkas berhubung dengan perlantikannya, ternampak kegugupan dan ketidaklicinan dalam fikiran dan jawapannya mencerminkan beliau ditekan untuk menolak perlantikan dengan mengulangi kata-kata Y.B. Dato' Seri Khir Toyo, bahawa perlantikan adalah bermotifkan politik.

Walaupun keengganan dilahirkan kedua-dua mereka, dari segi procedure, menurut Tuan Speaker, bahawa Y.B. Dato' Mohd Shamsuddin adalah dilantik oleh Dewan Negeri secara majority. Peraturan berjalan bahawa beliau adalah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan Selangor dan beliau adalah tidak meletakkan jawatan dari segi keahlian.

Apabila tiba mesyuarat, beliau diminta mempengerusikan Jawatankuasa, jika beliau enggan, maka salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa (dua orang dari BN dilantik) diminta mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan.

Nampaknya pihak Umno-BN lebih mementingkan perkiraan politik dari ketelusan yang berterusan ditegakkan oleh Pakatan Rakyat. Mereka mengira kiranya mereka menerima, mereka semakin tergugat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment