July 12, 2010

YB Tuan Guru Presiden Turun Ke Bangi Menyampaikan Amanat

BBB, 28 Rajab = 11 Julai (Ahad):


YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas turun ke Bangi pada malam ini. Menurut Ustaz Nazir YDP Pas Putrajaya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, "Pihak Pas Putrajaya menempah premis di Present 16 Putrajaya untuk mengadakan makan malam bagi menghimpun dana bagi kegiatan Pas Putrajaya, tetapi pada peringkat akhir, pihak berkuasa menarik balik keizinan. Bagi mengelak dari sabotaj dari pihak berkuasa (Umno) Pas Putrajaya terpaksa keluar dari Putrajaya dan menempah tempat di Dewan Sri Cempaka di PKNS bagi mengadakan makan malam pada malam ini," katanya.


Hadir pada malam ini meraikan Tuan Guru ialah ADNS Bangi selaku YDP Pas Serdang, Sdr. Samsuri Setiausaha Politik YB Tuan Guru, Ustaz Shafie Ngah Timbalan YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Naib YDP Pas Serdang, Sdr. Adram Musa Ketua Pemuda Pas Serdang, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat Pas Serdang dan AJK Pas Putrajaya. Menurut Ustaz Nazir, "Pada masa menghadiri Muktamar di Kota Bharu baru-baru ini, banyak hasrat dilahirkan perwakilan untuk ke Putrajaya, jadi kami yang di Putrajaya perlu bersedia dengan berbagai infrastruktur bagi memudahkan semua pihak ke Putrajaya. Antaranya menghimpun dana bagi menyediakan keperluan." Namun menurutnya, bagi menjayakan hasrat ke Putrajaya tidak mudah, sekatan bagi menggunakan premis di Putrajaya adalah kecil, tetapi perjuangan ke sana menuntut kesungguhan yang besar. Namun ianya bukan sesuatu yang mustahil. Sama-samalah kita berkerja ke arahnya."


YB Tuan Guru ketika menyampaikan amanatnya merujuk kepada maksud ayat al-Quran, "Bahawa Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka." (al-Ra`d: 11).

Menurut Tuan Guru, kita bertahaluf sebagaimana pernah dilakukan oleh Rasulullah dengan kaum Yahudi Bani Qainuqa`, Bani al-Nadhir dan Quraizah dan kita bertahaluf siasiy dengan kaum-kaum di negera kita. Kita berusaha membawa perubahan. Pada tahun 1999 orang Melayu menyokong kita, tetapi yang bukan Melayu masih belum yakin dengan kita, kita dapat membawa perubahan, walaupun tidak banyak, tetapi pada tahun 2008, orang bukan Melayu melihat kejujuran kita, mereka beri keyakinan pada kita, tetapi sebahagian orang Melayu pula masih tidak memberi sokongan. Kita berusaha untuk mendapat sokongan Melayu dan bukan Melayu secara serentak bagi mencapai kemenangan dan membawa perubahan. Antara pendekatan yang diambil sebagai tahaluf siasiy ialah menubuhkan Dewan Penyokong Pas. Untuk menubuhkan Dewan ini lama kita buat kajian dan mengambil pandangan dari dalam dan luar Negara.


Orang Melayu tidak dapat menikmati perubahan sebenarnya tanpa Islam. Sesungguhnya Islam membina identiti, peradaban dan tamadun Melayu. Namun selama di bawah Umno Melayu tidak dapat ditingkatkan dan tetap ketinggalan. Kita perlu mengambil Islam yang ternyata bersifat dinamik dan dapat membawa perubahan positif bagi kemajuan orang Melayu dengan kerjasama kaum-kaum lain. Kaum lain sebenarnya menghormati orang Melayu-Islam yang menjadi tonggak bagi Malaysia dan kita memberi kedudukan sewajar bagi bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia. Dengan segala kejujuran kita bekerja bagi membela masyarakat bertonggakkan nilai Islam. Kita berusaha membawa masyarakat Malaysia - berasaskan nilai-nilai Islam kepada yang lebih saksama, telus dan adil. Islam menuntut kita berusaha membawa perubahan bagi kebaikan masa depan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment