July 29, 2010

Sambutan Hari Guru Di Serdang Dan Syukur Kemenangan

BBB, 13 Sya'ban = 25 Julai (Ahad):

Biarpun Hari Guru yang jatuh pada setiap 16 Mei telah berlalu, tetapi untuk dikenang jasa guru sebenarnya tiada had waktu dan batas ruang. Demikianlah Pasti Kawasan Serdang memilih hari ini sebagai hari menyambut dan menghormati guru-guru yang terus berkorban bagaikan lilin terus memancarkan cahaya kepada semua. Sempena sambutan Hari Guru ini juga sebagai Hari Keraian dan Kesyukuran di atas kemenangan pasukan bola sepak dari Serdang (Gandingan dari Pasti Raudah, Kajang Utama dan Kuala Langat) sebagai Johan pada peringkat Kebangsaan dan juga kemenangan pasukan bola jaring (perempuan) dari Serdang (Impian Ehsan, Balakong), No. 3 pada peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang pada 27 Jun 2010 yang lalu. Sebelum itu Serdang pernah menang 2004 Johan Cerita pada peringkat Pusat, 2006 Johan Azan pada peringkat Negeri, 2008 Pidato (Perempuan) pada peringkat Negeri dan 2009 Kedua pada peringkat Negeri.


Majlis Hari Guru dan Kesyukuran yang diadakan di Restoran Rimba berhampiran Tasik Cempaka BBB itu dihadiri oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar ADNS Bangi selaku Perasmi, Ustaz Hasbullah Pengarah Pasti Negeri Selangor, Sdr. Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Sdr. Shahrul Nizam Pengerusi Pasti Kawasan Serdang, Ketua Majlis Guru Negeri dan Kawasan, AJK Negeri dan Kawasan, ibu bapa dan anak-anak yang diraikan. Keraian ditujukan kepada sejumlah 86 guru dari 21 Pasti di Serdang yang membimbing 1079 murid-murid dan murid-murid yang berjaya di dalam dua bidang sukan yang disebutkan.


ADNS Bangi dalam ucapannya menyatakan, memang wajar jasa guru dan anak-anak yang berjaya diberi penghormatan dan pengiktirafan. Insentif ini diharap mereka akan terus meningkatan perkhidmatan dan kejayaan. Beliau berharap usaha meningkatkan kualiti pendidikan terus dilakukan. Faktor guru adalah penting, sebab itu guru hendaklah mempertingkatkan kualiti masing-masing. Insentif terhadap bidang sukan juga hendaklah diteruskan bagi mengharumkan nama Pasti, Kawasan dan Negeri. Ustaz Hasbullah yang sebelumnya berucap mengucap tahniah terhadap Tokoh Guru dan Pasukan Sukan yang menang. ADNS Bangi menyampaikan Sijil Pengiktirafan terhadap guru-Guru antaranya ialah Cikgu Norli, Cikgu Aini dan Cikgu Faridah. Beberapa orang Murid yang berjaya dalam sukan juga diberi pengiktirafan.



Sekian.

No comments:

Post a Comment